Faeszil 'jatuh cinta' pada keli

Hamid Yassin (kanan) melawat tapak ternakan ikan keli milik Nor Faeszil Yussof di Felda Pasir Raja, Kulaijaya, semalam.


Suatu ketika dahulu, tidak ramai anak muda sanggup mengharungi jerih perih mengusahakan aktiviti pertanian, terutamanya jika saban hari terpaksa bergelumang dengan kekotoran atau bau hanyir yang meloyakan.

Namun, kini situasi itu mulai berubah apabila semakin ramai generasi muda mula membabitkan diri dalam aktiviti pertanian dan penternakan.

Antara yang berani mencuba ialah seorang anak muda dari Felda Pasir Raja, Kulaijaya dekat sini, Nor Faeszil Yussof, 28, dengan mengusahakan penternakan ikan keli sejak kira-kira lima bulan lalu.

Berkat usaha gigihnya, penternakannya mula membuahkan hasil.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, dia tidak pernah menyesal menceburi bidang berkenaan walaupun terpaksa bermandi peluh menjaga ‘anakanaknya’ itu setiap hari.

Menurutnya, pembabitan dalam projek penternakan ikan keli bermula apabila mengikuti kursus perikanan air tawar anjuran Jabatan Belia dan Sukan Mersing pada April tahun lalu.

“Kursus berkenaan memberi tumpuan kepada cara untuk memulakan perniagaan dan hasil perbincangan serta sedikit bantuan daripada keluarga, saya mengambil keputusan mengusahakan projek penternakan ikan keli di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nor Faeszil berkata, bagi membuktikan komitmen tinggi terhadap perniagaan dan projek penternakan berkenaan, dia sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai pemandu lori dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan memulakan projek itu pada Ogos tahun lalu. Sejak itu masanya banyak diguna menguruskan ternakan serta membuat pemasaran sendiri.

Berbekalkan semangat dan dorongan serta bantuan keluarga, dia memulakan projek penternakan ikan keli dengan bermodalkan RM9,000 untuk membina lima buah kolam kanvas berukuran 2.13 x 4.88 meter (7 x 16 kaki) dengan 5,000 anak benih ikan keli setiap kolam.

Menurutnya, memelihara ikan keli memang mudah kerana setiap hari ia hanya perlu diberi makan dedak dua kali iaitu pada pagi dan petang.

Katanya, ikan berusia antara dua hingga tiga bulan atau mencapai berat 100 hingga 130 gram seekor akan ditangkap untuk dijual dengan harga berbeza mengikut gred.

“Baru-baru ini saya telah berjaya menjual hampir 12,000 ekor ikan iaitu kira-kira lebih dua tan dengan mendapat pulangan sebanyak RM6,200.

“Hasil jualan itu saya membesarkan lagi penternakan ini dengan menambah kolam kanvas dan anak benih ikan dan kini sudah ada 47 kolam kanvas,” katanya.

Sebelum ini, dia memasar ternakannya kepada para pemborong dan orang perseorangan. Bagaimanapun, kini Nor Faeszil telah mula mendapat tempahan daripada pengusaha hotel di Kuala Lumpur dan pengusaha ikan keli salai di Batu Pahat, Kempas dan Kuala Selangor.

Walaupun mengakui penternakan itu berisiko tinggi kerana tidak semua anak benih akan membesar, selain masalah penggunaan air yang banyak, namun bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan Jabatan Perikanan banyak membantunya menguruskan projek berkenaan, katanya.

Nor Faeszil yang juga Penolong Setiausaha Majlis Belia Felda Malaysia Johor Bahru (MBFMJB) dan Exco Penaja Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) turut dibantu empat rakannya menguruskan ternakan ikan keli berkenaan.

”Sasaran kami selepas ini adalah untuk meningkatkan hasil selain untuk membiak anak benih keli,” kata Nor Faeszil yang menyifatkan dirinya bertuah kerana kesediaan Felda membenarkannya mengusahakan projek tersebut di kawasan tanah milik mereka iaitu di celah-celah deretan pokok kelapa sawit di belakang kuarters pegawai yang tidak digunakan.

Projek yang diusahakannya kini sering dijadikan model kejayaan serta tumpuan lawatan termasuk pegawai kerajaan dan yang terbaru oleh Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Hamid Yassin dan Timbalannya, Azhari Othman; Timbalan Pengarah Belia Jabatan Belia dan Sukan Johor, Radin Ismail Radin Taib serta Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Azli Abdullah.

