Penyelidikan hasilkan kopi klon

kETUA Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman tertarik dengan kopi klon baru di Kluang Johor.


Bagi sebilangan kita, tentu tidak sempurna sarapan pagi tanpa meneguk secawan kopi bagi menceriakan permulaan hari.

Terdapat pelbagai jenis kopi yang boleh dipilih, daripada kopi hitam, kopi segera dan sebagainya.

Sebenarnya terdapat tiga jenis kopi yang ditanam di seluruh dunia iaitu Arabica, Liberica dan Robusta.

Kopi Arabica yang biasa ditanam di kawasan pergunungan bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang meluas di serata dunia.

Manakala Robusta dan Liberica pula biasanya ditanam di kawasan tanah rendah.

Bagaimanapun, kopi paling mahal di dunia adalah kopi luwak atau kopi musang yang didapati di Indonesia.

Di negara ini, penyelidikan mengenai klon kopi telah mula dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 1981 dan mula mengeluarkan klon kopi pertama pada 1992.

Dalam tempoh berkenaan sehingga 2008, MARDI telah berjaya mengeluarkan 12 klon kopi Robusta dan Liberica.

Pegawai Penyelidik, Pusat Padi dan Tanaman Industri MARDI, Mohd. Anuar Abbas berkata, prestasi kopi klon biasanya lebih baik berbanding dengan kopi biasa.

“Kopi klon akan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan kopi biasa.

“Bagi kopi Liberica misalnya, purata hasil kopi biasa adalah 11 -19 tan sehektar berbanding 20 hingga 28 tan sehektar bagi kopi klon,” katanya semasa di temui di pejabatnya baru-baru ini.

Malah, buah kopi klon adalah lebih besar dan mudah dipetik berbanding buah kopi biasa.

Manakala pertukaran daripada jenis kopi jambu ke kopi beras biasanya hanya sekitar lapan peratus tetapi dengan kopi klon peratusan dapat ditingkatkan sehingga 10.5 peratus.

Kopi klon biasanya lebih cepat mengeluarkan hasil dan mengambil masa 19 bulan berbanding 30 bulan.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan klon kopi, Mohd. Anuar berkata, penyelidikan kopi yang bermula pada 1981 menjurus kepada tiga program pemilihan iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan program pemilihan baka klon.

Program jangka pendek bagi menghasilkan baka dengan segera memakan masa 10 tahun.

Dalam tempoh berkenaan, dua klon baka polihibrid iaitu Robusta MKR1 dan Liberica MKL1 telah diisytiharkan pada 1992.

Bagi program jangka sederhana, 10 pokok terbaik dari kebun janaplasma kopi MARDI dinilai lanjut daripada segi prestasinya di ladang stesen-stesen penyelidikan MARDI di Gajah Mati, Kedah dan di Kluang, Johor.

“Selepas sembilan tahun program ini telah menghasilkan tiga klon Liberica MKL2, MKL3, MKL4 dan empat klon Robusta MKR2, MKR3, MKR4 dan MKR5.

“Tujuh klon berkenaan diisytiharkan pada 1995,” katanya.

Program pemilihan baka klon pula bermula dengan membuat pilihan pokok kopi seluruh negara dengan maklumat daripada petani dan pemantauan selama dua tahun di tempat asal dan plot uji kaji.

Bagi Liberica, kata Anuar sebanyak 44 pokok telah dikenal pasti pada tahun 1991 sebagai klon kopi MARDI dan daripada sana tiga pokok dipilih sebagai klon terbaik, iaitu MKL5, MKL6 dan MKL7 selepas 16 tahun dinilai.

Ciri morfologi bagi buah, daun serta pokok matang bagi tiga klon baru ini dapat dilihat dengan sifat ketara seperti bentuk dan warna buah masak, bentuk daun dan struktur pertumbuhan seperti jarak ruas dahan sekunder pada dahan utama.

Potensi hasil baka tiga klon baru ini lebih tinggi berbanding dengan klon Liberica sedia ada.

Hasil kopi jambu bagi MKL5, MKL6 dan MKL7 masing-masing 24.3, 25.1 dan 26.2 tan sehektar.

