ALOR STAR: Jabatan Pertanian (JP) Kedah menempatkan sebanyak 124 unit Rumah Burung Pungguk Jelapang di setiap daerah untuk mengawal masalah serangan tikus di sawah padi di negeri ini.
Penolong Pegawai Pertanian, Unit Perlindungan Tanaman, Mohd Faris Mohd Fauzi berkata, penggunaan kaedah yang diperkenalkan sejak tahun 2000 itu berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap racun tikus di sawah dan seterusnya mencegah serangan tikus di situ.
Menurutnya, sebanyak 68 unit rumah burung terbabit dipasang secara berperingkat di kawasan sawah termasuk di projek tanaman padi kelompok yang diusahakan petani di negeri ini sehingga April depan.
Pemasangan itu membabitkan daerah Kuala Muda (20), Kota Star (16), Pendang dan Baling masing-masing (10), Padang Terap (6), Kubang Pasu (5), Bandar Bharu (4) dan Langkawi (2).
Katanya, baki sebanyak 56 unit rumah burung berkenaan akan diserahkan kepada Unit Perladangan Tanaman, Teluk Kechai, dekat sini untuk tindakan seterusnya.
“Pemasangan rumah burung ini dibuat selepas kami membuat pemantauan berdasarkan kepada maklumat petani mengenai serangan tikus di kawasan sawah mereka.
“Kaedah ini lebih selamat dan amat berkesan untuk membunuh dan mengawal populasi tikus daripada terus membiak di kawasan sawah. Seekor burung pungguk dewasa mampu membunuh sebanyak tiga hingga empat ekor tikus semalam sebelum dijadikan makanannya,” katanya ketika ditemui selepas kerja pemasangan rumah burung pungguk terbabit di Kampung Padang, dekat sini, semalam.
Mohd Faris berkata, rumah burung pungguk yang diperbuat daripada gentian itu akan diletakkan di tempat yang sesuai yang merangkumi keluasan sebanyak 40 hektar.
Beliau berkata, penggunaan gentian yang menggantikan rumah kayu sebelum ini lebih praktikal dan mampu bertahan lebih 10 tahun.
Katanya, selain menggunakan tiang besi setinggi 5.5 meter, rumah burung pungguk seluas tiga meter itu turut dijadikan sebagai sarang pembiakan kepada burung berkenaan.
“Pada 1990, kami sudah melepas beberapa pasang burung pungguk di kawasan ini dan sepasang burung pungguk mampu membiak tiga hingga lima ekor anak dalam setahun.
“Kita yakin burung pungguk yang berada di sekitar kawasan ini akan menggunakan rumah ini sebagai tempat perlindungan. Kita juga akan membuat pemantauan dari masa ke masa untuk memastikan pemasangan rumah ini memberi faedah kepada petani,” katanya.
Beliau berharap penduduk kampung terutama petani membantu pihaknya untuk menjaga rumah burung berkenaan demi kepentingan bersama.
Bagaimana kalau nak dapatkan burung pungguk untuk kawal populasi tikus dan ular dikawasan hutan berhampiran rumah kediaman?