![]() Buah mempaung masak enak dibuat sambal. |
SELAIN pokok Setambun Betina (Baccaurea racemosa) dan Setambun merah (Baccaurea parviflora), satu lagi jenis pokok dalam famili yang sama dikenali sebagai Setambun Jantan atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya (Baccaurea lanceolata).
Setambun Jantan tergolong dalam jenis yang sama iaitu Baccaurea atau dalam famili Euphorbiaceae. Spesies ini juga diberi beberapa nama, iaitu Mempaung, Asam Pahong dan Limpaung.
Pokok Mempaung berasal dari Indo-China dan banyak terdapat di Negara Thai, Malaysia, Indonesia hingga ke Filipina.
Di Semenanjung Malaysia, pada satu ketika dulu, pokok Mempaung mudah ditemui di dusun dan hutan, terutama di Pahang.
Bagaimanapun, pokok Mempaung (atau Asam Pahong panggilan orang Pahang) sukar ditemui lagi, kemungkinan pupus ditebang untuk mengambil kayunya untuk dijadikan kraf tangan.
Di Sabah dan Sarawak, pokoknya masih boleh ditemui di hutan atau ditanam di kampung-kampung, malah buahnya kadangkala didapati dijual di pasar tamu apabila sampai musimnya.
Pokok Mempaung bersaiz kecil, setinggi antara 10 hingga 15 meter dan rupanya seakan-akan pokok Rambai.
Batangnya berwarna kelabu asap dan berbuku-buku. Daunnya berbentuk ‘ovat-elips,’ yang panjangnya antara 6 hingga 30 sentimeter (sm) manakala lebar antara 3 hingga 14 sm, berwarna hijau muda.
Bunganya halus dan banyak, bersesak-sesak pada tangkai yang berjuntai-juntai sepanjang antara 20 hingga 30 sm, tumbuh dari buku-buku pada pangkal dan pertengahan batang.
Buahnya berbentuk seperti kapsul, ‘ovoid’, kira-kira 4 sm diameter, berwarna hijau kebiruan ketika muda dan bertukar kuning langsat apabila masak.
Buahnya jarang dimakan segar kerana rasanya tersangat masam. Buahnya yang cukup masak biasanya dibuat sambal atau menjadi penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional.
Sebagai pokok buah yang popular dan digemari masyarakat desa zaman dulu, pokok Mempaung sepatutnya ditanam dan dipopularkan sebagai elemen seni taman supaya generasi muda sekarang dapat mengenali warisan negara yang ada kaitan dengan bahan makanan.
Apatah lagi pokok ini mempunyai buah yang unik pada tangkai yang panjang tumbuh dari batang dan bertambun di pangkal pokok.
Buah ini juga belum lagi melalui uji kaji mengenai khasiatnya, dan melihat kepada warna buah kemungkinan mengandungi khasiat makanan yang tinggi.
Pokok Mempaung mudah dibiak dengan cara menyemai biji benih. Pokok ini mudah hidup dalam sebarang jenis tanah. Permulaan hidupnya memerlukan teduhan daripada cahaya matahari. Di kampung-kampung, pokok ini ditanam bercampur-campur dengan pokok buah-buahan lain dan penanamannya secara tak formal hasil daripada buangan biji benih.
INFO: Mempaung Baccaurea lanceolata
Famili: Euphorbiaceae
Nama Lain: Asam Pahong, Limpaung, Setambun Jantan