“Purata hasil kopi jambu pula sebanyak 25.2 tan sehektar atau 19.4 peratus lebih daripada baka bandingan MKL3 yang digunakan dalam penilaian baka klon kopi Liberica.

“Biasanya pekebun kecil akan menjual kopi dalam bentuk kopi jambu dan pengilang akan memproses ke bentuk kopi beras,” katanya.

Kemudian kopi beras akan diproses bagi mendapatkan serbuk kopi seperti yang digunakan di rumah.

Secara keseluruhan klon kopi baru MKL5, MKL6 dan MKL 7 berupaya mengeluarkan hasil yang lebih baik berbanding klon kopi yang disyorkan sebelum ini.

Pengeluaran hasil yang lebih tinggi dapat meningkatkan pendapatan dan produktiviti pengusaha atau pekebun kecil.

Selain itu, saiz buah yang lebih besar juga dijangka dapat memudahkan kerja memetik hasil.

Petani dan pekebun kecil yang menanam klon ini dijangka dapat meningkatkan hasil tanaman lantas menampung keperluan biji kopi negara terutama industri kopi yang menggunakan kopi Liberica untuk diproses menjadi serbuk kopi dan produk lain.

Bagaimanapun, kata Anuar, keluasan tanaman kopi semakin berkurang setiap tahun akibat persaingan penggunaan tanah dengan tanaman lain dan penempatan manusia.

“Selain itu harga pasaran kopi dunia yang tidak menarik terutama Robusta dan Liberica mengurangkan minat petani dan pekebun kecil.

“Usia petani dan pekebun kecil yang semakin meningkat juga memainkan peranan dalam penanaman kopi,” katanya.

Buat masa ini, Jabatan Pertanian membantu membekalkan 75,000 anak benih kopi dan 19,000 klon kopi kepada petani dan pekebun kecil di seluruh negara terutama di Johor dan Selangor dan biji benih kopi polihibrid di Sabah.

Wadira kopi tumbuk dari Baling

HASLIZA Harun (tengah) dan ahli Kumpulan Wanita Dinamis Felcra (Wadira) mengasingkan biji kopi sebelum ditumbuk secara tradisional.


Dari kopi ‘O’ kepada kopi paket pelbagai rasa termasuk kopi ‘kuat’, kopi ‘tenaga’ sehinggalah kepada kopi penguat tenaga batin memenuhi pasaran kopi tempatan.

Melihatkan limpahan pelbagai jenis kopi dan permintaannya, telah memikat sekumpulan wanita kampung mengambil peluang mengusahakan produk kopi tumbuk asli tanpa menggunakan mesin moden bagi menghasilkan serbuk halus kopi.

Wanita Dinamis Felcra (Wadira) Kampung Teluk Sungai Durian, Bongor, Baling, Kedah, telah mengumpul kopi mentah daripada ahli bagi mewujudkan pusat pemprosesan kopi tumbuk secara komersial.

Kaedahnya mudah, mereka sepakat bekerjasama dalam semua proses, daripada mengumpul, mencambah, menggoreng dan menumbuk sehinggalah serbuk kopi dihasilkan.

Pengerusi Wadira, Nafisah Abdul Kadir,48, berkata, seramai 20 ahli kumpulannya mengumpul sendiri modal, bahan dan melaksanakan sendiri kesemua proses pengeluaran kopi.

“Kami mengumpul sendiri modal dan bahan termasuk buah kopi mentah dengan melaksanakan sendiri sehinggalah kepada proses pengeluaran kopi,” katanya.

Menurutnya, perusahaan membuat kopi tumbuk ini diusahakan sejak tiga tahun lalu. Asalnya di sebuah rumah ahli dan akhirnya kini mempunyai bengkel sendiri.

Nafisah berkata, buat masa ini pihaknya mendapatkan buah kopi mentah daripada ahli dan penduduk kampung sekitar.

Katanya, buah kopi mentah dibeli daripada penduduk dengan harga RM2.50 sekilogram manakala kopi yang siap dicambah (buang kulit) dengan harga RM8 sekilogram.

