Produk teh daripada misai kucing

Tetamu yang pertama kali menghadiri majlis rasmi anjuran kerajaan negeri Melaka sudah tentu merasai kelainan apabila dihidangkan dengan minuman teh herba misai kucing, satu produk jenama MTea keluaran tempatan.

Sejak diisytiharkan sebagai minuman rasmi kerajaan negeri Melaka pada Mei 2007 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, produk MTea yang memasuki pasaran di pasar raya besar, kini semakin dikenali ramai pengguna.

Kerajaan negeri turut menjadikan MTea, yang dibungkus begitu menarik dan komersial, sebagai cenderahati kepada tetamu terutama dari luar negara untuk mereka nikmati apabila pulang ke negara masing-masing.

Perbadanan Bioteknologi Melaka diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menghasilkan MTea berbentuk uncang dengan slogan taste the freshness.

Melaka Herbs and Plants Sdn. Bhd., anak syarikat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, pula diberi tanggungjawab menanam dan membekalkan herba berkenaan untuk diproses menjadi produk MTea.

Penolong Pengurus Melaka Herbs and Plants Sdn Bhd, Samsuddin Manaf berkata, pokok misai kucing ialah tumbuhan herba perubatan yang berasal dari negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand, daripada keluarga Lamiaceae.

Katanya, pokok misai kucing ialah pokok herba renek yang tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.5 meter dan nama saintifiknya Orthosiphon stamineus Benth berbunga ungu dan Orthosiphon aristatus Benth yang berbunga putih.

Pokok misai kucing adalah sejenis pokok berbunga dan sering ditanam sebagai pokok perhiasan di laman rumah dengan bunga terdapat pada ‘vertikal’ lebih kurang 16 sentimeter (sm) panjang berwarna putih dan ungu kebiru-biruan dengan filamen yang panjang seperti misai kucing, katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang tanaman pokok misai kucing syarikat itu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Selandar, Jasin.

Daun misai kucing tersusun dalam pasangan yang bertentangan, berasa licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun berjeriji, tangkai daun pendek lebih kurang 0.3 sm panjang dan berwarna ungu-kemerahan.

Batang pokok misai kucing berbentuk empat segi, berwarna kemerahan, tumbuh tegak dan bercabang-cabang.

Katanya, pokok renek ini juga tumbuh liar di kawasan hutan, tepi jalan dan tanah terbiar secara menjalar di atas tanah dan tidak pula meninggi.

Samsuddin berkata setakat ini, syarikatnya telah menanam pokok misai kucing di kawasan seluas 2.8 hektar di Machap, Alor Gajah dan 1.4 hektar di TKPM Selandar.

“Dari segi anak benih, kita tidak menghadapi masalah kerana bekalan anak pokok misai kucing dibekalkan oleh anak syarikat Perbadanan Bioteknologi Melaka iaitu Invitro Tech Sdn. Bhd., melalui kaedah kultur tisu”, katanya.

Beliau berkata, pihaknya menanam sebanyak 80 peratus pokok misai kucing spesies Orthosiphon aristatus kerana ia berdaun banyak dengan batang yang kecil manakala 20 peratus lagi dari spesies Orthosiphon stamineus.

Selepas tiga bulan ditanam dan dijaga dengan baik, pokok misai kucing sudah boleh dituai dan dihantar ke Perbadanan Bioteknologi Melaka untuk diproses menjadi Mtea.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka, Prof. Dr. Ramli Hitam memberitahu sini, MTea yang diperbuat daripada 100 peratus daun misai kucing mengandungi banyak khasiat yang berfaedah untuk kesihatan manusia dan sebagai minuman kesihatan ia membantu dalam mencegah penyakit.

“Misai kucing telah digunakan secara turun temurun sebagai ubat untuk penyakit berkaitan kapilari dan peredaran darah, batu karang, darah tinggi dan kencing manis”, katanya.

