Ramai minat ternak udang galah

wan Muhammad Aznan Abdullah (dua dari kanan) bersama peserta ACDA menuai udang galah di Kampung Mertang, Kuala Pilah, semalam.


KUALA PILAH 11 Feb. – Hasil perolehan udang galah di negeri ini dijangka meningkat sebanyak RM18 juta setahun pada tahun 2010 apabila minat terhadap penternakan itu mendapat reaksi positif golongan pengusaha.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ketika ini, hasil perolehan udang galah seluruh negeri ini mencatatkan angka RM11 juta dengan pengeluaran sebanyak 650 metrik tan.

”Harga sekilogram udang galah untuk pasaran serantau ialah RM39 dan ia kini menjadi produk eksport utama ke Singapura berikutan permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha restoran dan kedai makan di negara itu,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada program menuai udang galah dalam Projek Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian (ACDA) di Kampung Mertang di sini semalam.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Abd. Samad Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri.

Wan Muhammad yang turun ke dalam kolam untuk bersama-sama menuai udang galah berkata, udang yang sempurna dan sihat boleh dituai dalam tempoh tiga bulan.

”Pada tahun ini, fokus diberikan kepada pengusaha daripada golongan miskin untuk melonjakkan pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Yunus berkata, di Kuala Pilah sahaja, terdapat sebanyak 346 kolam yang diusahakan oleh 195 orang penternak dengan keluasan projek 87.2 hektar.

”Pengeluaran utama projek akuakultur ini merupakan udang galah dan pada tahun 2008, sebanyak 51.36 metrik tan dihasilkan dengan perolehan sebanyak RM2.05 juta,” jelas beliau.

Sehingga Januari tahun ini, beliau berkata, projek ACDA Kampung Mertang sehingga Januari lalu berjaya menuai sebanyak 780 kilogram udang galah dengan nilai perolehan sebanyak RM31,200.

”Anggaran pengeluaran udang galah untuk pusingan pertama bagi 50 buah kolam daripada projek ACDA adalah sebanyak 12,500 kilogram dengan nilaian sebanyak RM500,000,” kata beliau.

Dalam pada itu, pengusaha dan pemilik Aquaculture Enterprise, Mohd. Sukle Abd. Rahman, 34 memberitahu, beliau telah mengusahakan projek ternakan udang galah sejak setahun lalu melalui ACDA.

Mesin memproses akan diambil semula

KANGAR 12 Feb. – Kerajaan negeri akan mengambil balik mesin memproses makanan yang diberi percuma di bawah projek membantu usahawan, jika mendapati mesin itu tersadai akibat sikap malas penerima.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil supaya pengagihan bekalan tidak membazir.

Katanya, mesin atau sebarang peralatan yang disediakan secara percuma itu bertujuan membantu penerima menjadi usahawan untuk membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan.

”Jika siasatan kita mendapati mesin memproses makanan yang disediakan percuma itu terbiar di rumah penerima ekoran sikap malas, tindakan terbaik ialah kerajaan negeri mengambil balik kemudahan tersebut.

”Mesin yang kita ambil balik itu pula akan ditebus guna, iaitu diagihkan kepada calon penerima lain yang berada dalam senarai menunggu menerima bantuan berkenaan,” tegasnya.

Berdasarkan rekod katanya, terdapat 11 penerima telah membazirkan bantuan yang diberi tanpa menggunakan kemudahan percuma itu sejak tahun 2005.

Beliau menyatakan perkara itu semasa berucap pada Majlis Penyerahan Peralatan dan Mesin Program Mempelbagai dan Menambahkan Pendapatan Petani, Penternak dan Nelayan Perlis 2008, di Dewan Warisan Kangar, di sini petang semalam.

Petani usahawan industri hiliran

MD. Isa Sabu (tengah) melihat peralatan dan mesin yang diserahkan kepada petani, penternak dan nelayan di Kangar, kelmarin.


