SEREMBAN 6 Jan. – Pengusaha bidang pertanian, penternakan dan perikanan digalakkan untuk memohon insentif jualan bagi membantu memperkembangkan perusahaan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, petani dan penternak disarankan untuk mendapatkan insentif berbentuk wang ringgit mengikut kadar hasil jualan dari jabatan masing-masing.
”Warga tani yang mengusahakan perusahaan sendiri boleh membuat tuntutan terhadap hasil jualan yang telah dibuat menerusi jabatan pertanian, perikanan dan veterinar.
”Nilai tuntutan insentif akan ditentukan mengikut kadar hasil jualan yang dijalankan oleh pengusaha sendiri bergantung kepada berat jualan kilogram,” katanya di sini hari ini.
Yunus berkata, insentif tersebut yang telah diwujudkan sejak tahun lalu itu bertujuan untuk membantu petani dan penternak bagi mengurangkan beban kos operasi sekali gus mempertingkatkan hasil produktiviti pengusaha.
”Insentif ini diperuntukkan bagi megurangkan beban pengusaha untuk menampung kos pembelian baja, racun dan lain- lain kemudahan yang kian meningkat,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Yunus juga memberitahu, petani dan penternak perlu menyimpan semua resit jualan yang dibuat bagi memudahkan proses tuntutan insentif dilakukan.
Di samping itu, beliau turut menyarankan petani dan penternak baru untuk memohon bantuan infrastruktur daripada jabatan masing-masing bagi meringankan kos permulaan pengusahaan.
”Jabatan Pertanian juga akan memberikan bantuan yang sewajarnya termasuklah menyediakan kemudahan prasarana bagi membolehkan mereka dapat melaksanakan perusahaan,” jelasnya.
Ketika ditanya berhubung masalah pemasaran hasil yang dihadapi petani dan penternak tempatan, Yunus berkata, beliau telah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melipat gandakan usaha bagi membeli hasil tanaman dan ternakan para pengusaha seluruh negara.
Tambah beliau, antara pendekatan yang dibuat termasuklah mengemaskini direktori petani dan penternak di seluruh negara bagi memudahkan sebarang urusan dibuat selain memperkuatkan rangkaian perhubungan dalam lingkungan industri.
”Kehadiran direktori pertanian ini memudahkan pengusaha untuk dikesan dan dihubungi bagi tujuan melancarkan sebarang urusan pembelian dan jualan dapat dijalankan,” katanya.