Promosi produk asas haiwan dapat sambutan

FAUZIAH Embong (kiri) menunjukkan kebolehan menyediakan masakan pada Promosi Produk Industri Asas Haiwan di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 28 Dis. – Program Promosi Produk Industri Asas Haiwan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri yang diadakan di Larkin di sini mendapat sambutan menggalakkan.

Kira-kira 500 orang mengunjungi program itu yang menyediakan pelbagai produk industri asas haiwan terutamanya juadah makanan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, Datin Dr. Fauziah Embong berkata, promosi itu disertai kira-kira 30 peserta dan ia telah dimulakan sejak 2006.

“Sejak dimulakan pada 2006, kerajaan telah memperuntukkan RM250,000 untuk Program Industri Asas Haiwan termasuk bagi promosi kali ini.

“Selain itu, peruntukan tersebut juga adalah untuk pembangunan prasarana, kursus, pembungkusan serta label dan perolehan mesin serta peralatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program promosi itu di tapak Pasar Tani Mega di Larkin, di sini semalam. Turut hadir Pengarah FAMA negeri, Abdul Rahman Sulaiman.

Pada program itu, orang ramai berpeluang membeli pelbagai produk industri asas haiwan pada harga promosi.

Antara produk yang ditawarkan adalah serunding daging, sate, kebab, murtabak, bebola daging, ayam, puyuh dan baja kompos.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, promosi tersebut diadakan di seluruh negara secara berperingkat-berperingkat bertujuan membantu usahawan tempatan mempromosikan produk mereka.

Perintis Niaga sasar permintaan tinggi

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Perintis Niaga Bhd., anak syarikat Perintis Agrotech Center menyasarkan permintaan yang tinggi terhadap produk terbaru termasuk Bio-Tani dan Bio-Ternak.

Pengurus Besarnya, Hilmy Hamzah berkata, produk yang dihasilkan sendiri ini baru sahaja diperkenalkan di pasaran dan mempunyai kandungan dan fungsi yang berbeza.

Katanya, produk itu adalah Bio-Tani yang berfungsi sebagai teknologi penggalak pertanian, dan Bio-Ternak bertindak sebagai teknologi penggalak binatang ternakan.

Sementara itu, Bio-Bokashi adalah baja pembekal khasiat kepada tanah dan tanaman, Bio-Enviro berfungsi dalam mengawal kualiti air bagi kolam takungan sisa industri serta mengatasi masalah alam sekitar dari segi pencemaran bau dan merawat sisa sampah.

Hilmy berkata, Bio-Ball pula bertindak mengawal kualiti air.

‘‘Kami baru sahaja mencipta satu teknologi berorientasikan penggunaan mikroorganisma baik yang merupakan satu penemuan terbaru menggunakan formula dari Jepun untuk membolehkan usahawan meningkatkan hasil tanaman mereka,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu juga, ia merupakan sebagai satu teknologi pemangkin kepada industri pertanian di mana ia dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi para usahawan khususnya dalam bidang pertanian.

Sementara itu, Perintis bercadang untuk membuka cawangan kilang terbarunya di Semenyih yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

‘‘Kami, kini mempunyai sebuah kilang yang terletak di Temple Park, Rawang dan akan datang kami akan membuka sebuah lagi kilang dan mendapat bantuan dari Majlis Amanah Rakyat (Mara)”, ujarnya.

Menurut Hilmy, selain memperkenalkan produk terbaru keluarannya, Perintis juga turut menyediakan perkhidmatan konsultan di mana para usahawan akan diberi tunjuk ajar bagaimana untuk menceburkan diri dalam industri ini.

‘‘Produk terbaru Perintis menyumbang sebanyak 50 peratus keuntungan syarikat dan selebihnya bergantung kepada perkhidmatan perunding dan konsultan”, tambah beliau.

Ditanya tentang kelebihan produk ini, beliau berkata, secara biologinya ia akan memulihkan kembali struktur asal yang telah rosak dan menyuburkannya kembali serta mencegah kerosakan yang lebih terhadap struktur sungai, udara dan lain-lain.

