Penemuan baru UPM untuk kesihatan masyarakat

Produk berasaskan daun sawit termasuk teh yang dihasilkan oleh Dr. Suhaila Mohamed (tengah).


KEWUJUDAN pelbagai jenis tumbuhan di muka bumi ini sebenarnya menyumbang banyak kebaikan dan kelebihan kepada organisme-organisme daripada pelbagai aspek.

Manfaat tersebut sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kerana sejak sekian lama tumbuh-tumbuhan telah dijadikan sebagai sumber makanan tidak kira kepada manusia atau pun haiwan selain digunakan untuk tujuan lain seperti perubatan, perhiasan dan juga sumber tenaga.

Melihat betapa banyaknya sumbangan tumbuh-tumbuhan ini, penyelidikan terhadap potensinya terus dijalankan oleh banyak pihak bagi mencari lebih banyak penemuan baru dengan harapan dapat meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya merupakan antara institusi pendidikan yang sering menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap produk-produk berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Penemuan terbaru UPM adalah sejenis produk makanan dan sapuan yang dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka dan kecederaan pada kulit, tisu atau organ serta menggalakkan pertumbuhan bulu pada badan.

Produk yang diberi nama Healex itu dihasilkan daripada ekstrak daun kelapa sawit, rumpai laut tropika dan daun keledek itu mampu meningkatkan kadar pengecutan, kematangan dan granulasi tisu luka dengan lebih pantas.

Menurut penyelidiknya, Prof. Dr. Suhaila Mohamed, sifatnya yang tidak toksik membolehkan pengguna menelan Healex sebagai makanan atau disapu pada bahagian yang luka untuk mempercepatkan kadar pemulihan kecederaan tisu.

”Jika dahulu kebanyakan kita makan ikan haruan untuk tujuan menyembuhkan luka, namun melalui penemuan terbaru ini, manfaatnya adalah lebih daripada itu.

”Aplikasi produk ini dijamin memberi banyak faedah kepada pengguna seperti meningkatkan produktiviti dan mutu kehidupan selain mengurangkan kos dan masa penjagaan penyembuhan sembuh,” katanya pada taklimat media Hasil Penyelidikan UPM di UPM, baru-baru ini.

Selain memulihkan luka, Healex juga mempunyai kelebihan untuk membantu pengurusan penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol, penyakit kardiovaskular dan juga kanser.

Malah, produk yang mengambil masa penyelidikan selama setahun itu turut mempercepatkan proses pemulihan luka di kalangan pengidap penyakit kencing manis yang mengalami kadar penyembuhan yang lambat.

Dr. Suhaila yang juga profesor kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan memberitahu, produk berkenaan sesuai digunakan oleh pesakit-pesakit diabetis kerana ia boleh mengurangkan kandungan gula dalam darah.

”Pada peringkat awal kajian Healex, ia telah diaplikasikan pada kulit tikus yang luka dan kadar pemulihannya menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding kumpulan yang tidak dirawat dengan Healex.

”Pemulihan luka sebanyak dua sentimeter pada haiwan tersebut berlaku dengan lebih cepat iaitu pada hari ke-15,” jelasnya.

Healex dihasilkan dalam bentuk kapsul dan juga minyak sapuan di mana ia boleh dijadikan sebagai makanan kesihatan tambahan dengan pengambilan satu hingga dua biji kapsul sehari.

Menurut beliau lagi, penggunaan Healex menyasarkan golongan pengguna di kalangan pesakit hospital yang terlibat dengan kemalangan atau menjalani pembedahan.

Pada majlis yang sama, Dr. Suhaila turut membentangkan penyelidikan keduanya yang dikenali sebagai Addex iaitu sejenis bahan perencat serapan minyak dalam makanan goreng yang pertama di dunia untuk tujuan kesihatan.

Addex dihasilkan daripada formulasi khas biophenol dari ekstrak tumbuh-tumbuhan yang digunakan dengan kadar 1:10 ketika dimasukkan ke dalam minyak masak.

Ia akan bertindak sebagai bahan anti oksida lemak semula jadi yang akan merencatkan penyerapan minyak oleh makanan sehingga 30 peratus.

”Kebiasaannya, kebanyakan pengguna sekarang menggunakan bahan sintetik untuk tujuan penyerapan minyak pada makanan goreng kerana ia juga bersifat anti oksida dan harganya juga murah.

”Namun, penggunaannya akan memberi banyak kesan buruk seperti merosakkan organ dan juga masalah kesihatan dalam jangka panjang,” jelasnya.

