Peluang jadi usahawan

MELAKA 3 Feb. – Peluang menjadi usahawan kini dibuka kepada sebahagian 1,295 pekerja kilang di negeri ini yang kehilangan pekerjaan akibat kelembapan ekonomi global.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, mereka dipelawa menghadiri taklimat khas Khamis ini di kilang Panasonic, Batu Berendam bagi membincangkan mengenai tawaran tersebut.

Menurutnya, ia anjuran Bahagian Perusahaan Kecil dan Sederhana pada pukul 2.30 petang dan akan disertai semua agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan pelbagai pinjaman bagi mereka yang berminat menjadi usahawan.

“Taklimat itu berkaitan kemudahan pinjaman untuk mereka untuk memulakan perniagaan, tidak kira apa jua jenis perniagaan termasuk bantuan pertanian,” katanya pada sidang akhbar Jualan Amal Dodol Untuk Gaza di sini hari ini.

Menurut Md. Yunos, tawaran perniagaan itu tertumpu kepada sebahagian daripada 1,295 pekerja kilang yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini memandangkan selebihnya sudah mendapat tawaran kerja baru.

Sebahagian pekerja kilang yang diberhentikan baru-baru ini sudah mendapat kerja baru di Pasar Raya Mydin yang akan memulakan operasinya pada April ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

“Oleh itu, tawaran perniagaan ditujukan khas kepada sebahagian lagi pekerja kilang yang ketika ini sedang menganggur dan mencari pekerjaan selepas diberhentikan pada baru-baru ini,” ujarnya.

Kata beliau, usaha itu sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri bagi membantu golongan terbabit yang terjejas teruk akibat masalah kegawatan ekonomi global yang sedang melanda pada waktu ini.

“Biarpun bilangan pekerja kilang yang kehilangan pekerjaan di negeri ini tidak ramai namun usaha perlu diambil bagi membantu golongan ini meneruskan kehidupan,” katanya.

Ujarnya, taklimat yang sama akan turut dijalankan di kilang-kilang terpilih pada masa depan bagi membolehkan lebih ramai dari golongan itu melibatkan diri dalam perniagaan khususnya mereka yang bakal ditamatkan perkhidmatan dari majikan masing-masing kelak.

Kloro-Plus produk biotek penggalak tanaman

Muhd. Shahnaz Azmi memberi penerangan tentang produk Kloro-Plus ketika di temui di pejabatnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.


SELAIN faktor seperti keadaan tanah dan cuaca yang baik, asas kepada pertumbuhan pokok yang sihat adalah bergantung kepada pembekalan bahan mineral dan nutrien yang mencukupi.

Zat nutrien seperti nitrogen, fosforus, kalsium, magnesium, sulfur dan sebagainya sangat diperlukan oleh tumbuhan untuk terus hidup dan mengeluarkan hasil.

Di samping itu, klorofil juga merupakan antara bahan yang sangat diperlukan oleh tumbuhan hijau sebagai medium penggalak kepada proses fotosintesis dengan dibantu oleh kehadiran cahaya matahari serta karbon dioksida.

Menyedari keperluan itu, pelbagai teknologi dan kaedah terbaru telah diperkenalkan oleh banyak pihak dalam usaha meningkatkan hasil dan kualiti tanaman.

Mungkin banyak produk baja atau penggalak tanaman dijual di pasaran dengan tawaran pelbagai formulasi serta rawatan kepada bermacam-macam jenis penyakit.

Namun, berbeza dengan rumusan yang dihasilkan oleh sebuah syarikat bioteknologi, Osys Biotech yang mana produk bio penggalak klorofil yang dihasilkannya memberi kesan luar biasa kepada tumbesaran tanaman.

Dikenali sebagai Kloro-Plus, produk tersebut dihasilkan daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan untuk mengaktifkan tindakan enzim bagi mempercepatkan proses fotosintesis.

Ia menawarkan keperluan zat-zat mikro yang tidak dibekalkan oleh baja biasa seperti baron, zat besi, mangan, zink dan klorida.

Produk Kloro-Plus diasaskan oleh seorang Dekan dari Universiti Pertanian Gujerat di India, Dr. R. D. Sheth yang berpengalaman terlibat dalam banyak projek pembangunan bidang pertanian lebih daripada 35 tahun.

