Perlis mahu komersial projek ternakan belut

KANGAR: Perlis sedang meninjau projek ternakan belut secara komersial yang kini giat diusahakan di China dan Taiwan serta meletakkan sasaran muncul sebagai pengeluar utama belut negara.

Malah, jika projek berkenaan berjaya diusahakan seperti dirancang, Perlis dijangka mampu mengeluarkan 12,000 tan belut setahun bagi memenuhi keperluan belut dunia, terutama di Jepun.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, berkata belut mendapat harga yang tinggi di pasaran terutama di negara itu dengan majoriti bekalan disalurkan pengusaha China dan Taiwan.

Bagaimanapun, pengeluaran belut di kedua-dua negara berkenaan terutama China terhad berikutan peningkatan kos mengekalkan kesesuaian suhu.

Berdasarkan kajian, Malaysia terutama Perlis mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki China dan Taiwan iaitu suhu dan iklim paling sesuai untuk ternakan belut.

Justeru, katanya, Perlis dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan, Mass-Agri Consortium Sdn Bhd (Mass-Agri) dalam proses perbincangan dan kajian untuk memastikan sama ada projek itu boleh diusahakan secara komersial.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai ketua jabatan kerajaan negeri menghadiri taklimat projek perusahaan belut secara komersial oleh wakil Mass-Agri, di Kompleks DUN, di sini semalam.

Md Isa juga berkata, pihaknya berpuas hati dengan taklimat Mass-Agri, tetapi masih perlu dipertimbangkan apatah lagi dengan tapak seluas kira-kira 809 hektar yang diperlukan sebagai tapak kolam.

Beliau berkata, projek akan diusahakan secara kontrak dengan Mass-Agri bertanggungjawab menyediakan benih, makanan dan penyeliaan kepada pemilik kolam yang menyertainya.

“Berdasarkan perkiraan, setiap pengusaha perlu menyediakan 0.8 hektar untuk menempatkan empat kolam yang mampu menghasilkan kira-kira 1.5 tan belut bagi setiap kolam sepanjang tempoh tuaian selama enam bulan atau kira-kira tiga tan setahun,” katanya.

Bimbing usahawan daging

selepas berjaya sebagai penternak, nordin mat berusaha membimbing usahawan membangunkan outlet yang


Setelah berjaya dalam bidang penternakan kambing Boer, melibatkan diri dalam membangunkan usahawan ternakan serta kedai berasaskan daging, kini Nordin Mat melangkah setapak lagi dengan memulakan kursus perniagaan kedai daging secara komersial.

Selaku Pengarah KMJ Supplies Sdn. Bhd., Nordin berkata, kedai daging dengan jenama Perfect Fresh & Frozen telah mula mengadakan kursus setiap bulan bagi yang berminat memulakan perniagaan kedai daging mereka sendiri.

“Program yang lepas adalah dengan kerjasama dengan Mara berkonsepkan mentor mentee dengan Perfect Fresh & Frozen bertindak sebagai mentor.

“Di bawah Program Usahawan Bumiputera MARA, seramai 50 peserta telah disaring sebelum memilih 10 orang dan daripada itu hanya lima orang telah dipilih untuk memulakan kedai mereka masing masing,” katanya ditemui semasa sesi latihan kursus memulakan kedai daging secara komersial di premisnya di Kajang, Selangor.

Katanya, ini merupakan salah satu cara untuk mentee membangunkan sebuah kedai daging dengan bantuan mentor.

“Sebagai mentor, kami memberikan komitmen dari A hingga ke Z, bermula dengan bagaimana untuk memulakan sehingga menjalankan perniagaan,” katanya.

Nordin menambah, kedai daging ini dijangka akan dapat membantu individu yang terlibat dalam penternakan memandangkan outletnya menjual pelbagai jenis produk seperti daging kambing, lembu, rusa, arnab, burung unta, burung puyuh, ayam kampung dan sebagainya.

Kursus berkenaan mengambil masa tujuh hari menggunakan tenaga pengajar profesional bagi memantapkan lagi kefahaman peserta.

“Mereka juga digalakkan menjalankan trial and error sendiri sehingga mereka benar-benar boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri,” katanya.

Peserta juga akan diajar melayan pelanggan dengan memberikan seberapa banyak banyak maklumat mengenai potongan daging, kesesuaian dan juga resipi.

Pelanggan juga diberikan tip memilih serta penjagaan daging serta masakan yang sesuai.

