Dua anak muda cekal hasilkan coklat tempatan



ASRI (kiri) dan Mohd Hasrizal sama-sama mengembangkan perniagaan coklat.

Produk Amani 100 peratus buatan Malaysia bercita rasa antarabangsa

COKLAT keluaran syarikat dua anak muda ini dijual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kompleks beli-belah terkemuka di kawasan tumpuan pelancongan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Jika tidak melihat label bungkusan coklat, pasti ramai menyangka coklat berjenama ala Barat, Amani adalah keluaran Belgium atau Switzerland.

Rupa-rupanya, Amani dihasilkan di sebuah kilang kecil pinggir ibu negara, Desa Tun Razak. Lebih penting adalah produk ini adalah 100 peratus buatan Malaysia.

Pembuatan coklat kini menjadi industri yang menjanjikan pulangan lumayan berdasarkan sebahagian besar penduduk dunia, termasuk negara ini menggemari coklat.

Potensi besar dalam industri ini menyebabkan dua anak muda, Asri Abidin dan Mohd Hasrizal Mustaffa berkongsi cita-cita, kesungguhan dan tenaga, mengasaskan Rab Nine Food Industries Sdn Bhd, mengeluarkan coklat buatan tempatan, tetapi bercita rasa antarabangsa.

BLOK coklat yang digunakan sebagai bahan asas pembuatan coklat.

Masing-masing berumur 24 tahun dan berasal dari Perak, membuka kilang sejak 2007 dan bergerak secara agresif tahun lalu. Asri yang mempunyai latar belakang pengeluaran coklat menguruskan kilang, manakala Mohd Hasrizal, menumpukan kepada pentadbiran dan pemasaran.

Lulusan diploma dari Institut Makanan Malaysia (FIM) di Petaling Jaya, Asri bekerja di sebuah hotel selama enam bulan, tetapi minat terhadap coklat menyebabkannya bekerja dengan Lembaga Koko Malaysia.

Selama setahun bekerja sebagai pembantu penyelidik membuat coklat membolehkannya mempelajari rahsia membuat coklat dan keinginan untuk tidak hanya makan gaji menyebabkannya membuat keputusan berhenti kerja.

Asri dan Mohd Hasrizal bergabung tenaga dan bermula dari kosong membangunkan jenama Amani hingga kini semakin teguh berdiri.

SYARIKAT Amani mengutamakan kebersihan dalam pembuatan coklat.

“Perniagaan membuat coklat selama ini dimonopoli bukan Bumiputera sedangkan potensi pasaran amat besar kerana majoriti penduduk Malaysia menggemari coklat dan makanan berasaskan coklat,” kata Asri.

Walaupun memasuki industri yang selama ini dikuasai syarikat gergasi dan lambakan produk Eropah di pasaran, Mohd Hasrizal berkata, mereka tidak bimbang kerana produk syarikat kecil mempunyai kelebihan tersendiri.

Dari segi kualiti, coklat tempatan setanding coklat terkenal Belgium, manakala dari segi harga adalah lebih murah.

“Kami mampu menjual coklat 100 gram pada harga RM18. Jangan harap dapat harga ini jika beli coklat import,” katanya.

Berbanding coklat import, katanya coklat tempatan terutama yang dihasilkan usahawan Muslim tidak perlu diragukan dari segi halal haram kerana tidak menggunakan alkohol, suatu amalan biasa di kalangan pengeluar coklat luar negara.

Apakah yang membezakan sesuatu jenis coklat? Asri memberitahu perbezaan ini bergantung kepada kandungan koko. Coklat yang mempunyai lebih tinggi kandungan koko mempunyai rasa lebih pahit.

Katanya, coklat yang dikenali sebagai coklat gelap (dark chocolate) digemari orang Barat yang apabila membeli meneliti terlebih dulu kandungan koko dalam coklat. Orang Malaysia pula menggemari coklat susu.

“Coklat gelap pahit kerana mempunyai antara 40 hingga 50 peratus kandungan koko, manakala coklat susu kurang dari 40 peratus,” katanya.

Mengapa sesetengah jenis coklat, terutama yang murah tidak begitu enak? Asri berkata, ini bergantung kepada jenis lemak koko (cocoa butter) yang digunakan. Kebiasaan coklat berkualiti tinggi menggunakan lemak koko asli, manakala coklat berkualiti rendah menggunakan minyak sayur-sayuran.

Keunikan perniagaan coklat mereka ialah majoriti kira-kira 15 pekerja yang digaji diambil daripada kalangan rakan dan majoriti berumur 24 tahun ke bawah.