Menurut Pengarah Urusan Osys Group, Muhd. Shahnaz Azmi, produk yang dibangunkan selepas 30 tahun penyelidikan itu merupakan sejenis penggalak dalam bentuk cecair yang menawarkan pelbagai faedah dari segi kesihatan, tumbesaran dan juga kekuatan.

suplemen tanaman

“Ia merupakan sejenis suplemen tanaman yang diberikan hanya menggunakan teknik semburan halus ke atas permukaan daun.

“Produk ini berfungsi untuk menjadikan akar lebih panjang dan keras bagi tujuan menyerap lebih banyak baja selain kesan penambahan pigmen klorofil pada daun dapat dilihat selepas 72 jam semburan dilakukan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Penggunaan produk tersebut tidak hanya terhad kepada tumbuhan tertentu sahaja sebaliknya ia sesuai untuk semua jenis tanaman daun, buah, bunga malah boleh diimplementasikan pada pokok landskap untuk tujuan perhiasan.

Antara tumbuhan tersebut adalah seperti padi, kacang tanah, jagung, cili, tebu, kentang, serai, kelapa sawit, buah-buahan dan juga sayur-sayuran.

Untuk pokok limau madu, ia boleh menambahkan kadar kemanisan di dalam buahnya sehingga tiga peratus manakala untuk kacang tanah pula ia mampu menambahkan penghasilan minyak.

Kelebihan Kloro-Plus adalah seperti mempunyai kadar resapan yang tidak beracun, bebas toksik dan kimia, tanpa kandungan hormon, mesra alam dan tidak memerlukan petani menggunakan sarung tangan atau penutup mulut ketika menggunakannya.

Ia juga mampu meningkatkan kadar pengambilan zat dari dalam tanah sehingga 85 peratus, menambah kandungan zat dalam hasil, meningkatkan penghasilan bunga dan buah, menyeragamkan saiz buah, mempercepatkan tempoh masak serta daya tahan melawan penyakit dan tekanan.

Apa yang menarik, penggunaannya juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada baja dan racun perosak yang secara langsung dapat menjimatkan kos operasi tanaman serta mengekalkan kandungan zat dan vitamin di dalam hasilnya.

Untuk sukatan menggunakan Kloro-Plus, sebanyak lima mililiter (ml) bahan itu perlu dicairkan ke dalam satu liter air dan setiap 500 ml campuran berkenaan boleh digunakan di kawasan seluas satu ekar.

Selain cecair, Kloro-Plus turut didatangkan dalam bentuk batu kelikir yang sesuai digunakan pada pokok kelapa sawit dan dalam bentuk pes untuk disapu pada kikisan batang pokok yang hampir mati atau tidak mengeluarkan hasil langsung.

Oleh kerana bahan itu mempunyai sedikit bau, ia juga mampu untuk menghalau serangga perosak daripada mendekati tanaman.

Bukat setakat itu, Kloro-Plus juga boleh dijadikan sebagai penggalak tumbuhan plankton dan alga di dalam kolam pembiakan udang selain menambah kandungan protein padanya untuk dijadikan makanan udang.

Secara asasnya, ujian aplikasi Kloro-Plus telah dijalankan di beberapa kawasan sawah padi di Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka di mana ia telah menerima respons yang sangat baik daripada para petani kerana hasil tuaian mereka meningkat sehingga tiga hingga empat kali ganda dengan kos yang minimum.

“Mengambil contoh tanaman padi, semburan hanya dijalankan sebanyak tiga kali sahaja untuk satu musim.

“Jadi, dengan harga yang berpatutan iaitu hanya RM70 untuk botol satu liter, penggunaannya cukup murah dan berbaloi,” katanya.

Aplikasi Kloro-Plus kini sedang dalam proses percubaan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mendapatkan subsidi kerajaan bagi membekalkannya kepada petani tempatan.

Kini, produk tersebut telah digunakan secara meluas di negara-negara seperti China, India, Taiwan, United Kingdom, Perancis dan Florida di Amerika Syarikat.

Teknologi penghasilannya juga telah dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia di kilang yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Maklumat lanjut mengenai produk berkenaan boleh diperolehi di laman web www.kloroplus.com atau hubungi 03-7880 7171.

