Peniaga jalanan promosi ikan patin sangkar

TEMERLOH: Kegigihan peniaga jalanan menjalankan kegiatan menjual ikan patin sangkar di sini mampu membantu mempromosikan spesies ikan berkenaan sebagai satu produk makanan.

Ikan patin antara beberapa jenis ikan sungai yang terkenal di kalangan masyarakat kerana rasanya enak disamping mempunyai protin yang baik untuk tumbesaran badan.

Beberapa jalan yang menjadi tumpuan peniaga jalanan penjual ikan ialah Temerloh ke Jerantut di Kampung Raja, Songsang, jalan Temerloh ke Triang dan di Kampung Bangau Seberang serta Temerloh ke Maran.

Penjual ikan, Jafri Ahmad, 42, berkata menjalankan kegiatan perniagaan ikan patin sangkar membantu meningkatkan taraf hidup keluarga yang bergantung kepada pendapatan ternakan ikan air tawar.

Katanya, perniagaan menjual ikan di tepi jalan raya bukan saja menjadi pekerjaan tetap yang dilakukan saban hari malah memberi kepuasan apabila dapat menerangkan kepada pelanggan tentang kehidupan spesies itu.

“Saya menjalankan kegiatan sejak lapan bulan lalu kerana ingin memastikan hasil ternakan ikan sangkar dapat dipasarkan mengikut masa yang ditetapkan.

“Penjualan ikan patin mempunyai permintaan yang tinggi masyarakat yang menggemari ikan ini disebabkan rasanya yang enak.

“Jumlah permintaan meningkat menyebabkan kegiatan perniagaan yang dijalankan itu menjadi semakin seronok malah saya berhasrat untuk mengembangkan kegiatan perniagaan pada masa akan datang,” katanya di sini, semalam.

Sabaruddin Omar , 43, berkata ikan patin dijual dengan harga antara RM13 hingga RM15 sekilogram dan harga ini adalah rendah berbanding dengan ikan air tawar atau air masin yang lain.

Katanya, ada kalanya setiap peniaga boleh menjual lebih 50 kilogram ikan patin sehari terutama di hujung bulan atau musim perayaan.

“Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) perlu menyediakan tapak khas untuk penjualan ikan sungai terutama di laluan di kawasan pinggir bandar bagi memudahkan mereka berniaga.

“Selain itu, peniaga juga boleh menyediakan makanan berasaskan ikan sungai untuk dijual kepada orang ramai supaya menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah ini.

“Dengan cara ini ramai kalangan masyarakat luar bandar boleh menyertai bidang perniagaan ikan serta produk makanan dari ikan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati lebih 20 peniaga jalanan ikan patin sangkar yang menjalakan kegiatan perniagaan mereka di sekitar daerah ini sebagai usaha mempromosikan spesies ikan sungai.

Karnival usahawan meriah

MUAR: Karnival Gerak Usahawan 2008 di Dataran Tanjung Emas, di sini, yang julung kali dianjurkan Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Muar mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi lebih 10,000 orang.

Karnival selama dua hari itu menerima penyertaan memberangsang dengan lebih 60 peserta membabitkan usahawan, agensi berkaitan kerajaan dan bukan kerajaan.

Acara itu memberi maklumat berguna dan pendedahan untuk menjadi usahawan berjaya kepada pengunjung tempatan dan luar. Ia dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Noh Omar, Sabtu lalu.

Pegawai Daerah Muar, A Rahman Jaafar, berkata beliau gembira dengan penganjuran karnival sulung itu dan kehadiran ramai pengunjung, termasuk generasi muda yang berminat menjadi usahawan ke tapak karnival adalah petanda baik.

Beliau berkata, penganjuran karnival itu adalah satu titik tolak bagi kumpulan sasar memperoleh maklumat secara terperinci selain dapat berinteraksi secara terus dengan pelbagai agensi berkaitan di bawah MECD.