Beliau berkata, herba misai kucing juga digunakan untuk membantu mengatasi masalah penyakit buah pinggang, jangkitan usus kencing, masalah hati, pundi kencing dan gout.

Mengikut kajian perbadanan itu, daunnya yang sudah dikeringkan adalah bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.

Sebagai sebuah organisasi yang menjalankan pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan, produk MTea menjadi antara produk hasil penyelidikan perbadanan itu.

Melaka Biotech Holdings Sdn.Bhd., anak syarikat perbadanan itu, bertanggungjawab untuk memasarkan produk MTea manakala syarikat Pemasaran Melaka Sdn Bhd bertindak sebagai antara pengedar produk berkenaan.

“Perniagaan produk MTea merupakan satu daripada aktiviti perniagaan yang mampu menjana pendapatan kepada Melaka Biotech Holdings Sdn. Bhd.”, tambahnya bahawa promosi produk itu sedang giat dijalankan termasuk pada pameran yang dijalankan di peringkat negeri dan antarabangsa.

Sejak diperkenalkan, sebanyak 40,000 kotak (setiap kotak mengandungi 20 uncang) telah dikeluarkan dan mensasarkan 100,000 kotak pada akhir tahun ini.

“Produk MTea boleh didapati di semua 40 buah cawangan pasar raya Mydin, kiosk Melaka Sentral dan akan diperluaskan pengedarannya ke kedai Mesra Petronas serta cawangan 7-Eleven”, kata Ramli.

Oleh itu, rebutlah peluang “nikmatilah kesegaran MTea Misai Kucing” sekarang. “Rendamkan satu uncang teh MTea dalam air panas selama 5 hingga 10 minit dan ia sedia untuk diminum.”

Mengkaji khasiat mempelas

SETIAP tumbuhan hijau di muka bumi mempunyai keistimewaannya tersendiri sama ada untuk tujuan perubatan dan kecantikan.

Maka tidak hairanlah penggunaan tumbuhan hijau dalam masyarakat begitu meluas kerana ia lebih asli, berkesan, dipercayai dan menjimatkan berbanding ubat-ubatan moden.

Sejak ratusan tahun yang lalu, masyarakat dunia sering menggunakan kelebihan yang ada pada tumbuhan hijau untuk memelihara kesihatan dan mencantikkan diri.

Di Malaysia, sejak berabad tahun yang lalu, masyarakatnya tidak kira Melayu, Cina atau India menggunakan tumbuhan hijau sebagai punca makanan kesihatan dan perubatan.

Masyarakat Orang Asli sehingga kini masih mengamalkan cara perubatan menggunakan tumbuhan hijau yang banyak terdapat di hutan bagi tujuan perubatan dan kesihatan.

Amalan yang diwarisi sejak turun temurun ini dipelihara sehingga generasi seterusnya kerana bagi masyarakat Orang Asli, tumbuhan hijau adalah penawar segala penyakit dan mempunyai 1001 kegunaan.

Walaupun cara mengubati penyakit mungkin berbeza mengikut kepercayaan agama dan bangsa, namun ia menggunakan bahan yang sama iaitu tumbuhan hijau.

Namun penemuan teknologi baru khususnya bioteknologi menjadikan tumbuhan hijau semakin penting meskipun lambakan ubat-ubatan moden yang dihasilkan.

Kalangan masyarakat terutama golongan remaja hari ini tidak menyedari setiap jenis tumbuhan hijau yang dilihat di sekeliling mereka mempunyai nilai keistimewaannya yang tersendiri.

Selain itu, ada generasi muda hari ini tidak mengenali langsung sesetengah tumbuhan hijau yang dilihat mereka kerana kurang pendedahan mengenainya.

Individu sebegini tidak sedar keunikan dan kelebihan yang ada pada sumber alam itu sehingga ada di antara tumbuhan hijau terbabit boleh digunakan bagi tujuan berbeza sama ada untuk mengubati penyakit atau mencantikkan diri.