Rezeki sayur kampung

SUASANA senja di Pasar Malam Sayur Kampung yang masih lagi lengang daripada kesibukan dan kesesakan yang biasanya bermula pukul 8 malam.


MENJELANG lewat petang, suasana di Lorong Raja Bot berdekatan Pasar Chow Kit bertukar wajah. Saat itu, peniaga-peniaga kecil mula mengerumuni lori-lori dan juga van yang datang dari beberapa buah negeri membawa sayur-sayuran untuk keperluan masyarakat kota.

Apa yang menariknya, deretan berbelas lori dan van yang membanjiri lorong itu bukannya membawa sayuran yang kerap dilihat memenuhi kotak-kotak sayur di kebanyakan pasar raya. Sebaliknya, ia hanya membawa sayur-sayur kampung dan ulam pelbagai jenis termasuk yang selama ini tidak diketahui ramai kewujudannya.

Setiap petang tidak kira panas atau hujan, kehadiran lori-lori pembekal ditunggu para peniaga kecil-kecilan. Sebaik enjin kenderaan dimatikan dan kain kanvas yang menutupi belakang lori dibuka, terdengarlah suara lantang peniaga-peniaga yang berebut-rebut membeli bekalan masing-masing. Lambat bertindak dikhuatiri sayuran yang dikehendaki habis diambil peniaga lain.

Itulah rutin mereka. Bagi pembekal, mereka akan tiba di ‘lorong rezeki’ itu antara pukul 5 hingga 5.30 petang. Ada yang datang dari Tanjung Karang dan Hulu Langat, Selangor, tidak kurang pembekal jauh dari Melaka juga Perak.

Biar pun ada yang menjual barangan serupa, ia tidak mendatangkan masalah kerana masing-masing mempunyai pelanggan mereka sendiri. Malah, dalam sekelip mata hampir separuh lori yang mulanya penuh diisi sayuran dan ulaman telah kosong dibeli peniaga.

Melihat keadaan itu, nyata sayuran kampung ini sebenarnya ramai peminat dan permintaan terhadapnya juga tinggi. Apatah lagi, lori muatan dua tan yang penuh diisi pelbagai sayuran kampung dan ulaman itu juga boleh habis dibeli peniaga dan orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan tersebut dengan harga borong.

Peniaga-peniaga kecil kemudiannya akan menjual sayuran tersebut dengan harga runcit di pasar-pasar termasuk Pasar Chow Kit keesokan hari. Tetapi, jika ingin mendapatkan sayuran dan ulaman yang lebih segar, orang ramai boleh mengunjungi gerai-gerai kecil di Jalan Raja Alang yang dipanggil masyarakat setempat sebagai Pasar Malam Sayur Kampung pada petang itu juga.

Keunikan pasar malam ini, ia hanya menjual sayuran kampung dan ulam-ulaman. Terdapat kira-kira 20 gerai diatur secara berdekatan di kaki lima sebahagian Jalan Raja Alang. Dikatakan, pasar malam ini sudah wujud sejak 15 tahun lalu. Dahulu, mungkin aturannya tidak kemas tetapi kini suasananya lebih cantik dan teratur.

Pelbagai jenis sayuran kampung dan ulaman boleh didapati di sini. Antara sayuran dan ulaman yang dijual, pucuk ubi, rebung, jantung pisang, kangkung, daun cekor, daun kesom, tenggek burung, daun selaseh, daun selom, pucuk betik, temu kunci, ulam raja dan betik muda, pisang muda sehingga daun pisang turut dijual peniaga.

Bekalan yang diambil daripada lori-lori tadi akan terus dijual, cuma harganya mahal sedikit berbanding apa yang diberikan pembekal. Andai satu ikat sayur dibeli daripada pembekal dengan harga RM2, peniaga pasar malam akan menjualnya antara RM2.50 hingga RM3.

Tidak pun, mereka akan menjualnya dengan harga yang sama atau lebih murah tetapi mengurangkan kuantiti sayur dalam satu ikatan. Contohnya, seikat besar petai yang mempunyai 100 papan dibeli daripada pembekal dengan harga antara RM40 atau RM50. Bagaimanapun, peniaga menjual kembali kira-kira RM3 hingga RM4 untuk minimum tiga papan petai.

