Pahang bakal pengeluar keladi salak

KUANTAN: Pahang dijangka muncul sebagai pengeluar keladi salak pertama negara apabila kawasan seluas 20 hektar di Kampung Pandan 1, di sini dijadikan tapak percubaan tanaman berkenaan.

Sebagai permulaan, Pengarah Urusan Restu Rimbunan Rahmat Sdn Bhd, Nazri Rahmat, berkata, 2.4 hektar daripada keseluruhan kawasan akan dijadikan tapak semaian manakala dua hektar lagi sebagai tapak tanaman percubaan yang akan dilaksanakan pertengahan bulan depan.

Beliau berkata, Koperasi Warta Warisan Kuala Lumpur (KOWARTA) bersetuju membiayai projek bernilai RM7 juta itu bagi pembelian benih, baja, jentera dan pembinaan kilang memproses hasil tanaman.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan memperuntukkan kawasan berkenaan bagi melaksanakan projek pertama yang berpotensi di pasaran antarabangsa.

“Keladi salak dikenal pasti sebagai tumbuhan pertama di dunia menghasilkan kolagen,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikatnya mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat pengeluar tanaman keladi salak dari Indonesia Pt. Mitra Sentosa Hutama Agro di segi kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan bekalan benih tanaman.

Katanya, kajian selama lapan tahun oleh syarikat itu berakhir dengan penemuan kolagen dan seterusnya diuji dan disahkan kandungannya di makmal perubatan Belanda, Korea dan Jepun.

“Setiap 100 kilogram ubinya akan menghasilkan satu kilogram kolagen bagi kegunaan industri pembuatan kosmetik, perubatan dan pemakanan.

“Ini adalah satu kelebihan kerana sebelum ini kolagen hanya didapati daripada sumber haiwan yang terbatas untuk umat Islam,” katanya.

Keladi salak atau lebih dikenali sebagai Talas Jepang Satoimo dijadikan makanan asasi penduduk Jepun dan Indonesia adalah pengeksport utama tanaman berkenaan ke negeri matahari terbit itu.

Pak Din usahawan Pegaga

wu_011

LADANG pokok pegaga nyonya milik Din Saman hidup subur di Kampung Kok Klang, Padang Besar, Perlis.


PADANG BESAR 20 Feb. – Ulam terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung sebagai makanan pembuka selera, terutama ketika dinikmati bersama nasi.

Kini hidangan ulam-ulaman semakin digemari warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu kerana pelbagai khasiat yang terbukti melalui kajian saintifik.

Perkembangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan juga menyebabkan ulam-ulaman semakin digemari apabila beberapa jenis ulam terkenal didapati boleh dijadikan sebagai bahan dalam produk kecantikan dan bahan utama untuk awet muda.

Salah satu ulam yang mendapat tempat kini ialah pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba yang boleh menjana kecerdasan berfikir kanak-kanak dan dikatakan dapat membantu peredaran darah serta meningkatkan kesihatan kulit.

Menyedari khasiat yang ada dalam pegaga, salah seorang pekebun getah di Kampung Kok Klang, di sini mengambil peluang untuk menanamnya dengan bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk menjana hasil pendapatan sampingan.

Din Saman, 66, membuktikan tanaman pegaga jenis nyonya secara komersial dapat meningkatkan pendapatan penoreh getah apabila pegaga yang ditanam di atas tapak tanah tanam semula getah seluas satu hektar dapat menjana pendapatan kira-kira RM30,000 setahun atau puratanya RM2,000 sebulan.

Dia yang senang dengan panggilan Pak Din berkata, tanaman pegaga diusahakannya sejak tahun 1999 secara kecil-kecilan sekitar rumahnya untuk dimakan sebagai ulam.

Katanya, pada tahun 2004 dia mula memberanikan diri untuk mengusahakannya secara komersial apabila pokok getahnya terpaksa ditebang kerana telah tua dan perlu ditanam semula.

”Apabila melihat tanaman pegaga di sekitar rumah hidup subur, saya dengan bantuan rakan-rakan memohon kepada RISDA untuk menanamnya secara komersial.

wu_012

DIN Saman memetik pegaga yang sudah matang untuk dijual di Kampung Kok Klang, semalam.