Faeszil ‘jatuh cinta’ pada keli

Hamid Yassin (kanan) melawat tapak ternakan ikan keli milik Nor Faeszil Yussof di Felda Pasir Raja, Kulaijaya, semalam.


Suatu ketika dahulu, tidak ramai anak muda sanggup mengharungi jerih perih mengusahakan aktiviti pertanian, terutamanya jika saban hari terpaksa bergelumang dengan kekotoran atau bau hanyir yang meloyakan.

Namun, kini situasi itu mulai berubah apabila semakin ramai generasi muda mula membabitkan diri dalam aktiviti pertanian dan penternakan.

Antara yang berani mencuba ialah seorang anak muda dari Felda Pasir Raja, Kulaijaya dekat sini, Nor Faeszil Yussof, 28, dengan mengusahakan penternakan ikan keli sejak kira-kira lima bulan lalu.

Berkat usaha gigihnya, penternakannya mula membuahkan hasil.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, dia tidak pernah menyesal menceburi bidang berkenaan walaupun terpaksa bermandi peluh menjaga ‘anakanaknya’ itu setiap hari.

Menurutnya, pembabitan dalam projek penternakan ikan keli bermula apabila mengikuti kursus perikanan air tawar anjuran Jabatan Belia dan Sukan Mersing pada April tahun lalu.

“Kursus berkenaan memberi tumpuan kepada cara untuk memulakan perniagaan dan hasil perbincangan serta sedikit bantuan daripada keluarga, saya mengambil keputusan mengusahakan projek penternakan ikan keli di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nor Faeszil berkata, bagi membuktikan komitmen tinggi terhadap perniagaan dan projek penternakan berkenaan, dia sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai pemandu lori dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan memulakan projek itu pada Ogos tahun lalu. Sejak itu masanya banyak diguna menguruskan ternakan serta membuat pemasaran sendiri.

Berbekalkan semangat dan dorongan serta bantuan keluarga, dia memulakan projek penternakan ikan keli dengan bermodalkan RM9,000 untuk membina lima buah kolam kanvas berukuran 2.13 x 4.88 meter (7 x 16 kaki) dengan 5,000 anak benih ikan keli setiap kolam.

Menurutnya, memelihara ikan keli memang mudah kerana setiap hari ia hanya perlu diberi makan dedak dua kali iaitu pada pagi dan petang.

Katanya, ikan berusia antara dua hingga tiga bulan atau mencapai berat 100 hingga 130 gram seekor akan ditangkap untuk dijual dengan harga berbeza mengikut gred.

“Baru-baru ini saya telah berjaya menjual hampir 12,000 ekor ikan iaitu kira-kira lebih dua tan dengan mendapat pulangan sebanyak RM6,200.

“Hasil jualan itu saya membesarkan lagi penternakan ini dengan menambah kolam kanvas dan anak benih ikan dan kini sudah ada 47 kolam kanvas,” katanya.

Sebelum ini, dia memasar ternakannya kepada para pemborong dan orang perseorangan. Bagaimanapun, kini Nor Faeszil telah mula mendapat tempahan daripada pengusaha hotel di Kuala Lumpur dan pengusaha ikan keli salai di Batu Pahat, Kempas dan Kuala Selangor.

Walaupun mengakui penternakan itu berisiko tinggi kerana tidak semua anak benih akan membesar, selain masalah penggunaan air yang banyak, namun bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan Jabatan Perikanan banyak membantunya menguruskan projek berkenaan, katanya.

Nor Faeszil yang juga Penolong Setiausaha Majlis Belia Felda Malaysia Johor Bahru (MBFMJB) dan Exco Penaja Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) turut dibantu empat rakannya menguruskan ternakan ikan keli berkenaan.

”Sasaran kami selepas ini adalah untuk meningkatkan hasil selain untuk membiak anak benih keli,” kata Nor Faeszil yang menyifatkan dirinya bertuah kerana kesediaan Felda membenarkannya mengusahakan projek tersebut di kawasan tanah milik mereka iaitu di celah-celah deretan pokok kelapa sawit di belakang kuarters pegawai yang tidak digunakan.

Projek yang diusahakannya kini sering dijadikan model kejayaan serta tumpuan lawatan termasuk pegawai kerajaan dan yang terbaru oleh Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Hamid Yassin dan Timbalannya, Azhari Othman; Timbalan Pengarah Belia Jabatan Belia dan Sukan Johor, Radin Ismail Radin Taib serta Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Azli Abdullah.