Biar harganya berbeza, namun masyarakat tetap membeli sayuran kampung atau ulaman di pasar malam ini.

Sebabnya mudah, hanya peniaga kecil-kecilan menjual dalam kuantiti yang sedikit. Lebih menyenangkan, ia dibuka dalam jangka waktu yang panjang, iaitu bermula pukul 6 petang hingga awal pagi yang ada ketikanya mencecah jam 4 pagi. Bagaimanapun, andai ke mari pada waktu petang, anda tidak akan melihat kesibukannya.

Waktu kemuncak pasar malam ini sebenarnya antara pukul 8 hingga 10 malam. Ketika itu, memang ramai dilihat datang membeli sayur kampung dan selalunya akan berlaku kesesakan lalu lintas.

Punca kesesakan sebenarnya disebabkan sikap segelintir pembeli itu sendiri. Tanpa memikirkan tentang orang lain, mereka memberhentikan kereta di tepi-tepi jalan berdekatan gerai-gerai terbabit untuk membeli sayur. Akibatnya, laluan sedia ada menjadi bertambah sempit sehingga berlakulah kesesakan.

Cuma sayangnya, hampir kesemua peniaga di pasar malam tersebut terdiri daripada warga asing terutama Indonesia. Mereka tetap bercerita serba sedikit tentang sayur kampung yang dijual, tetapi apabila ditanya lebih lanjut tentang perniagaan yang dijalankan, mereka enggan bercerita panjang dengan alasan hanya pekerja di gerai tersebut. Taukenya pula akan datang sekitar pukul 8 malam.

Malangnya, sehingga jam 9 malam tiada kelibat tauke yang datang. Namun, mereka tetap tidak mahu ditemubual dan masih memberikan alasan yang serupa.

Cabaran pembekal

Melihat longgokan sayur kampung yang begitu banyak, terdetik di hati dari mana sebenarnya mereka khususnya pembekal mendapatkan bekalan tersebut? Mudahkah ia diperoleh kerana bekalan bukannya dihantar seminggu sekali tetapi setiap hari.

Bagi sesetengah pembekal, itulah cabaran yang perlu mereka hadapi apabila memilih untuk bergelar pembekal sayur kampung. Namun, pekerjaan itu tetap dilakukan. Bukan kerana ia terlalu menguntungkan tetapi sebenarnya lebih kepada ingin melihat sayuran kampung dan ulaman tidak pupus malah terus dikenali biarpun oleh generasi muda.

Menurut Sharifin Jidid, 59, perniagaan yang diceburi lebih 10 tahun yang lalu bukanlah memberikan keuntungan yang banyak atau lumayan, tetapi cukup untuk menyara kehidupan dan memberikan keselesaan kepada mereka sekeluarga.

Sharifin yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu, memperoleh bekalan sayuran dan ulaman daripada penduduk-penduduk kampung sekitar Tanjung Karang. Sayuran dibeli dalam lingkungan harga 60 sen hingga lebih RM1 seikat dan kemudian dijual pula kepada peniaga dengan harga RM1 ke atas.

Harga yang diletakkan pembekal sama ada ketika membeli daripada penduduk kampung ataupun menjualnya pada peniaga, bergantung kepada jenis dan kuantitinya.

”Apatah lagi, kadang-kadang tidak banyak bekalan yang diperoleh. Separuh lori pun tidak sampai. Jika terlalu sedikit, saya akan mengambil keputusan tidak ke Chow Kit pada hari tersebut.

”Kalau digagahkan juga berniaga tidak menguntungkan kerana gaji pekerja perlu dibayar, ditambah pula duit minyak lori. Sebab itu, seminggu hanya kira-kira empat kali saya datang membekalkan sayur di kawasan ini,” katanya yang tetap mempunyai pelanggan tetap di Chow Kit walaupun tidak datang setiap hari.

Masalah sukar mendapatkan bekalan paling teruk dirasai semasa dia memulakan perniagaan ini. Memang dirasa seperti ia banyak dilihat tumbuh meliar di kampung-kampung, tetapi apabila hendak dicari terasa peritnya. Apatah lagi untuk mendapatkan sayuran yang pelbagai jenis.