“Senang! Kami boleh bercakap terus-terang kerana semua satu kepala, tetapi bos tetap bos. Mereka tetap hormati kami,” kata Mohd Hasrizal.

Perniagaan coklat berdepan cabaran getir pada peringkat awal operasi. Pada bulan pertama, antara 30 hingga 40 kilogram coklat dibuang kerana tidak menepati standard ditetapkan. Coklat yang sepatut berwarna coklat ada tompok putih kerana pelbagai faktor seperti suhu tidak sesuai.

Asri berkata, lama-kelamaan, pekerja semakin mahir dan selepas setahun beroperasi, mampu menarik nafas lega kerana semakin diyakini pelanggan.

Selain pelanggan runcit, katanya mereka mempunyai pelanggan korporat yang mengadakan majlis tertentu, manakala permintaan meningkat ketika cuti persekolahan atau musim perkahwinan kerana perubahan cita rasa menyebabkan ada yang menggantikan bunga telur dengan coklat.

Malah, katanya coklat sesuai dijadikan hadiah untuk hari tertentu seperti hari kekasih dan hari jadi.

INFO

Coklat

  • Coklat boleh dikategorikan sebagai coklat tulen atau kompaun.
  • Coklat tulen mengandungi tidak kurang daripada lima peratus lemak sayuran.
  • Coklat yang digunakan sebagai salutan untuk membuat biskut, manisan atau produk coklat yang lain mengandungi tidak kurang daripada 12 peratus cecair koko.
  • Produk koko atau coklat yang tidak memenuhi kriteria di atas dikenali sebagai coklat kompaun.
  • Coklat yang mempunyai lebih tinggi kandungan koko mempunyai rasa lebih pahit.
  • Coklat yang dikenali sebagai coklat gelap (dark chocolate) digemari orang Barat yang apabila membeli meneliti terlebih dulu kandungan koko dalam coklat.
  • Orang Malaysia menggemari coklat susu.
  • Coklat sesuai dijadikan hadiah untuk hari tertentu seperti hari kekasih dan hari jadi.
  • Pinggan pakai buang ubi kayu



    Pinggan pakai buang yang boleh dimakan, dihasilkan daripada ubi kayu.

    Hasil keluaran NHI berbeza dengan pinggan polistrin kerana pinggan ubi kayu lebih mesra alam dan boleh lupus dalam tempoh 28 hari

    UBI kayu memang sinonim di negara ini sebagai pengalas perut ketika Perang Dunia Kedua. Kini ia lebih popular sebagai makanan ringan seperti kerepek selain dijadikan kanji memekat kuah masakan.

    Di Brazil, tepung ubi kayu digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Ia digoreng, dipanggang dan dipercik dengan santan manakala di Amerika Syarikat pula, ubi kayu diuli kecil bersaiz dua hingga tiga milimeter (mm) untuk dijadikan perhiasan seperti mutiara.

    ‘Resume’ ubi kayu di seluruh dunia memang hebat. Justeru, tidak hairan apabila sebuah syarikat tempatan, Natures Harmony Industries Sdn Bhd (NHI) yang menjalankan penyelidikan selama tiga tahun berjaya menghasilkan pinggan daripada ubi kayu. Lebih unik, pinggan yang dihasilkan itu boleh dimakan.

    Sejak diperkenalkan pada awal Oktober lalu, NHI menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang ingin mengetahui keistimewaan pinggan ubi kayu. Dengan dihasilkan daripada bahan semula jadi dan mesra alam, pinggan pakai buang ubi kayu memang ditunggu-tunggu untuk menggantikan pinggan pakai buang yang ada di pasaran sekarang.

    Memang diakui di pasaran sekarang terdapat pelbagai jenama pinggan pakai buang yang kebanyakannya dihasilkan daripada bahan buangan. Ada juga yang dihasilkan daripada bahan petroleum. Justeru, dari segi kesihatan, penggunaan produk itu agak berisiko kerana ia mungkin merangsang sel barah, lebih-lebih lagi ia mengambil masa antara 120 hingga 80 hari untuk terbiourai.

    Doh perlu diuli selama 30 minit.

    Pinggan daripada ubi kayu agak berbeza kerana ia lebih mesra alam dan boleh lupus dalam tanah pada masa lebih cepat, iaitu 28 hari.

    Pengarah Urusan NHI, Ramaness Parasuraman, berkata pinggan daripada ubi kayu bukanlah satu-satunya produk keluaran NHI, sebaliknya syarikat itu akan menghasilkan mangkuk, sudu, garfu selain bekas makanan dan talam daging daripada bahan itu mulai tahun depan.