‘‘Ini secara langsung akan dapat membantu mengurangkan sisa toksik yang terdapat pada struktur asal hidupan tersebut dan jika tidak dirawat, ia akan mengakibatkan kesan-kesan negatif antaranya seperti bahan buangan sistem ternakan, bakteria yang terdapat dalam kolam dan sebagainya,” jelas beliau.

Malaysia bakal pengeluar betik terbesar

Raja Zalina Raja Safran menunjukkan betik jenis ‘Paiola’ yang ditanam di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Lanchang, Pahang. Betik tersebut akan dijual oleh peserta program kepada MAFC untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.


TEMERLOH 26 Dis. – Malaysia bakal menjadi pengeluar betik terbesar dunia apabila 80 hektar kawasan tanaman buah tropika itu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Lanchang dekat sini mengeluarkan hasilnya menjelang 2010.

Naib Presiden Perbadanan Makanan Pertanian Malaysia (MAFC), Raja Zalina Raja Safran berkata, pihaknya menyasarkan pengeluaran betik sebanyak 80,000 tan metrik setahun dengan 26,000 tan metrik dihasilkan menerusi TKPM dalam tempoh tersebut.

Pada masa ini, kata beliau, Malaysia menghasilkan 70,000 tan metrik buah betik dengan 26,000 tan metrik dieksport ke beberapa negara terutama United Kingdom.

“Ketika ini Malaysia merupakan negara keenam terbesar dari segi pengeksport betik di dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di TKPM Lanchang hari ini.

Raja Zalina berkata, setakat ini, sasaran awal pengeluaran betik jenis ‘Paiola’ di TKPM ialah kira-kira 3,000 tan metrik menjelang pertengahan tahun depan.

“Kita menjangkakan pengeluaran meningkat kepada hampir 5,000 tan metrik pada hujung tahun depan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, projek tanaman betik jenis ‘Frangi’ telah dimulakan di tanah seluas 20 hektar di TKPM pada 2007.

“Kita berjaya mengeluarkan sebanyak 40 tan metrik betik jenis Frangi pada tahun tersebut. Sebanyak 20 hektar tanah lagi akan diusahakan oleh petani secara kontrak pada tahun depan,” katanya.

Raja Zalina menjelaskan, projek tanaman betik yang dijalankan di TKPM adalah menerusi program perladangan kontrak.

Menerusi program itu, jelas beliau, setiap petani diberi tanah seluas 20 hektar untuk diusahakan dengan projek tanaman betik.

“Hasil tanaman betik akan dijual kepada MAFC untuk dipasarkan. Dengan kaedah ini, petani tidak lagi perlu bimbang terhadap aspek pasaran kerana ia dilakukan oleh MAFC,” katanya.

Menurut beliau, tanaman betik itu merupakan sebahagian daripada projek perladangan di kawasan seluas 3,600 hektar di TKPM yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 13 Januari depan.

Daripada keluasan tanah tersebut, tambah beliau, seluas 3.200 hektar diusahakan oleh pihak swasta manakala selebihnya dilaksanakan oleh pekebun kecil dengan bantuan syarikat tertentu sebagai induk.

“Selain betik, tanaman lain yang turut diusahakan di TKPM ialah pisang, nangka, jambu, belimbing, limau, mangga dan tembikai,” ujarnya.

Talib bangga teruskan tradisi keluarga

JASIN 26 Dis. – Sejak kerajaan memberikan penekanan terhadap sektor pertanian yang boleh menjadi bidang perniagaan, masyarakat semakin sedar kepentingan sektor ini yang terbukti dapat memberikan pulangan yang lumayan.

Ketika ini, tanpa mengira umur dan kaum, bidang pertanian semakin mendapat sambutan sama ada yang bermula dari awal ataupun beralih arah selepas kegagalan dalam bidang diceburi sebelumnya.