Apa yang dilalui Sharifin sebenarnya turut dirasai pembekal lain. Namun, bagi Ruzi Asmar Mohd. Angsar, 38, dia mengamalkan petua serampang dua mata, iaitu bertani dan berniaga. Ada antara sayuran dan ulaman yang dibekalkan ditanam sendiri di kebun miliknya seperti pisang abu, serai, terung, betik, labu manis dan pokok ubi kayu.

”Cara itu juga dilakukan ramai pembekal. Selain memudahkan dalam mencari bekalan, ia juga dapat menambahkan pendapatan pembekal. Kalau hendak diharapkan pendapatan berniaga, mungkin taraf hidup pembekal sayur kampung tidak akan berubah.

”Sebab itu kalau hendak lebih keuntungan, pembekal tidak boleh mengharapkan semata-mata bekalan daripada masyarakat kampung. Mereka juga perlu tanam sendiri beberapa jenis sayur terutama yang sukar didapati seperti nangka dan belimbing buluh,” kata Ruzi Asmar yang sudah tujuh tahun membekalkan sayuran kampung di Chow Kit.

Tanam bendi bantu sara keluarga

Kerja-kerja memetik bendi dijalankan setiap hari untuk mengelakkannya menjadi terlalu besar dan panjang.


MELIBATKAN diri dalam kerja-kerja pertanian bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan seseorang untuk menghadapi cabarannya.

Namun, tidak semua individu di muka bumi ini dibekalkan dengan kesungguhan untuk terus berbakti kepada tanah walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Sesetengah golongan petani mungkin mempunyai alasan atau matlamat mereka sendiri dalam bidang pertanian yang secara tidak langsung menjadikan mereka kuat untuk terus melaksanakan tugas berkenaan.

Bagi Abu Mansor Hashim, 43, selain minat, penglibatan beliau dalam dunia pertanian juga sebenarnya dijadikan sebagai sumber rezeki untuk menyara keluarga.

Pada peringkat awal, beliau memulakan langkahnya dengan mencuba menanam beberapa jenis sayur-sayuran seperti cili, bendi, keladi, timun dan terung secara kecil-kecilan selain mengambil upah mengerjakan sawah.

Setelah lebih sepuluh tahun menjalankan kerja tersebut, pada tahun 2006 beliau akhirnya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada penanaman bendi secara lebih serius.

Bermodalkan pinjaman yang diterima daripada AgroBank sebanyak RM30,000, beliau memulakan projek tanaman bendi di tanah seluas empat ekar di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor dengan kos menyewa sebanyak RM600 setahun.

Modal dari bank tersebut diperolehi menerusi Dana 3F iaitu Tabung Untuk Makanan dengan tempoh pinjaman selama lima tahun.

Dana berkenaan merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak AgroBank untuk menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan dengan tawaran had pinjaman bermula RM10,000 hingga RM10 juta menerusi tempoh pinjaman maksimum 10 tahun.

Antara projek yang layak untuk memohon pinjaman tersebut adalah yang melibatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran makanan untuk tanaman, ternakan serta perikanan.

Menurut Abu Mansor, sebelum memulakan projek tanamannya, beliau ada mengambil kira beberapa faktor penanaman dan juga risiko yang perlu ditanggung.

“Saya ada membuat serba sedikit pemantauan terhadap harga pasaran bendi untuk melihat sejauh mana sambutan pengguna terhadap sayur ini.

“Dari segi teknikal pula, saya menjalankan pemeriksaan tahap kesuburan tanah di kawasan tanaman ini untuk memastikan ia subur dan sesuai untuk projek tanaman bendi,” katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Bercerita mengenai projek tanamannya, beliau memberitahu, pokok bendi mengambil masa selama 45 hari untuk berbuah dan pokoknya boleh bertahan selama lebih kurang tujuh hingga lapan bulan tanpa penanaman semula.

Untuk memastikan pokok tersebut membiak dengan baik, proses pembajaan dijalankan setiap hari selain penyemburan racun dilakukan tiga hari sekali bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

Dari segi percambahan, beliau berkata, pokok bendi mempunyai peratus pertumbuhan yang tinggi dan kadar kematiannya pula adalah rendah.

Namun, pemantauan perlu dijalankan setiap hari bagi memastikan pokok-pokok tersebut bebas dari penyakit.

