Projek pertanian mini lebih praktikal

SEMUA orang apabila memperkatakan mengenai projek pertanian akan menggambarkan tanah ladang yang luas, mesin-mesin hebat merata tanah, anak-anak pokok spesies terkini menunggu hari untuk ditanam dan juga hasilnya yang berpotensi untuk pasaran eksport.

Maka istilah-istilah gah dan besar digunakan untuk menggambarkan kehebatan projek-projek pertanian seperti membawa pertanian tempatan ke persada dunia, pertanian sehebat sektor konglomerat dan sebagainya.

Usaha mengkomersialkan pertanian itu memang baik tetapi tentu sukar bagi mereka yang mempunyai tanah sekangkang kera dan sumber kewangan terhad untuk menjadi ‘gergasi pertanian’ seperti dikehendaki kerajaan.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan golongan ini terpinggir, pelbagai insentif, inisiatif dan projek diperkenalkan bagi membolehkan pengendali projek-projek pertanian mini juga boleh meningkatkan pengeluaran mereka dan memasarkan produk dengan lebih cekap.

Bagi meneruskan kesinambungan usaha membentuk lebih ramai usahawan tani berjaya, Seminar Pertanian Bestari 2009 – Jana Hasil dari Dunia Tani akan diadakan 21 Mac ini di Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Berbeza dengan tahun 2008 yang menekankan projek berskala mega, pemilihan projek-projek pertanian pada tahun ini menekan beberapa aspek utama iaitu pertama, projek yang mampu berdaya saing.

Kedua, projek yang berskala mini tanpa memerlukan modal yang besar, ketiga, projek yang mempunyai pasaran dan permintaan tinggi dan terakhir, projek yang dapat memberi pulangan yang memberangsangkan.

Usaha ini dilihat bertepatan dengan senario ekonomi dunia yang semakin merudum. Sehingga Februari tahun ini, puluhan ribu pekerja sektor swasta di negara ini telah diberhentikan sama ada secara sementara ataupun kekal.

Angka tersebut akan terus meningkat dari masa ke semasa. Bukan setakat kehilangan pekerjaan malah harga barang-barang runcit dan kos hidup juga tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan yang positif.

Bagi individu yang terlibat dalam pemberhentian kerja tersebut, sektor pertanian boleh menjadi alternatif untuk membantu diri, selain mengadakan perniagaan kecil-kecilan.

Sehubungan itu, Kumpulan Perintis yang merupakan penganjur seminar melihat masyarakat perlu mengambil mengambil kesempatan dari dunia pertanian yang agak kalis kegawatan kerana semua manusia terpaksa makan.

Melalui projek Pertanian Bestari 2009, Perintis menyarankan dan menggalakkan sekurang-kurangnya sebuah keluarga mempunyai satu projek pertanian berskala sederhana atau mini untuk menambahkan pendapatan.

Kali ini, empat projek pertanian mini iaitu ternakan keli biotek, ternakan lintah, tanaman cendawan dan tanaman serai peha ayam akan diketengahkan setelah mengambil kira faktor hasil yang memberangsangkan daripada projek tersebut.

Seramai empat orang usahawan tani berjaya yang bernaung dan dipantau di bawah projek tani Kumpulan Perintis telah dikenalpasti bagi berkongsi peluang perniagaan ini.

Di antara kelebihan utama bagi mereka yang menyertai seminar ini adalah berpeluang mempelajari teknik ternakan ikan keli dan lintah serta teknik tepat penanaman cendawan dan serai peha ayam dalam sehari secara tepat dan sistematik.

Manfaat lain termasuk pakej pertanian mini ini hanya dibuka kepada peserta seminar sahaja, setiap projek pertanian yang dipilih akan dipantau oleh para mentor secara percuma dan tiada yuran kursus lanjutan yang akan dikenakan.

Antara tujuan seminar tersebut adalah para peserta dapat membuat perbandingan dan pemilihan yang tepat selepas mendengar dan mempelajari kesemua projek mini yang disediakan oleh mentor-mentor yang terpilih.

Selain mendapat tunjuk ajar, mentor juga akan berkongsi cara pemasaran dan pengalaman mengusahakan projek-projek tersebut.

Kebanyakan projek pertanian tersebut dapat dimulakan dengan modal serendah RM1,600 – sehingga RM3,000 mengikut jenis projek yang ingin dimasuki oleh individu.

Ketua Projek Pertanian Bestari, Kumpulan Perintis, Muhd. Hilmy Hamzah, memaklumkan, peserta individu perlu membayar RM180 seorang. manakala berkumpulan iaitu dua peserta dan ke atas perlu membayar RM150 setiap orang.

Di bawah rancangan Pertanian Bestari, Perintis berhasrat memperluaskan agenda pengukuhan ekonomi rakyat ke tanah rancangan FELDA, penduduk miskin tegar dan koperasi-koperasi yang ingin menjayakan projek untuk ahli-ahli mereka.

Seminar ini turut dijayakan dengan penerangan khas daripada TEKUN Nasional sebagai pembiaya paling efektif membantu pengusaha yang ingin memulakan sesuatu projek pertanian.

