Baja asli vermikompos

wu_0112

ISMAIL Saad mengumpul baja vermikompos dari hasil cacing di pusat ternakannya di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.


BALIK PULAU 24 Feb. – Apabila disebut saja perkataan cacing, ramai yang rasa geli membayangkan haiwan invertebrat itu yang lembik dan hidup di dalam tanah.

Namun cacing sebenarnya haiwan yang amat berguna dalam bidang pertanian terutama najisnya di samping fungsinya menggemburkan tanah bagi pengudaraan dan saliran.

Kajian mengenai peranan cacing komersial dalam pertanian juga bermula sejak 1998.

Ketika itu Jabatan Pertanian mula mengimport tiga spesies cacing dari Australia iaitu cacing Lumbricus rubellus (cacing merah), Eisenia fetida (cacing harimau) dan Perionyx excavatus (cacing biru) kerana spesies tempatan sukar ditemui dalam jumlah yang banyak.

Kajian mengenai pembiakan cacing atau vermes bagi menghasilkan vermikompos (baja) yang baik untuk tanaman juga giat dilakukan pelbagai pihak.

Vermikompos merupakan bahan organik hasil daripada proses atau aktiviti mikrobial cacing tanah ke atas bahan organik mentah seperti sisa-sisa pertanian dan ternakan.

Menyedari potensi dan hasil lumayan daripada bidang penghasilan baja vermikompos mendorong seorang guru, Ismail Saad, 43, menghabiskan masa kira-kira dua tahun hanya untuk belajar tentang tabiat cacing.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, sedikit pun hatinya tidak menyesal terpaksa memperuntukkan masa yang lama hanya untuk belajar tentang tabiat invertebrat itu kerana ilmu yang diperoleh mampu menjadikan vermikompos yang lebih baik.

”Saya bermula dengan hanya dua kotak iaitu pada awal tahun 2006. Memang saya tidak mahu buat banyak-banyak kerana saya ingin melengkapkan diri dengan ilmu cacing terlebih dahulu.

”Saya belajar bukan hanya di dalam negeri Pulau Pinang tetapi juga di merata tempat lain di Perak, Kedah dan Perlis. Alhamdulillah, selepas memulakannya secara aktif, kami mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya yang mengusahakan vermikompos bersama empat orang kawan sekampungnya.

Jelas Ismail, berbeza dengan vermikompos sedia ada yang menggunakan jerami padi, batang jagung atau sisa sayuran yang baru dituai, beliau bersama kawan-kawannya menggunakan najis kambing yang dikisar menggunakan sebuah mesin khas yang dibeli dengan harga RM7,000.

Katanya, tahi kambing tersebut diperoleh mereka daripada kandang-kandang kambing seluruh Balik Pulau.

Menurut beliau, kaedah tersebut lebih baik dan praktikal serta mampu menghasilkan vermikompos yang lebih banyak kerana mudah reput dan amat digemari cacing.

”Kalau guna bahan lain, terpaksa menunggu agak lama untuk membolehkan bahan-bahan tadi reput sebelum dimakan cacing tetapi dengan menggunakan tahi kambing yang dikisar, dalam masa dua hingga tiga minggu sudah boleh diambil hasil.

”Baja vermikompos ini juga tahan lama. Ia masih boleh digunakan dalam masa dua hingga tiga tahun, tidak rosak. Khasiat yang ada pun tetap sama,” katanya yang hanya memperuntukkan masa tiga jam sehari iaitu dari pukul 4 petang hingga 7 malam untuk membuat vermikompos di Tanah Projek Vermikompos, Jalan Bharun di sini.

Menurut Ismail, vermikompos mengandungi pelbagai jenis hormon dan enzim yang dikeluarkan oleh bakteria dari dalam perut cacing yang boleh membantu tumbesaran pokok.

”Malah tumbuhan yang menggunakan vermikompos membesar lebih cepat berbanding baja organik biasa.

”Sambutan daripada masyarakat luar dan Jabatan Pertanian juga menggalakkan. Dengan jumlah kotak cacing yang ada iaitu 31 pada masa ini, kami tidak mampu memenuhi permintaan,” katanya.

Menurut Ismail, dia menggunakan cacing merah dan cacing harimau iaitu cacing yang suka tinggal dalam bahan organik separuh reput di bangsalnya.

Katanya, cacing kompos mempunyai ciri-ciri seperti suka makan di lapisan atas, selera makan yang besar dan membiak dengan cepat.

”Sifat ini memudahkan kerja mengasingkan cacing dan vermikompos semasa menjalankan kerja mengutip hasil. Cacing makan mengikut berat badannya, misalnya jika berat seekor adalah 4 gram jadi ia memerlukan makanan dengan berat yang sama setiap hari.

”Air pula akan disalurkan dua hari sekali. Paling cacing suka ialah air hujan yang membantunya membiak dengan cepat. Kalau air biasa yang berklorin, ia lambat membiak dan ada yang mati,” katanya.

Menurutnya, proses penambahan makanan akan dilakukan lebih kerap selepas sebulan cacing dilepaskan ke dalam kotak.

Tambahnya, satu sifat yang ada pada cacing kompos ialah ia membiak dengan cepat.

”Sepasang cacing kompos boleh bertelur sehingga 50 kapsul setahun dengan setiap kapsul mempunyai dua hingga lima ekor anak cacing.

”Ketika memulakan perusahaan baja ini, kami telah melepaskan kira-kira 20,000 benih cacing. Rasanya jumlah itu sudah semakin banyak kerana cacing memang cepat membiak,” ujar Ismail.

Selain mengusahakan baja vermikompos, Ismail berkata, mereka turut menjual ‘teh cacing’ iaitu air hasil daripada proses penyiraman cacing dan ayam kampung yang diternak secara kecil-kecilan di sebelah pusat vermikomposnya.

Katanya, teh cacing itu amat sesuai untuk aktiviti penyiraman untuk tanaman dan sayur-sayuran.

”Kami juga menjual baja tahi kambing yang dikisar. Ada juga permintaan untuk mendapatkan benih cacing, namun setakat ini kami belum lagi menjualnya kerana benih cacing sukar diperoleh.

”Banyak pihak ingin belajar membuat baja vermikompos dan penternakan cacing daripada kami. Kami amat gembira dapat membantu mereka. Ini antara lain dapat meningkatkan produktiviti masyarakat kampung terutama di Balik Pulau ini,” katanya sambil tersenyum.

2 thoughts on “Baja asli vermikompos

  1. terima kasih banyak2…..sedikit sebanyak ia dapat membantu saya dalam menyiapkan assignment tentang kajian baja organik….pagi ni saya kene bentang…..sy study kat um….tq cikgu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s