Bagi Talib Yusof, 50, pekerjaannya yang tidak tetap dengan melakukan kerja-kerja kampung sebelum ini mendorongnya beralih ke bidang yang diwarisi bapanya untuk menghasilkan gula Melaka sejak lebih 50 tahun lalu.

“Selain kerana mahukan perniagaan yang lebih menjamin, tujuan saya ialah untuk meneruskan kemahiran yang dimiliki bapa dan menurunkannya pula ke generasi pelapis yang berminat.

“Lagipun, saya bangga dapat mewarisinya daripada bapa yang menjadi pengusaha gula Melaka tunggal di sini daripada berpuluh-puluh pengusaha gula Melaka yang ada di sini sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tembakau, Umbai di sini baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, Talib berkata, perusahaan produk tradisional tersebut dimulakan arwah bapanya, Yusof Abdullah sejak sekitar tahun 1950-an.

“Masa itu, di kampung saya, memang ada lebih kurang 20 buah keluarga mengusahakan gula Melaka dan ia memang terkenal di kampung ini.

“Bagaimanapun, bilangan itu semakin berkurangan sehinggalah arwah bapa yang menjadi pengusaha terakhir di kampung meninggal dunia pada 1996 pada usia 85 tahun,” katanya.

Tambahnya, dia yang ketika itu berumur 30-an kemudiannya pernah beberapa kali cuba menceburi bidang lain termasuk bekerja makan gaji, tetapi tidak dapat bertahan lama kerana kegawatan ekonomi pada 1997.

Bermula dari situ, tambahnya, dia mula terfikir untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bapanya menghasilkan gula Melaka menggunakan pengalaman yang ada selain peralatan peninggalan arwah bapanya yang masih elok.

“Selepas kira-kira dua tahun menjalankan perniagaan ini, saya merasakan ia mempunyai peluang cerah untuk dimajukan dan menambah baik penghasilannya melalui kursus-kursus yang dihadirinya.

“Kini saya bersyukur, kerana hasil gula Melaka keluaran syarikat saya, Malaga Food Industries, bukan sahaja berjaya dipasarkan dalam negara termasuk ke Sabah dan Sarawak tetapi juga berada di Singapura,” katanya.

Meninjau semangat pertanian Australia

WILAYAH Australia Barat mungkin asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini tetapi bagi penggiat dalam industri pertanian dan penternakan, negeri terbesar di negara kanggaroo itu adalah destinasi yang tidak mungkin dilepaskan jika diberi peluang untuk dikunjungi.

Dengan keluasan kira-kira 2.5 juta kilometer persegi atau tujuh kali keluasan Malaysia, Australia Barat yang mempunyai suhu tropika di bahagian utara dan sederhana sejuk di bahagian tengah dan selatan menjadi antara negeri utama dalam pengeluaran hasil pertanian dan penternakan Australia.

Australia Barat dianggarkan menyumbang sebanyak 31 peratus daripada keseluruhan eksport pertanian dan penternakan Australia yang dianggarkan bernilai kira-kira 60 bilion dolar Australia setahun atau kira-kira RM150 bilion.

Dengan kelebihan tanah yang luas, subur serta iklim yang pelbagai, Australia Barat yang mempunyai populasi kira-kira 2.1 juta orang itu juga kini menjadi tempat kediaman untuk 23 juta biri-biri, dua juta lembu, kambing (satu juta) dan unta antara 400 hingga 500 setahun.

70 peratus daripada jumlah ternakan itu adalah untuk dieksport ke seluruh dunia. Arab Saudi sahaja mengimport satu juta biri-biri setahun dari Australia Barat.

Jika ditanya apakah rahsia di sebalik kisah kejayaan itu, sudah pasti adalah kerana dedikasi yang tidak berbelah bahagi seluruh warganya dalam memajukan bidang itu sama ada untuk memenuhi keperluan diri dan juga perniagaan.

Selain itu mereka juga tidak pernah jemu untuk terus berpaksi kepada sains dalam mencari teknologi terbaru walaupun pada masa yang sama telah menuai kejayaan bertaraf dunia. Gabungan mantap institusi kerajaan dan swasta serta institusi pengajian tinggi tempatan menjadikan pertanian dan penternakan di negara itu terus unggul di dunia satu langkah yang membawa kepada kejayaan itu.