“Alhamdulillah setakat ini bekalan kopi mentah masih mencukupi untuk memenuhi permintaan kopi tumbuk,” ujarnya tersenyum.

Mengenai proses membuat kopi tumbuk Nafisah berkata, mereka akan menjalankan kerja-kerja memproses bahan setiap hari melalui kerjasama semua ahlinya.

Menariknya, pembuatan kopi tumbuk keluaran kumpulan wanita ini tidak menggunakan bahan awet sekali gus hasil kopinya memenuhi cita rasa penggemar kopi sebenar.

“Buat permulaan kami mahu penggemar kopi merasai kopi tumbuk sebenar,” katanya yang yakin pasaran kopi tumbuk akan berkembang.

Prosesnya bermula dari membeli buah kopi, mencambah, menggoreng sehinggalah ke menumbuk kopi dilakukan secara manual.

Tambahnya, proses menumbuk kopi kami lakukan sendiri tanpa sedikit pun menggunakan mesin pengisar.

Katanya, kerjasama erat antara ahli membolehkan proses pengeluaran kopi tumbuk berjalan lancar dan mengikut jadual bagi memenuhi permintaan bekalan.

Kopi tumbuk asli berjenama Wadira ini biarpun masih baru di pasaran namun permintaannya bukan sahaja untuk pasaran sekitar daerah malah telah menjangkau sehingga ke Kuala Lumpur.

Jelas Nafisah, pihaknya mempunyai rangkaian pemasaran sendiri biarpun perusahaan membuat kopi tumbuk ini tidak berskala besar.

Bagi Nafisah mutu kopi tumbuk boleh dilihat melalui penghasilan serbuknya yang lebih halus manakala aromanya tetap tidak berubah, sekali gus memukau selera penggemar si hitam manis ini.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran produk Wadira, Saarah Harun menjelaskan, selain pasaran tempatan termasuk kedai runcit dan restoran pihaknya telah mengambil langkah memperluaskan lagi pemasaran kopi tumbuk ke seluruh negara

Menurut Saarah, sehingga kini kopi tumbuk Wadira telah dijual sehingga ke Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor selain di kawasan utara.

“Buat masa ini antara 50 hingga 100 kilogram kopi tumbuk mampu dikeluarkan untuk memenuhi bekalan permintaan,” jelasnya.

Katanya, kopi tumbuk keluaran Wadira masih lagi bertatih dengan cara pembungkusan dan pelabelan. Pihaknya masih berada pada tahap promosi bagi meyakinkan pelanggan dan peminat kopi tumbuk.

Jelasnya, pihaknya turut mengambil kesempatan menyertai ekspo dan pameran dalam mempergiatkan lagi kempen meminum kopi tumbuk.

Sehubungan itu jelas Saarah, pihaknya yakin produk Wadira ini bakal mencetuskan satu era baru kepada golongan muda meminati kopi.

Barracafe tawar menu berasaskan ikan

BARANG kali bunyinya agak ganjil tetapi pemilihan nama Barracafe ada kena mengenai dengan produk yang di jual.

Barracafe yang terletak di Jalan Pandan Pria, Dataran Pandan Prima 2, Kuala Lumpur ini menjadi antara produk terbaru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam usahanya memajukan industri produk berasaskan ikan.

Sesuai dengan namanya, ia beroperasi sebagai sebuah restoran yang menyediakan menu berasaskan ikan dan nama Barra dipilih berasaskan nama ikan Barramundi atau dikenali sebagai siakap.

Dengan kos pembangunan keseluruhan mencecah RM450,000, kafeteria tersebut menyediakan pelbagai jenis makanan dan menampilkan hiasan dalaman yang menarik dan mampu menarik pengunjung pada masa akan datang.

Meskipun baru dibuka pada Ogos tahun lepas tetapi ia mampu menarik pengunjung terutama penggemar makanan ala Barat dan juga Timur.

Ia dimajukan bagi merealisasikan hasrat LKIM, untuk mempelbagaikan perniagaannya terutama yang menyokong sektor perikanan.