KANGAR 11 Feb. – Kerajaan mahu melahirkan seramai mungkin usahawan industri hiliran yang berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan di bawah projek berimpak tinggi.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, kumpulan sasar yang dibiayai di bawah projek itu terdiri daripada petani, penternak dan nelayan.

Katanya, projek berkenaan disediakan kepada tiga golongan itu kerana sektor pertanian sekarang tidak lagi hanya tertumpu kepada pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan semata-mata.

”Di bawah projek ini, ketiga-tiga golongan terbabit mesti mempunyai pendapatan kedua menerusi industri hiliran berasaskan sektor pertanian tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan dan Mesin Program Mempelbagai dan Menambahkan Pendapatan Petani, Penternak dan Nelayan Perlis 2008, di Dewan Warisan Kangar di sini semalam.

Pada majlis itu, 72 petani, penternak dan nelayan miskin diberi dapur gas dan mesin air tebu untuk memulakan perniagaan.

Md. Isa menambah, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap projek berimpak tinggi supaya ia selaras dengan matlamat menjadikan sektor pertanian sebagai ejen ketiga penggerak ekonomi Perlis di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu sepanjang tahun 2006 hingga 2010.

Bagi mencapai matalamat itu, katanya, kerajaan telah melakukan pelbagai gerak kerja agar sektor pertanian di Perlis benar-benar berfungsi seperti yang disasarkan.

“Salah satu daripada usaha tersebut ialah dengan memperkenalkan Program Mempelbagai dan Menambahkan Pendapatan Petani, Penternak dan Nelayan mulai tahun 2005.

“Secara amnya tujuan program itu ialah menggalakkan petani, penternak dan nelayan serta pengusaha pemprosesan makanan menggandakan pengeluaran menerusi industri hiliran,” jelasnya.

Md. Isa juga turut mengingatkan petani, penternak dan nelayan agar memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan oleh kerajaan, selaras dengan matlamat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu.

Tanam sayuran fertigasi

HELMI Azwar Rashid mengusahakan tanaman cili dan daun sup secara fertigasi dituai di Tandop, Alor Setar. – UTUSAN/ ISMAIL KAMADIN


Bukan mudah membuat keputusan untuk seseorang meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan menceburkan diri dalam bidang pertanian. Ini berbeza sekali daripada apa yang dipelajarinya di universiti.

Namun, kerana minat mendalam dan percaya dengan potensi yang ada dalam bidang pertanian, Helmi Azwar Rashid, 32, nekad untuk bergiat aktif sebagai penanam sayur-sayuran dengan menggunakan kaedah fertigasi.

Helmi berkata, sebelum ini, dia terlibat dengan penanaman cendawan bersama rakan namun menarik diri kerana ingin berdikari dalam bidang tersebut.

”Saya mula bergerak secara serius dalam penanaman sayur-sayuran secara fertigasi sejak dua tahun lalu.

”Antara sayuran yang ditanam dengan menggunakan teknik ini ialah cili, terung, daun sup dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Pertubuhan Peladang Kawasan MADA, Pengkalan Kundor di sini baru-baru ini.

Helmi berkata, projek tanaman cili dan daun sup yang ditanam sejak dua bulan lalu telah mula dituai dan hasilnya begitu memberangsangkan.

”Saya menanam sebanyak 2,000 pokok cili dan 2,000 pokok daun sup kawasan lapang di sekitar kawasan MADA serta di Simpang Empat.

”Saya turut mendapat khidmat bantuan daripada pegawai Mardi, Kadir Yusuf dari segi nasihat tentang cara-cara penanaman sayur-sayuran secara fertigasi,” katanya.

Helmi menjelaskan, dia mengeluarkan modal sebanyak RM15,000 bagi merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang petani moden.

Katanya, dia mendapati pokok cili dan daun sup sesuai ditanam secara berselang-seli dan selain itu, hasil daripada kedua-dua jenis sayur-sayuran ini dapat dituai serentak dalam tempoh dua bulan sahaja.