Kursus penternakan ikan keli di Kulai Jaya pada 17 & 18 Januari 2009

KOTA TINGGI 13 Jan. – Penduduk tempatan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja digalakkan menceburi bidang penternakan ikan keli yang semakin mendapat permintaan di pasaran kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba berkata, penglibatan dalam bidang tersebut secara tidak langsung menggalakkan penduduk di kawasan itu terbabit dengan bidang keusahawanan yang memberi peluang kepada mereka meningkatkan sumber pendapatan.

Menurutnya, penglibatan penduduk khususnya kaum bumiputera dalam bidang penternakan ikan keli juga dilihat sebagai langkah awal membabitkan diri dengan dunia perniagaan yang boleh dikembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Malah, projek penternakan ikan keli ini tidak melibatkan kos pengendalian yang tinggi. Jadi, ia sesuai diceburi oleh penduduk di kawasan luar bandar kerana ia memberi pulangan lumayan,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak penternakan ikan keli milik Nor Faeszil Yussof di Felda Pasir Raja, Kulaijaya dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Hamid Yassin dan timbalannya, Azhari Othman serta beberapa pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan.

Adham turut melahirkan keyakinan bahawa penduduk di kawasan Tenggara khususnya di DUN Pasir Raja mampu melangkah lebih jauh dalam bidang penternakan ikan keli memandangkan belum terdapat pihak yang menceburi bidang terbabit secara serius di kawasan berkenaan.

Katanya, penduduk perlu sedar bahawa ikan keli mempunyai pasaran luas malah menjadi hidangan kegemaran orang ramai di restoran-restoran di bandar utama.

Sehubungan itu, beliau meminta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua persatuan belia mengenal pasti para penduduk yang berminat untuk menceburi penternakan ikan keli itu.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak bertanggungjawab khususnya Jabatan Perikanan sekiranya berminat untuk memulakan bidang ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa masyarakat di sekitar Tenggara yang berminat mengikuti kursus berkaitan penternakan ikan keli dan haruan yang akan diadakan di Dewan Raya Felda Sungai Sayong, Kulaijaya pada 17 dan 18 Januari ini.

Maklumat dan keterangan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Marozan Ahmad di talian 013-7781276.

Sementara itu, Hamid berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada masyarakat, terutamanya golongan muda menceburi bidang pertanian yang menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan dengan gigih dan baik.

“Masyarakat seharusnya merebut peluang ini dan pada masa sama perlu lebih kreatif serta melihat peluang baru untuk diterokai,” katanya.

Kegigihan Ayub jadi kebanggaan Orang Asli Seri Pantai

BATU PAHAT 13 Jan. – Keinginan untuk mengubah nasib bagi menjalani kehidupan yang lebih baik mendorong Ayub Amran, 36, nekad bertukar kerjaya daripada seorang nelayan sungai kepada bidang perniagaan.

Malah, kegigihan dan kesungguhan belia Orang Asli ini menjadi kebanggaan masyarakatnya yang menetap di Kampung Orang Asli Seri Pantai, Senggarang dekat sini.

Ayub juga menjadi ‘penghubung’ kepada masyarakatnya sebagai tempat menjual hasil pertanian secara kecil-kecilan sejak 16 tahun lalu.

Pada mulanya, dia hanya menjual sayur kampung seperti pucuk paku, pucuk ubi, ulam pegaga, pisang dan nangka muda di pasar tani di Larkin dan Taman Seri Pulai di Johor Bahru dan jualannya mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Singapura.

“Selepas beberapa bulan berniaga di pasar tani dan melihat ramai warga Singapura membeli barangan yang saya bawa, saya terfikir mengapa tidak saya menjual terus ke sana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Ayub, permintaan terhadap sayur-sayuran kampung di Singapura amat tinggi dan untuk itu dia terpaksa mendapatkan bekalan dari Batu Pahat dan Pontian.

Selain itu, ramai rakan sekampungnya turut membantu mendapatkan bekalan dan sekali gus menjadikan perniagaan tersebut sebagai mata pencarian utama mereka.

Ayub berkata, setiap kali dia membawa hasil pertanian masuk ke Singapura, pastinya ia habis dijual dan dari situ ramai Orang Asli di kampungnya mula berminat dalam perniagaan berkenaan.

Bagaimanapun, dia tidak berasa tergugat kerana kebanyakan mereka menghantar hasil pertanian kepadanya untuk dihantar ke Singapura dan secara tidak langsung memudahkannya mendapat bekalan.

“Saya tidak kisah apabila ramai kawan ikut jejak saya, malah saya telah membantu tiga ahli keluarga saya menceburkan diri dalam perniagaan ini,” jelasnya.