Antara jenis masalah yang sering menyerang pokok bendi adalah seperti serangan serangga bena hijau yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti kerosakan pada daun, pucuk menjadi kuning dan tidak bertindak balas terhadap baja.

Setakat ini beliau mempunyai seramai lima orang pekerja untuk membantunya menjalankan kerja-kerja meracun dan juga membaja selain memetik hasil ketika tiba musim menuai.

“Kerja memetik hasil ini perlu dilakukan setiap hari untuk mengelakkan saiz bendi daripada terlalu menjadi besar dan panjang.

“Ini kerana untuk tujuan pasaran, kebanyakan pengguna menggemari sayur bendi yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar,” kata ayah kepada empat orang anak itu.

Untuk sekali proses menuai hasil, ladangnya berjaya menghasilkan sehingga 700 kilogram bendi sehari.

Hasil tersebut akan dijualkan terus kepada pemborong dan peniaga dari Pasar Selayang yang akan datang ke ladangnya setiap hari dengan harga RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

Beliau yang pernah bertugas sebagai kontraktor pembinaan di Singapura selama lapan tahun berkata, harga borong untuk bendi adalah bergantung kepada permintaan dan juga kualiti buahnya.

Dari segi kos pembiayaan tanaman, beliau perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli baja dan racun rumpai.

Harga untuk benih juga tidak kurang tingginya iaitu RM110 satu tin di mana ladangnya memerlukan sebanyak 16 tin untuk sekali proses penanaman.

Berkat kesabaran dan kerja kerasnya, beliau kini telah memperluaskan penanaman bendinya di tanah seluas satu ekar milik bapanya berhampiran rumah beliau.

“Melalui perluasan kawasan ini, dapatlah saya menambah pendapatan untuk membantu menyara keluarga,” jelasnya.

Jika mempunyai peluang, beliau juga bercadang untuk memperkembangkan ladangnya agar tanaman secara penggiliran dapat dijalankan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Setakat ini, beliau belum bercadang untuk membuka kursus atau latihan kepada penanam-penanam baru yang berminat.

Justeru, beliau menasihatkan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan agar berani mencuba dan belajar sedikit demi sedikit.

Agro Bank bimbing usahawan tani

Agro Bank mahu supaya usahawan tani memahami aspek teknikal dan mempunyai minat mendalam terhadap bidang yang diceburi supaya mereka mengusahakannya sehingga berjaya.


Agro Bank akan terus menjadi peneraju dalam usaha membimbing bakal usahawan menceburi bidang pertanian.

Ini dilakukan dengan menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Tani yang menyediakan dana berjumlah lebih RM2 juta pada tahun ini.

Sebanyak 64 siri kursus melibatkan pelbagai sektor telah disenaraikan pada tahun ini yang akan melibatkan kira-kira 2,000 peserta.

Seperti sebelum ini, program pembangunan usahawan tani yang dianjurkan oleh bank terbabit dilaksanakan menerusi Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Justeru, peserta bukan sahaja disediakan dengan modul latihan yang lengkap dan sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa dalam sektor pertanian tetapi juga persekitaran kondusif untuk menimba ilmu.

Bagaimanapun menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, jumlah peruntukan yang disediakan dan kemudahan yang sesuai bukanlah jaminan mudah bagi peserta bergelar usahawan tani, sebaliknya mereka perlu mempunyai sikap positif untuk berjaya.

“Sebagai contoh, peserta perlu mempunyai minat untuk mengambil tahu mengenai bidang yang mereka ingin ceburi dan bukan bertujuan mengambil mudah suka-suka sahaja,” katanya..

Ini kerana katanya, menceburi bidang pertanian bukanlah satu perkara mudah berdasarkan kepada konsep 3D iaitu Dirty (kotor), Danger (berbahaya) dan Difficult (rumit) yang menunjukkan bahawa mereka perlu mempunyai tahap kesabaran dan daya tahan yang tinggi.

Selain itu, peserta juga perlu memastikan bahawa lokasi projek pertanian yang dijalankan mestilah sesuai dan tidak terlalu jauh ke pedalaman.

Pada masa sama, peserta perlu menguasai kemahiran teknikal sektor yang diceburi untuk memastikan projek dapat berjalan dengan baik.

