11,000 usahawan tani dilahirkan sejak 2005

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Seramai 11,000 usahawan tani di seluruh negara telah menerima bantuan pinjaman peralatan dan geran padanan bertujuan menaik taraf premis dan pengeluaran produk berasaskan pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,000 usahawan baru menerima bantuan peralatan bernilai RM10,000 seorang.

Beliau berkata, 3,000 lagi usahawan sedia ada menerima bantuan bernilai RM50,000 hingga RM100,000 secara geran padanan.

“Dalam tempoh 2005 hingga 2008, kementerian diberi peruntukan RM95.71 juta untuk membangunkan industri asas tani dan berjaya melahirkan 11,000 usahawan.

“Pada 2009 dan 2010, kementerian telah diperuntukkan sebanyak RM167 juta,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai langkah meningkatkan bilangan usahawan tani di luar bandar.

Mustapa berkata, antara langkah utama kementerian bagi bilangan usahawan asas tani kecil dan sederhana terutama di luar bandar ialah:

l Meningkatkan infrastruktur dan peralatan yang melibatkan pembinaan ruang kerja baru dan menaik taraf ruang kerja sedia ada serta kilang mini.

l Penyelidikan dan pembangunan produk yang menyediakan khidmat sokongan bagi pembangunan teknologi pemprosesan bagi meningkatkan jangka hayat dan kualiti produk.

l Khidmat nasihat, rundingan dan galakan untuk mendapatkan persijilan dan kualiti yang diperlukan.

l Promosi dan pemasaran yang melibatkan penyediaan pusat persediaan produk, pembungkusan dan pelabelan produk, penyertaan dalam ekspo dan karnival perdagangan industri asas tani dalam dan luar negara.

l Penyediaan pusat aparentis dan inkubator yang lengkap dengan mesin pemprosesan bagi membantu pengusaha yang kurang mampu.

Mustapa berkata, bantuan dan latihan yang disediakan pula ialah:

l Pakej bantuan menyeluruh melibatkan penyediaan latihan dan bimbingan, kemudahan pemasaran serta penyediaan modal melalui geran bernilai RM10,000 untuk usahawan baru.

l Bantuan dan perkhidmatan melalui aktiviti menaik taraf atau pembinaan bengkel baru pada tahap amalan pembuatan baik (GMP), bantuan peralatan dan mesin, membangunkan produk baru, kaedah pembungkusan mengikut segmen pasaran dan khidmat analisis kualiti.

l Bantuan dan perkhidmatan pembekalan peralatan pemprosesan.

l Perkhidmatan sokongan teknikal bagi membantu usahawan industri asas tani meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

l Skim pinjaman disediakan oleh Agrobank, SME Bank dan beberapa bank lain kepada usahawan tani yang berhasrat membesarkan perusahaan mereka.

Pekasam keli untung berganda

wu_0111

PEKERJA mengisi ikan keli pekasam ke dalam bungkusan sebelum dipasarkan. – UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN


ARAU 23 Feb. – ‘Bakti disemai, bukti dituai’. Pepatah ini elok benar dipadankan dengan Pertubuhan Peladang Kawasan A1 (PPK A1), Guar Sanji, di sini.

Apa tidaknya, bakti yang ditabur oleh PPK itu kepada seluruh ahlinya menerusi projek ikan pekasam ternyata telah membuahkan hasil.

Mulai tahun 2006, PPK A1 melancarkan projek pekasam ikan talapia dan mulai Januari lalu pula maju setapak lagi dengan projek terkini sempena azam baru tahun 2009.

Kali ini, pekasam ikan keli pula yang dijuruskan setelah mendapati projek perintisnya iaitu pekasam talapia ternyata membawa pulangan berganda.

Projek ini terbukti bukan sahaja memberi ‘wang saku’ atau pendapatan sampingan kepada keluarga PPK, tetapi membuka satu lagi industri hiliran berasaskan bahan mentah tempatan di kawasan itu sendiri.

Pegawai Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Hasfa Azian Zakaria memberitahu, projek pekasam ikan keli itu bertujuan membantu ahli PPK A1 menokok pendapatan bulanan.