Ayub berkata, bekalan seperti pucuk paku dan pucuk ubi diperoleh daripada pekebun di sekitar daerah ini, manakala ubi, keledek, serai dan lengkuas diperoleh dari Ayer Baloi dan Pekan Nanas, Pontian.

Selain itu, Ayub dan beberapa rakan sekampungnya turut menjual makanan tradisional seperti ketupat, lepat dan lontong ke Singapura.

Dia mengakui mampu menjual antara 500 hingga 1,000 biji ketupat, lepat dan lontong pada hari-hari biasa dalam tempoh dua hari dan jumlah itu bertambah semasa musim perayaan terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri.

Biasanya mereka akan membawa sebanyak 20,000 biji ketupat, lepat dan lontong ke Singapura pada musim perayaan.

Kini, ayah kepada dua orang cahaya mata ini mampu tersenyum bangga kerana hasil usaha gigihnya selama ini, kehidupan keluarganya berjaya diubah dan mereka menetap di sebuah rumah besar yang cukup selesa.

Setelah 16 tahun bermandi peluh mengusahakan perniagaan itu dengan dibantu 10 pekerja, Ayub mampu membawa hasil lumayan antara RM3,500 hingga RM4,000 setiap kali berniaga ke negara jiran itu.

Sementara itu, Ayub turut berterima kasih kepada Yayasan Tekun Nasional kerana memberinya pinjaman permulaan dan sehingga kini telah menerima pinjaman sebanyak RM71,000 untuk memajukan lagi perniagaannya.

Tingkatkan pengeluaran halia

Joseph Pairin Kitingan (tengah) melihat halia yang dihantar oleh penduduk kampung dijual kepada Pertubuhan Paladang pada majlis penyerahan bangunan pemprosesan halia di Kampung Tikolod Ulu, Tambunan, Sabah, baru-baru ini.


TAMBUNAN 13 Jan. – Pengusaha tanaman halia di daerah ini digesa meningkatkan hasil keluaran tanaman mereka dengan memanfaatkan kaedah teknologi moden bagi menampung permintaan pengusaha industri hiliran yang semakin bertambah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata, walaupun daerah tersebut mampu mengeluarkan sehingga 24 tan metrik halia sebulan, jumlah berkenaan masih belum mencukupi.

”Oleh itu, kita menggalakkan para pengusaha tanaman halia daerah ini menggunakan kaedah penanaman berteknologi tinggi yang diperkenalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

”Cara ini akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran halia melebihi 24 tan metrik sebulan ketika ini, sekali gus menampung permintaan tinggi terhadap keperluan produk hiliran berasaskan halia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke bangunan baru pemprosesan halia di Kampung Tikolod Ulu, Tambunan dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Angor dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Tambunan, Laiwon Dalus.

Bangunan pemprosesan berharga RM28,000 turut dilengkapi peralatan moden bernilai RM20,000 termasuk mesin pengering, pemotong, penimbang untuk menghasilkan produk halwa dan serbuk halia.

Kilang yang diurus secara berkelompok dengan sembilan kakitangan dijangka mampu memproses satu tan metrik halia sebulan menghasilkan produk halwa dan serbuk sebelum dihantar ke kilang pembungkusan di Kampung Botung.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, tanaman halia merupakan penyumbang terbesar ekonomi bagi majoriti penduduk di daerah ini yang mengusahakan ladang halia.

Antara produk-produk berasaskan halia di pasaran ialah seperti halia madu, halwa, sos cili dan serbuk halia serta pelbagai barangan kesihatan.

Permintaan produk organik kian tinggi di pasaran

BATU PAHAT 14 Jan. – Kesedaran orang ramai terhadap amalan pemakanan sihat membantu syarikat Agriculturre Sdn. Bhd. (Zenxin) berkembang maju menjadi antara pengeluar makanan organik terbesar di negara ini.

Pengarahnya, Tai Kok Khong berkata, kesedaran berkenaan menyebabkan produk organik kini mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Produk seperti sayur-sayuran, ikan, buah-buahan dan telur ayam mendapat sambutan menggalakkan ekoran kesedaran tinggi pengguna terhadap kepentingan pemakanan bahan yang dihasilkan tanpa menggunakan bahan kimia.

“Para pelanggan juga tertarik dengan produk kami kerana ia ditanam tanpa menggunakan baja kimia,” katanya kepada Utusan Malaysia yang berkunjung ke ladangnya di sini baru-baru ini.

Kok Khong berkata, syarikat yang mencatat jualan jutaan ringgit setahun itu turut berjaya menembusi pasaran antarabangsa terutama di Singapura dan Hong Kong.