Cara ini bukan saja dapat menambahkan pengetahuan pelanggan tetapi juga memberikan pilihan kepada pelanggan untuk datang lagi ke kedai berkenaan.

Apa kata peserta?

Bertugas sebagai kontraktor selama 22 tahun, Hasnul Badaruddin, 42, melihat industri makanan mempunyai potensi yang besar semasa ambang kemelesetan ekonomi.

“Saya telah menjalankan tinjauan di Taman Permata, Hulu Kelang dan Bandar Sri Damansara dan mendapati permintaan terhadap produk makanan adalah tinggi.

“Selain ini industri berkenaan juga mengeluarkan produk berasaskan daging yang suci, sihat dan halal,” katanya yang bercadang untuk membuka kedai daging di Taman Permata menjelang Mac ini.

Beliau yang datang menjalani kursus berkenaan dengan anak perempuannya, Siti Norsalsabila, 18, berkata, kursus yang diikuti akan menjadi galakan untuk anaknya memulakan perniagaan.

Sementara suri rumah, Norainon Aiman, 39, mendapat dorongan suami bagi menghadiri kursus berkenaan.

“Pada mulanya saya tidak berminat untuk membuka kedai daging tetapi selepas diberikan pendedahan barulah hati saya terbuka,” katanya.

Beliau menambah, latihan yang disertai memberikan banyak ilmu yang bermanfaat mengenai keratan daging.

“Buat masa ini saya amat yakin dan merancang untuk membuka kedai di Shah Alam selewat-lewatnya Mac ini,” katanya yang tinggal di Beranang, Selangor.

Kursus menghasilkan benih cendawan pada 7 hingga 11 Februari ini di Institut Sains Biologi UM

Meskipun ada dakwaan bahawa pasaran untuk cendawan semakin kurang, namun keperluan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran tanaman tersebut perlu diteruskan.

Kursus mengenai teknik penanaman cendawan masih giat dijalankan kerana sambutan daripada orang ramai sentiasa ada.

Ini membuktikan masih ramai berminat untuk menceburi bidang penanaman cendawan. Tetapi di sebalik keghairahan itu, masalah bekalan benih masih membelenggu industri tersebut.

Ia merupakan satu kekangan bagi mengembangkan industri berkenaan ke tahap yang lebih baik.

Selama ini ramai pengusaha tanaman cendawan menghadapi masalah mengenai harga benih yang melambung tanpa kawalan, kualiti benih cendawan yang dibekalkan serta kerumitan memperoleh bekalan yang berkualiti dan terjamin.

Justeru Persatuan Penyelidik Cendawan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Genting Permai Resources Sdn. Bhd. mengadakan Kursus Tisu Didik Cendawan selama lima hari bermula 7 hingga 11 Februari ini di Institut Sains Biologi UM.

Kursus berkenaan yang dikendalikan oleh tenaga pakar dari UM ini meliputi teori dan praktikal bagi penyediaan benih cendawan bermula dari awal hingga akhir.

Pada awal kursus peserta akan diberikan penerangan mengenai kitar hidup cendawan, didedahkan mengenai teknik aseptik dan pensterilan secara amali.

Mereka juga akan diajar mengenai penyediaan media yang sesuai bagi tisu didik cendawan dimana segalanya akan dilakukan oleh peserta sendiri.

Selepas itu peserta juga akan didedahkan dengan penyediaan kultur cendawan sama ada daripada batang atau insang cendawan.

Semua kaedah ini akan dilakukan sendiri oleh peserta bagi melihat keupayaan menghasilkan benih cendawan menerusi kultur didik cendawan.

Bagi hari ketiga dan keempat sementara menunggu benih cendawan terhasil, peserta akan diberikan pilihan sama ada untuk melawat ladang cendawan yang menghasilkan benih cendawan di sekitar Lembah Kelang atau aktiviti lain yang sesuai.

Selepas benih cendawan dihasilkan, peserta akan diajar cara menyimpan kultur cendawan yang betul.

Akhir sekali, semua hasil benih cendawan yang dihasilkan peserta akan dinilai sebelum perbincangan bagi meningkatkan kualiti benih yang dikeluarkan.

Penanaman cendawan yang berminat menghadiri kursus berkenaan boleh mendapatkan maklumat berkenaan dengan menghubungi Zainon di talian 013-3418202.

Jathropa untuk biofuel

Pokok jarak atau Jathropa curcas bukan lagi sekadar tumbuhan biasa yang ditanam sekadar untuk mencantikkan kawasan atau tujuan pertanian lain.

Malah sebelum ini, tidak ramai yang mengetahui bagaimana rupa pokok jarak itu, tetapi selepas satu penemuan menyatakan ia mempunyai nilai tinggi, maka pokok ini kian popular.

Tidak seperti di Malaysia, di beberapa negara lain seperti India, Indonesia dan Myanmar sebagai contoh, pokok jarak telah digunakan sebagai bahan api bio atau biofuel.

Di Indonesia misalnya terdapat projek komuniti yang mana penduduk kampung memanfaatkan pokok tersebut untuk kegunaan rutin mereka sebagai bahan bakar.

Berbeza dengan Malaysia, pokok tersebut seperti baharu hendak diperkenalkan meskipun ada usaha untuk menanamnya setakat ini selepas menyedari nilainya yang tinggi itu.

Sama ada harga minyak akan meningkat semula atau kekal pada harga sekarang, semua pihak perlu menyedari bahawa satu usaha perlu dilakukan bermula sekarang untuk menghasilkan bahan api alternatif atau khususnya yang berkaitan dengan bahan bio.

Ini kerana pergantungan kepada bahan api fosil secara berterusan bukan sahaja mengundang risiko pencemaran, tetapi juga lebih berat lagi, ia akan kehabisan.

Justeru, bahan api bio lebih sesuai untuk dijadikan alternatif sebagai bahan api sedia ada, apatah lagi ia lebih selamat, bersih dan boleh diperbaharui.

Malaysia bertuah kerana banyak sisa bahan yang boleh dijadikan asas penghasilan bahan api termasuk biojisim selain minyak sawit biodiesel.

Justeru, pengenalan pokok jarak dengan bijinya yang dikatakan mempunyai kandungan minyak sehingga 50 peratus, membayangkan betapa bertuahnya negara ini yang subur dengan pelbagai tanaman.

Hanya yang perlu dilakukan sekarang ialah, sejauhmana kita proaktif dengan semua peluang tersebut dengan menggerakkan satu dana penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh saintis bagi menjadikan minyak jarak sebagai biofuel sebagai satu realiti.

Setakat ini, satu daripada penyelidikan mengenainya sudah menampakkan hasil yang membanggakan, dimulakan sejak 2006 oleh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Robiah Yunus.

Ia bermula apabila dicabar seorang rakannya supaya mencuba menghasilkan minyak daripada pokok jarak atau disebut jarak pagar pada 2006.

Baginya, ‘cabaran’ tersebut tidak menimbulkan masalah besar memandangkan bidang penyelidikan yang menjadi kepakarannya selama ini berkaitan kejuruteraan kimia.

Malah, Dr. Robiah sebelum terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) minyak pelincir daripada minyak sawit.

Geran IRPA

Projek tersebut dilaksanakan menerusi satu penyelidikan yang dibiayai oleh geran Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) bermula pada 2000.

Menerusi penyelidikan tersebut, Dr. Robiah berjaya menghasilkan sejenis minyak pelincir yang beliau namakan Rysoil iaitu minyak pelincir mesra alam yang dihasilkan daripada kelapa sawit dengan menggunakan kemudahan makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya disiapkan pada penghujung 2003.

Minyak pelincir sintetik tersebut dihasilkan daripada minyak sawit menerusi beberapa tindak balas bagi menghasilkan bahan asasnya yang dinamakan poliolester.

Kini beliau berjaya memanfaatkan biji jarak sebagai bahan asas penghasilan biofuel menerusi satu proses tertentu dan didapati lebih sesuai berbanding minyak sawit.

Ini kerana katanya, dalam keadaan suhu bilik, minyak pokok jarak wujud dalam bentuk cecair manakala minyak sawit mentah dalam keadaan beku yang memerlukan ia dicairkan terlebih dahulu.

Selain boleh dijadikan biofuel, minyak pokok jarak juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelincir, sama seperti yang dilakukan terhadap minyak sawit.

Malah, harganya lebih mahal berbanding minyak pelincir daripada yang ada sekarang ini pada kuantiti yang sama.

Menurut Dr. Robiah, dengan modal pembiayaaan penyelidikan daripada TechnoFund (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) yang mencecah RM 4.5 juta, beliau menjalankan penyelidikan tersebut dengan menggunakan kaedah tertentu yang sesuai.

Apa yang beliau lakukan ialah dengan mencampurkan bahan tertentu kepada minyak tersebut bagi mengurangkan kandungan asid lemak bebas yang tinggi

“Sekiranya ini tidak dilakukan, maka ia tidak akan menghasilkan minyak pelincir sebaliknya cecair berbuih seperti sabun,” katanya.

