![]() |
MD. Isa Sabu (tengah) melihat peralatan dan mesin yang diserahkan kepada petani, penternak dan nelayan di Kangar, kelmarin.
|
KANGAR 11 Feb. – Kerajaan mahu melahirkan seramai mungkin usahawan industri hiliran yang berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan di bawah projek berimpak tinggi.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, kumpulan sasar yang dibiayai di bawah projek itu terdiri daripada petani, penternak dan nelayan.
Katanya, projek berkenaan disediakan kepada tiga golongan itu kerana sektor pertanian sekarang tidak lagi hanya tertumpu kepada pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan semata-mata.
”Di bawah projek ini, ketiga-tiga golongan terbabit mesti mempunyai pendapatan kedua menerusi industri hiliran berasaskan sektor pertanian tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan dan Mesin Program Mempelbagai dan Menambahkan Pendapatan Petani, Penternak dan Nelayan Perlis 2008, di Dewan Warisan Kangar di sini semalam.
Pada majlis itu, 72 petani, penternak dan nelayan miskin diberi dapur gas dan mesin air tebu untuk memulakan perniagaan.
Md. Isa menambah, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap projek berimpak tinggi supaya ia selaras dengan matlamat menjadikan sektor pertanian sebagai ejen ketiga penggerak ekonomi Perlis di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu sepanjang tahun 2006 hingga 2010.
Bagi mencapai matalamat itu, katanya, kerajaan telah melakukan pelbagai gerak kerja agar sektor pertanian di Perlis benar-benar berfungsi seperti yang disasarkan.
“Salah satu daripada usaha tersebut ialah dengan memperkenalkan Program Mempelbagai dan Menambahkan Pendapatan Petani, Penternak dan Nelayan mulai tahun 2005.
“Secara amnya tujuan program itu ialah menggalakkan petani, penternak dan nelayan serta pengusaha pemprosesan makanan menggandakan pengeluaran menerusi industri hiliran,” jelasnya.
Md. Isa juga turut mengingatkan petani, penternak dan nelayan agar memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan oleh kerajaan, selaras dengan matlamat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu.