Kursus keusahawanan agro komersial

peserta didedahkan dengan kursus praktikal bagi merasai pengalaman sebenar sebagai usahawantani.


Program Bumi Hijau yang dilancarkan kerajaan merupakan salah satu langkah bagi menggalakkan masyarakat terlibat secara langsung dalam usaha pertanian dan asas tani.

Biasanya dilakukan secara kecil-kecilan bertujuan berjimat cermat, tetapi mereka yang ingin meneroka secara serius sektor pertanian mampu memberi pulangan menguntungkan.

Menyedari hakikat, Kolej Komuniti Selayang baru-baru ini mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Keusahawanan Komersial yang diselaras di bawah Program Basmi Kemiskinan.

Kursus jangka pendek selama enam hari yang disertai lebih 100 orang peserta dijayakan dengan kerjasama Prestasi Agro Farm (PAF), sebuah syarikat penggerak aktiviti akuakultur dan pertanian.

Tiga modul kursus secara teori dan praktikal yang didedahkan kepada peserta ialah Pembenihan Ikan Keli Aruhan, Penternakan Lintah Kaedah Tangki dan Teknik Penanaman Cendawan Kelabu.

Sesi bengkel Pembenihan Ikan Keli Aruhan dikendalikan oleh pegawai Jabatan Perikanan, Johari Daud, Penternakan Lintah Kaedah Tangki oleh Pengarah Penyelidikan PAF, Nooranisa Said.

Manakala Teknik Penanaman Cendawan Kelabu dikendalikan bersama oleh Normah Ibrahim dari Jabatan Pertanian Putrajaya dan Presiden Persatuan Penyelidikan Cendawan Malaysia, Prof. Dr. S. Vikineswary.

Latihan teori dijalankan sepenuhnya di Kolej Komuniti Selayang, manakala latihan praktikal pembenihan ikan keli dan penternakan lintah dilakukan di Ladang Prestasi Agro di Bukit Lagong Selayang, Selangor.

Bagi sesi praktikal penanaman cendawan para peserta dibawa melawat ke Rumah Cendawan di Ulu Yam, Selangor.

Pengarah Projek PAF, Nur Azizi Rafie berkata modul dipilih penganjur ini merupakan bidang yang mudah diceburi usahawan projek skala kecil.

“Teknik pembenihan ikan keli aruhan misalnya merupakan satu kemahiran asas yang harus ada pada setiap bakal penternak sekiranya mereka ingin serius meneroka bidang ternakan ikan air tawar,” katanya.

Teknik ini dilakukan dengan menyuntik hormon kepada induk keli di mana induk betina diperah telurnya dan induk jantan dibedah bagi mendapatkan sperma.

Penternak yang berhasil membenihkan ikan sendiri dapat mengurangkan kos pembelian anak benih yang sebelum ini terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bekalan.

Sementara itu Dr S.Vikineswary berharap kursus yang sama dapat dikembangkan lagi terutamanya ke kawasan luar bandar.

“Tanaman cendawan amat sesuai untuk diusahakan secara komersial oleh golongan wanita kerana ia memerlukan kawalan kebersihan dan pemerhatian khusus bagi menjamin kualiti hasil.

“Semua usahawan cendawan terutamanya berskala kecil digalakkan menjadi ahli persatuan supaya dapat berkongsi ilmu untuk membesarkan rangkaian pemasaran,” katanya.

Seorang peserta, Haslinda Moin berharap Kolej Komuniti Selayang dan Prestasi Agro Farm dapat menganjurkan kursus jangka pendek yang serupa pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapat maklumat tepat dari tenaga pengajar bertauliah.

Beliau berasa bertuah kerana para peserta kursus berpeluang dibawa melawat ke tapak projek ternakan ikan keli, rumah cendawan, dan projek ternakan lintah bagi meninjau sendiri hasil usaha para usahawan yang berjaya.

Ekoran sambutan yang menggalakkan Prestasi Agro Farm telah merangka Siri Bengkel Keusahawanan Agro Komersial bagi tahun 2009.

Bengkel yang menawarkan latihan secara teori dan praktikal jangka pendek ini akan dijalankan dengan konsep dua dalam satu.

Ini bagi membolehkan para peserta berpeluang mendapat maklumat dan kemahiran serentak bagi dua bidang berbeza.

Bagi bakal usahawan yang berminat sila hubungi 012- 6157937 atau 012-6138059 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

MJ Fatonah tubuh koperasi bekas peserta kursus

Siti Fatonah turun padang bagi meninjau sendiri masalah yang dihadapi haiwan ternakannya.


Biasanya selepas menjalani sesuatu latihan, pelatih bergerak sendiri bagi memajukan perniagaan sendiri.

Melihat kepada kepayahan bekas peserta kursus Akademi Latihan Ternakan MJ Fatonah Sdn. Bhd. untuk memasarkan produk, pihak akademi telah mengambil langkah menubuhkan sebuah koperasi.

Koperasi yang dikenali sebagai Koperasi Pelatih MJ Fatonah Selangor Berhad itu ditubuhkan bagi mengumpul semua bekas peserta kursus kendalian MJ Fatonah bagi bergabung tenaga dan idea meningkatkan ekonomi setiap anggotanya.

Sehingga Disember lepas, seramai 344 orang peserta telah menghadiri kursus anjuran akademi berkenaan dan 167 daripadanya menghadiri kursus Rancangan Perniagaan.

Biarpun koperasi itu masih di peringkat permohonan pendaftaran tetapi sambutan daripada bekas peserta amat menggalakkan.

Projek pertama koperasi ialah penjualan dan pembelian lembu dan kambing serta produk hiliran yang memerlukan khidmat pemasaran.

Projek kedua ialah pemprosesan dan pembekalan baja organik dari tinja lembu dan kambing yang akan dimulakan di rumah baja Akademi Latihan Ternakan MJ Fatonah yang menjadi pusat pengumpulan dan pemasaran.

Seterusnya, koperasi juga akan memohon pemilikan permit import ternakan lembu dan kambing bagi memudahkan anggota mendapat bekalan ternakan.

Mesyuarat Agung pertama koperasi dirasmikan oleh Pengarah Pembangunan Suruhanjaya Koperasi (SKM) Negeri Selangor, Amran Kadir dan turut dihadiri Yang Dipertua Koperasi KPMJF, Datuk Gumuri Husin, Pengerusi Bank SME, Zaarah Abu, Penolong Pengarah SKM Wilayah Sabak Bernam/Kuala Selangor.

Akademi Latihan Ternakan MJ Fatonah terletak di Lot 1449, Kampung Teluk Penyamun, Batang Berjuntai, Selangor dan mula beroperasi sejak 2005.

Kemudahan yang disediakan meliputi bilik kuliah berhawa dingin lengkap dengan alat bantu mengajar, bilik penginapan, dewan makan, surau dan kemudahan riadah.

Modul yang dibentangkan semasa kursus mementingkan kemahiran amali dan juga teori.

Antara modul latihan ialah teknik penternakan sempurna, mengenalpasti penyakit dan rawatan, reka bentuk kandang, pemakanan seimbang, Amalan Penternakan Baik (GAHP), teknik menanam rumput napier, penyembelihan halal dan logistik.

Setiap kursus akan diberi bonus modul iaitu teknik pembuatan makanan ternakan, baja organik dan penyediaan kertas kerja pinjaman pertanian.

Akademi milik MJ Fatonah diterajui Siti Fatonah Arbain sebagai Pengarah Urusan dibantu suaminya, Mohamad Jamil Mahidin sebagai Pengurus Besar.

Beliau dan suami adalah fasilitator dan pakar runding yang dilantik oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di dalam bidang ternakan lembu dan kambing dengan bantuan dari pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pegawai MARA Daerah.

Ilmu yang dikongsi telah membuahkan hasil apabila lebih 60 peratus bekas peserta telah menjalankan projek penternakan di tapak masing-masing.

Hubungan dan pemantauan berterusan kepada bekas peserta dan bantuan teknikal serta rundingan diberi tanpa caj tambahan.

MJ Fatonah bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan MARA melalui Institut Usahawan Bumiputera (IUB).

MJ Fatonah juga bekerjasama dengan Bahagian Latihan RISDA untuk kursus Ternakan Lembu dan Kambing serta Pembuatan Baja Organik.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat dan koperasi ini, pembaca boleh menghubungi Fatonah atau Jamil di talian 012-3343800 atau 017-3343800.

Kacukan Boer-Black Bengal pertama di dunia

DUA ekor anak kambing kacukan Boer dan Black Bengal. – Gambar Bernama


MALAYSIA menjadi negara pertama di dunia yang mengacukkan kambing baka Black Bengal dan Boer yang dijangka mampu membuka pintu baru untuk pasaran daging kambing yang lebih bermutu.

Hasil kepakaran saintis tempatan, dua ekor anak kambing kembar berjaya dilahirkan hasil kacukan dua jenis baka itu.

Walaupun kejayaan itu masih baru tetapi potensi pasaran untuk daging kambing sudah menjadi bukti apabila anak kambing yang dilahirkan itu seekor jantan dan seekor betina masing-masing mempunyai berat badan 1.5 kilogram (kg) dan 1.4 kg.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan berkata, di Malaysia hanya Kelantan sahaja mempunyai kambing spesies ini dan berjaya membuat kacukan tersebut.

Menurut beliau, kambing Black Bengal, yang hanya terdapat di Bangladesh, tidak pernah dibawa keluar dari negara itu dan ia dihadiahkan hanya kepada kerajaan negeri Kelantan.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, kambing Black Bengal bersaiz kecil, berwarna hitam, berbulu pendek dan lembut.

Kambing jenis itu mempunyai tulang belakang yang lurus, berkaki pendek dan telinganya agak panjang.

”Ciri-ciri yang menarik pada baka kambing ini ialah sifat kesuburannya yang baik, bilangan kelahiran atau kadar kembar yang tinggi dan mudah menyesuaikan diri kepada persekitaran yang kurang subur.

“Sifatnya yang matang menyaksikan kambing betina mula melahirkan anak pada umur 12 bulan, dengan kelahiran sekurang-kurangnya tiga kali dalam dua tahun dan dengan purata bilangan anak sekelahiran sebanyak 2.2 ekor”, kata Dr Mohd. Zairi.

Bagaimanapun, katanya, berat anak kambing semasa kelahiran ialah antara 800gram dan 900gram.

“Kambing ini mudah dipelihara menggunakan rumput rumpai tempatan, walaupun tanpa makanan tambahan menjadikan kos pengeluaran yang paling minimum”, katanya.

Kambing Boer, adalah hasil kacukan kambing dari Afrika Selatan dan kambing dipilih khas untuk daging di Australia.

Dengan ciri-ciri kadar tumbesaran yang tinggi dan kualiti daging yang baik, kambing Boer mudah menyesuaikan diri pada persekitaran yang panas dan kering di samping mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap ancaman penyakit.

Kambing Boer biasanya mempunyai badan yang berwarna putih dan kepala serta leher berwarna coklat, serta mudah dipelihara, cepat membesar dan kadar kesuburan yang tinggi.

”Bagaimanapun kadar kelahiran bagi kambing itu tidak begitu tinggi iaitu sekadar 1.2 ekor setahun.

”Berat anak semasa dilahirkan ialah pejantan Boer dewasa boleh mencapai antara 110 kg dan 130 kg manakala betina dewasa antara 90 kg dan 100kg,” katanya.

Penolong Pegawai Veterinar, Normala Tukiban, yang terlibat dalam operasi pengacukan itu, berkata dua ekor kambing Black Bengal telah dikacukkan menggunakan pejantan muda baka Boer secara tabii, iaitu seekor pada 10 Mei 2008 dan seekor lagi pada 26 Mei tahun lalu.

Kesemua kambing betina Black Bengal itu diselaraskan berahinya menggunakan hormon dengan alat silikon berbentuk Y yang dinamakan Control Intra-Vaginal Device Releasing Hormone (CIDR).

”Selepas beberapa minggu alat itu diletakkan di kemaluan kambing betina, ia ditanggalkan dan kambing jantan Boer akan diletakkan dalam kandang dengan kambing betina untuk mengawan,” katanya.

Setelah dikacukkan, pada 9 Okt tahun lalu, seekor ibu Black Banggal telah melahirkan anak kembar seekor jantan dan seekor betina.

Normala berkata, kelahiran anak kembar dengan berat lahir yang tinggi membuktikan pengkacukan ini berpotensi.

“Sifat prolifik Black Bengal ditunjukkan dengan kelahiran anak kembar tersebut. Sifat Boer pula ditunjukkan dengan kadar pertumbuhan berat badan yang baik,” katanya.

Dr Mohd Zairi berkata, satu daripada tujuan pengacukan antara baka ternakan ialah untuk mendapatkan kecergasan kacukan (hybrid vigour) iaitu penonjolan sifat yang lebih baik oleh mana-mana sifat dari kedua-dua baka ternakan berkenaan.

Katanya, dalam pengacukan baka Boer dan Black Bengal, sifat ini ditunjukkan pada berat kelahiran anak yang lebih tinggi berbanding dengan baka Black Bengal yang biasa, iaitu 1.4 kilogram sehingga 1.5 kilogram berbanding dengan 0.8 kilogram sehingga 0.9 kilogram.

”Begitu juga dengan kadar pertumbuhan anak kacukan setinggi 50 gram sehingga 80 gram sehari berbanding dengan 35 gram sehingga 40 gram pada berat baka Black Bengal,” katanya.

Potensi baik ini telah mendorong projek untuk mengembangkan lagi pengacukan kedua jenis kambing menggunakan lebih banyak betina Black Bengal.

Hasil dari pengacukan lebih lanjut menggunakan ternakan yang lebih banyak akan memberi gambaran yang lebih tepat tentang prestasi sebenar projek ini.

Pengacukan secara permanian beradas juga dalam pelaksanaan sebagai langkah jangka panjang kerana program sedemikian akan memerlukan perancangan dan penyediaan kepakaran teknikal serta belanjawan yang agak tinggi.

Kaedah ini dijangka dapat mengatasi masalah pengacukan menggunakan baka kambing pejantan Black Bengal kepada kambing betina Boer kerana kambing jantan itu mempunyai ketinggian rendah menyebabkan sukar untuk mengawan.

Boer baka emas industri ternakan

Ternakan kambing Boer berpotensi besar sebagai kambing pedaging kerana lebih menguntungkan dengan menghasilkan daging merah yang enak dan berkhasiat.


RAMAI telah mengetahui mengenai kambing dikenali sebagai Boer. Boer, kambing yang dianggap eksklusif kerana harganya yang mahal, kini semakin mendapat perhatian para penternak yang berlumba-lumba untuk menternaknya.

Walaupun demikian, perkembangan industri ternakan kambing tempatan khususnya untuk spesies Boer tidak ke tahap mana kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti masalah kekurangan baka.

Sejarah kambing Boer sebenarnya bermula lebih 10 tahun lalu apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membawa masuk kambing pedigree dari Afrika Selatan.

Selepas itu, MARDI sekali lagi mengimport kambing Boer fullblood dan kali ini dari Australia pula.

Kambing fullblood adalah kambing Boer yang dilahirkan di Australia hasil embrio yang diimport dari Afrika Selatan atau pembiakan pejantan dan induk betina Boer yang warisannya dari Afrika Selatan.

Kemudian pada 2004, MARDI sekali lagi membawa masuk kambing Boer dan kali ini spesies itu datangnya dari Republik Malawi.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Dr. Mohmad Mustafa berkata, gabungan kumpulan kambing Boer yang diimport dari tiga negara itu menjadi teras kepada penubuhan kumpulan nukleus Boer MARDI.

Kumpulan ini mempunyai kepelbagaian sumber genetik yang tinggi dan lebih berkualiti berbanding dengan agensi-agensi penyelidikan tempatan yang lain.

“Biarpun penternakan kambing Boer telah lama di negara ini, tetapi kita masih belum mempunyai ladang stud atau baka tulen dan hanya MARDI yang terlibat dalam ladang nukleus.

”Pemerhatian dan kajian yang dijalankan oleh MARDI menunjukkan kambing Boer mempunyai prestasi yang tinggi dari segi pertumbuhan dan pengeluaran daging,” katanya.

Walaupun masih belum terdapat ladang stud di negara ini, hasil tunjuk ajar pegawai MARDI kini beberapa syarikat penternakan telah mempunyai ladang pengganda.

Ini termasuk Ladang Satelit Boden dan Subur Sejahtera di Negeri Sembilan, SF Farm Enterprise di Kedah, Sayfull Sdn. Bhd. di Johor dan Syamille Agro Sdn. Bhd. di Perak.

Tahun lalu, ladang MARDI di Kluang, Johor yang bertindak sebagai ladang nukleus Boer telah menerima 1,000 ekor kambing Boer tulen dari Afrika Selatan.

Bagaimanapun pihak swasta perlu mengambil bahagian dalam membentuk ladang stud memandangkan fungsi MARDI adalah menjalankan penyelidikan.

Dr. Mohmad berkata, penternak perlu belajar kelebihan dan keperluan dalam segi pemakanan bagi membolehkan kambing membesar sehingga 300 hingga 400 gram (g) sehari atau sehingga hingga 12 kilogram (kg) sebulan.

Berpotensi besar

Ternakan kambing Boer berpotensi besar sebagai kambing pedaging kerana lebih menguntungkan dengan menghasilkan daging merah yang enak dan berkhasiat serta kandungan kolestrol lebih rendah daripada ayam.

Daging kambing juga boleh dimakan tidak kira bangsa dan mempunyai potensi besar. Industri tempatan hanya mempunyai kurang dari 300,000 ekor kambing dan hanya dapat menampung keperluan sara diri 10 peratus.

Kerajaan menyasarkan menjelang tahun 2015 dengan sasaran sara diri sebanyak 35 peratus atau satu juta induk kambing.

Kini, negara mengimport daging kambing bernilai RM150 juta setahun atau 25,000 tan metrik dan kebanyakannya adalah daging biri-biri dari Australia. Daging Boer juga sebenarnya boleh dikatakan tidak terdapat di pasaran.

Biasanya daging biri-biri import lebih murah tetapi mempunyai kolestrol yang tinggi.

Daging kambing Boer adalah eksklusif dengan harga yang tinggi dan tidak boleh bersaing dengan ayam.

Malah daging kambing Boer adalah sumber protein yang berkualiti dan pengguna bersedia untuk membayar walaupun harganya lebih mahal.

Begitupun, MARDI telah menjalankan banyak penyelidikan tetapi tahap pengeluaran daging kambing masih rendah.

”Masih banyak teknologi yang perlu dipindahkan kepada penternak sama ada kepada penternak ladang pengganda atau komersial,” katanya.

Kerajaan melihat projek ternakan kambing Boer berupaya membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan ibu tunggal terutama dalam peringkat ternakan komersial.

MARDI bertindak sebagai nukleus yang terlibat dalam menjalankan kajian meningkatkan kualiti dan produktiviti bagi menghasilkan baka kambing Boer bermutu tinggi.

Sementara penternak pengganda akan terlibat dalam menggandakan bilangan baka kambing Boer bagi kegunaan penternak komersial.

Secara tidak langsung, ini akan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Bagaimanapun penternak yang terlibat perlu menjalankan operasi dengan kaedah yang betul bagi mendapat pendapatan yang lumayan.

“MARDI dan Marditech memainkan peranan dalam mengimport dan memberikan kursus berkaitan ternakan kambing,” katanya.

Justeru MARDI baru-baru ini telah mendapatkan bantuan daripada pakar Boer Afrika Selatan bagi membantu meningkatkan kualiti ternakan.

Pengerusi Persatuan Kambing Boer Afrika Selatan, Stephanus W. Malan berkata, ternakan kambing Boer di negara ini mempunyai masa depan yang cerah kerana terdapat pasaran dan permintaan.

“Bagaimanapun sudah pasti sesuatu yang baru akan menghadapi pelbagai masalah. Tetapi dengan nasihat dan keyakinan yang ada pada penternak ladang pengganda dan komersial maka boleh menyelesaikannya dengan baik.

”Banyak yang perlu dipelajari memandangkan kambing Boer bukan haiwan asal di sini,” katanya selepas menyampaikan taklimat kursus mengenai ternakan kambing Boer kepada beberapa agensi kerajaan dan swasta di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Keupayaan MARDI telah terbukti berjaya dengan melahirkan ladang-ladang pengganda yang berpotensi menjadi ladang stud Boer.

Malan yang telah beberapa kali ke negara ini dan melawat ladang pengganda berkata, industri ternakan memerlukan penglibatan pihak swasta

Manakala tugas MARDI adalah membantu dalam mempersiapkan ladang kecil untuk menjadi ladang pengganda bagi mengeluarkan baka-baka kambing bermutu.

Adalah menjadi hasrat MARDI untuk mewujudkan sekurang-kurangnya enam ladang pengganda kambing Boer setiap tahun dan terkini adalah di tapak tanah rezab Veterinar di Air Guring, Jeli, Kelantan.

Pensyarah dari University of Pretoria, Afrika Selatan, Prof. Gareth Bath berkata, ternakan kambing Boer merupakan industri baru yang perlu diberikan perhatian khusus kerana kuasa ekonomi baru beralih ke Timur – China dan India.

Berkhasiat

Permintaan bagi protein yang bermutu tinggi dengan salah satu pilihan adalah daging kambing Boer yang berkhasiat.

“Bagi mendapatkan daging kambing yang berkualiti, kambing Boer perlu mencapai piawaian yang ditetapkan.

“Antaranya kambing Boer perlu mempunyai banyak daging tanpa mengubah fungsi haiwan berkenaan,” katanya.

Di Afrika Selatan, kambing Boer merayau antara 25 hingga 35 kilometer sehari bagi mendapatkan makanan.

Oleh kerana kambing bebas membuat pilihan makanan foraj yang terbaik dari kawasan ragutan semulajadi yang luas maka tumbesaran kambing sangat baik.

Menurut Malan, kambing Boer beliau boleh mencapai berat badan purata 35 kg pada umur tiga hingga empat bulan dan berat sehingga 100 kg apabila berumur setahun.

Beliau berkata, purata kenaikan berat badan harian kambing Boer yang baik boleh mencapai di antara 300 hingga 400 g sehari.

Bagi memulakan ladang stud, penternak tidak memerlukan kambing yang banyak, hanya sekurang-kurangnya 25 ekor betina dan seekor jantan.

Ladang stud akan diperiksa setiap dua tahun bagi memastikan ia memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Biasanya kambing Boer stud mempunyai ciri-ciri tertentu seperti bentuk kepala yang maskulin, dada yang bidang, badan yang panjang, paha yang besar dan kaki yang tegap.