”Pada mulanya saya hanya ingin mencuba tetapi mendapati cili dan daun sup dapat ditanam secara serentak.

”Selain menjimatkan ruang, kaedah fertigasi dapat meminimumkan jumlah pekerja kerana proses pembajaan dan pengairan dilakukan secara automatik dengan menggunakan paip-paip yang diletakkan di bahagian akar pokok,” ujarnya.

Helmi menjelaskan, setiap pokok cili yang ditanam dengan menggunakan teknik ini akan dapat menghasilkan buah yang lebat dan setiap satu beg yang mengandungi pokok cili akan memberikan hasil kira-kira RM10.

”Saya beruntung kerana turut dibantu oleh rakan kongsi, iaitu, Mohd Hafiz Abdul Kadir, 19, yang begitu berminat dalam bidang ini.

”Tenaga dan kepakaran golongan muda amat diperlukan bagi memastikan bidang pertanian terus mendapat perhatian daripada golongan ini,” jelasnya.

Helmi memberitahu, sehingga kini, pasaran sayur-sayuran yang ditanam olehnya dijual di sekitar Alor Setar dan dia bercadang untuk memperluaskan pasaran sayur-sayurannya ke pasaraya besar seperti Giant dan Tesco.

”Saya tahu bukan mudah untuk menembusi pasaran tersebut namun saya yakin sayur-sayuran yang ditanam dengan teknik ini menepati piawaian pihak pasaraya tersebut,” katanya.

Nanas klon bermutu

Usaha tidak mengenal penat lelah kini berbaloi dengan kejayaan mengeluarkan hasil buah nanas yang berkualiti.


Agak sukar untuk kita buktikan kejayaan sebenar dalam sesuatu bidang yang tidak pernah kita ceburi.

Namun, jika mempunyai minat, impian kita akan tercapai jua kerana sikap dan kerja kuat saban hari tanpa mengira penat lelah meskipun terlibat dala dua bidang serentak.

Lantaran semangat dan minat mendalam itu membuka harapan menggunung terhadap seorang kontraktor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menceburi bidang pertanian sebagai perniagaan utamanya.

Kontraktor pemasangan sistem talian telefon pelbagai jenis yang berpejabat di Pulau Pinang ini bukanlah tamak sebaliknya mahu menjiwai bidang ini sepuas-puasnya kerana latar belakang keluarganya sebelum ini dalam bidang itu tidak pernah dilupainya.

Abu Hassan Man, 49, anak jati Merbok Kedah ini begitu teruja menceburi bidang baru baginya kerana sentiasa sedar pertanian juga menjanjikan kekayaan.

Tanah sawah terbiar di Kampung Bendang Dalam,Merbok yang ‘subur’ dan ‘menghijau’ dengan pokok hutan membuka matanya dengan mengalih ke tanaman yang boleh mendatangkan hasil lumayan.

Bekas kakitangan Telekom Malaysia ini memilih tanaman nanas untuk mengubah peta kampungnya kepada kawasan pertanian sekali gus mahu membuka mata pemilik tanah untuk berubah.

Sawah terbiar seluas 14 hektar itu kini tidak lagi didiami binatang buas dan sarang ular sebaliknya deretan pokok nanas yang telah menghasilkan buah bagai membalas jasa pengusahanya yang berbakti pada tanah itu.

Biarpun terpaksa disewa kepada pemiliknya hasil yang diperolehnya sehingga kini sudah berbaloi.

Sejak diusahakan dua tahun lalu sebanyak 500,000 pokok nanas telah ditanam dengan 300,000 pokok telah mengeluarkan buahnya dan telah memasuki pasaran.

Menariknya Klon Merbok ini berbeza dengan klon biasa dipasaran dari segi saiz buahnya yang lebih besar, manis, beraroma dan rangup.