Semangat rakyat Australia yang sentiasa berpegang kepada prinsip bangga dengan setiap produk yang 100 peratus buatan tempatan membantu mengangkat bidang pertanian dan penternakan mereka ke tahap hari ini.

Malah, jika melihat kepada kempen dan semangat yang dibuat oleh kerajaan negara itu, seolah-oleh tiada lagi kawasan lain di dunia ini yang boleh menghasil produk pertanian dan penternakan serta lain-lain hasil hiliran yang bermutu selain daripada yang dikeluarkan oleh negara mereka sendiri.

Amalan kuarantin yang ketat juga menjadi satu sebab wilayah Australia Barat dan Australia secara amnya sentiasa bebas daripada serangan racun dan serangga perosak tidak seperti di kawasan lain. Sebagai contoh, ketika dunia digegarkan dengan isu wabak lembu gila, ternakan di Australia Barat disahkan bebas daripada gejala itu.

Walaupun hanya sempat berada tiga hari di wilayah itu, penulis sudah mampu untuk mengagumi semangat rakyatnya dalam kedua-dua bidang itu, teruja dengan teknologi yang digunakan dan tidak dapat tidak jatuh cinta dengan keindahan dan kebersihan bandarnya serta ketenangan kawasan luar bandar yang kebanyakannya luas menghijau saujana mata memandang.

Iklim nyaman sehingga membolehkan penduduknya melakukan riadah pada pukul 12 tengah hari di kawasan terbuka atau di sepanjang Sungai Swan yang membelah bandar Perth tanpa perlu bimbang cuaca panas, satu lagi aset utama wilayah di barat Australia itu.

Memproses

Bermula dengan kunjungan di pusat penyembelihan dan pemprosesan daging HarveyBeef yang terletak kira-kira 140 kilometer dari Perth, rombongan kami yang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamad disajikan dengan teknologi terkini yang membolehkan pusat berkenaan memproses sebanyak 5,000 ekor lembu seminggu.

Keupayaan untuk merencanakan setiap pergerakan bahagian badan dan isi lembu untuk dibungkus sebelum dipasarkan terus, amat mengagumkan. Kira-kira 120 pekerja bertugas pada setiap masa di pusat itu – memproses setiap ekor lembu untuk menghasilkan lebih 30 produk berasingan yang mempunyai kelas-kelas tertentu.

Walaupun pusat berkenaan telah memperolehi sijil halal daripada badan Islam Australia, namun ia kini masih berusaha untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selepas menyaksikan kecanggihan teknologi HarveyBeef, rombongan kami dibawa melawat Pusat Penyelidikan Vasse.

Di Pusat Penyelidikan Vasse, Bunbury itu kami disajikan pula dengan kesungguhan mereka untuk mengkaji dan memperbaiki aspek pengurusan makanan dan tumbesaran haiwan. Setiap petak-petak rumput dikaji untuk memastikan ia mempunyai zat-zat seperti kandungan gula, kabohidrat dan tenaga yang mencukupi untuk keperluan haiwan.

Menurut Pengurus Wilayah, Jabatan Pertanian dan Makanan Australia Barat, David Windsor, pernah berlaku mereka mendapat rungutan daripada kilang-kilang pemprosesan daging bahawa lembu yang dihasilkan terlalu banyak daging dan kurang tulang.

”Oleh itu kami mengubah sedikit kandungan makanan haiwan itu untuk memenuhi kehendak komersial berkenaan. Hal yang sama juga kami buat untuk lembu tenusu,” katanya.

Selain itu, di pusat itu juga kami ditunjukkan Sistem Pengesanan Haiwan Kebangsaan (NLIS) yang berfungsi untuk mengesan pergerakan setiap haiwan bermula dari saat dilahirkan sehingga ke rumah penyembelihan.

