Ternak ikan pendapatan sampingan

Saad Abdullah mempunyai banyak kolam ikan di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan.


PenghijrahannyA ke Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan lebih suku abad yang lalu bertujuan menyertai 244 peneroka lain bagi menjayakan tanah rancangan Felda yang baru dibangunkan di jajahan tersebut.

Ketika itu, apa yang terlintas di fikiran Saad Abdullah, 56, menggunakan kudrat empat kerat untuk mengerjakan tanaman sawit yang masih kecil walaupun terpaksa mengharung selut dan becak hingga ke lutut.

Walaupun tanpa kemudahan asas termasuk elektrik dan bekalan air bersih, Saad yang berasal dari Kampung Kubang Telaga, Gunong, Bachok tidak berasa janggal kerana keadaan hidup di kampung juga serba kekurangan ketika itu.

“Pada tahun 1981 apabila membuat keputusan berhijrah ke Felda, saya tidak menoleh ke belakang lagi walaupun kawasannya jauh terperosok ke pedalaman dan berlatar belakang hutan tebal dengan banyak binatang buas di dalamnya.

“Ditemani adik saya Daud Abdullah, 50, yang turut menjadi peneroka, kami membanting tulang untuk mengusaha kan kebun sawit dan getah seluas 10 ekar seorang,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selepas 28 tahun berbudi dengan tanah, Saad kini memperoleh pendapatan yang baik untuk menampung kehidupan bersama isteri dan sembilan anak namun dia tidak hanya berhenti sebagai peneroka sahaja.

Lebih 10 tahun lalu, seramai 36 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) telah dilahirkan dari Felda tersebut yang menerokai bidang kemahiran jahitan, bengkel kereta, masakan, membuat pelbagai jenis makanan ringan seperti rempeyek, tanaman limau madu, membuat sarung dan ukiran golok dan keris.

Berbeza dengan rakan-rakan lain, sejak 12 tahun lepas, Saad mengembangkan minatnya sebagai pengusaha kolam ikan selepas melihat kejayaan mereka mempelbagaikan sumber pendapatan masing-masing.

Mengambil alih kolam daripada pengusaha terdahulu sejak 12 tahun lepas, daripada lapan kolam kini Saad menambahnya kepada sembilan buah bagi tujuan menternak dan menjual tilapia hitam dan merah, patin, baung, keli, siakap, lee koh dan jelawat.

Kelebihan kolam ikan yang terletak bersebelahan kaki gunung Rabong ini ialah air kolamnya yang bersih dan jernih sehingga dapat melihat ikan-ikan berenang-renang di dalamnya.

Saad membuat sendiri saluran paip besi untuk sistem pengaliran air yang bersambung dari satu kolam ke kolam yang lain.

“Air dari gunung yang mengalir ke bahagian kolam-kolam yang dibina memudahkan proses penukaran air untuk mengelaknya keruh kerana ia turut mempengaruhi rasa ikan,” katanya.

Ekoran hanya air bersih yang mengisi petak-petak kolamnya, ikan dari kolam Saad digemari pelanggan terutama di kalangan mereka yang kurang menggemari bau ikan sungai atau sesetengah orang menggelarnya ‘ikan darat.’

Dakwa penduduk yang pernah merasa ikan dari kolamnya, isi ikan tilapianya lebih manis, tidak berbau tanah atau hanyir.

Selain menjaga sistem pengairan, Saad hanya memberi makan pelet kepada ikan-ikannya sebanyak 80 kilogram sehari, dengan harga RM44 sekampit atau 20 kilogram.

Dia bercadang memproses makanan ikan sendiri iaitu hasil campuran dedak dan kacang soya pada masa hadapan menggunakan mesin yang berharga RM15,000.

Tumpuannya kini lebih kepada kolam ikan bersama dua anak-anaknya kerana sawit dan getah di Felda tersebut sedang mengalami proses tanam semula bermula dua bulan yang lalu.

Sawit yang telah berusia lebih 25 tahun katanya semakin kurang mengeluarkan hasil malah pokok-pokoknya yang tinggi sehingga 60 kaki menyukarkan kerja-kerja menjolok buah dilakukan.

Dalam tempoh rehat yang panjang sebelum sawit boleh mengeluarkan hasil tiga tahun lagi, saya berhasrat menambah lima kolam lagi pada waktu yang terdekat ini.

“Selain mencari sumber pendapatan lain yang sentiasa terbuka luas di Felda ini, saya sendiri gemar makan ikan sungai yang enak dan menyelerakan.

“Bertambah seronok apabila ikan-ikan yang pada awalnya kecil sebesar jari kelengkeng akhirnya membesar dan menjadi rebutan pelanggan,” katanya.

Saad yang pernah memperoleh hasil jualan ikan sehingga RM300 sehari menambah, ikan yang diternak memerlukan tempoh masa berbeza sebelum sesuai dipasarkan.

Misalnya keli membesar sekitar empat bulan, manakala tilapia pula memakan masa enam bulan.

Saad turut menternak kira-kira 200 kelah walaupun memakan masa setahun sebelum dapat dipasarkan namun harganya mencecah RM150 sekilogram.

Katanya, permintaan ikan sentiasa tinggi dan dia menjualnya secara borong kepada pelanggan tetap atau sesiapa sahaja yang berkunjung.

Kegigihan Saad mengusahakan kolam ikan walaupun secara sampingan di felda tersebut pernah melayakkan dia menerima anugerah Usahawan Jaya Terbaik Felda Kebangsaan 2004 dan Usahawan Jaya Terbaik Felda peringkat Negeri tahun yang sama.

One thought on “Ternak ikan pendapatan sampingan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s