Menurutnya, syarikatnya mula beroperasi di Lojing, Kelantan pada 2001 dan kemudian berpindah ke Johor pada 2005 apabila membuka sebuah ladang seluas 40 hektar di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK) di Ayer Hitam, dekat sini.

Antara produk tani di ladangnya ialah sawi, terung, bunga kobis, timun, bayam, kacang panjang, kacang bendi, kangkung, cili, kailan, labu manis, buah naga, jambu, markisa, betik dan ikan talapia.

Katanya, operasi syarikatnya mendapat pengiktirafan organik daripada Skim Organik Malaysia oleh kerajaan.

Tambahnya, kawasan tanamannya ditutup dengan kain jaring bagi menghalang serangan serangga di samping menggunakan baja-baja jenis organik dan bahan-bahan buangan daripada ladang.

Menurut Kok Khong, selain bebas daripada bahan kimia, sayuran dan ternakan secara organik juga mempunyai rasa yang lebih sedap, manis dan rangup.

“Kacang panjang organik umpamanya sangat rangup dan sedap untuk diratah begitu sahaja sebagai ulam ketika makan nasi.

“Ikan talapia pula mempunyai isi lebih lembut dan rasa lebih manis serta tidak berbau,” katanya.

Dari segi kos buruh pula, Kok Khong berkata, pertanian organik lebih menjimatkan kerana semuanya dilaksanakan secara ‘manual’ termasuk proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan.

Untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai, beliau menjemput mereka yang berminat untuk melawat ladangnya yang dibuka percuma kepada pengunjung mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Ahad.

Ternak tongsan dalam lombong

Che Mohd. Azril Che Azmi (kiri) bersama dua orang pekerjanya memegang tongsan yang dipelihara di kawasan lombong di Kampong Sungai Galah, Tanjong Tualang Perak.


APABILA disebut sahaja Lembah Kinta di Perak, perkara pertama terlintas di kepala ialah aktiviti perlombongan bijih timah yang pernah menjadi sumber ekonomi utama di negeri itu suatu ketika dahulu.

Meskipun era kegemilangan industri bijih timah sudah berakhir di Lembah Kinta pada tahun 1980-an tetapi kesannya boleh dilihat sampai ke hari ini seperti peninggalan kapal korek dan beratus-ratus bekas lombong.

Selain dimajukan sebagai pusat rekreasi dan ditebus guna untuk projek pembangunan, bekas lombong juga sesuai digunakan untuk menternak ikan air tawar.

Industri penternakan ikan air tawar didapati amat menguntungkan kerana ia tidak memerlukan modal dan perbelanjaan tinggi untuk mengusahakannya berbanding ternakan ikan dalam sangkar atau kolam.

Kelebihan ini diakui oleh Pengarah Kemahang Progresif Sdn. Bhd. (Kemahang Progresif), Che Mohd. Azril Che Azmi, 26, yang memiliki syarikat mengusahakan ternakan ikan air tawar dalam lombong di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah di Tanjung Tualang, Perak.

Menurut Che Mohd. Azril, menternak ikan dalam lombong lebih menjimatkan kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk menyediakan sangkar, membeli makanan dan mengawal rapi ternakan.

”Kita hanya mengeluarkan modal membeli benih ikan dan mengupah pekerja menangkap ikan-ikan yang cukup matang untuk dijual.

”Ikan-ikan lombong tidak perlu diberi makan kerana ia mendapat bekalan makanan daripada ‘plankton’ yang hidup subur dalam air.

”Ia juga juga tidak perlu penjagaan rapi kerana habitatnya sesuai dengan air lombong dan tidak mudah dijangkiti penyakit,” katanya ketika ditemui di Tanjung Tualang, baru-baru ini.

Bagi menggalakkan pertumbuhan ‘plankton’, pengusaha ikan lombong digalakkan menternak itik dalam kawasan yang sama kerana tahi itik berperanan sebagai baja menyuburkan tumbuhan tersebut.

Che Mohd. Azril memberitahu, itik yang diternak juga menyumbang kepada sumber pendapatan kerana daging haiwan ini turut dieksport ke Singapura.

Bercerita lanjut tentang ikan lombong, Che Mohd. Azril memberitahu, bidang ternakan ikan air tawar menggunakan teknik tersebut telah diceburi oleh bapanya, Che Azmi Che Mahmood pada tahun 2005.

Sebelum menceburkan diri dalam dunia pertanian dan penternakan, Che Azmi bekerja sebagai pegawai polis tetapi nekad mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin melibatkan diri sepenuh masa dalam bidang tersebut.