“Antara program yang mendapat sambutan adalah seperti seminar keusahawanan yang berceramah mengenai peluang perniagaan terbaru dan pembiayaan perniagaan yang dikeluarkan agensi di bawah MECD.

“MECD bersama Mara Johor juga memberi peluang kepada usahawan kecil yang terbabit dalam pelbagai sektor perniagaan seperti pertanian, penternakan dan pembuatan memperkenalkan produk keluaran masing-masing,” katanya di sini, kelmarin.

Seorang peserta karnival, Rashid Alias, berkata penganjuran karnival itu bermanfaat bagi usahawan sepertinya kerana dapat berkongsi pengalaman dengan usahawan lain.

Beliau yang menjalankan projek ternakan baka kambing Boer dan penanaman cendawan sejak dua tahun lalu tidak menyangka kehadiran begitu ramai pengunjung dalam masa dua hari karnival berkenaan.

Lanchang diiktiraf Lembah Betik

MARAN: Kerajaan negeri mengiktiraf kawasan pertanian di Lanchang sebagai Lembah Betik berikutan buah berkenaan akan di eksport ke luar negara dalam usaha memperluaskan pemasaran hasil pertanian pekebun kecil.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak, berkata kerajaan negeri memberi kelulusan kepada pengusaha menanam betik untuk di eksport disamping memenuhi pasaran dalam negeri.

Beliau berkata, setakat ini Malaysian Agriculture Food Community (MAFC) sudah diberikan kebenaran serta dilantik sebagai tunjang utama untuk mengusahakan serta mencari pasaran ke luar negara.

“Pada peringkat awal, MAFC akan membuka stor pemasaran betik di London, England berikutan permintaan yang diterima adalah bersesuaian dengan pengeluaran betik dalam negara sekarang.

“Difahamkan MAFC sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) mengenai pemasaran betik dengan negara berkenaan bagi memenuhi permintaan betik di negara itu.

“MAFC juga akan mendapatkan benih betik yang berkualiti tinggi supaya betik keluaran negara diminati pengguna luar negara,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam

Beliau berkata, kerajaan akan menjadikan kawasan Lanchang sebagai Pusat Tanaman Kekal Pengeluaran Pertanian negeri Pahang berikutan kesuburan tanahnya yang sesuai untuk tanaman sayuran.

Katanya, setakat ini seramai 29 pengusaha aktif menjalankan kegiatan pertanian membabitkan kawasan yang diusahakan seluas 930 hektar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenor berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melancarkan kawasan pertanian Lanchang itu pada 13 Januari depan.

PPK pelawa belia ceburi ternakan ikan air payau



SHAFIK (kanan) dibantu kakitangan PPK Kuala Penor, mengambil ikan yang ditangkap.

KUANTAN: Kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) seluas 30 hektar di Kampung Kuala Penor, dekat sini akan ditawarkan kepada belia yang berminat untuk menjadi usahawan tani dalam sektor perikanan air payau.

Kawasan berkenaan milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuantan, yang sebelum ini dijadikan kolam ternakan udang harimau, akan dibuka sebahagiannya kepada belia daerah ini yang berminat menternak ikan.

Ia dijangka mampu disertai 40 usahawan akuakultur untuk memanfaatkan 10 kolam milik PKK Kuantan itu dengan ternakan ikan siakap yang mendapat permintaan tinggi serta pulangan lebih menguntungkan berbanding ternakan udang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif, berkata peluang berkenaan wajar dimanfaatkan belia kerana produk akuakultur mampu menjana keuntungan dalam masa singkat.

“Pasaran ikan siakap amat luas termasuk hingga ke negara jiran yang mana kos bagi satu kilogram ikan siakap hanya RM9 tetapi mampu dipasarkan hingga RM12 hingga RM20 sekilogram.