Justeru, sejenis bahan kimia perlu dicampurkan untuk ‘membasuh’ atau meneutralkan asid lemak bebas tersebut.

Sama seperti minyak sayuran lain, seperti kanola, reepseed, kandungan asid oleik yang tinggi dalam minyak pokok jarak ini menjadikannya berbanding minyak sawit yang mengandungi asid palmitik yang tinggi.

Bagaimanapun dalam keadaan biasa, minyak pokok jarak boleh digunakan terus ke jentera sekiranya palam pencucuhnya diubahsuai terlebih dahulu.

“Jika ketika ini kandungan biodiesel yang ada menggunakan lima peratus minyak sawit, penggunaan minyak jarak boleh mencapai sehingga 20 peratus manakala 80 peratus lagi merupakan diesel,” katanya.

Dengan kejayaan tersebut, beliau bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk meningkatkan kawasan penanaman pokok jarak supaya sebarang usaha mengkomersialkannya disokong oleh pengeluaran bahan mentah secara berterusan.

Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk menghasilkan mesin mengopek buah jarak untuk mendapatkan bijinya memandangkan kerja tersebut akan rumit dan memerlukan tenaga buruh yang ramai.

Pada masa sama, mesin menghasilkan minyak perlu dihasilkan bagi membolehkan proses tersebut lebih mudah.

Mesin tersebut mungkin mudah dan mudah alih supaya senang dikendalikan oleh golongan penanam.

Menurut Dr. Robiah lagi, dengan bantuan dari TechnoFund, kilang minyak pelincir boleh dibina bagi meningkatkan hasil tambah minyak sawit atau pokok jarak.

Hakikatnya kata beliau, memanfaatkan penggunaan jathropa atau pokok jarak bukan bertujuan untuk bersaing dengan minyak sawit, sebaliknya satu alternatif kepada minyak sedia ada.

Ceburi industri herba

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Masyarakat luar bandar digalak mengusahakan tanaman herba di kawasan sekitar rumah atau kawasan terbiar bagi maemastikan industri itu terus berkembang.

Penasihat Herbal Asia dan Kempen Celik Herba SeMalaysia, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, masyarakat perlu disedarkan tentang pentingnya industri itu selain mempunyai motivasi untuk mengusahakan tanaman herba.

“Masyarakat luar bandar boleh menjalankan aktiviti tanaman herba di sekeliling rumah serta di kawasan tanah terbiar.

“Bidang yang paling mudah untuk diceburi oleh masyarakat luar bandar ialah pertanian khasnya tanaman kontan seperti herba,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Prapelancaran Pameran dan Konvensyen Herba Asia kali keenam di sini semalam.

Pameran anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Gitex (M) Sdn. Bhd. itu akan berlangsung selama empat hari bermula 30 April hingga 3 Mei ini di Dewan Matrade (Perbadanan Kemajuan Perdagangan Luar Malaysia).

Ia disertai pengusaha-pengusaha industri tersebut dari beberapa negara termasuk China, Filipina, India dan Singapura selain para pengusaha tempatan.

Abdul Rahim yang juga Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi lain perlu memberikan komitmen yang tinggi bagi mencapai impian negara menjadi hab perdagangan herba.

Menurutnya, sekiranya kerajaan dapat melaksanakan pelan tindakan mengikut dasar pertanian negara dengan kerjasama semua pihak, beliau percaya industri herba akan menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

“Sampai masanya Kementerian Pelancongan memainkan peranan dalam memajukan lagi industri herba negara serta membantu mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan,” jelasnya.

Rahim berkata, melalui pameran perdagangan yang akan diadakan itu, para pengusaha atau orang ramai yang berminat untuk menceburi industri itu boleh menjadikannya sebagai landasan untuk lebih maju dalam bidang tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kajian dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB), Datuk Suboh Yassin berkata, pasaran industri herba negara kini bernilai lebih RM4.5 bilion dan dijangka meningkat sehingga RM10 bilion menjelang 2010.

Menurutnya, kejayaan negara mencatatkan peningkatan dalam pertumbuhan industri herba telah meningkatkan kebimbangan masyarakat terhadap kepupusan spesies tumbuhan yang bernilai dan terancam.

Jelas beliau, ini kerana tumbuhan herba yang digunakan dan mendapat permintaan tinggi biasanya tumbuh meliar di hutan tropika negara.