Salah satu tumbuhan hijau yang mempunyai pelbagai kegunaan dan sering digunapakai dalam kehidupan masyarakat di negara ini adalah mempelas.

Pegawai Penyelidik Unit Botani dan Herbarium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Chew Ming Yee berkata, mempelas juga dikenali dengan nama akar empelas serta empelas dan nama ini berbeza mengikut negeri.

”Nama saintifiknya adalah Tetracera scandens (L) Merr dan kebiasaannya ia digunakan secara tradisional bagi tujuan perubatan dan sering digunakan sebagai kertas pasir semulajadi untuk melicinkan permukaan sesuatu benda atau objek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ming Yee berkata, mempelas adalah sejenis daun memanjat, mempunyai batang kayu, permukaan yang bergigi, lebar di bahagian hujung, daun yang berbulu dan amat kasar, mempunyai bunga kecil serta berbau sangat wangi.

Menternak ikan laut di atas daratan

ag_0311

Mohd. Nasir Mohd. Rashid bersama peserta mentor-mentee meninjau kolam-kolam ikan yang diusahakannya.


PADA awal pembabitannya, begitu banyak cabaran dan tidak kurang juga cemuhan yang kurang enak didengar terpaksa dihadapi.

Sememangnya usaha mempelopori kaedah ternakan ikan laut di daratan dan di tengah-tengah masyarakat nelayan konvensional seperti di Pulau Pangkor boleh dianggap sesuatu yang pelik.

Namun bagi usahawan muda, Mohd Nasir Mohd Rashid, walaupun pernah dicemuh kurang siuman dan menjadi sasaran surat layang menuduh projek yang diusahakannya tidak mampu bertahan lama, ia sebenarnya lebih membakar semangat dan menjadikan beliau semakin berani untuk mencuba.

Berbekal iltizam yang menggunung ditambah pengalaman berliku semasa mula-mula menceburi perniagaan feri ulang-alik Lumut-Pulau Pangkor empat tahun lepas, Global Hi-Q (M) Sdn. Bhd., satu daripada syarikat yang diterajuinya komited menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat Taiwan bagi melaksanakan kaedah itu di sebuah kawasan di Teluk Air Dalam di Pulau Pangkor sejak setahun yang lepas.

Projek berkonsepkan agro-pelancongan membabitkan kawasan seluas 20 hektar di Teluk Dalam yang dirasmikan majlis pecah tanahnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Mei 2007 kini mula membenihkan kejayaan selepas pelaburan kira-kira RM20 juta.

Kini, usahawan berusia 38 tahun ini boleh tersenyum bangga kerana setiap titik peluh dan keringat yang dicurahkan bagi memajukan penternakan ikan laut dalam di daratan yang satu ketika dahulu dianggap tidak masuk akal telah mula membuahkan hasil dan nikmatnya akan turut dikecapi usahawan lain.

”Ketika mula terbit idea ini, ramai yang anggap saya gila namun berkat kesungguhan diri dan rakan-rakan lain, segalanya berjaya diharungi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, menerusi kaedah bioteknologi yang diperkenalkan Global Hi-Q, nelayan kini tidak perlu lagi mengambil risiko menempuh badai dan ribut untuk ke laut menangkap ikan, sebaliknya hanya perlu menternak ikan berkenaan di kolam.

“Melalui formula itu, ikan laut diternak dalam kolam yang dibina khas di atas daratan dengan menggunakan penapis khas,‘Hi-Q Eco Magic yang lengkap dengan pelbagai keperluan pembiakan ikan dan pengawalan kandungan air,” katanya.

Katanya, buat masa ini pusat ternakan yang dibangunkannya itu mempunyai 100 kolam dengan keluasan setiap satu antara 4X4 meter persegi dan 6X6 meter persegi yang mampu menghasilkan kira-kira 6 juta benih ikan setahun untuk tujuan eksport dan domestik.

