Pauh Janggi Palma


Pauh janggi

MUNGKIN ramai yang tidak pernah melihat pokok palma Pauh Janggi atau lebih dikenali dengan nama kelapa laut, Double coconut atau nama saintifiknya Lodoicea maldivica.

Pokok kelapa laut atau Pauh Janggi ini sering dikaitkan dengan Lagenda Pelayaran Melayu. Seperti yang kita ketahui, nenek moyang kita zaman dulu terkenal sebagai ahli pelayaran.

Ahli pelayaran ini kerap menemui buah Pauh Janggi atau kelapa laut terapung-apung di permukaan Lautan Hindi.

Buah Pauh Janggi ini dipungut dan dijual dengan harga yang mahal dan ramai yang mencarinya kerana dikatakan boleh dibuat ubat dan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit serta penawar segala racun, sehingga dikatakan air yang disimpan dalam tempurung, jika diminum dapat mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit.

Pauh Janggi juga dikatakan dapat menguat tenaga batin sehingga ia menjadi buruan ramai dan menyebabkan harganya sedikit mahal pada waktu itu.

Ahli pelayaran Melayu merahsiakan kewujudan pokok Pauh Janggi, namun mengikut catatan, Pigafetta yang turut serta dalam pelayaran Magellan pada 1519, beliau diberitahu seorang ahli pelayaran Melayu bahawa buah yang terapung itu ialah Pauh Janggi daripada pokok besar yang hidup di “Pusat Tasik”.

Ahli pelayaran itu percaya di Pusat Tasik itu ada burung Garuda yang memakan lembu dan gajah dan tempat itu tidak boleh dihampiri kerana selalu ribut dan taufan

Lagenda Pauh Janggi ini juga dikaitkan dongeng Haji Batu yang mana ketika beliau belayar untuk menunaikan haji ke Makkah, dia bermimpi supaya membawa tujuh batang paku dan penukul.

Dalam pelayarannya, kapalnya hanyut ke Pusat Tasik dan apabila kapalnya karam, dia memanjat pokok Pauh Janggi dengan berpaut pada tujuh batang paku yang dipaku pada batang pokok Pauh Janggi. Di atas pokok Pauh Janggi anak burung Garuda tinggal di dalam sarangnya.

Ketika burung Garuda sibuk memberi anaknya makan seekor gajah, dia mengikat badannya pada bulu burung Garuda dan seterusnya burung itu menerbangkan sehinggalah dia dapat menunai haji di Makkah.

Pokok Pauh Janggi ialah pokok palma tunggal dan kewujudannya hanya di Kepulauan Seychelles. Palma ini adalah pokok yang unik dan mempunyai buah seakan-akan buah kelapa yang kembar.

Buah palma ini seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) dan menjadi buah yang terbesar di dunia. Pakar Botani kagum dengan pokok Palma ini yang dapat hidup di lereng-lereng bukit sedangkan buahnya seberat 15 kg boleh berada di lereng bukit.

Pokok Pauh Janggi tersebar luas dan ditanam di sekitar taman botani sebagai tanaman antikuiti, ini termasuk ditanam di Taman Botani Singapura.

Saya juga telah menanam pokok palma di Rimbu Ilmu, Universiti Malaya (UM) dalam 1973 dan malangnya pokoknya mati diserang oleh anai-anai. Mengikut catatan, pokok Pauh janggi pernah ditanam di Melaka oleh orang Portugis.

Sebagai pokok lagenda Melayu sepatutnya pokok ini banyak ditanam di Malaysia, terutama di negeri Melaka, Bandaraya Bersejarah, sebagai tanaman antikuiti legenda pelayaran Melayu.

FAKTA
Pauh Janggi

Nama Saintifik: Lodoicea maldivica

Famili: Palmae

Negara Asal: Kepulauan Seychelles

Nama Lain: Kelapa laut, Double coconut

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s