Berkualiti

Manakan tidak, klon baru ini mampu mencapai antara dua hingga tiga kilogram sebiji dan lambat rosak dan ketahanan buahnya agak luar biasa.

Klon baru ini dijual pada harga RM1.30 sebiji bagi gred A, manakala gred AA dijual dengan harga RM1.50 sebiji.

Ternyata klon baru itu mendapat sambutan di kalangan pemborong kerana buahnya yang berkualiti semakin diminati pembeli dan penggemar nanas.

Mengenai aspek pasaran, Abu Hassan yang sentiasa bersikap merendah diri ini mengakui pengeluaran hasil pertama buah nanas membuka mata kebanyakan pemborong dan pembeli buah nanas seluruh negara.

“Hasil pertama sudah cukup meyakinkan saya klon Merbok ini telah mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Tambahnya, pemborong dari Pulau Pinang sehingga ke Kuala Lumpur telah tertarik dengan klon baru ini untuk memasuki pasaran yang lebih luas.

Sudah tentu klon terbaru ini bakal menobatkan Merbok sebagai kawasan pengeluaran nanas terbesar tidak lama lagi.

Justeru kejayaan Abu Hassan merintis jalan membuka ladang nanas telah mencetuskan era baru penanaman nanas negara yang agak kurang diterokai pengusaha Melayu.

Bagi bapa kepada enam anak ini dia gembira kerana percubaannya menanam nanas klon baru ini telah memberi banyak ilham kepadanya dalam meneroka teknologi baru bagi menghasilkan buah bermutu.

Katanya, memasuki bidang pertanian khususnya tanaman nanas memerlukan tahap pemerhatian yang tinggi bermula di peringkat awal penanaman , pembajaan, kawalan serangga perosak dan pengeluaran buah.

Terbukti memasuki ladang nanas Abu Hassan sudah cukup menggambarkan kesungguhan pengusaha tanaman nanas ini menitik beratkan kebersihan ladang sekalipun luas mata memandang faktor kekemasan ladang antara kriteria kejayaannya.

“Kebersihan kawasan ladang amat penting kerana kesuburan tanah banyak mempengaruhi kualiti buah,” tambahnya.

Abu Hassan tidak keseorangan, kerana selain dibantu seorang penyelia, dia turut dibantu empat pekerja tetap mengawasi setiap masa ladangnya itu.

Berkat kerajinan pengusaha ini mengeluarkan modalnya sendiri telah mendapat perhatian Jabatan Pertanian yang begitu gembira kerana Abu Hassan salah seorang penanam nanas yang boleh dibanggakan.

Pun begitu Abu Hassan tidak pernah berpuas hati dengan kejayaannya melakar impian sebagai penanam nanas klon baru istimewa ini kerana dia mempunyai wawasannya sendiri.

Terbaru pengusaha ini sedang membangunkan satu kawasan tanah seluas 28 hektar lagi di Sungai Petani untuk dimajukan dengan tanaman nanas.

Namun tidak pernah terdetik di hatinya untuk meninggalkan bidang ICT yang sekian lama menyerlahkan kebolehan sehingga dia mampu meneroka bidang pertanian.

Bukan sahaja ladang, malah dia sudah terfikir untuk menjadikan tanaman nanas klon terbarunya lebih komersial dengan merancang untuk mempelbagaikan produk berasaskan nanas.

Malah dia tidak menolak kemungkinan pasaran nanasnya boleh menembusi pasaran luar negara jika dilakukan dalam kuantiti besar seperti yang sedang dilakukannya.

Jabatan Pertanian sebagai agensi kerajaan sentiasa mahu melahirkan usahawan tani yang berjaya ternyata penampilan Abu Hassan dalam membangunkan tanah sawah yang terbiar sejak 20 tahun itu memberi petunjuk baru.

Biarlah negara melahirkan lebih ramai pengusaha berjiwa Abu Hassan yang kental dan berani menyahut seruan bertani dan bukannya petani yang hangat-hangat tahi ayam yang setiap hari menunggu bantuan kerajaan.