Aplikasi produk tersebut juga mempunyai banyak kelebihan kerana ia tidak merosakkan minyak, malah mengekalkan mutu minyak masak yang digunakan sehingga penggunaan 40 jam atau seminggu.

Dari segi nilai kesihatan pula, Addex merupakan produk yang dapat menghalang masalah tekanan darah tinggi, anti alahan, anti kekejangan otot, anti kuman, anti kolestrol, anti bengkak dan juga anti kanser.

Penggunaan produk ini turut mengurangkan hidrolisis, masalah kegemukan, kolesterol tinggi, kanser dan penuaan yang disebabkan oleh pengambilan lemak berlebihan.

Berdasarkan kajian yang dijalankan selama setahun bermula 2006, Addex didapati mampu menyerap minyak sehingga 85 peratus pada keropok lekor dan 50 peratus pada donut.

”Ekstrak tumbuhan yang digunakan pada Addex menjadikannya berwarna hijau kegelapan dan ia akan mengeluarkan warna merah yang menarik apabila dicampurkan ke dalam minyak masak,” jelasnya.

Produk yang membuatkan makanan goreng menjadi kurang merbahaya itu menyasarkan pengguna dari golongan pengusaha restoran dan juga katering.

Secantik bunga dan khasiatnya

Secantik bunga dan khasiatnya

teh chamomile dipercayai mampu melindungi tubuh daripada menjadi perumah penyakit seperti demam dan kekejangan semasa haid.


Bunganya cantik dan tumbuh meliar di negara-negara empat musim, begitu juga khasiatnya yang tiada tandingan sebagai tumbuhan perubatan sejak berabad lamanya.

Chamomile adalah daripada keluarga bunga matahari Asteraceace yang pada mulanya menjadi tumbuhan semusim di Eropah dan negaranegara Asia yang mempunyai cuaca sejuk tetapi telah tersebar luas di Amerika Utara dan Australia.

Walaupun ia tumbuhan yang hidup meliar di pinggir jalan, ladang-ladang dan tanah kosong tetapi kini permintaannya yang semakin bertambah terutama dari segi perubatan, bahan kecantikan dan penjagaan diri, ia telah ditanam secara komersial.

Terdapat dua jenis chamomile iaitu jenis chamomile Jerman (Matricaria recutita ) dan chamomile Roman (Chamaemelum nobile). Tanaman chamomile dapat tumbuh setinggi 15 sentimeter (sm) hingga 60 sm. Daunnya panjang dan kecil berkelompok dua atau tiga daun dalam satu tangkai. Bunganya mengeluarkan aroma yang menakjubkan serta pahit rasanya.

Chamomile digunakan untuk menyembuhkan sakit perut, radang usus dan sebagai ubat tidur (penenang). Selain itu, sebagai teh herba, iaitu dengan menambahkan dua sudu makan bunga chamomile kering dengan secawan teh. Untuk mengatasi sakit perut dinasihatkan untuk meminum secawan teh chamomile setiap pagi tanpa sarapan selama dua atau tiga bulan.

Selain itu, tumbuhan ini juga sesuai untuk alahan kulit termasuklah ekzema, luka, sakit gigi dan ruam lampin serta membantu melembutkan kulit, selain memberi khasiat yang diperlukan oleh kulit untuk kekal sihat.

Teh chamomile pula dipercayai mampu melindungi tubuh daripada menjadi perumah penyakit seperti demam dan kekejangan semasa haid. Dalam kajian terbaru itu, mereka yang gemar minum teh ini menghasilkan sejenis bahan yang dikenali sebagai glisin yang melegakan kekejangan otot. Menurut penyelidik Imperial College London di United Kingdom, Dr. Elaine Holmes, bunga tersebut juga bertindak sebagai antioksida dan antimikrob.

Chamomile seringkali dikenali sebagai ‘tanaman doktor’ kerana membantu pertumbuhan tanaman lain yang tumbuh berhampirannya, terutama yang menghasilkan sari minyak (essential oil) seperti jenis tanaman mint (spearmint, sage, oregano).

Bantuan insentif kepada petani, penternak

SEREMBAN 6 Jan. – Pengusaha bidang pertanian, penternakan dan perikanan digalakkan untuk memohon insentif jualan bagi membantu memperkembangkan perusahaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, petani dan penternak disarankan untuk mendapatkan insentif berbentuk wang ringgit mengikut kadar hasil jualan dari jabatan masing-masing.

”Warga tani yang mengusahakan perusahaan sendiri boleh membuat tuntutan terhadap hasil jualan yang telah dibuat menerusi jabatan pertanian, perikanan dan veterinar.