Walaupun undang-undang persekutuan Australia hanya mewajibkan pemakaian NLIS apabila haiwan itu hendak dibawa keluar dari ladang, namun kini penternak di seluruh Australia memasang sistem itu secara sukarela pada haiwan ternakan mereka.

Sistem itu bukan sahaja akan memudahkan penternak mengesan tumbesaran haiwan, penyakit dan sebagainya tetapi mengawal kualiti haiwan tersebut. Sebagai contoh dalam kunjungan kami ke ladang tenusu di Victoria, NLIS memudahkan ladang tersebut membuat pemantauan terhadap kuantiti dan kualiti setiap susu yang dikeluarkan oleh lembu.

Lembu yang mengeluarkan hasil tidak menepati piawaian tertantu akan dikesan dan diperiksa untuk dirawat.

Kunjungan di bumi Australia itu turut diselitkan agenda kemudahan penyelidikan terkini seperti di Makmal Biologi Tenaga Tumbuhan di bawah Pusat Kecemerlangan ARC, Universiti Australia Barat; dan kemudahan di Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) yang merupakan agensi penyelidikan utama Australia di Canberra.

Dalam lawatan itu beberapa kerjasama turut ditandatangani seperti persetujuan Australia untuk memulakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Industri Kambing Malaysia (PPIKM) dan membantu Malaysia membentuk Pelan Pembangunan Industri Lembu.

Selain itu pada mesyuarat tahunan Kumpulan Kerjasama Malaysia-Australia Mengenai Pertanian, Australia bersetuju untuk memberi keutamaan menyelesaikan isu kesukaran buah-buahan Malaysia memasuki pasaran negara itu khususnya berkaitan nanas.

Sementara itu, Mustapa berkata, keupayaan Australia Barat memanfaatkan sains dan teknologi bagi meminimumkan kos tetapi pada masa sama meningkatkan pulangan perlu dicontohi.

”Ini yang perlu kita contohi dalam usaha kita untuk menjadikan bidang pertanian kita berdaya maju, mampu untuk memenuhi keperluan negara dan pada masa sama meningkatkan pendapatan petani dan penternak yang secara tidak langsung mampu mengangkat taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau menambah telah banyak kemajuan yang dikecapi dalam hubungan pertanian dengan Australia. Namun ia masih belum memadai kerana usaha di peringkat tempatan perlu dilipat gandakan. Dalam hal ini katanya, peranan sektor swasta amat penting bagi membantu kerajaan mengangkat martabat pertanian.

”Sebagai contoh sasaran negara untuk mencapai satu juta kambing atau 35 peratus daripada keperluan negara menjelang 2015 tidak akan tercapai tanpa penyertaan swasta. Setiap tahun kita hanya mempunyai dana berjumlah RM22.5 juta untuk membawa masuk 15,000 baka kambing. Dengan angka ini sukar untuk kita mencapai sasaran itu kecuali dengan penglibatan sektor swasta,” katanya.

Beliau berharap kerjasama dengan Australia akan mampu menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam skala besar, selari dengan hasrat untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi bagi kegunaan negara.

AMDEN RAMLI
(Yang melawat Australia baru-baru ini)

Rumbia makin menguntungkan

Pokok rumbia ditanam oleh pekebun kecil sebagai tanaman komersial untuk menampung pendapatan mereka di Dalat.


MUKAH 31 Dis. – Bahagian Mukah merupakan satu-satunya kawasan di Sarawak yang menjadikan tanaman rumbia atau pokok sagu sebagai tanaman komersial.

Keluasan tanaman untuk pokok sagu kini dianggarkan 67,957 hektar yang meliputi 43,426 hektar milik para pekebun kecil, manakala 24,531 hektar lagi dibangunkan secara estet.

Malah, kemahiran dan pengalaman Sarawak dalam memajukan pertanian rumbia atau pokok sagu mendapat perhatian kerajaan Papua New Guinea yang berkunjung ke negeri ini baru-baru ini.

Negara berkenaan yang turut mempunyai tanah paya sesuai untuk tanaman rumbia, bagaimanapun menurut Gabenor Wilayah Sandaun, Simon Solo tidak diusahakan secara komersial.

