MUAR: Karnival Gerak Usahawan 2008 di Dataran Tanjung Emas, di sini, yang julung kali dianjurkan Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Muar mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi lebih 10,000 orang.
Karnival selama dua hari itu menerima penyertaan memberangsang dengan lebih 60 peserta membabitkan usahawan, agensi berkaitan kerajaan dan bukan kerajaan.
Acara itu memberi maklumat berguna dan pendedahan untuk menjadi usahawan berjaya kepada pengunjung tempatan dan luar. Ia dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Noh Omar, Sabtu lalu.
Pegawai Daerah Muar, A Rahman Jaafar, berkata beliau gembira dengan penganjuran karnival sulung itu dan kehadiran ramai pengunjung, termasuk generasi muda yang berminat menjadi usahawan ke tapak karnival adalah petanda baik.
Beliau berkata, penganjuran karnival itu adalah satu titik tolak bagi kumpulan sasar memperoleh maklumat secara terperinci selain dapat berinteraksi secara terus dengan pelbagai agensi berkaitan di bawah MECD.
“Antara program yang mendapat sambutan adalah seperti seminar keusahawanan yang berceramah mengenai peluang perniagaan terbaru dan pembiayaan perniagaan yang dikeluarkan agensi di bawah MECD.
“MECD bersama Mara Johor juga memberi peluang kepada usahawan kecil yang terbabit dalam pelbagai sektor perniagaan seperti pertanian, penternakan dan pembuatan memperkenalkan produk keluaran masing-masing,” katanya di sini, kelmarin.
Seorang peserta karnival, Rashid Alias, berkata penganjuran karnival itu bermanfaat bagi usahawan sepertinya kerana dapat berkongsi pengalaman dengan usahawan lain.
Beliau yang menjalankan projek ternakan baka kambing Boer dan penanaman cendawan sejak dua tahun lalu tidak menyangka kehadiran begitu ramai pengunjung dalam masa dua hari karnival berkenaan.