![]() |
SHAHIDIN Mohd. Noor sentiasa menitik beratkan ketelitian hasil kerja anak buah serta pekerjanya.
|
KOTA TINGGI 5 Jan. – Lebih 17 tahun lalu, perniagaan jamu yang diusahakan Allahyarham Noh Kamar dan keluarga ‘berteduh’ di gerai tepi jalan bagi memasarkan produk keluaran berasaskan herba.
Hasil usaha gigih dan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, kini Noh boleh berbangga kerana berjaya menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Toko Jamu Tenaga Keluarga untuk memasarkan produk yang dihasilkan.
Malah, kini jamu yang dihasilkan oleh syarikat tersebut semakin dikenali ramai dan turut dipasarkan di beberapa negeri selain Johor.
Atas tanggungjawab yang perlu dipikul selain minat dan asas mengenai pertanian yang dipelajarinya, menantu sulung keluarga berkenaan, Shahidin Mohd. Noor, 39, merasakan beliau perlu meneruskan perjuangan bapa mertuanya itu.
Kini Shahidin selaku Pengurus Besar yang memiliki Diploma Kejuruteraan Jentera Awam daripada Polimas, Jitra, Kedah mampu mengukir senyuman lebar apabila syarikat berkenaan terus berkembang maju di bawah pengurusannya.
Bercerita mengenai sejarah penubuhan syarikat warisan keluarga itu, beliau memberitahu, pada mulanya syarikat itu beroperasi di Taman Gembira, Johor Bahru sebelum berpindah ke Taman Desa Jaya pada 1997 dan kemudian berpindah lagi ke Mount Austin pada 2005.
Lebih membanggakan, syarikat tersebut turut mendapat pengiktirafan sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP).
“Sementara itu, pada 2005, impian pihak pengurusan untuk memiliki sebuah kilang yang besar dan mampu mengeluarkan produk dengan kuantiti lebih besar tercapai apabila sebuah bangunan kilang di Bandar Penawar siap dibina.
“Bangunan yang dibina di atas tanah seluas tiga hektar itu mempunyai lima bahagian iaitu pengurusan, makmal penyelidikan, pusat pameran, medan makan dan kemudahan pembuatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, daripada penghasilan dua produk pada mulanya, syarikat yang diberi nama baru iaitu Toko Tenaga Keluarga Sdn. Bhd., kini mengeluarkan lebih 30 produk berasaskan herba dan makanan kesihatan.
“Dahulu syarikat kami hanya mengeluarkan majun untuk lelaki dan Super Tenaga Tupai 2. Bagaimanapun, hanya produk Tupai 2 sahaja yang diteruskan pengeluarannya kerana permintaan yang tinggi,” katanya.
Antara produk herba yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut seperti Kapsul Sri Langsing, Pil Manjakani, Herba Pemulih Resdung, Kapsul Tupai Dua Keluarga, Tongkat Ali Plus dan Jinta Harmoni.
Sementara itu, bagi makanan kesihatan pula, produknya di bawah jenama Terang dan antara Pati Herba Hempedu Bumi, Pati Halia Sarbat, Kopi Terang Kacip Fatimah dan Kordial Serapat.
Kesemua bahan herba bagi kegunaan syarikatnya itu diperoleh di kawasan setempat iaitu di sekitar Bandar Penawar dan dari negara luar seperti India.
Kesemua produknya bukan sahaja mendapat pasaran di dalam negara, tetapi turut menembusi pasaran luar seperti Singapura dan Brunei.
Dalam tempoh sebulan, syarikatnya mampu untuk menghasilkan sebanyak 16,000 botol kapsul pelbagai jenis dan jumlah tersebut berbeza mengikut tempahan dan permintaan daripada pelanggan mereka.
salam..
saya telah banyak membeli ubat kapsul dua tupai keluarga ni..baru2 ni saya membeli dua botol tetapi saya lihat pelekatnya tidak sama dengan yang lama.
masalah skrg ni produk tupai2 ni dah banyak ciplak. pernah keluar metro satu masa dulu. hati2 bila membeli kerana peniaga jamu dan herba tak ambil pusing pasal soal asli ke tidak dan dari apa yg saya tau ada antara mereka tau yg produk tu ciplak tapi mereka jual juga krn nak untung lebih. kat pasaran diaorg panggil produk ciplak ni sbgi ‘produk no.2’.
baik contact kilangnya terus dan tanya dimana pengedar sah mereka.