Oleh sebab itulah, pihaknya bukan sahaja memilih kursus yang sesuai untuk disertai peserta tetapi juga lengkap dengan keperluan semasa dan paling penting menyahut seruan kerajaan.

Beliau memberi contoh, antara kursus yang dijalankan pada tahun ini ialah penanaman menggunakan sistem fertigasi, penternakan ikan puyu dan ketutu, penanaman cendawan, ternakan kambing memproses bebola ikan, ternakan tilapia dan ternakan ketam, penyediaan makanan ruminan, ternak lintah dan pemprosesan buah-buahan.

“Kami juga menawarkan kursus merangka rancangan perniagaan dan memperkenalkan strategi menghubungkan pengusaha dengan industri atau pengusaha dengan pembeli,” katanya.

Apa yang penting tegas beliau, peserta bukan sahaja perlu hadir kursus kali pertama tetapi juga mereka perlu bersedia menghadiri kursus-kursus lanjutan yang seterusnya.

Oleh itu, mereka mampu menguasai kemahiran di peringkat pengurusan projek sehingga kepada pengurusan perniagaan atau dari A sehingga Z termasuk aspek pemasaran.

Selain itu, strategi Agro Bank juga mahu supaya peserta yang bakal mengusahakan projek pertanian memilih lokasi sesuai untuk memudahkan pemasaran.

Sebab itu, pihaknya memilih tempoh kursus antara tiga dan lima hari yang dianggap sesuai untuk menimba ilmu dan dan pada masa akan datang melengkapkan ilmu dengan menyertai kursus lanjutan.

Beliau berkata, sambutan daripada peserta amat menggalakkan yang mana dengan kerjasama yang diadakan dengan akhbar Utusan Malaysia menerusi sisipan Mega berjaya menghebahkan kepentingan mengadakan program seumpama itu.

Pada tahun ini, Agro bank sekali lagi akan membentuk kerjasama dengan Utusan Malaysia untuk mengadakan pelbagai kursus pertanian untuk mereka yang berminat.

Abdul Shukor menambah, sejak diadakan pada 2007 hingga tahun lepas, sebanyak 8,971 peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Program tersebut katanya, merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Tani yang dirangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan akan berakhir pada tahun depan.

Usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani sangat penting dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Bengkel usahawan fertigasi

Teknologi fertigasi kini semakin popular dalam projek tanaman sayuran kerana ia membolehkan ladang diurus dengan lebih mudah.


Bagi pembaca-pembaca setia ruangan pertanian setiap hari Jumaat menerusi sisipan Mega akhbar Utusan Malaysia, mereka mungkin sentiasa ingin mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terbaru bidang tersebut. Ia termasuk maklumat mengenai program bimbingan dan kursus pertanian yang dianjurkan pelbagai pihak dan hebahannya diperoleh menerusi akhbar ini. Seperti tahun sebelumnya, sisipan Mega sekali lagi bekerjasama dengan Agro Bank dan pihak swasta dalam menganjurkan bengkel usahawan pertanian. Jika pada tahun lepas, bengkel penanaman cendawan, ternakan keli dan kambing telah berjaya diadakan.

Menurut penganjur, sambutan yang diterima sehingga kini amat menggalakkan dan masih ada lagi pertanyaan meminta pihak Utusan Malaysia meneruskan bengkel tersebut, seperti tahun lalu.

Kali ini, akan mengadakan Bengkel Usahawan Mega-Utusan Malaysia memilih Bengkel Fertigasi untuk siri 1 dan ke 2 yang dijadualkan masing-masing pada 13 hingga 15 Februari ini dan 28 Februari hingga 1 Mac.

Pada tahun ini, Agro Bank selaku penaja utama di samping rakan kerjasama baru iaitu May Culsant berganding bahu menawarkan bengkel-bengkel pertanian khusus untuk orang ramai menyertainya.

Kerjasama yang diadakan itu bertujuan menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan program pertanian dan menambah jumlah usahawan tani.

Bengkel tersebut akan dijalankan selama tiga hari itu memberi peluang kepada peserta mengenali teknologi fertigasi, motivasi, pengurusan dan penjagaan penanaman pertanian serta asas kewangan.

Bayaran sebanyak RM150 dikenakan kepada setiap peserta meliputi penginapan, makan minum, pengangkutan dan latihan amali.

