Usaha naik taraf ternakan keli

Kilang sadin RM200,000 akan dibuka di Tapak Gerai UPD Bukit Manik

KANGAR: Kerajaan negeri akan menaik taraf projek ternakan keli yang dicadang untuk dibangunkan di Tapak Gerai UPD Bukit Manik di sini, termasuk menambah nilai projek itu dengan membangunkan perusahaan sardin keli dalam tin.

Malah, sebuah kilang bernilai RM200,000 juga dijangka dibina di tapak berkenaan sebaik projek ternakan keli diusahakan, sekali gus meletakkan sasaran Perlis sebagai pengeluar utama sardin keli di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Sabry Ahmad, berkata Projek Sardin Keli adalah satu lagi inisiatif tambahan kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan penduduk Perlis, khususnya warga Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang bakal diserap sebagai peserta.

Beliau berkata, buat masa sekarang segala peralatan termasuk mesin khas bernilai RM150,000 sudah ditempah melalui sebuah syarikat di Kuala Lumpur, bagi tujuan memproses keli yang diternak untuk dijadikan sardin.

“Malah, kerajaan negeri juga sudah mengemukakan cadangan kepada Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (Upen) untuk membina kilang dengan kos kira-kira RM200,000 di Tapak Gerai UPD terbabit bagi memudahkan urusan serta pemerosesan projek terbabit, yang akan diusahakan dengan kerjasama Koperasi Bela Rakyat (Kobera).

“Kita mahu Tapak Gerai UPD di Bukit Manik menjadi pusat operasi ternakan keli dan perusahaan sardin keli Perlis. Selain itu, kita juga akan turut menjalankan projek ternakan cacing di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Kerajaan negeri akan mengusahakan Projek Ternakan Keli di 100 kolam berkapasiti tinggi di Bukit Manik yang akan menggunapakai teknologi gabungan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand serta dijangka mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 500,000 ekor keli dalam tempoh dua bulan.

Penggunaan konsep gabungan itu dengan kos RM700,000 yang akan menarik penyertaan warga PPRT, dipilih kerana bukan saja mampu mengurangkan kos ladang, tetapi turut berupaya meningkatkan hasil pengeluaran ternakan, sekali gus menambah pendapatan para petani.

Sementara itu, Sabry berkata pihaknya yakin kaedah yang digunakan melalui ternakan gabungan ini berpotensi menghasilkan ikan keli segar serta bermutu tinggi untuk dipasarkan dan dijangka mampu menghasilkan 100 metrik tan ikan keli dengan purata 5 ekor untuk sekilo.

“Kita mahu melihat ekonomi negeri berkembang dan dengan usaha begini, diharap dapat menambah pendapatan warga Perlis terutama mereka yang tergolong sebagai warga PPRT, dalam sektor pertanian dan penternakan.

“Justeru, industri ternakan keli serta projek sardin keli ini dirangka dan dijangka mendapat sambutan hangat kerana beberapa faktor terutama kualitinya yang tinggi terutama tidak hanyir, disebabkan corak ternakan keli yang diberi makanan organik tanpa dicampur lebihan makanan lain,” katanya.

Roti gebu Rogayah dapat sambutan menggalakan

ROGAYAH Alias sambil dibantu anaknya Nurashikin Tukiran membuat roti ban di rumahnya di Bukit Batu, Kulaijaya, Johor, semalam.


KULAIJAYA 1 Feb. – Bagi usahawan baru, Rogayah Alias, 53, tempoh masa 10 tahun yang diambil untuk belajar membuat pelbagai jenis roti amat berbaloi apabila roti buatannya kini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Menurut ibu kepada enam orang anak itu, tempoh tersebut digunakan untuk dia memahirkan diri dalam bidang pembuatan roti agar kualiti rotinya setanding dengan pengusaha roti lain.

Katanya, seseorang itu perlu sabar dan tekun dalam mendalami ilmu membuat roti kerana ia melibatkan beberapa teknik bagi menghasilkan roti yang gebu dan lembut.

“Kini, alhamdulillah biarpun baru setahun beroperasi, roti yang dihasilkan mendapat sambutan daripada pelanggan yang terdiri daripada masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rogayah kini mengusahakan perusahaan roti ban secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Bukit Batu, di sini dengan dibantu oleh seorang anak perempuannya, Nurasyikin Tukiran, 24.

Jelasnya, kebanyakan roti itu dihantar ke sekolah-sekolah dan ada yang diambil sendiri oleh pelanggan.

“Pada mulanya saya berasa bimbang untuk memulakan perusahaan ini biarpun telah belajar selama 10 tahun.

“Namun, selepas berfikir dan mendapat galakan keluarga, saya memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan sebanyak RM300,” ujarnya.

Dalam sehari, kata Rogayah, dia menggunakan sebanyak lima kilogram (kg) tepung untuk membuat roti ban yang mampu menghasilkan 220 biji roti.

Ia dijual pada harga antara 60 sen hingga RM1.20 bergantung kepada saiz.

Mengenai perancangan pada masa depan, Rogayah berkata, dia sedang dalam proses untuk membesarkan lagi perusahaan itu dengan membina sebuah bengkel di sebelah rumahnya.

Menurutnya, dia mendapat bantuan modal sebanyak RM10,000 daripada Jabatan Pertanian untuk mengusahakan bengkel berkenaan.

Jelasnya lagi, bengkel itu akan dapat beroperasi dalam tempoh terdekat.

Buang yakin peroleh pendapatan lumayan

BATU PAHAT 2 Feb. – Pesara guru, Buang Kardi Dol Manan, 57, nekad mengeluarkan modal RM20,000 untuk menceburi Projek Pertanian Bersepadu berskala kecil di belakang rumahnya di Kampung Sungai Jambi Darat, Rengit di sini sejak sebulan lalu.

Menurutnya, minat untuk melibatkan diri dalam projek itu timbul setelah diberikan penerangan dan galakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil yang ingin melihat orang Melayu maju dalam bidang ekonomi.

Katanya, setelah mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang perunding serta kerjasama beberapa jabatan kerajaan, projek tersebut dimulakan di belakang rumahnya pada akhir Disember lalu.

“Saya menternak 250 ekor itik telur, 1,000 ekor ayam kampung pedaging, 3,000 ekor ikan keli dan menanam 500 pokok cili merah Belanda,” katanya.

Dia yakin projek tersebut mampu menghasilkan pendapatan lumayan kerana hasil itu sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai dan harganya pula stabil.

Buang memberitahu, walaupun baru sebulan ditanam, pokok cili mula berbuah dan dijangka boleh dituai dalam tempoh sebulan, dua lagi.

“Itik juga cepat membesar dan dijangka mula bertelur tiga bulan lagi,” katanya.

Mengenai pasaran, Buang berkata, dia tidak menghadapi masalah kerana telah mengenal pasti beberapa pihak yang akan membeli hasil ternakan dan cilinya.