Projek itu katanya, dibuat selaras dengan matlamat PPK A1 yang memberi tumpuan kepada industri asas tani yang menjadikan ikan sebagai bahan mentah utama.

Di bawah projek tersebut, beliau menyatakan, sehingga kini pihaknya memproses kira-kira 100 hingga 200 kilogram ikan keli seminggu untuk pekasam.

”Bekalan ikan dibeli daripada tiga penternak yang terdiri daripada ahli PPK ini sendiri,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau memberi contoh, “Kami membelanjakan RM900 untuk menghasilkan 60 kilogram pekasam ikan keli yang dijual RM20 sekilogram.”

Hasfa Azian memberitahu lagi, setelah ditolak perbelanjaan berkaitan, PPK A1 mencatat keuntungan RM300 bagi setiap 100 kilogram ikan keli mentah.

Kata beliau lagi, selain pekasam ikan keli, pihaknya juga menghasilkan serunding ikan yang sama dan meraih keuntungan RM300 bagi setiap 100 kilogram ikan.

Beliau menyatakan, projek industri hiliran itu benar-benar berjaya kerana keuntungan diterima secara terus oleh keluarga PPK itu sendiri.

”Ini kerana, bekalan ikan kami peroleh daripada penternak yang terdiri daripada ahli PPK A1. Kerja-kerja menghasilkan pekasam dan serunding itu pula dibuat oleh isteri dan anak ahli PPK ini sendiri,” ujarnya.

Pendek kata, bermula dari bahan mentah, kemudian ke peringkat memproses dan memasarkannya, ia dilaksanakan tanpa khidmat orang tengah.

Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia turut dihidangkan dengan juadah pekasam ikan keli semasa membuat liputan berita ini.

Hidangan yang disajikan berupa pulut yang dimakan bersama kelapa parut dan ikan keli pekasam goreng.

Rasanya selazat makanan yang cukup popular di Kelantan iaitu ‘pulut ikan kering’ (PIK).

Apabila Hasfa Azian ditanya berhubung resipi pekasam ikan keli itu pula, beliau secara berseloroh mengaitkannya dengan lagu Siti Nurhaliza iaitu Biarlah Rahsia.

Pekasam ikan keli dipasarkan di hotel

wu_021

MENYELERAKAN… Pekasam ikan keli enak dihidangkan bersama nasi dan pulut.


ARAU 23 Feb. – Pertubuhan Peladang Kawasan A1 (PPK A1), Guar Sanji, di sini akan memperbesarkan lagi projek pekasam ikan keli secara berjadual untuk manfaat ahli.

Pengerusinya, Ilias Ali berkata, salah satu perancangannya ialah memasarkan pekasam tersebut ke hotel-hotel dan restoran terkemuka di Perlis.

Pada sama yang sama kata beliau, pihaknya juga akan menambah kios PPK A1 di beberapa pasar raya termasuk yang sedia ada di Giant Sungai Petani, Kedah.

”Projek menghasilkan pekasam ikan keli ini secara tidak langsung telah memberikan pendapatan sampingan kepada sebahagian keluarga ahli PPK ini sendiri.

”Contohnya, seorang wanita yang bekerja menghasilkan pekasam ikan keli dengan kami boleh mendapat gaji kira-kira RM320 sebulan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi suri rumah yang mengambil upah membuat mini popia berasaskan pekasam ikan keli pula, mereka boleh mendapat kira-kira RM200 sebulan.

”Pendapatan itu belum lagi dikira membuat serunding berasaskan pekasam ikan keli yang boleh mendapat gaji kira-kira RM200 sebulan,” ujarnya.

Kata beliau lagi, ini bermakna, industri hiliran berasaskan ikan keli dan pekasam ikan keli, seseorang suri rumah yang bekerja dengan PPK A1 boleh memperolehi pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM600 sebulan.

”Saya bagi pihak PPK A1 amat berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang banyak membantu kami menjayakan projek ini.

”Tanpa bantuan MADA terutama yang membekalkan kepakaran dan pelbagai idea bernas, tentunya kami tidak mampu mencapai matlamat sebagaimana yang disasarkan,” tegasnya.