Kolam ternakan ikan laut di darat itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan syarikat berhasrat menjadi pembekal utama anak ikan kerapu negara.

Mohd Nasir berkata, kolam-kolamnya mampu mengeluarkan kira-kira 1.4 juta anak ikan setiap pusingan pembiakan antara dua dan tiga bulan dan sebahagian besarnya adalah anak ikan kerapu yang mendapat permintaan tinggi daripada penternak.

Bagi ikan kerapu yang diternak sehingga matang, Mohd Nasir berkata, ikan yang diternak mengambil masa 10 bulan untuk mencapai berat antara 600 dan 800 gram seekor sebelum dieksport ke China dan Hong Kong dengan harga AS$16 sekilogram.

Katanya, air laut yang digunakan dalam ternakan ini akan disaring daripada pelbagai sudut seperti mengukur kandungan piawaian air selain melakukan proses menyahtoksik terutama jika ada bahan kimia dalam air bagi membolehkan air berkenaan menjadi bersih dan sesuai untuk kehidupan ikan.

”Di Taiwan, teknologi itu dikaji sejak 22 tahun lepas dan ia mempunyai potensi untuk berkembang dalam sektor ini. Berdasarkan kemajuan itu, adalah sesuatu yang tidak rugi jika Global Hi-Q menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat di negara berkenaan bagi melaksanakan kaedah itu di sebuah kawasan di Pulau Pangkor,” katanya.

Teknologi ternakan ikan di darat yang dibawa dari Taiwan ini adalah yang terbaik kerana ia tidak memerlukan kawasan yang luas malah membawa pulangan dengan cepat, kos pengurusan yang minimum dan kadar keuntungan yang tinggi, katanya.

”Air laut di sekitar Pulau Pangkor pula bersih dan tidak tercemar,” katanya.

Mohd Nasir berkata, antara kelebihan menggunakan teknologi itu ialah pengusaha tidak perlu menukar air sehingga enam bulan kerana bahan yang terkandung dalam penapis dapat mengawal kadar ketumpatan (PH) air serta menyah bahan kimia berbahaya dalam takungan berkenaan.

Katanya, penapis Hi-Q Eco Magic mengandungi lebih 70 bahan mineral semulajadi yang diperoleh dari dasar laut yang mempunyai pelbagai fungsi untuk merawat air serta pembentukan plankton secara semula jadi.

“Melalui teknologi itu, pengusaha tidak perlu menggantikan air atau menggunakan alat sokongan lain kerana penapis serta kandungan mineral alat terbabit dapat menyediakan segala keperluan untuk tujuan penternakan dan ia merupakan sesuatu yang hampir mustahil dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Apa yang lebih membanggakan Mohd Nasir ialah cita-citanya untuk berkongsi kejayaan dengan penduduk setempat sudah mula menampakkan hasil.

“Saya berpegang kepada prinsip yang kaya dan berjaya mesti menolong yang susah dalam apa perkara sekali pun. Kini dengan kerjasama Mara, kami telah berjaya mewujudkan kumpulan 15 usahawan perintis yang terdiri daripada masyarakat tempatan yang akan memulakan projek ternakan ikan di bawah program Mentor-Mentee,” katanya.

Program yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan peserta sebagai mentee yang terpilih bakal memperoleh pinjaman antara RM200,000 dan RM300,000 bagi memulakan projek tersebut.

Global Hi-Q akan bertindak selaku penjamin kepada pinjaman berkenaan kerana mereka yakin projek ternakan ikan tersebut mempunyai potensi besar dan bakal menghasilkan pendapatan lumayan.

“Program ini sebahagian daripada usaha syarikat untuk melahirkan sekurang-kurangnya 200 usahawan tempatan yang menjalankan ternakan ikan laut di darat selain menyahut cabaran kerajaan untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya.