Pada peringkat awal, Che Azmi hanya menumpukan perhatian dalam bidang tanaman mangga kerana buah-buahan itu mendapat permintaan baik di pasaran.

”Selepas lima tahun mengusahakan tanaman mangga, ayah terfikir mahu menternak ikan air tawar kerana sayang melihat bekas lombong yang ada dalam kawasan ladang terbiar begitu sahaja.

”Ayah kemudian mengambil kursus ternakan ikan air tawar dengan Jabatan Pertanian dan memberanikan diri menternak ikan di lapan buah lombong di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah membabitkan keluasan 92 hektar,” katanya.

Apabila ladang mangga dan perusahaan menternak ikan semakin maju, Che Azmi bertambah sibuk menguruskan perniagaan lalu mengajak Che Mohd. Azril membantunya.

Menurut Che Mohd. Azril, beliau baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila diminta oleh bapanya untuk membantu menguruskan ladang mangga dan ternakan ikan mereka.

”Mulanya saya tidak minat tetapi ayah tetap memaksa dengan menghantar saya mengikuti beberapa kursus anjuran Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian, malah saya juga dihantar ke Indonesia dan Thailand untuk menimba ilmu dalam bidang ternakan ikan serta udang.

”Hasil pendedahan melalui kursus tersebut, saya akhirnya ‘jatuh cinta’ dengan bidang pertanian dan ternakan sehinggalah ke hari ini, malah tidak pernah menyesal mengorbankan usia remaja dengan bekerja dalam bidang tersebut,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

Selain mengusahakan ladang mangga dan ternakan ikan lombong di Tanjung Tualang, Kemahang Progresif juga dalam perancangan membuka kolam ternakan ikan kelisa emas dan ikan kelah di Gua Musang, Kelantan dalam tempoh terdekat ini.

Mengenai lombong ternakan ikan di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah, Che Mohd. Azril berkata, terdapat enam spesies ikan diternak di situ tetapi tumpuan diberikan kepada ikan tongsan dan tilapia hitam.

”Ikan paling banyak diternak ialah ikan tongsan dan ikan tilapia hitam sebab ikan ini mendapat permintaan tinggi di pasaran terutama Singapura dan Indonesia.

”Selain itu, kami juga menternak ikan-ikan lain seperti belida, lampam, kap rumput dan kaloi,” katanya. Che Mohd. Azril memberitahu, ikan tongsan yang paling digemari oleh masyarakat Cina dijual pada harga RM2.10 sekilogram manakala ikan tilapia hitam berharga RM1.50 sekilogram.

Ikan tongsan boleh dijual apabila mencapai berat tiga kilogram (kg) dan ia boleh mencecah berat antara 15 hingga 20 kg selepas 12 bulan diternak menyebabkan proses pemasarannya hanya boleh dilakukan sekali setahun.

Dalam setahun, Kemahang Progresif mampu mengeluarkan 300,000 tan metrik ikan tongsan dan 180 tan metrik ikan tilapia.

Ikan tongsan keluaran syarikat itu dikhususkan untuk pasaran tempatan dan Singapura manakala ikan tilapia dieksport ke Indonesia.

Ternak ikan pendapatan sampingan

Saad Abdullah mempunyai banyak kolam ikan di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan.


PenghijrahannyA ke Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan lebih suku abad yang lalu bertujuan menyertai 244 peneroka lain bagi menjayakan tanah rancangan Felda yang baru dibangunkan di jajahan tersebut.

Ketika itu, apa yang terlintas di fikiran Saad Abdullah, 56, menggunakan kudrat empat kerat untuk mengerjakan tanaman sawit yang masih kecil walaupun terpaksa mengharung selut dan becak hingga ke lutut.

Walaupun tanpa kemudahan asas termasuk elektrik dan bekalan air bersih, Saad yang berasal dari Kampung Kubang Telaga, Gunong, Bachok tidak berasa janggal kerana keadaan hidup di kampung juga serba kekurangan ketika itu.

“Pada tahun 1981 apabila membuat keputusan berhijrah ke Felda, saya tidak menoleh ke belakang lagi walaupun kawasannya jauh terperosok ke pedalaman dan berlatar belakang hutan tebal dengan banyak binatang buas di dalamnya.

“Ditemani adik saya Daud Abdullah, 50, yang turut menjadi peneroka, kami membanting tulang untuk mengusaha kan kebun sawit dan getah seluas 10 ekar seorang,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selepas 28 tahun berbudi dengan tanah, Saad kini memperoleh pendapatan yang baik untuk menampung kehidupan bersama isteri dan sembilan anak namun dia tidak hanya berhenti sebagai peneroka sahaja.