Papua New Guinea, katanya, akan mengambil contoh bagaimana kilang pemprosesan tepung sagu beroperasi serta beberapa strategi pemasaran untuk produk itu.

”Susulan lawatan ini kita akan mengkomersialkan tanaman rumbia di negara kami dan untuk permulaan kita merancang untuk membina sebuah kilang pengeluaran tepung sagu,” katanya ketika dalam lawatan ke daerah Dalat pada Ogos lepas.

Tanaman berkenaan tumbuh subur di kawasan tanah paya gambut kerana ia memerlukan air yang banyak untuk tumbesarannya.

Dalat merupakan daerah dalam bahagian Mukah yang mempunyai kebun-kebun kecil tanaman rumbia dengan keluasan tanaman kira-kira 28,745 hektar.

Apabila harga jualan rumbia tinggi, para pekebun kecil ini akan mengambil peluang menebang dan menjualnya di empat buah kilang pemprosesan.

Ini berikutan harga komoditi berkenaan mengalami kenaikan dan penurunan harga berdasarkan permintaan di pasaran dunia.

Antara negara yang menjadi pengimport tepung sagu dari Sarawak ialah Jepun, Singapura dan Taiwan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, harga tepung sagu di pasaran antarabangsa mencecah RM1,239 satu tan metrik bermula Mac lepas.

Pada 1970, katanya, harga tepung sagu hanya sekitar RM140 satu tan metrik.

”Pekebun rumbia mempunyai masa depan yang cerah berikutan kenaikan mendadak harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

”Ini secara langsung menambah pendapatan para pengusaha kebun rumbia,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada masa ini, sekerat rumbia yang sudah ditebang dijual dengan harga RM7. Dalam sepohon, ia boleh dipotong menjadi sekurang-kurangnya 10 kerat.

Malah untuk menggandakan jumlah pengeluaran tepung sagu dan pelbagai produk tambah nilai, kerajaan negeri telah menubuhkan Craun Research Sdn. Bhd.

Syarikat milik kerajaan itu ditubuhkan bagi membuat penyelidikan dan pembangunan berkaitan penanaman dan produk berasaskan sagu.

Sementara itu, seorang pekerja kilang pemprosesan tepung sagu, Peter David, 47, berkata, pokok sagu lazimnya hanya boleh ditebang apabila mencapai usia kira-kira sepuluh tahun.

Dia yang berpengetahuan luas tentang rumbia berkata, pokok sagu mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 hingga 12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi.

”Pokok sagu memang amat berkait rapat dengan kami di sini (penduduk Dalat). Sehingga sekarang ramai remaja mengambil upah menebang rumbia pada masa cuti sekolah,” katanya.

Revolusi gerai tepi jalan

SHAHIDIN Mohd. Noor sentiasa menitik beratkan ketelitian hasil kerja anak buah serta pekerjanya.


KOTA TINGGI 5 Jan. – Lebih 17 tahun lalu, perniagaan jamu yang diusahakan Allahyarham Noh Kamar dan keluarga ‘berteduh’ di gerai tepi jalan bagi memasarkan produk keluaran berasaskan herba.

Hasil usaha gigih dan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, kini Noh boleh berbangga kerana berjaya menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Toko Jamu Tenaga Keluarga untuk memasarkan produk yang dihasilkan.

Malah, kini jamu yang dihasilkan oleh syarikat tersebut semakin dikenali ramai dan turut dipasarkan di beberapa negeri selain Johor.

Atas tanggungjawab yang perlu dipikul selain minat dan asas mengenai pertanian yang dipelajarinya, menantu sulung keluarga berkenaan, Shahidin Mohd. Noor, 39, merasakan beliau perlu meneruskan perjuangan bapa mertuanya itu.

Kini Shahidin selaku Pengurus Besar yang memiliki Diploma Kejuruteraan Jentera Awam daripada Polimas, Jitra, Kedah mampu mengukir senyuman lebar apabila syarikat berkenaan terus berkembang maju di bawah pengurusannya.

