Pertanian fertigasi wajar diperluas

SEREMBAN 15 Feb. – Sistem pertanian melalui fertigasi wajar diperluaskan kerana ia merupakan satu kaedah yang bukan sahaja mudah untuk diusahakan, malah menjimatkan masa dan membuahkan hasil lumayan.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid berkata, kaedah penanaman fertigasi dikenali sebagai proses pembajaan dan pengairan yang dijalankan serentak ke atas tanaman untuk membuahkan hasil yang lumayan.

Katanya, sambutan mengenai penanaman fertigasi kini mula mendapat tempat di kalangan petani yang telah lama mengusahakan pertanian itu.

“Hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi antaranya tomato, cili, timun, terung, tembikai dan strawberi,” katanya pada Bengkel Usahawan Fertigasi bersama Mega-Utusan Malaysia dan Agro Bank serta May Consult di Kampung Batu Tiga, Mambau dekat sini hari ini.

Seminar tiga hari itu mendapat sambutan di kalangan pembaca akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan Agrobiz yang terbit sebulan sekali.

Pada majlis ini, seramai 30 peserta menyertai seminar berkenaan yang turut dihadiri Ketua Meja Sains dan Teknologi Utusan, Laupa Junus.

Sementara itu, beberapa peserta ditemui menyatakan rasa gembira kerana terpilih untuk bersama-sama dalam program ini.

Normaziah Affiah Hamzah, 30, berkata, program seperti itu mendedahkan cara dan kaedah yang betul bagi projek penanaman secara fertigasi.

“Saya fikir adalah baik sekiranya golongan belia menceburi bidang pertanian seperti ini memandangkan sektor itu menjamin pendapatan yang cukup lumayan secara berterusan.

“Pada masa yang sama, kursus seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan lagi kefahaman kita mengenai kaedah penanaman fertigasi, tetapi berkeupayaan mempraktikkannya secara tersusun,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Mustami Aziz, 20, berkata, dia memperoleh banyak maklumat dan kaedah tepat dalam mengendalikan pertanian secara fertigasi.

”Selain dapat melihat secara praktikal, minat untuk mengembangkan pertanian sebegini semakin meningkat dan saya akan melakukannya sekembali daripada menyertai seminar ini,” katanya yang sebelum ini pernah mengusahakan tanaman tembikai di Butterworth, Pulau Pinang.

Juliana Ali, 29, dari Klang, Selangor, memberitahu, dia bersama suaminya kini menggantikan tanaman pokok bunga kepada tanaman cili yang bukan sahaja memberikan hasil cukup lumayan, malah menjana pendapatan sampingan keluarga.

“Sebelum ini, saya memang menanam pokok bunga di sekitar kawasan rumah, namun sejak kebelakangan ini, saya dan suami berminat untuk menanam cili dan kami membuat keputusan mencubanya.

“Biarpun ia dibuat dalam skala kecil, hasilnya cukup memuaskan. Kami yakin ia mampu menambah pendapatan jika dibuat dalam skala besar serta dikomersialkan,” tambahnya.

Amin Shah Hamzah, 31, dari Rompin, Pahang pula memberitahu, program seperti itu sewajarnya diteruskan bagi membolehkan lebih ramai individu mengetahui dengan lebih lanjut kaedah fertigasi.

“Mengapa tidak diteruskan dengan lebih meluas. Ilmu sebegini perlu dikembangkan supaya harapan ‘pertanian itu satu perniagaan’ akan tercapai.

“Orang ramai harus mengambil peluang dengan menyertai seminar sebegini. Kita perlu belajar dan inilah masanya untuk kita bertanya, menyoal serta memperbaiki kelemahan dalam sektor pertanian berteraskan fertigasi,” jelas Amin.

One thought on “Pertanian fertigasi wajar diperluas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s