Banyak bercakap kerja tidak menjadi tetapi biarlah banyak bekerja hasilnya tetap menjadi.

Bengkel Usahawan Fertigasi MEGA-Utusan bermula

Bengkel Usahawan Fertigasi Mega-Utusan dengan kerjasama Agro Bank (Siri 1) akan bermula 13 hingga 15 Februari ini.

Peserta yang berjaya diterima pada siri kali ini berpeluang mendapat bimbingan mengenai topik seperti Pengenalan Skim Dari Agro Bank, Rancangan Perniagaan dan Strategi Pemasaran,

Topik lain termasuk Pengenalan Teknologi Fertigasi, Sistem Pengairan Fertigasi, penanaman Secara Fertigasi, Kawalan Musuh Tanaman dan Latihan Perniagaan

Latihan Amali akan dijalankan di Tapak Projek, Kampong Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan, manakala bengkel teori akan diadakan di Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) Bangi, Selangor.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan, pihak penganjur bercadang mengadakan Bengkel Fertigasi setiap bulan bagi memberi peluang orang ramai yang telah menghantar borang penyertaan mengikuti bengkel ini seterusnya.

Menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, oleh kerana peserta dihadkan kepada jumlah yang kecil, pihaknya akan mengadakan siri bengkel usahawan Fertigasi setiap bulan untuk memberi peluang kepada orang ramai dapat mengikuti bengkel ini.

Harapan beliau, supaya semua peserta yang telah mengikuti bengkel ini dapat memulakan projek fertigasi ini.

Bagi membimbing peserta-peserta bengkel ini kelak, May Culsant yang dilantik oleh Agro Bank akan memberi perkhidmatan dan pemantauan dari semasa ke semasa kepada peserta yang telah memulakan projek tersebut.

Bayaran sebanyak RM150 dikenakan kepada setiap peserta meliputi penginapan, makan minum , pengangkutan di tapak amali dan sijil penyertaan.

Tambah beliau lagi, pihaknya bersama MEGA-Utusan Malaysia akan mengadakan beberapa siri bengkel usahawan untuk bulan Mac dan April ini, antaranya ternakan kambing, ternakan ikan air tawar dan cendawan.

Orang ramai yang ingin menyertai bengkel ini dikehendaki menghantar butir-butir peribadi melalui borang penyertaan yang disiarkan diakhbar ini ke : Urusetia Bengkel Usahawan MEGA-Utusan-AgroBank, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kompleks Sri Utusan, Lot 6, Jalan P/10, Kawasan Perusahaan Bangi, Seksyen 10, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Sebarang maklumat mengenai bengkel itu boleh menghubungi urus setia di talian 012-2846811 (Rosli) atau 017-4661475 (Faiq).

Industri herba wujud ramai usahawan baru

Zainal Azman Abu Kassim menunjukkan produk yang dihasilkan oleh kebanyakan usahawan tempatan dan dipasarkan oleh Herba Plaza.


Memandangkan negara mempunyai khazanah kepelbagaian biologi flora dan fauna antara terkaya di dunia, sudah semestinya ia boleh menjana kekayaan dalam konteks pengeluaran hasil untuk dimanfaatkan.

Antara contoh terbaik dalam khazanah hutan adalah tanaman herba di mana kajian menunjukkan warisan nenek moyang ini kaya dengan ciri-ciri farmaseutikal.

Justeru Perbadanan Herba Malaysia (MHC) ditubuhkan pada 2001 sebagai sebuah anak syarikat penuh Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) memainkan peranan penting untuk memanfaatkan kekayaan tersebut.

Pengurus Besar Kumpulan MHC, Zainal Azman Abu kasim berkata, pada peringkat awal pihaknya menjalankan aktiviti untuk kajian industri kerana pada masa itu tidak terdapat satu badan yang khusus bagi menguruskan mengenai herba.