”RISDA yang menjaga kebajikan penoreh getah terus meluluskan bantuan sebanyak RM20,000 melalui Projek Integrasi Tanaman Getah (PITG) bagi membantu mendapatkan hasil sampingan sementara menunggu hasil kebun getah yang baru ditanam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pak Din berkata, RISDA juga memberikan pelbagai kursus sebelum pegaga ditanam secara kormersial bagi memastikan tanaman dibuat mengikut cara yang betul.

”Pada mulanya saya dibantu oleh dua pekerja untuk mengusahakan tanaman ini tetapi sekarang sudah mempunyai lapan pekerja yang terdiri daripada ahli keluarga sendiri.

”Dalam tempoh setahun pegaga akan ditanam dalam tiga pusingan dan ia dijual kepada sebuah syarikat minuman herba terkenal,” ujarnya.

Apa yang menarik pegaga yang ditanam oleh Pak Din dalam tanah seluas satu hektar itu tidak menggunakan racun sebaliknya ia seratus peratus menggunakan kaedah organik.

Baja tahi ayam digunakan sebagai baja dan proses merumput dengan tangan digunakan bagi membuang rumput yang tumbuh.

Pegaga akan membiak dengan cepat dan dalam tempoh tiga bulan hasilnya boleh dituai. Bagi sekali pusingan tanaman kira-kira RM10,000 boleh diperolehi.

Pak Din juga pernah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik PITG 2007 apabila projek tanaman pegaganya telah membuktikan dia dapat memberikan pendapatan sampingan bukan sahaja kepada dirinya tetapi ahli keluarganya yang lain.

Menurutnya, pegaga dijual dengan harga RM3 sekilogram kepada sebuah syarikat yang mengambil dalam jumlah yang banyak sehingga ratusan kilogram.

”Pegaga juga dijual kepada orang kampung yang gemar memakannya sebagai ulam atau dijadikan kerabu.

”Saya turut menjual benih pegaga bagi mereka yang mahu mengusahakan tanaman ini,” jelasnya.

Katanya, penjagaan pegaga tidak terlalu rumit dan juga tidak terlalu senang kerana ia bergantung kepada kesungguhan seseorang itu.

”Disebabkan pegaga yang ditanam menggunakan kaedah organik penjagaannya perlukan tumpuan yang lebih.

”Pegaga juga perlu disiram mengikut jumlah yang betul terutama ketika baru ditanam atau semasa musim kemarau,” katanya.

Tambahnya, dalam pertanian dia berpegang kepada prinsip jika seseorang itu berbudi kepada tanah hasilnya tetap akan diperolehi bergantung kepada tahap kesungguhan seseorang itu.

Pada masa yang sama, Pak Din tetap percaya kepada pepatah Melayu iaitu ‘bakti disemai bukti dituai’.

Rumah burung pungguk kawal serangan tikus

ALOR STAR: Jabatan Pertanian (JP) Kedah menempatkan sebanyak 124 unit Rumah Burung Pungguk Jelapang di setiap daerah untuk mengawal masalah serangan tikus di sawah padi di negeri ini.

Penolong Pegawai Pertanian, Unit Perlindungan Tanaman, Mohd Faris Mohd Fauzi berkata, penggunaan kaedah yang diperkenalkan sejak tahun 2000 itu berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap racun tikus di sawah dan seterusnya mencegah serangan tikus di situ.

Menurutnya, sebanyak 68 unit rumah burung terbabit dipasang secara berperingkat di kawasan sawah termasuk di projek tanaman padi kelompok yang diusahakan petani di negeri ini sehingga April depan.

Pemasangan itu membabitkan daerah Kuala Muda (20), Kota Star (16), Pendang dan Baling masing-masing (10), Padang Terap (6), Kubang Pasu (5), Bandar Bharu (4) dan Langkawi (2).

Katanya, baki sebanyak 56 unit rumah burung berkenaan akan diserahkan kepada Unit Perladangan Tanaman, Teluk Kechai, dekat sini untuk tindakan seterusnya.

“Pemasangan rumah burung ini dibuat selepas kami membuat pemantauan berdasarkan kepada maklumat petani mengenai serangan tikus di kawasan sawah mereka.

“Kaedah ini lebih selamat dan amat berkesan untuk membunuh dan mengawal populasi tikus daripada terus membiak di kawasan sawah. Seekor burung pungguk dewasa mampu membunuh sebanyak tiga hingga empat ekor tikus semalam sebelum dijadikan makanannya,” katanya ketika ditemui selepas kerja pemasangan rumah burung pungguk terbabit di Kampung Padang, dekat sini, semalam.

