Kecapi kejayaan selepas 20 tahun ternak lembu

Peserta projek Tenusu hasil 33,000 liter susu setahun

KOTA BHARU: Kira-kira 20 tahun lalu, ketika rakannya sibuk mengejar impian ke menara gading atau bekerja di sektor awam, Sukeri Mamat, 34, sibuk membersihkan lembu serta kandang lembu milik abangnya, bagi memastikan ternakan itu sentiasa sihat.

Kini Sukeri boleh berbangga dengan segala penat lelahnya bersama lembu di ladang, apabila muncul sebagai peserta berjaya dalam Projek Berkelompok dan Usahawan Lembu Tenusu Kampung Sungai Durian, Pasir Puteh, Kelantan.

Bermula dengan hanya dua ekor lembu baka Friesian, anak jati kampung itu tidak menoleh ke belakang lagi untuk terus mencipta kejayaan dan kini sudah mampu tersenyum lebar apabila ternakannya sudah meningkat sebanyak 50 ekor.

Sukeri berkata, untuk berjaya dalam bidang mencabar ini, bukannya semudah yang dijangka memandangkan menjaga lembu tenusu ini perlu pengawasan rapi terutama membabitkan pemakanan serta kesihatannya.

“Dengan kejayaan yang dinikmati sekarang, tidak menyesal saya menceburi industri ini di peringkat awal walaupun ada rakan sudah berjawatan tinggi, malah bangga kini menjadi antara pengusaha lembu tenusu paling berjaya di negeri ini,” katanya.

Daripada lima pengusaha terbabit dalam projek berkelompok itu, Sukeri adalah penternak paling berjaya kerana kemampuan menghasilkan 33,000 liter susu lembu setahun berbanding peserta lain yang mengeluarkan antara 3,000 hingga 7,000 liter setahun.

Untuk mengecapi kejayaan sebagaimana dinikmati sekarang, beliau banyak mendapat tunjuk ajar daripada pihak berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Projek Kemasin Semerak.

Projek tenusu di Pasir Puteh itu mula diperkenalkan pada 1989, membabitkan lapan peserta dengan keluasan tanah kira-kira 100 hektar. Bagaimanapun, kini hanya lima peserta saja yang masih meneruskan projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 60 hektar dengan 144 ekor lembu.

Pada 2007, projek itu dengan 75 ekor ibu lembu yang produktif mampu mengeluarkan susu sebanyak 354,000 liter bernilai RM531,000.

Hasil yang diperoleh itu adalah satu kejayaan besar bagi sebuah projek dengan jumlah peserta kecil sekali gus membuktikan industri tenusu di Kelantan mampu berkembang.

Penternakan lembu tenusu di Kampung Sungai Durian ini dijalankan secara separa intensif iaitu berkandang dan dilepaskan meragut di padang ragut.

Kini projek berkenaan menggunakan lembu baka Mafriwal (Malaysia Friesian Sahiwal) kacukan secara permanian berhadas antara lembu susu cuaca sejuk jenis Friesian dan lembu susu bercuaca panas Sahiwal.

Lembu di projek ini akan dilepaskan bebas untuk makan di padang ragut bertanam dengan rumput Humidicola manakala rumput jenis Napier atau rumput gajah akan dipotong menggunakan mesin penuai rumput untuk makanan lembu di dalam kandang ternakan nanti.

Selain dari meragut dan memakan rumput potong, lembu berkenaan terutama yang sedang mengeluarkan susu juga akan diberi makan dedak formulasi lembu tenusu untuk mengekalkan prestasi pengeluaran susu.

Sukeri berkata, potensi industri tenusu di negeri ini besar dan mampu berkembang sekiranya pengusaha memiliki sejumlah induk mencukupi bagi menghasilkan susu yang banyak.

Katanya, masalah dihadapi pengusaha sekarang ialah modal yang diperlukan untuk membeli induk lembu yang kini sudah mencecah sehingga RM6,500 seekor berbanding sebelum ini kira-kira RM5,000.

“Setiap pengusaha sekurang-kurangnya memerlukan 50 ekor lembu induk bagi membolehkan mereka menghasilkan sejumlah susu yang mencukupi untuk menjamin pulangan lumayan.

“Kami berharap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dapat membantu dalam masalah ini memandangkan pengusaha mampu berjaya sekiranya lembu induk itu mencukupi,” katanya.

4 thoughts on “Kecapi kejayaan selepas 20 tahun ternak lembu

  1. saya ingin memulakan ternakan lembu susu. bolehkah pihak bagi saya kertas kerja rancangan perniagaan untuk ternakan lembu susu.

    nasir

  2. saya ingin memulakan ternakan lembu susu. bolehkah pihak berkenaan bagi saya kertas kerja rancangan perniagaan untuk ternakan lembu susu?
    Saya ingin menceburi bidang ini secara serius.

    • as salam.sekiranya pihak tuan perlukan mkanan tambhan yg dpt mengurabgkn risiko penyakit terhadap haiwan ternakan hubungi saya 0139525524/01110901117.

  3. saya pelajar politenik kota bharu. saya telah diarahkan oleh pensyarah untuk mencari penternak lembu tenusu dan menemubualnya. dimanakah saya boleh bertemu dengan encik sukeri mamat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s