Ini kerana LKIM turut memiliki anak syarikat iaitu Majuikan Sdn. Bhd. (MSB) sebagai cabang perniagaannya selain produk dan teknologi lain khususnya Fish Protech.

Fish Protech merupakan satu teknologi akuakultur yang terbaik untuk industri menternak ikan yang diperkenalkan oleh LKIM dengan kerjasama syarikat dari luar menerusi MSB di Bagan Lalang sejak beberapa tahun lepas dengan menternak ikan barramundi.

Justeru, ada keperluan untuk mewujudkan perniagaan makanan berasaskan ikan berkenaan sebagai sebahagian strategi pemasaran.

Menurut Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad, usaha pihaknya memajukan perniagaan kafeteria seumpama itu menjadi bukti kesungguhan agensi terbabit memajukan industri perikanan termasuk akuakultur yang membolehkan masyarakat menikmati produk segar.

Usaha tersebut katanya, sebagai permulaan bagi MSB untuk mengembangkan teras perniagaannnya berasaskan teknologi Fish Protech.

Selain itu, jika pendekatan tersebut mendapat sambutan, MSB akan membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat menerusi konsep francais.

”Kita juga mahu mempromosi konsep usaha dari ladang ke meja makan yang mana projek ternakan kita akhirnya dapat dimanfaatkan sehingga ke hidangan,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis mesra media bersama Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail di restoran tersebut baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar (Operasi), MSB, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim.

Katanya, sebanyak empat lagi pusat Fish Protech akan diwujudkan pada masa akan datang iaitu di Naka, (Kedah), Tok Bali (Kelantan), Pekan (Pahang) dan Pagoh di Johor dengan kos RM10 juta setiap satu.

Justeru pembangunan teknologi akuakultur Fish Protech itu diharap dapat memberi perangsang kepada masyarakat yang berminat menceburi akuakultur moden bagi meningkatkan sumber perikanan negara.

MSB katanya, telah lama terlibat dengan industri makanan laut dengan pengeluaran pelbagai jenis makanan termasuk bebola ikan, bebola sotong, keropok lekor dan sosej dengan jenama Sajimas dan Majuikan.

Produk tersebut kata beliau juga akan dipromosi menerusi Barracafe sebagai sebahagian menu yang disediakan kepada pengunjung.

Menu lain termasuk kari kepala ikan, masakan ikan tiga rasa dan serta makanan Itali.

Barracafe dibuka pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Istimewa pegaga kepada Che Som

Bagi yang mahukan wajah sentiasa dalam keadaan muda, fikiran sentiasa tenang dan meningkatkan daya ingatan anda tidak perlu bersusah payah mencari ramuan dan herba lain yang mungkin ada antaranya mengandungi bahan kimia.

Di sebalik bentuknya yang kecil tersimpan rahsia besar membuktikan pegaga sungguhpun kecil namun tumbuhan ini banyak khasiatnya.

Rahsia dan khasiatnya terbukti sejak berkurun untuk dijadikan penawar pelbagai penyakit.

Pun begitu rahsia inilah yang membuka minat mendalam kepada pengamal herba untuk menjadikan pegaga sebagai tanaman pilihan bukan sahaja untuk amalan memakannya sebagai ulam istimewa malah penawar dan mencegah penyakit.

Che Som Ahmad, 68, dari Kampung Bukit Palong, Bongor Baling menjadikan amalan memakan daun pegaga telah menjadi amalan rutin hidupnya dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Bagi Che Som tumbuhan merayap dan mudah hidup ini membawa keistimewaan pada dirinya kerana sejak zaman muda mengamalkan petua makan daun pegaga sudah cukup sebati dalam dirinya menyebabkan dia lantas menanam tumbuhan itu.

Biarpun tanaman pegaganya ditanam di atas tanah sawah terbiar, ia tidaklah menjangkau sayup mata memandang namun batas-batas tanaman tumbuhan ini hidup subur.

Di sebalik deretan batas tanaman pegaga milik wanita ini dia tetap puas tanaman yang dianggap tidak komersial ini sekurang-kurangnya mampu membuka persepsi baru bahawa tanaman ini tinggi nilai perubatan dan kesihatan.