Mohd Faris berkata, rumah burung pungguk yang diperbuat daripada gentian itu akan diletakkan di tempat yang sesuai yang merangkumi keluasan sebanyak 40 hektar.

Beliau berkata, penggunaan gentian yang menggantikan rumah kayu sebelum ini lebih praktikal dan mampu bertahan lebih 10 tahun.

Katanya, selain menggunakan tiang besi setinggi 5.5 meter, rumah burung pungguk seluas tiga meter itu turut dijadikan sebagai sarang pembiakan kepada burung berkenaan.

“Pada 1990, kami sudah melepas beberapa pasang burung pungguk di kawasan ini dan sepasang burung pungguk mampu membiak tiga hingga lima ekor anak dalam setahun.

“Kita yakin burung pungguk yang berada di sekitar kawasan ini akan menggunakan rumah ini sebagai tempat perlindungan. Kita juga akan membuat pemantauan dari masa ke masa untuk memastikan pemasangan rumah ini memberi faedah kepada petani,” katanya.

Beliau berharap penduduk kampung terutama petani membantu pihaknya untuk menjaga rumah burung berkenaan demi kepentingan bersama.

Hasil zon akuakultur dipertingkat

JOHOR BAHRU 21 Feb. – Kerajaan akan mempertingkatkan hasil pengeluaran zon akuakultur di seluruh negara dengan membangun dan menambah jumlah kolam serta pengusaha yang berdaya saing.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, langkah itu akan membolehkan 30 zon akuakultur terlibat menampung 50 peratus keperluan ikan negara menjelang tahun 2020.

Ketika ini, katanya, zon terlibat hanya mampu mengeluarkan kira-kira 12 peratus keperluan ikan negara.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada tangkapan laut berikutan pelbagai faktor yang menyebabkan tangkapan ikan tidak stabil.

“Sehubungan itu kita galakkan usahawan yang berminat menternak ikan air tawar dengan matlamat menambah hasil pengeluaran ikan di samping menyumbang pendapatan tambahan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Ternakan Ikan Marin Dalam Kolam milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Johor Bahru Selatan di Gelang Patah di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi membolehkan 12 usahawan Ternakan Ikan Marin Kolam Tanah PPK Johor Bahru Selatan bagi mengendalikan 24 kolam di kawasan tersebut.

“Usahawan di kalangan nelayan itu diharap menjadikan peluang ini sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan usaha tersebut berkembang, baki kawasan seluas 76 hektar di kawasan itu dibangunkan dengan ternakan ikan.

Menurutnya, ikan tersebut adalah daripada jenis siakap, kerapu dan udang kertas yang mempunyai harga dan pasaran yang cukup baik di pasaran tempatan dan Singapura.

Lagi ladang cendawan di Kelantan

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Jabatan Pertanian Negeri Kelantan bersedia untuk menggalakkan perladangan dan pemprosesan cendawan di bawah pelan induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Malaysia kini mengeluarkan 24,000 kilogram cendawan setiap hari, masih jauh daripada permintaan tempatan sebanyak 50,000 kilogram.

Untuk menggalakkan peladang menanam tanaman itu, jabatan itu menganjurkan pelbagai kursus latihan mengenai penanaman cendawan dan pemprosesan makanan, kata ECER dalam kenyataannya.

Antara peserta yang mendapat faedah daripada kursus itu ialah Rosmaizan Che Abdullah, yang memulakan perniagaan cendawan goreng dengan jayanya.

“Saya mula dengan menjual 20 bungkus cendawan goreng pada September tahun lalu, dan nampaknya ia menjadi makanan ringan yang digemari. Sekarang, pengeluaran telah meningkat kepada enam kilogram cendawan setiap hari bagi pengeluaran lebih daripada 100 bungkus cendawan goreng,” kata Rosmaizan.

Sasaran beliau ialah untuk menjual 500 bungkus cendawan goreng dan memasarkan produk itu di pasar raya di seluruh Kelantan dan negeri lain.

Cendawan tiram yang dikeluarkan dikatakan boleh merangsang pengedaran darah dengan lebih baik sambil menurunkan tekanan darah, pengumpulan lipid dan paras glukosa.

Setakat tahun lepas, sebanyak 334 ladang komersial cendawan ditubuhkan di Malaysia, dengan Johor mencatatkan bilangan tertinggi sebanyak 67 buah ladang.

