SIBU 24 Dis. – Persatuan Nelayan Sarawak (Penesa) sedia mengambil alih peranan menangkap ikan di laut dalam jika permit kapal-kapal untuk kategori itu yang dimiliki ahli-ahli Persatuan Usahawan Industri Perikanan Sarawak (Ikhlas) di Pelabuhan Perikanan Bersepadu Tanjung Manis (PPBTM) ditarik balik.
Pengerusinya, Jemali Basri berkata, jumlah kapal laut dalam yang dimiliki ahli-ahli mereka sekarang ialah lebih 300 buah dan ia mencukupi untuk mendaratkan ikan dalam jumlah yang besar.
”Jika ingin menambahkan jumlah pendaratan ikan, kita boleh meminta syarikat-syarikat nelayan dari Semenanjung membantu dan kita berusaha menambah bilangan kapal dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim pada minggu lepas yang akan menyiasat dakwaan berhubung jumlah pendaratan ikan yang dikemukakan oleh Ikhlas adalah tidak benar, seperti yang dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini.
Jika didapati benar Ikhlas berbuat demikian, permit-permit yang diberikan kepada ahli-ahlinya mungkin akan ditarik balik.
Ikhlas yang mempunyai 37 ahli termasuk beberapa syarikat, mempunyai 240 buah kapal laut dalam pada masa ini.
Kebanyakan kapal itu dibeli dari luar negara dan diberikan permit tempatan apabila ia dibawa ke PPBTM, dekat sini.
Dalam pada itu, jawatankuasa yang ditubuhkan itu juga akan menyiasat dakwaan terdapat kapal-kapal yang dikendalikan sepenuhnya oleh nelayan warga asing itu berselindung di sebalik pemberian permit tempatan untuk mengaut hasil laut di perairan negara.
”Ramai nelayan tempatan yang mempersoalkan jumlah ikan yang didaratkan dan jika benar banyak seperti yang dinyatakan itu, ke mana perginya ikan-ikan itu semua,” ujarnya.
Sehubungan itu, Penesa berharap diberi peluang untuk meneroka perikanan laut dalam.
”Apa yang kita cuba lakukan ialah untuk menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan industri perikanan dan industri hiliran,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Ikhlas, Jasmy Sadan Sagi pada awal bulan ini memberitahu, setiap kapal laut dalam yang dimiliki ahli-ahli Ikhlas mampu mendaratkan ikan 25 hingga 30 tan metrik.
Setiap kapal milik Ikhlas, katanya, mendaratkan ikan di PPBTM selepas berada di laut selama 15 hingga 20 hari.
Katanya, daripada antara 6,000 tan metrik dan 7,000 tan metrik ikan yang didaratkan, 50 peratus daripadanya ialah untuk kegunaan industri hiliran seperti membuat bebola ikan.
Manakala 25 peratus daripada jumlah itu merupakan ikan buangan dan akan diproses menjadi makanan ikan.
Baki 25 peratus lagi terdiri daripada ikan yang dijual untuk makanan harian seperti gelama, ikan sebelah, bawal, mayong dan senangin.