    Ramaness berkata, matlamat utama syarikat itu menghasilkan pinggan ubi kayu bertujuan untuk memberi pilihan produk yang mesra alam kepada pengguna.

    “Pinggan ubi kayu adalah pilihan terbaik bagi kempen cintai alam sekitar. Ia mudah lupus kerana dibuat daripada bahan semula jadi selain sisanya boleh dijadikan makanan ternakan,” katanya.

    P Ramaness (kanan) berbangga dengan produk pinggan ubi kayu mesra alam hasil penyelidikan selama tiga tahun.

    Pinggan ubi kayu memiliki jangka hayat selama dua tahun dan selepas itu mikrobnya akan lupus secara semula jadi menjadikan saiznya mengecil daripada saiz sebenar.

    Ramaness berkata, syarikat itu menghasilkan pinggan ubi kayu berasaskan pemerhatian selain pembangunan dan penyelidikan yang dilakukannya.

    “Dulu ubi kayu popular sebagai kerepek. Sekarang, ia boleh dibangunkan menjadi pinggan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi petani. Penggunaan pinggan ubi kayu juga bersesuaian dengan polisi sesetengah negara yang menggalakkan produk mesra alam,” katanya.

    Beliau berkata, polisi kebanyakan negara barat yang mengharamkan penggunaan bekas makanan daripada polistrin membuka ruang kepada produk berkonsepkan mesra alam seperti pinggan ubi kayu.

    “Ketika kami membawanya ke Amerika Syarikat buat pertama kali, ia mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan. Malah, kami menerima tempahan dari sebuah rangkaian hipermarket di negara itu dan mulai tahun ini kami akan meningkatkan pengeluarannya,” katanya.

    Selain Amerika Syarikat, konsep mesra alam pinggan ubi kayu ini turut menarik perhatian syarikat pengendali kereta api China, iaitu China Railways Road yang menyediakan ribuan kotak makanan sehari untuk penumpangnya menggunakan pinggan pakai buang, polistrin.

    Bekas makanan itu biasanya sukar diuruskan kerana jumlahnya yang banyak dan mengambil masa lama untuk dilupuskan.

    Ramaness berkata, selain mempromosikan produk mesra alam untuk menembusi pasaran antarabangsa, pengeluarannya pinggan ubi kayu boleh meningkatkan taraf hidup petani di negara ini yang mengusahakan tanaman itu.

    Ketika ini kebanyakan bekalan ubi kayu yang diperoleh NHI dibawa masuk dari Thailand. Namun, menjelang tahun depan bekalan mentah ubi kayu juga dijangka diperoleh dari ladang tempatan seperti Kelantan.

    NHI kini beroperasi di Nilai dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta unit sebulan. Oleh kerana sambutan sungguh menggalakkan daripada pasaran tempatan dan luar negara, NHI akan memperbesarkan saiz kilang, menambah lima buah mesin yang dibeli dari Jerman.

    Peningkatan taraf kilang dijangka mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 48 juta unit pinggan. Untuk memenuhi permintaan dari negara luar antaranya Amerika Syarikat dan China, NHI juga mengalu-alukan mereka yang berminat untuk membuat pelaburan dan menjadi wakil pengedar.

    INFO: Pinggan ubi kayu

  • Pinggan ubi dihasilkan daripada 99 peratus tepung ubi kayu
  • Prosesnya bermula dengan diformulasikan selama 20 minit sebelum diuli dengan mesin uli berbentuk kawah kecil selama 30 minit.
  • Selepas menjadi doh, ia akan dipotong-potong kecil menggunakan mesin pemotong.
  • Setiap satu doh dimasukkan ke dalam acuan membentuk pinggan.
  • Setiap satu doh akan dibakar selama 45 saat pada tahap 220 hingga 240 darjah Celsius.
  • Pinggan yang dihasilkan akan dihantar ke mesin pengukur dan pemotong berbentuk saiz pinggan bagi memastikan setiap produk memiliki ukuran standard.
  • Pinggan ubi kayu boleh menahan kepanasan hingga 180 darjah Celsius atau selama empat jam sebelum mula mengembang.
  • Bagi makanan sejuk ia boleh bertahan selama sehari.
  • Jika tidak digunakan langsung, ia boleh bertahan selama dua tahun.
  • Bagi memastikan mutu dan kualiti pinggan yang dihasilkan, hanya ubi kayu jenis KU 55 saja digunakan. Ini kerana ubi kayu jenis ini memiliki kandungan serat yang tinggi.
  • Hasil lumayan usaha benih ikan

    ROSLAN Omar menunjukkan seekor induk ikan keli yang digunakan untuk penetasan.