“Industri herba boleh dilihat sebagai memberikan sumbangan besar kepada negara memandangkan pada tahun 2001 saja ia menyumbang sebanyak RM2 bilion kepada ekonomi negara.

“Dan dalam masa lapan tahun saja, sumbangan industri itu telah meningkat empat kali ganda atau RM8 bilion,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Industri herba kini boleh dikatakan mengalami proses evolusi daripada industri kecil-kecilan di belakang rumah kepada bernilai bilion ringgit.

Kini pelbagai produk herba seperti tongkat ali dan kacip fatimah sedang berkembang dengan menjadi asas dalam makanan tambahan, kosmetik, minyak pati dan farmaseutikal.

Produk herba, jelas Zainal Azman bukan saja memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara tetapi juga peluang perniagaan kepada usahawan baru.

Bagi menjayakannya, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi industri pertanian semasa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak RM11.4 bilion dalam industri asas tani untuk bangunkan industri moden, dinamik dan kompetitif.

MHC juga turut menyokong menjalankan aktiviti herba misalnya pada 2007 telah menjalankan program pusat pengumpulan dan pemasaran produk herba dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Menerusi program berkenaan, MHC akan memilih 150 buah syarikat bumiputera bagi dibangunkan dan dipromosi di Herbal Plaza, Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

“Herbal Plaza bertindak sebagai pusat sehenti bagi mengumpul, mempamer, memasarkan dan menjual produk herba.

“Sejak beroperasi Herbal Plaza mendapat sambutan yang amat menggalakkan sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

MHC merancang untuk meluaskan lagi pasaran produk herba bumiputera menerusi pengkomersialan Herbal Shoppe sebagai cabang pemasaran dengan MeCD di lokasi terpilih seperti kompleks membeli belah dan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

Zainal Azman menambah dijangka menjelang akhir tahun ini terdapat lima buah Herbal Shoppe akan diwujudkan di Lembah Klang.

“Sebelum ini usahawan Bumiputera banyak berniaga di kiosk dan inilah masanya mereka beralih kepada industri yang lebih profesional.

“Di negara ini terdapat lebih kurang 1,800 usahawan yang terlibat dalam industri herba melibatkan menanam, memproses, formulasi dan pemasaran,” katanya.

Dari jumlah berkenaan, 30 peratus bergiat dengan agresif dalam pemasaran herba dan MHC memilih 150 daripada syarikat berkenaan untuk bekerjasama dengan MECD.

Jumlah yang dipilih perlu menepati kriteria yang ditetapkan seperti Bumiputera, mempunyai produk sendiri, mendapat kelulusan Biro Farmaseutikal dan Kawalan Mutu Makanan, mempunyai program latihan terancang dan berkeupayaan meluaskan perniagaan mereka.

Sehingga ini kebanyakan pengusaha mendapatkan formulasi produk daripada agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), SIRIM, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan institut pengajian tinggi (IPT) di mana ada permintaan yang sesuai dengan agensi dan syarikat.

Zainal Azman berkata, di sini agensi berkenaan akan menyebarkan penemuan terbaru kepada usahawan untuk dikomersialkan.

Buat masa sekarang terdapat lebih 300 produk daripada 150 syarikat dipasarkan di Herbal Plaza.

MHC dan MECD membantu pasaran dengan melabur dalam iklan atau semasa pameran, program yang dianjurkan oleh kerajaan.

Semasa pameran herba, usahawan terpilih akan diberikan subsidi bagi mempamerkan produk mereka tetapi ramai yang tidak mengambil kesempatan yang diberikan.

Pameran luar negara pula boleh didapati daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tetapi kurang mendapat sambutan.

“Produk herba kesihatan seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing mempunyai peminat tersendiri dan dilihat akan berkembang maju.

“Produk herba yang mendapat sentuhan kajian saintifik mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.