Kecapi kejayaan selepas 20 tahun ternak lembu

Peserta projek Tenusu hasil 33,000 liter susu setahun

KOTA BHARU: Kira-kira 20 tahun lalu, ketika rakannya sibuk mengejar impian ke menara gading atau bekerja di sektor awam, Sukeri Mamat, 34, sibuk membersihkan lembu serta kandang lembu milik abangnya, bagi memastikan ternakan itu sentiasa sihat.

Kini Sukeri boleh berbangga dengan segala penat lelahnya bersama lembu di ladang, apabila muncul sebagai peserta berjaya dalam Projek Berkelompok dan Usahawan Lembu Tenusu Kampung Sungai Durian, Pasir Puteh, Kelantan.

Bermula dengan hanya dua ekor lembu baka Friesian, anak jati kampung itu tidak menoleh ke belakang lagi untuk terus mencipta kejayaan dan kini sudah mampu tersenyum lebar apabila ternakannya sudah meningkat sebanyak 50 ekor.

Sukeri berkata, untuk berjaya dalam bidang mencabar ini, bukannya semudah yang dijangka memandangkan menjaga lembu tenusu ini perlu pengawasan rapi terutama membabitkan pemakanan serta kesihatannya.

“Dengan kejayaan yang dinikmati sekarang, tidak menyesal saya menceburi industri ini di peringkat awal walaupun ada rakan sudah berjawatan tinggi, malah bangga kini menjadi antara pengusaha lembu tenusu paling berjaya di negeri ini,” katanya.

Daripada lima pengusaha terbabit dalam projek berkelompok itu, Sukeri adalah penternak paling berjaya kerana kemampuan menghasilkan 33,000 liter susu lembu setahun berbanding peserta lain yang mengeluarkan antara 3,000 hingga 7,000 liter setahun.

Untuk mengecapi kejayaan sebagaimana dinikmati sekarang, beliau banyak mendapat tunjuk ajar daripada pihak berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Projek Kemasin Semerak.

Projek tenusu di Pasir Puteh itu mula diperkenalkan pada 1989, membabitkan lapan peserta dengan keluasan tanah kira-kira 100 hektar. Bagaimanapun, kini hanya lima peserta saja yang masih meneruskan projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 60 hektar dengan 144 ekor lembu.

Pada 2007, projek itu dengan 75 ekor ibu lembu yang produktif mampu mengeluarkan susu sebanyak 354,000 liter bernilai RM531,000.

Hasil yang diperoleh itu adalah satu kejayaan besar bagi sebuah projek dengan jumlah peserta kecil sekali gus membuktikan industri tenusu di Kelantan mampu berkembang.

Penternakan lembu tenusu di Kampung Sungai Durian ini dijalankan secara separa intensif iaitu berkandang dan dilepaskan meragut di padang ragut.

Kini projek berkenaan menggunakan lembu baka Mafriwal (Malaysia Friesian Sahiwal) kacukan secara permanian berhadas antara lembu susu cuaca sejuk jenis Friesian dan lembu susu bercuaca panas Sahiwal.

Lembu di projek ini akan dilepaskan bebas untuk makan di padang ragut bertanam dengan rumput Humidicola manakala rumput jenis Napier atau rumput gajah akan dipotong menggunakan mesin penuai rumput untuk makanan lembu di dalam kandang ternakan nanti.

Selain dari meragut dan memakan rumput potong, lembu berkenaan terutama yang sedang mengeluarkan susu juga akan diberi makan dedak formulasi lembu tenusu untuk mengekalkan prestasi pengeluaran susu.

Sukeri berkata, potensi industri tenusu di negeri ini besar dan mampu berkembang sekiranya pengusaha memiliki sejumlah induk mencukupi bagi menghasilkan susu yang banyak.

Katanya, masalah dihadapi pengusaha sekarang ialah modal yang diperlukan untuk membeli induk lembu yang kini sudah mencecah sehingga RM6,500 seekor berbanding sebelum ini kira-kira RM5,000.

“Setiap pengusaha sekurang-kurangnya memerlukan 50 ekor lembu induk bagi membolehkan mereka menghasilkan sejumlah susu yang mencukupi untuk menjamin pulangan lumayan.

“Kami berharap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dapat membantu dalam masalah ini memandangkan pengusaha mampu berjaya sekiranya lembu induk itu mencukupi,” katanya.