Bercerita mengenai sejarah penubuhan syarikat warisan keluarga itu, beliau memberitahu, pada mulanya syarikat itu beroperasi di Taman Gembira, Johor Bahru sebelum berpindah ke Taman Desa Jaya pada 1997 dan kemudian berpindah lagi ke Mount Austin pada 2005.

Lebih membanggakan, syarikat tersebut turut mendapat pengiktirafan sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Sementara itu, pada 2005, impian pihak pengurusan untuk memiliki sebuah kilang yang besar dan mampu mengeluarkan produk dengan kuantiti lebih besar tercapai apabila sebuah bangunan kilang di Bandar Penawar siap dibina.

“Bangunan yang dibina di atas tanah seluas tiga hektar itu mempunyai lima bahagian iaitu pengurusan, makmal penyelidikan, pusat pameran, medan makan dan kemudahan pembuatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, daripada penghasilan dua produk pada mulanya, syarikat yang diberi nama baru iaitu Toko Tenaga Keluarga Sdn. Bhd., kini mengeluarkan lebih 30 produk berasaskan herba dan makanan kesihatan.

“Dahulu syarikat kami hanya mengeluarkan majun untuk lelaki dan Super Tenaga Tupai 2. Bagaimanapun, hanya produk Tupai 2 sahaja yang diteruskan pengeluarannya kerana permintaan yang tinggi,” katanya.

Antara produk herba yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut seperti Kapsul Sri Langsing, Pil Manjakani, Herba Pemulih Resdung, Kapsul Tupai Dua Keluarga, Tongkat Ali Plus dan Jinta Harmoni.

Sementara itu, bagi makanan kesihatan pula, produknya di bawah jenama Terang dan antara Pati Herba Hempedu Bumi, Pati Halia Sarbat, Kopi Terang Kacip Fatimah dan Kordial Serapat.

Kesemua bahan herba bagi kegunaan syarikatnya itu diperoleh di kawasan setempat iaitu di sekitar Bandar Penawar dan dari negara luar seperti India.

Kesemua produknya bukan sahaja mendapat pasaran di dalam negara, tetapi turut menembusi pasaran luar seperti Singapura dan Brunei.

Dalam tempoh sebulan, syarikatnya mampu untuk menghasilkan sebanyak 16,000 botol kapsul pelbagai jenis dan jumlah tersebut berbeza mengikut tempahan dan permintaan daripada pelanggan mereka.

Dulu makan gaji, kini pengusaha cacing berjaya

DARI kiri, Wan Norazami Wan Shah, Zamri Md. Kassim dan Ahmad Ghazi Abdul Hayun menunjukkan baja cacing yang dihasilkan syarikat milik mereka, Zaws Agrotech di Kampung Tehel, Jasin, Melaka.


JASIN 5 Jan. – Jika dulu empat rakan baik ini hanyalah pekerja kilang yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan tetap sekitar RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, tetapi kini segalanya sudah berubah kerana terlibat secara aktif dalam ternakan cacing.

Siapa sangka cacing yang sering digunakan untuk menjadi umpan memancing ikan tetapi kini sudah menjadi perniagaan yang menjanjikan sumber pendapatan paling lumayan.

Justeru, empat anak muda ini mengambil langkah untuk berhenti kerja dan memberikan tumpuan penuh mengusahakan ternakan cacing.

Berbekalkan minat dan bersedia menghadapi risiko perniagaan, mereka mencuba perniagaan menternak cacing untuk dijadikan baja bermula pada tahun 2006.

Pelbagai rintangan dan halangan dilalui malah ada di kalangan rakan mereka yang tertawa apabila menyuarakan hasrat untuk menceburi bidang perniagaan menternak cacing untuk dijadikan baja.

Akhirnya, percaturan empat sekawan ini berhasil kerana selepas tiga tahun menghadapi pelbagai cabaran, perniagaan ternakan cacing dan baja pertanian yang dihasilkan menerusi penubuhan syarikat, Zaws Agrotech di Kampung Tehel di sini mampu memberikan pendapatan lumayan sehingga RM30,000 sebulan.