“Setiap peserta akan membuka kolam masing-masing yang setiap satunya berkapasiti memelihara 20,000 ekor ikan dan selaku mentor, Global Hi-Q akan menyediakan bantuan tenaga pengajar serta maklumat teknikal selain memasarkan anak ikan yang dipelihara nelayan moden ini,” katanya.

Berdasarkan kejayaan pelaksanaannya di Taiwan, Mohd Nasir berkata, setiap peserta dijangka mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM7,000 sebulan dan mampu membayar balik pinjaman Mara dalam masa tiga atau empat tahun.

“Tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana mentor seumpama, Global Hi-Q akan bertindak sebagai penjamin kepada usahawan terlibat. Kita akan menyediakan gaji bulanan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan sehinggalah ternakan mereka mampu dituai kelak dan ia diperkenalkan demi memastikan masing-masing tidak terbeban dengan masalah kewangan,” katanya.

Dijamin sepenuhnya pasaran ikan laut dalam yang diternak oleh mentee terlibat, Global Hi-Q turut berhasrat bergelar pusat pembekal utama anak-anak ikan kerapu negara dan sekali gus akan membantu pengusaha tempatan mendapatkan anak ikan lebih bermutu pada harga murah.

“Kita yakin industri ternakan ikan dalam sangkar akan berkembang pesat di negara ini tetapi sasaran itu sukar dicapai jika masih perlu bergantung kepada bekalan benih import dengan harga yang lebih mahal dan kadar kematian benih yang agak tinggi iaitu antara 40 dana 50 peratus. Sampai bila kita mahu bergantung kepada negara luar,” katanya.

Mohd Nasir berkata, sebagai anak tempatan yang dahulunya hidup dalam serba kekurangan, tiada apa yang lebih bermakna jika projek berkenaan tidak memberi manfaat kepada warga Pangkor sendiri, dan menambah kata, terlalu banyak yang mahu dilakukan bagi membantu memajukan kampung halamannya itu.

“Sebagai anak orang susah, saya pastikan setiap apa yang diperoleh dikongsi bersama masyarakat setempat. Bagi saya, kekayaan bukanlah satu kejayaan tetapi hakikatnya keberkatan dalam menjalankan perniagaan adalah segalanya,” katanya

Matlumat lanjut:

Global Hi-Q Sdn Bhd
No.20/2, Persiaran 65C, Jalan Pahang Barat, , 53000. MALAYSIA

Konsep plasma tunjang kejayaan projek Lampung

MASALAH utama penternakan udang besar-besaran adalah pengambilan tanah dan kerjasama dengan penduduk setempat.

Tanpa perancangan yang baik projek tersebut akan terkubur sebelum ia beroperasi.

Bagi CP Prima konsep plasma merupakan jawapan kepada semua masalah tersebut. Konsepnya mudah, syarikat berkenaan memohon tanah daripada kerajaan dan sebahagiannya dibangunkan oleh syarikat manakala sebahagian diusahakan oleh penduduk setempat yang dikenali sebagai sistem plasma.

Ini bermakna penduduk setempat bukan sahaja memperoleh pekerjaan dengan pendapatan lumayan, bahkan mereka akan menjaga kawasan berkenaan daripada diceroboh atau udang diternak dicuri.

Syarikat selain menyediakan kolam, turut menyediakan benih serta teknologi dan kepakaran dalam bidang berkenaan.

Penternak terbabit juga diberi latihan bagi memastikan para penternak mengikuti 120 hari kitaran penternakan udang yang ketat untuk memastikan kualiti.

Seorang peserta sistem plasma, Maryunani, 30, berkata, dia telah menyertai projek tersebut di Lampung sejak 12 tahun lalu.

Menurut Maryunani, dia memperolehi pendapatan kira-kira RM450 sebulan.

Kata Maryunani, dia berpuas hati bekerja di kolam udang berkenaan kerana selain mendapat pendapatan yang lumayan dua orang anaknya juga mendapat pendidikan yang sempurna kerana syarikat turut menyediakan kemudahan sekolah di kawasan berkenaan.