    PASIR PUTEH 18 Jan. – Roslan Omar, 30, berkelulusan dalam bidang Sains Biologi Universiti Malaysia Sabah pada awalnya bekerja sebagai operator kawalan mutu di sebuah kilang kereta di Kuala Lumpur.

    Ia tiada kaitan dengan bidang yang dipelajari di universiti setelah menghabiskan banyak masa, juga belanja. Jawatan yang disandang pula tidak memerlukan ijazah sekadar sijil peringkat menengah.

    Namun, Roslan yang berasal dari Kampung Banir Belikong, Selising dekat ini terpaksa bekerja untuk menampung keperluan sementara menunggu peluang pekerjaan.

    Bagaimanapun, setelah bapanya meninggal dunia, dia pulang semula ke kampung bagi menemani ibunya yang tinggal bersendirian dan di situlah Roslan yakin dia tidak perlu terus berharap makan gaji tetapi berdikari untuk masa depannya.

    ”Saya dapati begitu kurang pengusaha dalam projek benih ikan bagi menampung keperluan, berbanding mereka yang mengusahakan ternakan ikan.

    ”Saya pada awalnya turut menternak ikan secara kecil-kecilan di kawasan tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu sejak tiga tahun lalu dan kemudiannya melibatkan diri dalam proses penetasan benih ikan setelah mempelajari daripada mereka yang berjaya,” katanya.

    Setakat ini, beliau mampu memenuhi permintaan termasuk benih ikan puyu, tilapia, sepat, patin dan keli oleh penternak yang memerlukan antara 1,000 hingga puluhan ribu ekor pada satu-satu masa.

    ”Harga jualan bagi benih mengikut ukuran antara satu setengah inci hingga tiga inci dengan harga antara lima hingga 10 sen seekor,” jelasnya.

    Menurutnya, dalam menyediakan semua benih ikan tersebut, dia mempunyai beratus ekor induk bagi mendapat telur yang ditempatkan dalam kolam tanah dan simen.

    Setakat ini, katanya, beliau mampu menghasilkan antara 10,000 hingga 100,000 benih ikansebulan melibatkan semua jenis bagi memenuhi keperluan penternak yang memerlukannya.

    ”Kini saya puas hati melihatkan kerja yang dilakukan mendapat hasil lumayan berikutan pasaran yang baik sekarang dan juga pada masa hadapan,” ujarnya.

    Roslan memberitahu, semasa memulakan usahanya itu, dia hanya bermodalkan kira-kira RM15,000, hasil simpanan dan bantuan keluarga untuk menyediakan kolam dan sangkar serta membeli benih ikan.

    ”Tetapi saya lebih menumpukan kepada ikan keli kerana boleh dipasarkan dalam tempuh tiga bulan berbanding tilapia, puyu, patin dan sepat yang mengambil kira-kira tujuh bulan sebelum boleh dijual,” ujarnya.

    Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berusaha memproses sendiri makanan untuk ikan tersebut bagi mengurangkan kos termasuk menggunakan beras hancur dan hampas kacang soya yang dimasak seperti dodol.

    ”Andainya menggunakan pelet di pasaran, saya terpaksa membelanjakan lebih RM1,000 tetapi dengan memprosesnya sendiri, saya mampu mengurangkan kos sehingga RM400,” ujarnya.

    Setakat ini beliau juga mempunyai kira-kira 40,000 ekor ikan ternak dan menjualnya dalam jumlah kira-kira 200 kilogram setiap bulan yang ditempatkan dalam sebahagian daripada 12 buah kolam dan tujuh sangkar.

    Katanya, harga peraih bagi ikan keli dan patin ialah RM3.50 sekilogram , ikan puyu RM12, tilapia RM8 manakala sepat pula RM10 sekilogram.

    Roslan yang buat masa ini cuma mempunyai seorang pembantu berkata, berdasarkan potensi bidang ini, dia menyasarkan dapat mengeluarkan 500,000 hingga sejuta benih dalam satu-satu masa bagi tempoh beberapa tahun lagi.

    ”Saya juga bercadang untuk melibatkan ternakan ini dalam program Inap Desa untuk mempopularkan masakan ikan air tawar di samping menyediakan peluang pelancong dan pelawat memancing ikan air tawar itu,” ujarnya.