Universiti tempatan juga semakin agresif menjalankan pelbagai kajian berkaitan herba, misalnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menemui sebatian dalam kaduk yang dapat mengawal obesiti dan dijangka akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Taman Teknologi Malaysia (TPM) menerusi TPM Bioteknologi menyewakan kilangnya yang bertaraf GMP (Amalan Pengilangan Baik) kepada pengusaha bagi menghasilkan produk herba bermutu tinggi.

Empayar kopi tradisi Anggerek

Gandum antara bahan yang diadunkan bersama biji kopi dalam proses menghasilkan serbuk kopi campuran.


MASYARAKAT di mana-mana sahaja di seluruh pelosok dunia pastinya mengenali dan sedia maklum dengan kenakan serta kelazatan rasa minuman yang dikenali sebagai kopi.

Lihat sahaja di negara kita, penghasilan pelbagai produk minuman berasaskan kopi serta kemunculan restoran berkonsepkan kopitiam sudah semakin berkembang dengan pesat.

Perluasan ’empayar’ kopi tersebut adalah disebabkan oleh penerimaan menggalakkan dari ahli masyarakat yang sering menjadikannya sebagai minuman harian.

Selain itu, penggemar kopi juga kini turut ditawarkan dengan pelbagai lagi khasiat tambahan menerusi campuran beberapa bahan seperti ginseng dan juga herba.

Di sebalik kemunculan pelbagai jenama kopi di pasaran, kita tentunya pernah menyedari satu jenama tempatan yang dikenali sebagai Kopi Anggerek.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, rumusan kopi tradisi tersebut sebenarnya telah dihasilkan secara turun-temurun sejak 30 tahun lalu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di kilangnya yang terletak di Kanchong Darat, Banting, Selangor.

Ketika awal penubuhannya pada tahun 1973, kilang kopi FAMA hanya berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan biji kopi dalam usaha membantu penanam kopi di kawasan Kuala Langat memasarkan hasil tanaman mereka.

Ketika itu, daerah tersebut merupakan kawasan pengeluaran biji kopi jenis Liberica yang terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman sekitar 6,800 hektar.

Selepas beberapa tahun menjalankan kerja-kerja tersebut, bermula awal tahun 80-an, FAMA akhirnya mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti pemprosesan serbuk kopi campuran di bawah penjenamaan Anggerek.

Menurut Pengurus Pembangunan Industri Asas Tani FAMA bagi komoditi kopi, Abd. Moeen Abd. Wahid, kilang tersebut menjalankan semua peringkat penghasilan kopi campuran berkenaan bermula dari pengumpulan biji kopi, penggredan, pemprosesan, pembungkusan dan juga pemasaran.

“Kopi campuran mendapat sambutan yang baik daripada penggemarnya kerana ia mempunyai formulasi campuran khas yang memberi kelazatan kepada rasanya.

“Ia berbeza dengan kopi asli yang mempunyai rasa pahit kerana dihasilkan daripada secara 100 peratus biji kopi tanpa sebarang campuran,” katanya ketika di temui di kilang tersebut baru-baru ini.

Menarik mengenai kopi campuran Anggerek, ia dihasilkan daripada rumusan 60 hingga 70 peratus kandungan serbuk kopi yang dicampurkan dengan bahan-bahan seperti gandum, soya, gula, marjerin, garam dan bijan bagi menambah cita rasanya.

Proses penghasilannya melibatkan kerja memanggang biji kopi di dalam ketuhar khas selama lebih kurang 20 minit pada suhu 160 hingga 200 darjah Celsius sebelum dicampurkan dengan bahan-bahan tersebut.

Adunan itu kemudiannya akan dikacau secara berterusan di dalam kuali pembakar yang menggunakan minyak tanah atau diesel selama 20 minit untuk memastikannya sebati sebelum menghasilkan asap yang banyak setelah benar-benar masak.

Selepas itu, adunan berkenaan akan dituang ke dalam dulang besar untuk dikering dan disejukkan menggunakan kipas angin selama 15 minit sambil digaul secara perlahan-lahan.