Lebih 10 tahun lalu, seramai 36 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) telah dilahirkan dari Felda tersebut yang menerokai bidang kemahiran jahitan, bengkel kereta, masakan, membuat pelbagai jenis makanan ringan seperti rempeyek, tanaman limau madu, membuat sarung dan ukiran golok dan keris.

Berbeza dengan rakan-rakan lain, sejak 12 tahun lepas, Saad mengembangkan minatnya sebagai pengusaha kolam ikan selepas melihat kejayaan mereka mempelbagaikan sumber pendapatan masing-masing.

Mengambil alih kolam daripada pengusaha terdahulu sejak 12 tahun lepas, daripada lapan kolam kini Saad menambahnya kepada sembilan buah bagi tujuan menternak dan menjual tilapia hitam dan merah, patin, baung, keli, siakap, lee koh dan jelawat.

Kelebihan kolam ikan yang terletak bersebelahan kaki gunung Rabong ini ialah air kolamnya yang bersih dan jernih sehingga dapat melihat ikan-ikan berenang-renang di dalamnya.

Saad membuat sendiri saluran paip besi untuk sistem pengaliran air yang bersambung dari satu kolam ke kolam yang lain.

“Air dari gunung yang mengalir ke bahagian kolam-kolam yang dibina memudahkan proses penukaran air untuk mengelaknya keruh kerana ia turut mempengaruhi rasa ikan,” katanya.

Ekoran hanya air bersih yang mengisi petak-petak kolamnya, ikan dari kolam Saad digemari pelanggan terutama di kalangan mereka yang kurang menggemari bau ikan sungai atau sesetengah orang menggelarnya ‘ikan darat.’

Dakwa penduduk yang pernah merasa ikan dari kolamnya, isi ikan tilapianya lebih manis, tidak berbau tanah atau hanyir.

Selain menjaga sistem pengairan, Saad hanya memberi makan pelet kepada ikan-ikannya sebanyak 80 kilogram sehari, dengan harga RM44 sekampit atau 20 kilogram.

Dia bercadang memproses makanan ikan sendiri iaitu hasil campuran dedak dan kacang soya pada masa hadapan menggunakan mesin yang berharga RM15,000.

Tumpuannya kini lebih kepada kolam ikan bersama dua anak-anaknya kerana sawit dan getah di Felda tersebut sedang mengalami proses tanam semula bermula dua bulan yang lalu.

Sawit yang telah berusia lebih 25 tahun katanya semakin kurang mengeluarkan hasil malah pokok-pokoknya yang tinggi sehingga 60 kaki menyukarkan kerja-kerja menjolok buah dilakukan.

Dalam tempoh rehat yang panjang sebelum sawit boleh mengeluarkan hasil tiga tahun lagi, saya berhasrat menambah lima kolam lagi pada waktu yang terdekat ini.

“Selain mencari sumber pendapatan lain yang sentiasa terbuka luas di Felda ini, saya sendiri gemar makan ikan sungai yang enak dan menyelerakan.

“Bertambah seronok apabila ikan-ikan yang pada awalnya kecil sebesar jari kelengkeng akhirnya membesar dan menjadi rebutan pelanggan,” katanya.

Saad yang pernah memperoleh hasil jualan ikan sehingga RM300 sehari menambah, ikan yang diternak memerlukan tempoh masa berbeza sebelum sesuai dipasarkan.

Misalnya keli membesar sekitar empat bulan, manakala tilapia pula memakan masa enam bulan.

Saad turut menternak kira-kira 200 kelah walaupun memakan masa setahun sebelum dapat dipasarkan namun harganya mencecah RM150 sekilogram.

Katanya, permintaan ikan sentiasa tinggi dan dia menjualnya secara borong kepada pelanggan tetap atau sesiapa sahaja yang berkunjung.

Kegigihan Saad mengusahakan kolam ikan walaupun secara sampingan di felda tersebut pernah melayakkan dia menerima anugerah Usahawan Jaya Terbaik Felda Kebangsaan 2004 dan Usahawan Jaya Terbaik Felda peringkat Negeri tahun yang sama.

Doktor gigi majukan akuakultur


Industri penternakan ikan yang semakin berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan kadang-kala boleh menyebabkan bekalan berlebihan berbanding permintaan.

Permintaan ikan yang dijual segar mungkin melebihi pengeluaran dan bakal menyebabkan harga yang tidak stabil.

Justeru, masih banyak masalah pokok yang menjadi penghalang untuk memacu industri akuakultur, sedangkan potensi amat cerah sebagai sumber ekonomi dan makanan.

