KUALA LUMPUR 23 Feb. – Seramai 11,000 usahawan tani di seluruh negara telah menerima bantuan pinjaman peralatan dan geran padanan bertujuan menaik taraf premis dan pengeluaran produk berasaskan pertanian.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,000 usahawan baru menerima bantuan peralatan bernilai RM10,000 seorang.
Beliau berkata, 3,000 lagi usahawan sedia ada menerima bantuan bernilai RM50,000 hingga RM100,000 secara geran padanan.
“Dalam tempoh 2005 hingga 2008, kementerian diberi peruntukan RM95.71 juta untuk membangunkan industri asas tani dan berjaya melahirkan 11,000 usahawan.
“Pada 2009 dan 2010, kementerian telah diperuntukkan sebanyak RM167 juta,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai langkah meningkatkan bilangan usahawan tani di luar bandar.
Mustapa berkata, antara langkah utama kementerian bagi bilangan usahawan asas tani kecil dan sederhana terutama di luar bandar ialah:
l Meningkatkan infrastruktur dan peralatan yang melibatkan pembinaan ruang kerja baru dan menaik taraf ruang kerja sedia ada serta kilang mini.
l Penyelidikan dan pembangunan produk yang menyediakan khidmat sokongan bagi pembangunan teknologi pemprosesan bagi meningkatkan jangka hayat dan kualiti produk.
l Khidmat nasihat, rundingan dan galakan untuk mendapatkan persijilan dan kualiti yang diperlukan.
l Promosi dan pemasaran yang melibatkan penyediaan pusat persediaan produk, pembungkusan dan pelabelan produk, penyertaan dalam ekspo dan karnival perdagangan industri asas tani dalam dan luar negara.
l Penyediaan pusat aparentis dan inkubator yang lengkap dengan mesin pemprosesan bagi membantu pengusaha yang kurang mampu.
Mustapa berkata, bantuan dan latihan yang disediakan pula ialah:
l Pakej bantuan menyeluruh melibatkan penyediaan latihan dan bimbingan, kemudahan pemasaran serta penyediaan modal melalui geran bernilai RM10,000 untuk usahawan baru.
l Bantuan dan perkhidmatan melalui aktiviti menaik taraf atau pembinaan bengkel baru pada tahap amalan pembuatan baik (GMP), bantuan peralatan dan mesin, membangunkan produk baru, kaedah pembungkusan mengikut segmen pasaran dan khidmat analisis kualiti.
l Bantuan dan perkhidmatan pembekalan peralatan pemprosesan.
l Perkhidmatan sokongan teknikal bagi membantu usahawan industri asas tani meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
l Skim pinjaman disediakan oleh Agrobank, SME Bank dan beberapa bank lain kepada usahawan tani yang berhasrat membesarkan perusahaan mereka.