Orang ramai yang ingin menyertai bengkel ini dikehendaki menghantar butir-butir peribadi melalui borang penyertaan yang disiarkan di akhbar ini ke Urusetia Bengkel Usahawan MEGA-Utusan-AgroBank.

Peserta akan dipilih oleh satu panel untuk dinilai sebelum diambil untuk menyertai bengkel itu kelak.

Maklumat lanjut orang ramai boleh mendapat maklumat melalui Mega itui sisipan Utusan Malaysia setiap hari Isnin hingga Jumaat dengan menyiarkan artikel pertanian pada Jumaat.

Sebarang maklumat mengenai bengkel itu boleh menghubungi urus setia di talian 012-2846811 (Rosli) atau 017-4661475 (Faiq).

Usahawan sayur fertigasi

AMMAR bangga dan yakin dengan hasil cili padi semerah yang diusahakan di Mambau, Negeri Sembilan.


Walaupun tidak mempunyai latarbelakang yang formal dalam bidang pertanian tetapi tindakan Ammar Abdul Aziz, 35, untuk menjadi usahawan tani sedikit sebanyak dapat menepis anggapan masyarakat terhadap bidang pertanian.

Mendapat ijazah pertama di Hawaii dan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi di London, United Kingdom (UK), Ammar mula mengusahakan ladang sayurnya secara sepenuh masa sejak 2005 di atas tanah milik keluarga seluas empat ekar di Kampung Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan.

Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya penanaman sayur secara konvensional selama tiga tahun, Ammar berkata, mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang kuat.

“Dalam tempoh dua tahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya.

“Tetapi pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian banyak memberikan khidmat nasihat dan galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang,” katanya semasa ditemui di ladangnya di Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ammar melahirkan rasa terharu dengan agensi kerajaan yang banyak memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu.

Biarpun pernah menjawat jawatan glamor dan selesa iaitu pengurus dana, Ammar tidak menyesal meninggalkan semuanya untuk berbakti pada tanah.

Galakkan dan sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu dan ayah sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya.

Setelah berjaya mengharungi pahit maung dalam bidang pertanian, kini beliau yang telah menyewa empat ekar lagi tanah di sebelah tanahnya menanam tanaman berpara seperti kacang panjang, bendi, timun, cili dan cili padi.

Bermula dengan menanam sayur-sayuran secara konvensional, kini Ammar mula menanam cili merah secara fertigasi tertutup sementara cili padi secara terbuka.

Mengaplikasikan kepakarannya dalam strategi kewangan dalam pertanian, Ammar banyak mengumpul data-data hasil ladangnya.

“Data yang saya dapati saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian.Jika terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya.

“Setiap pagi saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada serangga, virus atau bakteria,” katanya.

Ammar akan mengumpul semua data sama ada serangga hidup atau bahagian pokok yang diserang untuk dikaji sama ada di MARDI, Jabatan Pertanian atau institut pengajian tinggi tempatan.

Dengan cara ini, Ammar dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai digunakan.

Memegang pepatah Inggeris, ‘tidak mengumpulkan telur dalam satu bakul,’ Ammar mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya.

Ini juga merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil.

“Saya ‘melayan’ kebun sayur saya sama seperti bisnes-bisnes lain dengan strategi yang sama.

“Bagi saya pertanian adalah satu perniagaan,” katanya yang memulakan pertanian menggunakan modal daripada simpanannya sendiri.

Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya pula agak murah.

Cili merah dan cili padi yang mempunyai harga yang tinggi tetapi penjagaannya agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi tujuan memetik.

Ammar juga menjalankan strategi merekodkan dan mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya memantau harga di masa akan datang.

“Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari.

“Ini bagi memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan,” katanya yang bercita-cita membesarkan lagi ladang sayurnya.

Selepas menjalani pelbagai ‘kisah pahit’ dalam pertanian, kini Ammar melibatkan diri dalam fertigasi pokok cili.

Menjalankan trial and error dalam pertanian selama dua tahun menjadikan Ammar lebih matang dalam mengharungi industri tanaman.

Beliau yang amat peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran.

“Sejak awal saya mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya masih belum menganggap diri saya berjaya.

“Saya berharap suatu hari nanti, pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka,” katanya.