![]() |
ZABEDAH Mohamed menunjukkan hasil sayur terung yang diusahakan di rumahnya, semalam.
|
BANDAR JENGKA 6 Feb. – Kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit mendorong golongan peneroka terlibat dalam pelbagai aktiviti pertanian yang boleh menambah pendapatan mereka.
Antara aktiviti yang dilakukan ialah projek ‘Edible Garden’ atau Taman Dapur.
Projek yang ideanya dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini semakin mendapat sambutan hebat daripada peneroka Felda di sini.
Projek itu menggalakkan peneroka Felda menanam sayur-sayuran di halaman rumah sebagai sumber tambahan pendapatan keluarga.
Timbalan Pengerusi Gabungan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Jengka, Azizah Ahmad berkata, saranan dan bantuan Felda kepada peneroka supaya mewujudkan Taman Dapur adalah tepat berikutan harga komoditi yang rendah pada masa ini.
Dengan menanam pelbagai jenis sayur- sayuran seperti terung, kacang, cili besar dan kangkong, jelasnya, ia banyak membantu isi rumah mengurangkan kos perbelanjaan dapur.
‘‘Kerjasama Felda dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menjayakan Taman Dapur ini sebagai galakan kepada peneroka supaya berbudi kepada tanah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Jengka 24 di sini baru-baru ini.
Ketua GPW Blok 4, Felda Jengka 24, Zabedah Mohamed, 48, berkata, saranan Felda supaya setiap keluarga memanfaatkan tanah kosong dengan tanaman sayur- sayuran di sekeliling rumah seharusnya disokong oleh golongan peneroka.
Dengan galakan Felda itu, katanya, halaman rumahnya yang ditanam pelbagai sayur-sayuran sejak akhir tahun lalu mula menampakkan hasil.
Menurutnya, sayur-sayuran seperti terung, bendi, peria, petola, kailan, bayam, kobis, cili merah, kacang panjang, serai dan cili api mula mengeluarkan hasil untuk kegunaan sendiri.
‘‘Jika semua sayur-sayuran itu matang secara serentak, sebahagiannya boleh dipasarkan di pekan sehari atau dijual kepada individu atau pemilik restoran,’’ tambahnya.
Zabedah yang berasal dari Kampung Relong, Lipis mengakui tanah di halaman rumahnya amat subur untuk bercucuk tanam.
Seorang lagi peserta, Shamsiah Mat Desa, 45, dari Blok 4 Felda Jengka 24 berkata, sejak November tahun lalu pelbagai jenis sayur-sayuran ditanam di halaman rumahnya yang sebelum ini dipenuhi dengan pokok bunga orkid.
Katanya, antara sayur-sayuran yang ditanam termasuk terung, tomato, bendi, sawi, kailan, kucai, petola, bayam, kangkong, ulam raja, kunyit dan serai yang sebahagiannya boleh dituai.
‘‘Banyak perbelanjaan dapur dapat dijimatkan sekali gus membantu suami mengurangkan kos perbelanjaan dapur kerana bahan itu tidak perlu dibeli,’’ katanya.
Shamsiah memberitahu, Taman Dapur yang diusahakan itu akan lebih ‘ceria’ dalam tempoh sebulan lagi apabila semua sayur-sayuran yang ditanam boleh dituai sepenuhnya.
Ketua Blok GPW Blok 7, Felda Jengka 24, Mahani Mohamad,45, berkata, sayur-sayuran yang ditanam di halaman rumahnya seperti terung, tomato, kailan dan cili merah telah boleh dikutip hasilnya.
‘‘Saya amat seronok dengan projek ini yang mula diusahakan pada pertengahan tahun lalu yang menampakkan hasil daripada titik peluh sendiri,‘‘ katanya.
Mahani menegaskan, semua ahli Blok 7 melaksanakan projek Taman Dapur kerana terbukti memberi kebaikan kepada peneroka untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi.
Sementara itu, Penolong Pengurus Felda Jengka 24, Abdul Malik Saari berkata, kira-kira 200 peneroka termasuk kakitangan Felda menjadi perintis projek Taman Dapur di halaman rumah masing-masing.
Katanya, jumlah yang menyertai program ini dijangka bertambah kerana Felda sentiasa menggalakkan mereka melaksanakan projek Taman Dapur itu demi kepentingan ekonomi mereka sendiri.
Beliau menambah, bekalan sayur-sayuran itu boleh dijual di pekan sehari di Bandar Jengka, Felda Jengka 13, Felda Jengka 21 dan Felda Jengka 24 setiap Khamis.
‘‘Sayur-sayuran yang diusahakan sendiri dijamin bersih dan bebas daripada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan berbanding yang dibeli dari pembekal luar,’’ katanya.