Azian hasilkan coklat gamat, diabetis

KUALA PILAH 20 Jan. – Dalam usaha mengembangkan perniagaan coklat buatan tangan, melalui syarikatnya Zaira Food Technology, Azian Razak berusaha menghasilkan coklat resipi tempatan yang mempunyai keistimewaannya.

Usaha tersebut berbekal daripada pengalaman yang diperoleh setelah dua tahun berkhidmat dengan sebuah institut penyelidikan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

“Usaha ini adalah salah satu cara untuk bersaing dalam industri ini agar jenama zyraz’s dikenali dengan produknya yang tersendiri,” katanya.

Menurut Azian, hasil daripada kajiannya sendiri, beliau berjaya menghasilkan coklat gamat dan coklat untuk diabetis.

“Coklat tersebut diadun menggunakan bahan tersendiri seperti coklat untuk diabetik yang tidak menggunakan pemanis berasaskan tebu dan sesuai bagi mereka yang menghidapi diabetis,” katanya.

Sementara itu katanya, coklat gamat pula mempunyai banyak khasiat termasuk menyembuhkan sebarang luka.

“Selama ini kita cuma mendengar tentang air dan minyak gamat saja tetapi kini coklat gamat pula yang mempunyai khasiat yang sama,” katanya.

Katanya, produk tersebut akan dipasarkan kelak setelah mempunyai modal yang mencukupi.

“Coklat untuk diabetis misalannya memerlukan ramuan khas bagi menggantikan gula dan ia agak mahal. Begitu juga dengan gamat.

“Tetapi saya berharap usaha ini dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ia salah satu usaha membangunkan perniagaan ini,” tambahnya.

Kata Azian, biarpun usaha itu masih dalam perancangan, beliau mempercayai ia dapat dilaksanakan selagi ada keinginan.

”Saya percaya sesebuah perniagaan tidak harus berada pada tahap itu saja dan ia harus dipertingkatkan apatah lagi dengan saranan serta sokongan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Lazatnya coklat Malaysia

DUA pekerja, Siti Nurhana Shamsudin, 18, dan Nurseha Norazmi, 20, (kiri) sibuk menyusun dan membungkus coklat zyraz’s di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. – Gambar SHAHJEHAN


KUALA PILAH 20 Jan. – Industri coklat buatan tangan semakin mendapat tempat di kalangan usahawan bumiputera walaupun ia sangat kompetitif termasuk harus bersaing dengan syarikat coklat dari luar negara yang sudah lama bertahan.

Usahawan muda, Azian Razak, 30, adalah salah seorang daripada yang nekad mengusahakan perniagaan tersebut demi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan industri pemerosesan makanan.

Menurut Azian yang merupakan anak jati dari Kuala Pilah, di sebalik pelbagai persepsi negatif masyarakat tentang coklat tempatan yang dikatakan tidak selazat coklat import, beliau yakin potensi industri tersebut sangat cerah.

“Semakin banyak yang semakin sedar tentang kepentingan mendapatkan produk halal di pasaran jadi inilah yang usahawan seperti saya cuba sediakan. Selain tidak perlu lagi risau tentang kandungan bahan digunakan, coklat tempatan juga tidak kurang enaknya,” katanya.

Menurut Azian yang pernah berkhidmat sebagai pembantu penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha memperkenalkan coklat jenama zyraz’s itu, beliau kerap menyertai pelbagai ekspo pertanian termasuk berasaskan makanan.

“Penyertaan dalam ekspo seperti ini sering kali membuka ruang kepada saya untuk memperkenal dan mempopularkan coklat tersebut.

Setakat ini, kata Azian, syarikatnya mengeluarkan sebanyak 15 jenis coklat dan coklat golden nugget zyraz’s adalah antara yang mendapat sambutan.

“Salah satu kelebihan coklat buatan tempatan selain dijamin halal, harganya juga berpatutan,” katanya.

Pada masa ini, Azian yang mendapat bimbingan Jabatan Pertanian negeri sangat bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam membantu usahawan bumiputera sepertinya.

Sebagai contoh jika dulu beliau cuma beroperasi di rumah tetapi kini disediakan bengkel khas untuk memproses produk tersebut di inkubator memproses makanan di sini.

“Dengan kemudahan yang disediakan termasuk peralatan, saya mampu menghasilkan lebih 50 kilogram coklat pelbagai jenis setiap hari,” katanya.

Daripada segi pembungkusan pula, kata Azian, beliau mendapat bantuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) yang menyediakan bungkusan khas.

Bercakap tentang perancangan masa depan, kata Azian, beliau berhasrat untuk memasarkan coklat buatannya ke seluruh negara termasuk luar negara.

“Baru-baru ini saya mendapat tawaran daripada salah sebuah pusat membeli belah popular yang bersetuju untuk menjual coklat saya.

“Tetapi saya terpaksa menangguh dulu tawaran tersebut sehingga pertengahan tahun ini kerana masalah pengeluaran. Bagi memenuhi tawaran tersebut saya harus mengeluarkan sekurang-kurangnya 5,000 pek coklat.

“Insya-Allah selepas saya berjaya mendapatkan kilang yang lebih besar di Damansara, Selangor tidak lama lagi, permintaan itu akan dipenuhi kelak,” katanya yang mempunyai kelulusan industri kimia daripada UPM.

Selain itu beliau juga berhasrat untuk memasarkan coklatnya di butik coklat di lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Murah LCCT.

“Ini adalah salah satu cara untuk mempopularkan coklat ini di kalangan pelancong asing terutama yang mempunyai resipi tempatan. Saya berharap coklat zyraz’s kelak menjadi salah satu pilihan pelancong untuk dijadikan cenderamata bagi dibawa pulang ke negara masing-masing,” tambahnya.

Pada masa ini kata Azian, beliau berminat untuk mendapatkan ejen bagi membekalkan coklat tersebut.

“Bagi yang berminat untuk menjadi ejen boleh menghubungi talian 017-2231546,” katanya.