Untungnya tanaman merayap hasil usaha ibu kepada tujuh anak ini yang setiap baris tanaman kira-kira lima meter panjangnya sudah cukup menggambarkan usaha wanita ini telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 petak kawasan tanaman pegaga milik Che Som yang menghijau itu telah memberikan peluang kepadanya menambah pendapatan keluarga.

Menurut Che Som setiap hari dia memetik daun pegaga bagi dijual kepada peraih dan penduduk kampung yang datang membeli dari kebunnya.

Pegaga milik Che Som turut dijual di pasar malam dan minggu didaerah ini dan sekitar.

Katanya, kepada peraih dia menjualnya dalam bentuk ikat dengan harga antara lima puluh sen ehingga RM1 seikat manakala bagi penduduk terpulang kepada mereka malah adakalanya dia enggan mengambil duit.

“Tanaman ini mudah dijaga dan cepat membiak dan cepat matang,” katanya.

Tambahnya, sekalipun serangan serangga kecil dan kekurangan air menyebabkan daun pegaga rosak dan menjadi kekuningan namun ia tidaklah sesukar tanaman lain yang memerlukan perhatian.

Jelas Che Som, kebanyakan spesies pegaga boleh tumbuh di kawasan terbuka dan ada juga yang memerlukan keadaan lindungan yang sederhana.

Namun menurut wanita ini, tumbuhan pegaga tumbuh meliar di kawasan lembap dan berdekatan air.

Tambahnya, menanam pegaga tidaklah sesukar tanaman lain kerana selepas dipetik dalam tempoh beberapa hari ia akan tumbuh semula dan bersilih ganti menyebabkan tanaman ini tidak memerlukan kawasan yang besar untuk menanamnya.

Namun di sebalik usaha penanaman pegaga ini Che Som berkata nilai dan khasiatnya yang tinggi ialah boleh mengekalkan pengamalnya awet muda.

”Amalan memakan daun pegaga boleh mengekalkan awet muda dan masalah kegemukan,” ujarnya tersenyum.

Pegaga atau nama saintifiknya, Centella asiatica berasal dari kawasan Asia iaitu India, Sri Lanka dan Madagascar dan juga Afrika Timur.

Juga dikenali sebagai daun kaki kuda dari keluarga Umbelliferae di kalangan masyarakat tempatan tanaman ini begitu popular kepada tiga kaum utama di negara ini.

Bagi kaum Melayu ia dimakan secara segar sebagai ulam dan juga sering dijadikan kerabu dengan campuran dengan daun herba lain.

Bagi kaum Cina pegaga dijadikan minuman penyejuk badan manakala untuk kaum India digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.

Masyarakat India juga menjadikan pegaga sebagai sumber perubatan untuk penawar racun, anti kanser,,ubat cirit birit dan dijadikan tonik mengubati penyakit kulit dan saraf.

Di Thailand pegaga di kenali Buabok telah menjadi satu produk yang dibotolkan secara jus diminum sejuk menjadikan minuman pegaga asli begitu popular di negara gajah putih itu.

Sejarah perubatan Ayur Veda menunjukkan pegaga sebagai sumber paling baik dan menyegarkan untuk sel-sel otak dan otot manusia.

Daun pegaga berbentuk otak atau ginjal dengan lebar antara tiga hingga lima sentimeter (sm) dan panjang tangkai boleh mencapai sehingga 15 sentimeter mengikut kultivar, kesuburan dan kepadatan tanaman.

Bunganya dalam jambak antara tiga hingga empat kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu.

Menjelaskan mengenai jenis pegaga Che Som berkata terdapat sekurang-kurangnya lima jenis yang terdapat dan tumbuh meliar di negara ini iaitu pegaga cina, pegaga daun lebar, pegaga gajah, pegaga salad, dan renek.

Istimewanya tumbuhan menghijau ini turut dijadikan penawar dalam menurunkan tekanan darah, melawaskan kencing, penyembuhan luka, ulser, masalah kulit dan penawar alahan.