Justeru bagi mengatasi masalah tersebut, seorang penternak muda, Dr. Mohd. Hapizie Ismail telah bertungkus-lumus mewujudkan Persatuan Penternak-Penternak Ikan Bumiputera Malaysia (PPIBM).

“PPIBM yang ditubuhkan pada 19 November lalu bertujuan menyatupadukan penternak ikan Bumiputera yang menjalankan penternakan ikan.

“Buat permulaan kami akan menubuhkan pusat pengumpulan ikan bagi Selangor dan Lembah Klang bagi mencapai hasrat kami,” katanya semasa ditemui di Agroteknologi Bukit Canggang, Dengkil, Selangor.

Dr. Hapizie menegaskan, matlamat PPIBM ditubuhkan bagi memperkasakan industri akuakultur negara seterusnya memperkenalkan produk ke pasaran global.

Doktor gigi kelulusan Universiti Malaya pada 2004 yang kini mengusahakan ternakan ikan sepenuh masa kerana minat yang mendalam dalam bidang akuakultur, juga berharap, persatuan akan dapat membantu penternak Bumiputera memasarkan produk selain menstabilkan harga ikan mengikut pasaran semasa dengan pesaing.

Bagi membela nasib penternak dan membela penternak baru, persatuan akan membimbing penternak dengan kaedah penternakan moden dan terkini, menyediakan latihan, bimbingan dan nasihat serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama dalam penyediaan makanan ikan.

“Persatuan juga akan membantu penternak menyediakan tempat dan lokasi penternakan yang sesuai dan jika perlu membantu mengenai kewangan dan pinjaman.

“Penternak yang menghadapi bencana akan dibantu menerusi tabung bencana alam, insurans berkelompok, khairat kematian dan bantuan lain yang difikirkan perlu,” katanya.

Mohd. Hapizie berkata, keahlian PPIBM terbuka kepada semua bumiputera seluruh negara menerusi borang keahlian dan setiap permohonan mestilah melalui Ahli Jawatankuasa Tertinggi persatuan.

Bayaran keahlian sebanyak RM50 dikenakan meliputi kos pengurusan dan peralatan seperti kad keahlian, borang dan surat menyurat.

“Penternak yang telah menjadi ahli perlu menjelaskan yuran keahlian sebanyak RM120 setahun atau RM10 sebulan.

“Ahli boleh menjelaskan yuran melalui tiga cara iaitu RM120 sekali gus, RM60 sebanyak dua kali atau RM10 sebulan,” katanya.

Sebagai ahli PPIBM, Mohd. Hapizie berkata, mereka mempunyai banyak kelebihan seperti perlindungan insurans berkelompok dan jika ahli dilanda bencana alam, mereka akan dibantu menerusi tabung bencana manakala ahli yang meninggal dunia akan menerima khairat kematian.

Bagi jaminan pasaran pula, pihak pengurusan persatuan akan membantu pemasaran produk sama ada di dalam atau luar negara.

Pihak pengurusan juga akan membantu penternak mengembangkan operasi dengan bantuan kewangan menerusi kerjasama dengan Agro Bank, Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui dana khas.

“Bidang pertanian merupakan salah satu cabang perniagaan yang menguntung. Saya percaya, jika diusahakan dengan tekun dan cara yang betul ia jauh lebih menguntungkan.

“Atas sebab itu juga saya tidak terkilan meninggalkan kerjaya sebagai doktor gigi untuk mengusahakan ternakan ikan,” katanya.

Dalam pada itu Mohd. Hapizie menambah, PPIBM merancang untuk membina kilang bagi menghasilkan produk hiliran seperti ikan salai, sardin, bebola ikan, serunding, ikan masin dan pekasam.

Selain itu PPIBM juga merancang membuka kilang makanan ikan bagi membekalkannya kepada semua ahli seluruh negara.

“Kami merancang untuk membina kilang dalam masa empat bulan lagi di lokasi sama ada Rawang atau Bangi.

“Bagi perancangan masa panjang, kami ingin membuka Institut Pendidikan Pertanian atau Kolej Pertanian bagi melahirkan penternak ikan yang lebih berpengetahuan,” katanya.

PPIBM juga merancang membuka cawangan pasaran ke peringkat antarabangsa menerusi delegasi perdagangan dan membuka institusi kewangan sendiri.

Penternak ikan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PPIBM boleh menghubungi Saiful Nazli Selamat di 017-2839289 atau e-mel: grandez1@yahoo.com.my atau lawati www.ppibm.wordpress.com