TEMERLOH: Kegigihan peniaga jalanan menjalankan kegiatan menjual ikan patin sangkar di sini mampu membantu mempromosikan spesies ikan berkenaan sebagai satu produk makanan.
Ikan patin antara beberapa jenis ikan sungai yang terkenal di kalangan masyarakat kerana rasanya enak disamping mempunyai protin yang baik untuk tumbesaran badan.
Beberapa jalan yang menjadi tumpuan peniaga jalanan penjual ikan ialah Temerloh ke Jerantut di Kampung Raja, Songsang, jalan Temerloh ke Triang dan di Kampung Bangau Seberang serta Temerloh ke Maran.
Penjual ikan, Jafri Ahmad, 42, berkata menjalankan kegiatan perniagaan ikan patin sangkar membantu meningkatkan taraf hidup keluarga yang bergantung kepada pendapatan ternakan ikan air tawar.
Katanya, perniagaan menjual ikan di tepi jalan raya bukan saja menjadi pekerjaan tetap yang dilakukan saban hari malah memberi kepuasan apabila dapat menerangkan kepada pelanggan tentang kehidupan spesies itu.
“Saya menjalankan kegiatan sejak lapan bulan lalu kerana ingin memastikan hasil ternakan ikan sangkar dapat dipasarkan mengikut masa yang ditetapkan.
“Penjualan ikan patin mempunyai permintaan yang tinggi masyarakat yang menggemari ikan ini disebabkan rasanya yang enak.
“Jumlah permintaan meningkat menyebabkan kegiatan perniagaan yang dijalankan itu menjadi semakin seronok malah saya berhasrat untuk mengembangkan kegiatan perniagaan pada masa akan datang,” katanya di sini, semalam.
Sabaruddin Omar , 43, berkata ikan patin dijual dengan harga antara RM13 hingga RM15 sekilogram dan harga ini adalah rendah berbanding dengan ikan air tawar atau air masin yang lain.
Katanya, ada kalanya setiap peniaga boleh menjual lebih 50 kilogram ikan patin sehari terutama di hujung bulan atau musim perayaan.
“Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) perlu menyediakan tapak khas untuk penjualan ikan sungai terutama di laluan di kawasan pinggir bandar bagi memudahkan mereka berniaga.
“Selain itu, peniaga juga boleh menyediakan makanan berasaskan ikan sungai untuk dijual kepada orang ramai supaya menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah ini.
“Dengan cara ini ramai kalangan masyarakat luar bandar boleh menyertai bidang perniagaan ikan serta produk makanan dari ikan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati lebih 20 peniaga jalanan ikan patin sangkar yang menjalakan kegiatan perniagaan mereka di sekitar daerah ini sebagai usaha mempromosikan spesies ikan sungai.