“Ia matang dalam tempoh enam bulan selepas anak benih terbaik yang diimport dari Singapura, dilepaskan ke kolam air payau PPK Kuantan melalui sistem pengairan nyahbau untuk mengelakkan hanyir.

“Justeru, produk ikan siakap yang dihasilkan oleh penternak di kawasan ZIA Kuala Penor ini mempunyai piawaian antarabangsa dan mampu memenuhi pasaran luar negara sama ada dalam bentuk ikan segar atau produk lain,” katanya.

Shafik menjelaskan perkara itu selepas bersama 20 peserta PPK Kuala Penor menjala ikan di kolam berkenaan pagi kelmarin seterusnya meninjau perkembangan produktiviti kolam ternakan itu.

Selain menghasilkan ikan siakap segar untuk dipasarkan, kolam berkenaan turut menjalankan proses pembenihan baka ikan siakap untuk keperluan penternak tempatan, khususnya di Pantai Timur.

Benih ikan siakap diperoleh dari Singapura dengan harga RM1,500 untuk satu juta telur dan kemudian ditetas di kolam PPK Kuala Penor sebelum dipasarkan pada harga RM1.20 seekor anak ikan berusia dua bulan.

Shafik berkata, potensi besar industri berkenaan memerlukan setiap peserta terlebih dulu diberi latihan dan pendedahan sebelum memulakan penternakan dengan pembiayaan modal yang bakal diberikan.

“Bagi satu kolam ikan siakap, modal yang dianggarkan adalah RM40,000 meliputi kos benih, makanan dan penyelenggaraan sehingga tempoh matang dan modal ini boleh dikongsi bersama empat usahawan untuk satu kolam,” katanya.

Kontraktor ICT hasilkan nanas klon baru tiga kilogram sebiji

ABU Hassan Man (tengah) menerangkan kepada Rosli Khalid mengenai nanas Merbok yang ditanam di ladangnya di Kampung Bendang Dalam Merbok, Sungai Patani, semalam.


SUNGAI PETANI 24 Dis. _ Seorang kontraktor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Abu Hassan Man, 49, yang mengusahakan ladang nanas di Kampung Bendang Dalam, Merbok dekat sini sejak setahun lalu berjaya mengeluarkan nanas bermutu tinggi sehingga mampu mencecah berat antara dua hingga tiga kilogram sebiji.

Lebih membanggakan, buah nanas yang diusahakannya di tanah seluas 14 hektar di kawasan berkenaan bukan sahaja bersaiz lebih besar, tetapi lebih manis, beraroma dan rangup.

Abu Hassan ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pada mulanya dia memulakan langkah mengusahakan tanah terbiar dengan tanaman berkenaan sekadar suka-suka, tetapi kini melibatkan diri sepenuhnya selepas mendapati ia sebagai perniagaan yang menguntungkan.

Bekas kakitangan Telekom Malaysia itu memberitahu, kini sebanyak 300,000 pokok nanas telah mengeluarkan hasil dan bersedia memasuki pasaran.

‘‘Setakat ini nanas klon terbaru ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pemborong dari seluruh negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abu Hassan, daripada jumlah keseluruhan 500,000 pokok yang ditanam, pihaknya menjangka dapat menjana pendapatan sehingga RM300,000 semusim.

Katanya lagi, selain ladang tersebut, dia juga sedang membangunkan tanah seluas 28 hektar lagi untuk ditanam dengan nanas klon terbaru itu.

Tambahnya, nanas klon terbaru berkenaan dijual pada harga ladang sebanyak RM1.30 sen sebiji untuk gred A manakala gred AA pula pada harga RM1.50 sebiji.

Dia juga menjangkakan pihaknya akan dapat mempromosikan klon buah nanas terbaru berkenaan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Rosli Khalid mengakui mutu buah nanas yang diusahakan Abu Hassan berpotensi luas memasuki pasaran tempatan dan luar negara.