Sebarang maklumat lanjut dan pendaftaran diri boleh menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527 atau layari www.agrohub.net.

Bengkel Fertigasi Siri II bermula hari ini

ag_021

Sebahagian peserta Bengkel Fertigasi Siri I teruja dengan tanaman cili di Mambau, Negeri Sembilan.


BENGKEL Usahawan Fertigasi Mega-Utusan dengan kerjasama Agro Bank (Siri 2) bermula hari ini sehingga 1 Mac ini.

Peserta yang berjaya diterima pada siri kali ini berpeluang mendapat bimbingan beberapa topik seperti Pengenalan Skim Dari Agro Bank, Rancangan Perniagaan dan Strategi Pemasaran.

Topik lain termasuk PengenalanTeknologi Fertigasi, Sistem Pengairan Fertigasi, Penanaman Secara Fertigasi, Kawalan Musuh Tanaman dan Latihan Perniagaan

Latihan Amali akan dijalankan di Tapak Projek, Kampong Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan, manakala bengkel teori diadakan di Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) Bangi, Selangor.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan, pihak penganjur akan mengadakan bengkel berikutnya yang dijadualkan pada 20 hingga 22 Mac.

Menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, peserta yang telah menghantar borang penyertaan diharap bersabar kerana peserta dihadkan kepada jumlah yang kecil.

Hasil maklum balas yang diperolehi oleh peserta bengkel siri pertama yang lalu, rata-rata peserta berpuas hati topik-topik yang diberikan amat berfaedah selain latihan amali di tapak bengkel.

Beliau memujikan peserta lalu yang memberi tumpuan kepada semua topik-topik yang disediakan.

Orang ramai yang ingin menyertai bengkel ini dikehendaki menghantar butir-butir peribadi ke:

Urusetia Bengkel Usahawan MEGA-Utusan-AgroBank, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kompleks Sri Utusan, Lot 6, Jalan P/10,Kawasan Perusahaan Bangi, Seksyen 10, 43650 Bandar Baru Bangi,Selangor Darul Ehsan dan fakskan di nombor berikut 03-89243911.

Sebarang maklumat mengenai bengkel itu boleh menghubungi urusetia di talian 012-2846811 (Rosli).

Teknologi fertigasi lumayan

ag_0111

Dr. Mahamud Sahid antara pakar dalam teknologi fertigasi tekun membimbing bakal usahawan menggunakan sistem tersebut.


Sektor pertanian di negara ini telah melalui pelbagai perubahan bermula dengan kaedah konvensional hinggalah kepada pengeluaran yang memerlukan teknologi tinggi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti tanaman yang dihasilkan.

Salah satu daripadanya yang mendapat tempat di kalangan petani moden masa kini adalah sistem fertigasi pengeluaran tanah rendah.

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid berkata, sistem fertigasi merupakan pengeluaran tanaman tanpa tanah yang menggabungkan pengairan dan baja dalam satu sistem.

“Biasanya diletakkan di bawah struktur pelindung tanaman bagi menjamin pengeluaran hasil tinggi dan berkualiti serta menjadi alternatif terhadap sistem konvensional,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Umumnya hanya beberapa jenis sayur-sayuran dan buah yang mempunyai nilai pasaran tinggi seperti cili merah, tomato, timun, zukini, terung, melon dan strawberi.

Tujuan asal fertigasi adalah untuk mengelakkan tanaman daripada jangkitan penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya bawaan tanah.

Walaupun ramai yang mengatakan kaedah fertigasi melibatkan kos yang tinggi tetapi sebenarnya kos permulaan dapat diatasi selepas satu musim selain mengurangkan penggunaan air dan baja.

Sementara itu penggunaan tenaga kerja yang minimum dengan penggunaan alat pengatur masa automatik mengurangkan kos.

Biasanya kos pada musim pengeluaran pertama adalah lebih tinggi berbanding dengan musim ke dua dan seterusnya.

Pada musim kedua dan seterusnya, kos menjadi rendah kerana medium masih boleh digunakan sehingga tiga atau empat pusingan jika diuruskan dengan baik.

Biasanya selepas satu pusingan, medium akan dirawat racun kulat sebelum digunakan semula pada pusingan akan datang.

Sehingga kini sejak fertigasi dimulakan terdapat ramai petani yang menggunakan teknik tersebut dalam tanaman mereka.

Dr. Mahamud berkata, fertigasi jika dilakukan dengan teliti dapat menjana pendapatan lumayan kepada petani.

“Sejak akhir-akhirnya kajian yang dijalankan mendapati halia sesuai ditanam secara fertigasi kerana boleh ditanam di tempat yang sama tanpa risiko dijangkiti dengan penyakit akar.

“Persekitaran dan suhu juga boleh dikawal dengan kaedah fertigasi,” katanya yang menggunakan baja khusus bagi rizom.

Halia yang ditanam secara fertigasi hanya mengambil masa empat setengah bulan bagi menghasilkan sehingga 14 kilogram rizom dalam satu polibeg.