“Selain itu kami sekeluarga juga tidak perlu keluar jauh untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana pusat kesihatan turut disediakan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Di kawasan Lampung sahaja terdapat 17,870 kolam udang melibatkan kawasan seluas 16,030 hektar adalah yang terbesar di Asia Tenggara. Sebanyak 15 peratus kolam udang itu adalah mengikut sistem plasma.

Keluasan kolam 50,000 hektar

ag_011

PEMANDANGAN dari udara sebahagian daripada kolam udang milik CP Prima di Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia.


PENTERNAKAN udang dunia didominasi oleh lapan buah negara iaitu Korea Utara, Thailand, Vietnam, Indonesia, India, Brazil, Ecuador dan Mexico.

Faktor utama kejayaan negara-negara itu menguasai pasaran udang antarabangsa adalah kerana faktor geografi iaitu mempunyai cuaca tropika, jajaran pantai yang panjang dan mempunyai kawasan luas sesuai untuk pembangunan kolam udang.

Pertumbuhan industri akuakultur dunia adalah stabil terutama melibatkan udang, bak kata Pengerusi CP Prima, Hardian Purawimala Widjonarko iaitu syarikat pengeluar udang terbesar Indonesia dan antara yang terbesar di dunia, ketika krisis ekonomi dunia sekalipun manusia akan tetap makan.

Lantaran itu pengeluaran udang di sentiasa meningkat sejak 1997.

Pada tahun 1997, pengeluaran keseluruhan udang di dunia adalah 0.95 juta tan metrik, manakala pada 2004 pengeluarannya telah meningkat kepada 1.8 juta tan metrik hasil daripada pertumbuhan tahun sekitar 9.8 peratus.

Penternakan udang kini termasuk kategori produk yang mewah dalam pasaran antarabangsa.

Sebelum 1980-an, udang ditangkap secara tradisional tetapi apabila penternakan udang diperkenalkan sehingga 2004, ia telah mencecah 37.9 peratus daripada keseluruhan industri penternakan akuakultur di negara itu.

Dengan pertumbuhan yang stabil, lebih banyak syarikat besar berani melabur untuk melaksanakan penternakan udang secara besar-besaran dengan kualiti yang tinggi.

Berbanding dengan udang ditangkap secara tradisional yang bergantung kepada musim dan kualitinya tidak dapat dikawal, ternakan udang mampu mengatasi masalah itu.

Apatah lagi ia mampu memenuhi permintaan yang tinggi, mengurangkan kos dan dapat dijual pada harga yang lebih rendah berbanding yang ditangkap berikutan peningkatan teknologi penternakan.

Syarikat ternakan udang terkenal, CP Prima yang ditubuhkan pada April 1980 oleh Charoen Pokphand Group misalnya telah lama bergiat dalam bidang tersebut.

Syarikat itu mempunyai pengalaman lebih 28 tahun mengendalikan akuakultur termasuk kolam udang secara besar-besaran.

CP Prima telah mencatat jualan bersih sebanyak Rp6.09 trilion (RM2.7 bilion) pada tahun 2007 dan yakin akan terus berkembang berdasarkan pasaran antarabangsa terus meningkat termasuk permintaan tempatan yang membabitkan industri hiliran.

CP Prima mempunyai 50,000 hektar kolam udang dan mempunyai 38,000 orang pekerja termasuk 12,500 pekerja sepenuh masa.

Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed telah melawat salah sebuah ladang ternakan syarikat berkenaan di Lampung yang terletak di Sumatera Selatan.

Mustapa ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, konsep plasma yang digunakan oleh syarikat berkenaan dalam melaksanakan penternakan udang adalah hampir sama yang dilaksanakan oleh Felda Berhad di dalam penanaman kelapa sawit di Malaysia.

