KOTA TINGGI 13 Jan. – Penduduk tempatan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja digalakkan menceburi bidang penternakan ikan keli yang semakin mendapat permintaan di pasaran kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba berkata, penglibatan dalam bidang tersebut secara tidak langsung menggalakkan penduduk di kawasan itu terbabit dengan bidang keusahawanan yang memberi peluang kepada mereka meningkatkan sumber pendapatan.
Menurutnya, penglibatan penduduk khususnya kaum bumiputera dalam bidang penternakan ikan keli juga dilihat sebagai langkah awal membabitkan diri dengan dunia perniagaan yang boleh dikembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Malah, projek penternakan ikan keli ini tidak melibatkan kos pengendalian yang tinggi. Jadi, ia sesuai diceburi oleh penduduk di kawasan luar bandar kerana ia memberi pulangan lumayan,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak penternakan ikan keli milik Nor Faeszil Yussof di Felda Pasir Raja, Kulaijaya dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Hamid Yassin dan timbalannya, Azhari Othman serta beberapa pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan.
Adham turut melahirkan keyakinan bahawa penduduk di kawasan Tenggara khususnya di DUN Pasir Raja mampu melangkah lebih jauh dalam bidang penternakan ikan keli memandangkan belum terdapat pihak yang menceburi bidang terbabit secara serius di kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk perlu sedar bahawa ikan keli mempunyai pasaran luas malah menjadi hidangan kegemaran orang ramai di restoran-restoran di bandar utama.
Sehubungan itu, beliau meminta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua persatuan belia mengenal pasti para penduduk yang berminat untuk menceburi penternakan ikan keli itu.
“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak bertanggungjawab khususnya Jabatan Perikanan sekiranya berminat untuk memulakan bidang ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mempelawa masyarakat di sekitar Tenggara yang berminat mengikuti kursus berkaitan penternakan ikan keli dan haruan yang akan diadakan di Dewan Raya Felda Sungai Sayong, Kulaijaya pada 17 dan 18 Januari ini.
Maklumat dan keterangan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Marozan Ahmad di talian 013-7781276.
Sementara itu, Hamid berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada masyarakat, terutamanya golongan muda menceburi bidang pertanian yang menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan dengan gigih dan baik.
“Masyarakat seharusnya merebut peluang ini dan pada masa sama perlu lebih kreatif serta melihat peluang baru untuk diterokai,” katanya.
Boleh saya tahu untuk membeli tangki atau anak keli dan makanannya sahaja, berapa kos yang dikenakan?
bila kursus akan datan yang terdekat
bila agaknya kursus yg akan dtg diadakan.. nak tau gak..