”Tiada seorang pun dari kalangan kami yang mempunyai kepakaran dan segulung ijazah dalam bidang pertanian.

”Saya sendiri memegang diploma kejuruteraan dari politeknik di Perlis dan bekerja hampir 18 tahun sebagai penyelia di kilang,” kata Wan Norazami Wan Shah, 33.

Katanya, selepas kecewa kilang tempat mereka bekerja terpaksa ditutup dan berpindah operasi ke Johor pada tahun 2006, rakan mereka, Mohd. Suhaimi Selamat, 33, mempelawa untuk mencuba perniagaan tersebut yang ketika itu masih baru di negara ini.

”Pada mulanya saya kurang yakin dengan cadangan Mohd. Suhaimi tetapi setelah berjumpa dengan pengusaha menternak cacing yang berjaya akhirnya saya dan rakan yang lain bersetuju memulakan perniagaan ini,” katanya.

Selain Wan Norazami dan Mohd. Suhaimi, dua lagi rakan mereka yang turut mengusahakan Zaws Agrotech ialah Zamri Md. Kassim, 39, dan Ahmad Ghazi Abdul Hayun, 36.

Menurut Wan Norazami, tanpa mendapatkan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, mereka berempat mencuba menternak sekilogram cacing induk yang dibeli di Perak bagi mencuba sejauh mana pencapaian mereka dalam bidang tersebut.

Dalam tempoh setahun mengusahakan perniagaan tersebut, kata beliau, tidak ada sebarang hasil dan keuntungan yang diperoleh.

”Kami semua tidak patah semangat walaupun dalam setahun tidak mendapat sebarang pendapatan.

”Kami cekal dan akhirnya berkat usaha gigih impian yang diletakkan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau memberitahu, purata setiap bulan dianggarkan 300 kilogram cacing berjaya dihasilkan daripada 153 kotak yang terdapat di pusat pemeliharaan cacing tersebut beroperasi.

”Kami ternak cacing import dari Afrika dan cacing merah dari Australia. Hasilnya kami jual kepada para penternak baru serta beberapa syarikat kosmetik tempatan,” katanya.

Katanya, menternak cacing ini di anggap mudah kerana dalam masa tiga bulan selepas menetas daripada telur, cacing ini sudah matang dan boleh dijual.

Beliau menambah, setiap telur ia akan mengeluarkan kira-kira 20 ekor cacing.

”Di samping menternak cacing, baja juga dapat dihasilkan melalui ternakan cacing ini dan baja yang dihasilkan ini jika diletakkan di kawasan pokok-pokok ia akan dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran pokok,” katanya.

Katanya, terdapat dua jenis bentuk baja yang dijual iaitu jenis cecair yang dijual dengan harga RM30 yang sesuai digunakan di pokok-pokok bunga manakala jenis serbuk pula dijual dengan harga RM4 hingga RM6 dengan setiap satu kilogram.

Namun, siapa sangka anak muda empat sekawan ini biarpun tidak berpengalaman dalam perniagaan tetapi mereka membuktikan dengan minat mendalam, mereka mampu menguasai bidang tersebut.

Di samping itu, empat rakan baik ini juga telah berjaya mencipta mesin tapisan cacing.

”Mesin ini kami jual dengan harga RM2,500 sebuah dan sambutan yang diterima agak memuaskan, sekali gus menambah pendapatan syarikat kami.

”Bagi perancangan masa depan, kami akan melebarkan sayap perniagaan Zaws Agrotech ke luar negara khususnya negara Asia Barat yang mempunyai permintaan tinggi dalam perniagaan ini,” katanya.

Bagi mereka yang berminat berkongsi pengalaman bersama empat anak muda ini dan berhasrat membuat tempahan cacing dan baja, boleh hubungi Mohd. Suhaimi pada talian 019-6501125 atau datang sendiri di alamat Kilometer 16, Kampung Tehel.