Setelah sejuk, adunan yang akan membentuk ketulan-ketulan besar dan keras akan dimasukkan ke dalam mesin khas yang dikenali sebagai ‘mesin pecah’ sebanyak dua pusingan untuk menghasilkan serbuk kasar.

Seterusnya, ia akan dikisar dengan mesin khas untuk menghasilkan serbuk kopi campuran yang halus sebelum dihantar ke peringkat akhir iaitu pembungkusan.

Kopi campuran itu akan dipaketkan ke dalam empat variasi bungkusan iaitu 80 gram, 200 gram, 300 gram dan juga di dalam tin seberat 320 gram.

Menurut Abd. Moeen, setiap proses penghasilan kopi campuran tersebut biasanya akan melibatkan adunan bahan seberat 96 kilogram (kg) dan hasil akhir selepas dikisar mempunyai berat lebih kurang 76 kg.

Bukan setakat itu, FAMA turut menghasilkan beberapa lagi produk kopi lain seperti Kopi Roast & Ground iaitu serbuk kopi asli untuk kegunaan restoran selain kopi pra campuran tiga dalam satu dan tiga dalam satu tongkat ali.

Kopi pra campuran tersebut dihasilkan melalui gabungan serbuk kopi sebanyak 30 peratus bersama bahan-bahan lain seperti gula dan creamer serta tongkat ali di dalam mesin pengadun.

Adunan itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam mesin pembungkus untuk dihasilkan dalam paket-paket kecil seberat 25 gram setiap satu.

Apa yang menarik, kesemua produk kopi tersebut menggunakan paket pembungkus aluminium kedap udara bagi tujuan mengekalkan kualiti serbuk kopi supaya tahan lama dan tidak mengeras.

Jika dilihat dari proses penghasilannya pula, kilang terbabit menggunakan mesin semi manual yang perlu dibantu oleh tenaga manusia.

“Ia secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat yang juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial FAMA.

“Setakat ini, kita mempunyai lebih kurang 15 orang kakitangan yang membantu menjalankan kerja-kerja bermula dari proses membakar biji kopi hinggalah ke peringkat pembungkusan.

“Selain itu, dengan cara tradisional ini juga, ia akan dapat mengekalkan identiti proses menghasilkan kopi sejak turun-temurun,” jelasnya.

Dari segi bekalan biji kopi, pihak FAMA mengimport biji kopi jenis Robusta dan Arabica dari Indonesia kerana penanaman di negara ini tidak mampu menampung keperluan kilang.

Bagi menggalakkan perkembangan pasaran kopi secara lebih agresif, FAMA turut membuka peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat untuk terlibat secara langsung dalam bidang tersebut.

Pelaksanaan usaha itu adalah sebagai inisiatif untuk membantu usahawan IKS yang kurang berkemampuan dari segi modal.

“Syarikat tersebut akan mendapat bantuan dari segi pemprosesan bahan mentah dan juga penggunaan mesin dengan upah yang minimum.

“Apa yang menarik, mereka juga berpeluang untuk memilih penjenamaan produk kopi mereka sama ada untuk mengekalkan nama Anggerek atau memilih jenama mereka sendiri,” katanya.

Bantuan lain yang akan diberi adalah seperti khidmat nasihat dari segi kewangan dan pasaran, nasihat rekaan pembungkusan serta saluran khidmat mendapatkan geran tertentu daripada pihak berkaitan.

Kesemua produk kopi FAMA kini telah dipasarkan secara meluas di seluruh negara di mana Sabah dan Sarawak menguasai pasaran sebanyak 80 peratus.

Pasarannya turut diperluaskan ke luar negara seperti China dan juga negara-negara Timur Tengah.

Melihat kepada perkembangan itu, FAMA sedang dalam proses perancangan untuk memperkembangkan produknya seperti kopi dengan campuran sarang burung, kopi cappuccino, teh uncang selain mewujudkan rangkaian kopitiam sendiri berjenama Anggerek.