CP Prima menyediakan rumah bagi pekerjanya untuk tinggal di kawasan kolam berkenaan dan kawasan berkenaan juga dilengkapi dengan kemudahan sekolah, pusat kesihatan, bank, balai polis, dewan orang ramai dan kawasan rekreasi.

Menurut Mustapa, para penternak terbabit diberikan seorang sebuah kolam dan mereka perlu menjelas bayaran kira-kira RM65,800 bagi sebuah kolam dalam tempoh lima tahun.

Kebanyakan penternak, katanya, tidak bermasalah untuk menyelesaikan hutang tersebut kerana pendapatan yang stabil.

Penternak terbabit memperoleh pendapatan kira-kira RM450 sebulan (selepas ditolak hutang) dan mereka juga boleh membeli barangan keperluan di kedai yang disediakan oleh syarikat dengan harga yang murah.

Selain gaji, syarikat berkenaan juga memberi barangan keperluan sebanyak kira-kira RM200 kepada para peserta dan ditolak daripada hasil udang yang dijual kepada syarikat pada hujung bulan.

Pendapatan RM450 sebulan adalah dianggap lumayan di Indonesia terutama di kawasan pedalaman seperti di Lampung kerana kebanyakan penduduk di kota Jakarta sendiri tidak mendapat pendapatan sebanyak itu.

Selain pendapatan yang lumayan mereka juga mempunyai rumah yang selesa dan kemudahan asas yang mencukupi berbanding penghuni di bandar-bandar utama yang kebanyakannya menghuni rumah-rumah setinggan.

Sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan dibalas oleh pekerjanya dengan menghasilkan produktiviti yang tinggi dan berkualiti.

Keunikan hubungan majikan dan pekerja itu merupakan rahsia kejayaan syarikat berkenaan untuk muncul sebagai antara syarikat penternakan udang terbesar di dunia.

Dengan peningkatan pencapaian syarikat pelbagai program kemasyarakatan dan pemuliharaan alam sekitar telah dilaksanakan termasuk penanaman 3,100 hektar pokok bakau pada 2007.

Menjelang 2011, kawasan seluas 5,200 hektar pula akan ditanam dengan pokok berkenaan.

Penanaman pokok bakau bukan sahaja meningkatkan kawasan hijau di sekitar kolam udang, tetapi juga dapat mengelakkan daripada berlaku hakisan yang sekali gus memastikan udang yang diternak tidak terjejas.

Selain itu, hakisan pantai juga dapat dielakkan dan kehidupan di sepanjang pantai semakin meningkat.

Pada 2007, CP Prima mencapai tahap pengeluaran maksimum 3,856 kolam udang iaitu kira-kira 57,000 tan metrik setahun.

Bagi mengatasi masalah itu, CP Prima telah membeli Kumpulan Dipasena iaitu sebuah syarikat pengeluar udang terbesar di dunia di dalam satu kawasan yang terletak di Lampung.

Kolam-kolam udang yang menghasilkan pengeluaran rendah kerana hampir terbiar telah dipulihkan semula.

Kolam-kolam terbabit kata Hardian, apabila beroperasi sepenuhnya dan mencapai pengeluaran maksimum akan meningkatkan pengeluaran udang CP Prima kepada 200,000 tan metrik pada tahun 2010.

Keseluruhan eksport udang CP Prima adalah 58 peratus ke Amerika Syarikat, 20 peratus ke Eropah dan 17 peratus ke Jepun.

Kata Hardian, udang-udang yang dihasilkan diproses kepada pelbagai produk lain dan kebanyakan dieksport ke Amerika Syarikat.

Baru-baru ini sebuah syarikat dari Jepun turut berminat untuk mengimport udang dari CP Prima.

Kejayaan CP Prima mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia, terutama Sarawak kerana bentuk geografi kawasan penternakan itu adalah sama dengan kawasan paya di Sarawak yang masih luas serta tidak berpenghuni.