‘‘Kita terpegun apabila melihat buah nanas jenis ini mampu mengeluarkan hasil yang agak besar dengan berat antara dua hingga tiga kilogram sebiji berbanding jenis biasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ladang berkenaan hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertanian Kedah, Ismail Salleh dan Pegawai Pertanian Kuala Muda, Mohamed Bukhari Abdul Rahman.

Rosli berkata, Jabatan Pertanian yakin potensi besar buah nanas jenis itu di pasaran tempatan apabila ladang berkenaan mengeluarkan hasil sepenuhnya tidak lama lagi.

Menurut beliau, pihaknya berpuas hati dengan kesungguhan pengusaha tersebut menghasilkan klon nanas bermutu tinggi bagi menyaingi nanas biasa yang lain di pasaran.

Penesa sedia ceburi perikanan laut dalam

SIBU 24 Dis. – Persatuan Nelayan Sarawak (Penesa) sedia mengambil alih peranan menangkap ikan di laut dalam jika permit kapal-kapal untuk kategori itu yang dimiliki ahli-ahli Persatuan Usahawan Industri Perikanan Sarawak (Ikhlas) di Pelabuhan Perikanan Bersepadu Tanjung Manis (PPBTM) ditarik balik.

Pengerusinya, Jemali Basri berkata, jumlah kapal laut dalam yang dimiliki ahli-ahli mereka sekarang ialah lebih 300 buah dan ia mencukupi untuk mendaratkan ikan dalam jumlah yang besar.

”Jika ingin menambahkan jumlah pendaratan ikan, kita boleh meminta syarikat-syarikat nelayan dari Semenanjung membantu dan kita berusaha menambah bilangan kapal dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim pada minggu lepas yang akan menyiasat dakwaan berhubung jumlah pendaratan ikan yang dikemukakan oleh Ikhlas adalah tidak benar, seperti yang dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini.

Jika didapati benar Ikhlas berbuat demikian, permit-permit yang diberikan kepada ahli-ahlinya mungkin akan ditarik balik.

Ikhlas yang mempunyai 37 ahli termasuk beberapa syarikat, mempunyai 240 buah kapal laut dalam pada masa ini.

Kebanyakan kapal itu dibeli dari luar negara dan diberikan permit tempatan apabila ia dibawa ke PPBTM, dekat sini.

Dalam pada itu, jawatankuasa yang ditubuhkan itu juga akan menyiasat dakwaan terdapat kapal-kapal yang dikendalikan sepenuhnya oleh nelayan warga asing itu berselindung di sebalik pemberian permit tempatan untuk mengaut hasil laut di perairan negara.

”Ramai nelayan tempatan yang mempersoalkan jumlah ikan yang didaratkan dan jika benar banyak seperti yang dinyatakan itu, ke mana perginya ikan-ikan itu semua,” ujarnya.

Sehubungan itu, Penesa berharap diberi peluang untuk meneroka perikanan laut dalam.

”Apa yang kita cuba lakukan ialah untuk menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan industri perikanan dan industri hiliran,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Ikhlas, Jasmy Sadan Sagi pada awal bulan ini memberitahu, setiap kapal laut dalam yang dimiliki ahli-ahli Ikhlas mampu mendaratkan ikan 25 hingga 30 tan metrik.

Setiap kapal milik Ikhlas, katanya, mendaratkan ikan di PPBTM selepas berada di laut selama 15 hingga 20 hari.

Katanya, daripada antara 6,000 tan metrik dan 7,000 tan metrik ikan yang didaratkan, 50 peratus daripadanya ialah untuk kegunaan industri hiliran seperti membuat bebola ikan.

Manakala 25 peratus daripada jumlah itu merupakan ikan buangan dan akan diproses menjadi makanan ikan.

Baki 25 peratus lagi terdiri daripada ikan yang dijual untuk makanan harian seperti gelama, ikan sebelah, bawal, mayong dan senangin.