Popiah simpul ‘Awie’snek popular Kuala Pilah

Zuriati Sulaiman (kiri) bersama pembantunya menyimpul snek popiah yang diusahakannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
– Gambar MD.SHAHJEHAN MAAMIN


Semuanya bermula dengan modal RM5,000 yang dirobek daripada wang simpanan sendiri untuk mendapatkan sebuah mesin menggoreng bagi memenuhi tempahan snek popiah simpul yang sudah tidak menang tangan dibuatnya.

Hari ini, usahawan wanita Zuriati Sulaiman, 41, boleh berbangga dengan usaha tersebut memandangkan tekadnya untuk memajukan perniagaan snek tradisi sudah membuahkan hasil.

Malah Zuriati iaitu salah seorang daripada 10,000 usahawan yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani mampu mengkomersialkan kudapan tradisi tersebut sehingga menjadi snek popular dari Kuala Pilah.

Menurut Zuriati, pendapatan yang diperoleh daripada jualan snek popiah simpul jenama Awie itu adalah daripada RM5,000 sehingga RM50,000 setiap bulan bergantung kepada musim.

“Permintaan pada musim perayaan cukup tinggi sehingga tidak menang tangan dibuatnya tetapi dengan bantuan mesin menggoreng khas yang mampu menggoreng sehingga 13 kilogram inti popiah semua tempahan dapat disiapkan. Jadi dalam sehari kami boleh menghasilkan sebanyak 20 kilo popiah,” katanya.

Kata Zuriati, beliau memulakan perniagaan tersebut sejak 2002 secara kecil-kecilan dari rumah sebelum membesarkan perniagaan itu dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan.

“Pada mulanya cuma buat secara kecil-kecilan untuk jiran dan kawan-kawan saja tetapi lama-kelamaan setelah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, saya terus melajukan langkah iaitu dengan membeli mesin menggoreng itu.

“Siapa sangka usaha saya ini mendapat perhatian daripada Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan negeri yang kemudian menyalurkan pelbagai bantuan termasuk peralatan memproses,” katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.

Menurut Zuriati lagi, selain menyediakan peralatan termasuk mesin mengeringkan minyak, dapur dan penyejuk, pihak berkenaan turut menempatkannya di bengkel inkubator di pusat memproses makanan di sini.

“Saya adalah antara tiga usahawan dari Kuala Pilah ini yang berpeluang menerima bantuan ini iaitu bengkel konkrit yang bertindak sebagai tempat memproses snek ini,” katanya.

Kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian itu, kata Zuriati sedikit sebanyak dapat membantu menambah produktiviti produknya.

“Dulu cuma beroperasi di rumah jadi keluarannya agak terhad cuma lima kilogram popiah saja tetapi kini dengan adanya bengkel ini saya mampu menghasilkan sehingga 20 kilogram sehari,” katanya yang sudah tiga tahun beroperasi di bengkel tersebut.

Bukan itu saja, kata beliau, apa yang lebih membanggakan adalah popiah simpul Awie itu mampu menembusi pasaran tempatan dan memasuki pusat membeli belah.

“Dengan paket yang lebih komersial hasil bantuan SIRIM, snek ini mampu memasuki pasar besar Giant, pusat membeli belah Jusco dan Mydin serta stesen minyak Petronas di seluruh negara,” katanya.

Kata Zuriati, snek keluarannya itu cukup istimewa kerana menggunakan serunding ikan bilis sebagai intinya.

“Salah satu tarikan snek ini adalah intinya yang dibuat daripada ikan bilis dan bukan daging atau udang seperti yang selalu berada di pasaran.

“Mulanya memang susah juga untuk memperkenalkan snek ini tetapi setelah beberapa lama popular juga,” katanya.

Kata Zuriati lagi, selain sedap popia simpul itu juga tahan lama kerana kurang berminyak setelah melalui proses pengeringan minyak,” katanya.

Bercakap tentang masa depan, kata wanita dari Kuala Pilah ini, beliau berhasrat untuk mengembangkan produknya ke luar negara pula.

“Baru-baru ini saya ke China untuk mengikuti pameran makanan dan hasil perbincangan dengan beberapa ejen saya berharap mendapat tempahan dari negara luar,” katanya.

4 thoughts on “Popiah simpul ‘Awie’snek popular Kuala Pilah

  1. salam, tahniah buat pengusaha-pengusaha yang telah berjaya. Saya baru berlajar2 memulakan perniagaan ‘homebase’ dan ingin mendapatkan info untuk mengembangkan perniagaan. Bagaimana hendak memulakan untuk mendapatkan bantuan dari jabatan-jabatan yang terlibat

  2. sekarang saya pun tengah jual popia secara kecil-kecilan mudah-mudahan dengan berkat tolong allah perniagaan kecil-kecilan aku akan menjadi besar-besaran..amin..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s