”Nilai tuntutan insentif akan ditentukan mengikut kadar hasil jualan yang dijalankan oleh pengusaha sendiri bergantung kepada berat jualan kilogram,” katanya di sini hari ini.

Yunus berkata, insentif tersebut yang telah diwujudkan sejak tahun lalu itu bertujuan untuk membantu petani dan penternak bagi mengurangkan beban kos operasi sekali gus mempertingkatkan hasil produktiviti pengusaha.

”Insentif ini diperuntukkan bagi megurangkan beban pengusaha untuk menampung kos pembelian baja, racun dan lain- lain kemudahan yang kian meningkat,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Yunus juga memberitahu, petani dan penternak perlu menyimpan semua resit jualan yang dibuat bagi memudahkan proses tuntutan insentif dilakukan.

Di samping itu, beliau turut menyarankan petani dan penternak baru untuk memohon bantuan infrastruktur daripada jabatan masing-masing bagi meringankan kos permulaan pengusahaan.

”Jabatan Pertanian juga akan memberikan bantuan yang sewajarnya termasuklah menyediakan kemudahan prasarana bagi membolehkan mereka dapat melaksanakan perusahaan,” jelasnya.

Ketika ditanya berhubung masalah pemasaran hasil yang dihadapi petani dan penternak tempatan, Yunus berkata, beliau telah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melipat gandakan usaha bagi membeli hasil tanaman dan ternakan para pengusaha seluruh negara.

Tambah beliau, antara pendekatan yang dibuat termasuklah mengemaskini direktori petani dan penternak di seluruh negara bagi memudahkan sebarang urusan dibuat selain memperkuatkan rangkaian perhubungan dalam lingkungan industri.

”Kehadiran direktori pertanian ini memudahkan pengusaha untuk dikesan dan dihubungi bagi tujuan melancarkan sebarang urusan pembelian dan jualan dapat dijalankan,” katanya.

Jurutera pengusaha tanaman pisang nipah

Norazimah Abdullah terpaksa menjual kereta serta mengeluarkan wang simpanan bagi mengusahakan tanaman pisang di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan.


SEREMBAN 6 Jan. – Demi menyahut seruan kerajaan supaya bidang pertanian dijadikan perniagaan, seorang jurutera di sebuah syarikat multinasional sanggup mengusahakan tanaman pisang nipah yang boleh dikomersialkan.

Norazimah Abdullah, 40, berkata, hasrat bagi menambah sumber pendapatan keluarga serta memenuhi permintaan pisang nipah tempatan telah mendorongnya dan suami, Abd. Rashid Abd. Razak, 41, untuk bergiat dalam penanaman pisang nipah secara kecil-kecilan sejak awal 2006.

Beliau mula tertarik dengan perusahaan tersebut ketika dihantar bekerja di Surabaya, Indonesia.

Menurutnya, semasa di sana, beliau mendapati tanaman pisang nipah memang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

Beliau terpaksa menjual kereta serta mengeluarkan wang simpanan bagi mengusahakan tanaman tersebut di Kampung Gadong Lama, Labu.

”Dengan modal RM20,000, kami membina pagar, membeli benih serta membersihkan tanah bagi memulakan perusahaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ladangnya baru-baru ini.

Hasilnya, kata Norazimah, dia kini mempunyai 5,000 batang pokok pisang nipah yang diusahakan di atas tanah seluas tujuh ekar milik beliau dan keluarganya.

Menurutnya, pisang nipah dijual kepada peniaga pisang goreng serta peniaga kecil-kecilan selain menjual jantung pisang kepada penjual sayur.

”Bagi satu kilogram (kg) pisang nipah, ia dijual pada harga RM1 dan 50 sen bagi setiap biji jantung pisang,” ujarnya.

Katanya, daripada segi penjagaan, tanaman pisang tidak begitu rumit.

Beliau hanya perlu memastikan pokok-pokok sentiasa dibaja dan diracun dari semasa ke semasa bagi mendapatkan hasil yang memberangsangkan.

”Racun disembur dalam masa tiga bulan sekali dan dibaja dua kali setahun,” katanya.

Tambah beliau, pelepah pisang dan jantung pisang perlu dicantas kerana ia mampu mempengaruhi faktor saiz dan hasil pisang.

”Sekiranya jantung pisang tidak dipotong, pisang yang dihasilkan pasti mempunyai saiz dan berat yang berkurangan berbanding biasa,” katanya.

Norazimah bercadang untuk membesarkan perusahaannya pada masa depan dengan harapan untuk mendapatkan tanah selain memasarkan tanaman tersebut di beberapa kawasan lain.