Tumbuhan ini kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi dan vitamin A dan C.

Namun di sebalik usianya itu Che Som menyimpan hasrat supaya usahanya itu memberi semangat terutama kepada petani muda menceburi penanaman pegaga secara komersial.

Memang tepat saranan Che Som kerana sejak kebelakangan ini industri kecantikan tempatan turut menjadikan daun pegaga sebagai ramuan.

Dalam bidang kecantikan khasiat daun pegaga terbukti mampu menjadi bahan tambahan kepada anti selulit dan anti kedutan untuk mata, muka dan menambah ketegangan kulit dan akhirnya membentuk kulit baru.

Agen antipenuaan dalam Kacip Fatimah

Dr. Zaini Ujang menunjukkan dua contoh serbuk dan bahan mentah Kacip Fatimah yang mengandungi agen antipenuaan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 8 Jan. – Hasil kajian dua penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Dongguk, Seoul Korea mendapati herba Kacip Fatimah mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan penemuan agen antipenuaan dalam tumbuhan itu

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang, agen antipenuaan dalam tumbuhan herba itu yang ditemui dalam kajian Profesor Dr. Mohamad Roji Sarmidi dan Prof. Dr. Chan Seo Park itu boleh digunakan untuk produk kosmetik.

Sebelum ini katanya, Kacip Fatimah hanya digunakan untuk kesihatan dalaman wanita seperti memberi tenaga tambahan, menstabilkan hormon wanita dan melancarkan perjalanan darah.

“Kajian ini adalah yang pertama direkodkan mengenai tumbuhan herba ini terhadap kulit dan analisis mendapati ekstrak daripada tumbuhan itu ternyata amat tinggi nilainya sebagai agen antipenuaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu jelasnya, kajian makmal juga menunjukkan ekstrak Kacip Fatimah berupaya menghasilkan kolegen untuk mengatasi kerosakan kulit akibat pendedahan kepada sinar ultraungu.

Beliau memberitahu, kajian itu juga mendapati sesetengah ekstrak herba itu berupaya bertindak sebagai agen antiradang ke atas sel kulit di samping mengandungi agen pemutihan.

Menurut beliau, hasil daripada penemuan itu, UTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Dongguk pada November lalu.

Ditanya mengapa kerjasama itu dilakukan dengan Universiti Dongguk, Zaini memberitahu, universiti tersebut mempunyai makmal mengkaji kemujaraban sesuatu penemuan sementara UTM mempunyai kelengkapan penyelidikan berharga RM50 juta.

“Kita hanya akan menjual bahan-bahan mentah (ekstrak) Kacip Fatimah yang berharga dalam lingkungan RM1,000 sebotol kecil dalam bentuk cecair dan serbuk kepada yang memerlukannya,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, walaupun mendapat permintaan daripada beberapa pihak dari luar negara namun UTM masih mengutamakan untuk menjual ekstrak herba itu kepada pengusaha tempatan.

Beliau juga memberitahu kajian ke atas Kacip Fatimah telah dilakukan sejak tahun 2007 oleh Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) UTM dan Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Biokimia, Universiti Dongguk.

Sementara itu Prof. Madya Chang- Seo Park berkata, penemuan tersebut dijangka mendapat perhatian pembuat produk kosmetik pada Persidangan Kosmetik yang diadakan di Yokohama, Jepun Mac depan.

Beliau berkata, selama ini pembuat produk kosmetik sentiasa mencari bahan baru untuk agen antipenuaan yang tidak memberi kesan sampingan kepada pengguna.

Menurutnya Kacip Fatimah yang telah digunakan oleh wanita Melayu sejak 400 tahun lalu didapati mujarab dan selamat digunakan untuk kulit.

“Tumbuhan ini saya anggap unik dan penemuan terbaru terhadapnya dijangka mendapat perhatian dan sambutan dari kalangan pembuat produk kosmetik peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Sebelum berhijrah ke Universiti Dongguk, Seo Park pernah bekerja di syarikat Toosan Cosmetics di Korea dan merupakan seorang pakar dalam bidang farmaseutikal pada 1995.