![]() |
Che Mansor mahir menyelam cari kupang, tiram tanpa guna tangki oksigen
MENCARI rezeki dengan menyelam ke dasar laut mencari kupang dan tiram tanpa mengguna peralatan termasuk tangki oksigen bukan sesuatu yang mudah, malah boleh membahayakan diri. Namun bagi Che Mansor Manap, 58, itulah kerjanya sejak lebih 30 tahun lalu dengan hanya memakai sarung tangan, kasut itik dan penutup muka yang biasanya menjadi mainan kanak-kanak yang baru belajar menyelam, beliau mengutip siput di dasar laut tanpa sebarang bimbang.
Dasar laut sedalam 10 hingga 15 meter di kuala Sungai Merbok berhampiran Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah itu menjadi lokasinya sejak sekian lama mengutip kupang dan tiram yang membiak secara semula jadi di celah batu di dasar berkenaan untuk dijual bagi menampung kehidupan sekeluarga.
Apa yang dilakukan Mansor, membuatkan ramai penyelam skuba yang lengkap peralatan menyelam menggeleng kepala, sudahlah menyelam tanpa peralatan, malah ia mampu berada di dasar laut sehingga dua minit untuk mengutip siput laut, sebelum muncul semula ke permukaan berhampiran perahu usangnya.
“Ketika muda dulu, saya mampu bertahan sehingga empat minit di dasar laut sedalam 10 depa (15 meter) untuk mengutip siput sudu (kupang) dan tiram. Namun kini, umur sudah lanjut, saya hanya boleh berada dua minit saja di dasar laut sebelum naik ke permukaan mengambil nafas dan memasukkan siput ke dalam perahu.
“Saya menyelam hanya ketika air mati (air bani) kerana pada waktu itu dasar laut jernih dan saya boleh melihat siput sudu dan tiram dengan lebih jelas. Tiram mudah dilihat kerana ia membuka cengkerangnya, manakala siput sudu yang berwarna hijau mudah dikesan. Lagi pun, pada tempoh itu arus dasar laut tidak kuat membolehkan saya menggunakan tangan mengutip siput yang terlekat pada batu,” katanya ketika ditemui Berita Harian di kuala Sungai Merbok, baru-baru ini.
![]() |
TIRAM Kuala Sungai Merbok berharga RM3 hingga RM5 setiap satu. |
Mansor dibantu Abdul Rahim Hamid, 49, yang berada di dalam perahu, tugasnya mengasingkan kupang dan tiram yang melekat pada batu.
Melihat kepada raut muka Mansor yang berehat sebentar di dalam perahu selepas tiga puluh minit mengutip siput, ternyata dia seorang yang bukan saja gigih tetapi cukup berani menyelam seorang diri di dasar laut.
Bagi penyelam profesional, sekurang-kurangnya ada seorang rakan menyelam bersama bagi membantu sekiranya berlaku sesuatu di dasar laut, namun Mansor berseorangan bekerja di dasar laut, hanya Rahim menjadi temannya ketika berehat seketika di dalam perahu, sambil minum kopi ‘o’ yang menjadi bekalannya mengisi perut selain menyedut rokok sebelum menyelam semula.
Kerja menyelam yang memerlukan kudrat dan daya tahan tinggi membolehkan Mansor terus bertahan melakukan kerja berkenaan, walaupun umurnya mencecah 60 tahun, namun masih mampu mencari rezeki.
![]() |
MANSOR mendaratkan tiram dan kupang yang dipungut dari dasar laut. |
Menurut Mansor, selain menyelam siput, tugasnya kini pelbagai berikutan kemampuannya menyelam tanpa bantuan oksigen, menarik minat golongan nelayan untuk meminta pertolongan.
“Hanya saya seorang yang boleh menyelam, jadi ramailah yang meminta tolong mengesan enjin yang terjatuh ke dasar laut atau membaiki langgai (kelong) yang rosak di dalam air. Saya pernah diminta mengesan enjin bot yang terjatuh di kedalaman hampir 35 meter di dasar laut Pulau Batu Putih, Langkawi.
“Saya mengikat tali ke bahagian enjin yang berharga RM12,000 itu dalam masa tiga minit sebelum ditarik naik ke dalam bot. Tugas yang sama turut dilakukan di kawasan laut berhampiran Muka Head, Pulau Pinang,” katanya yang turut menyelam di perairan Pulau Bidan bagi menangkap ikan batu karang untuk dijadikan ikan perhiasan.
Mansor yang bergantung kepada dasar laut untuk rezekinya, sehingga kini tidak pernah kecewa dengan hasil perolehan. Setiap kali menyelam tidak kurang 30 kilogram kupang dan 70 tiram pelbagai saiz dinaikkan.
“Kalau air baik, saya boleh mengutip sehingga 100 kilogram kupang dan 400 tiram yang dijual secara borong kepada pembeli di Sungai Petani. Kupang dijual pada harga RM3 sekilogram, manakala tiram antara RM3 hingga RM5 setiap satu, mengikut saiz.
“Siput sudu dan tiram kuala Sungai Merbok memang terkenal kerana ia membiak secara semula jadi, jadi ia sering kali menjadi pilihan penggemarnya terutama di Sungai Petani,” katanya.
Mengenai pengalaman ngeri ketika menyelam, Mansor berkata, beliau pernah terserempak dengan mayat ketika menyelam.
“Ketika menyelam di kawasan lubuk di kuala Sungai Merbok, saya terlihat seekor ikan kertang besar, beratnya hampir 60 kilogram berenang di kawasan lubuk berkenaan. Ia cukup menakutkan menyebabkan saya segera naik ke permukaan laut,” katanya.
Selain siput, kawasan kuala itu suatu ketika dulu turut menjadi tumpuan penyelam besi buruk kerana di dasarnya terdapat banyak senjata peninggalan Perang Dunia Kedua.
“Banyak bom, peluru meriam, mortar dan senjata yang dibuang tentera Jepun ketika kalah sebelum menyerah diri kepada Pihak Berikat. Kupang dan tiram turut menjadikan tinggalan perang ini sebagai tempat membiak. Jangan hairan sekiranya, selain tiram, bom lama turut dinaikkan ke permukaan laut, sebelum dibuang semula.
“Dulu ramai yang mencari senjata dan peluru lama ini untuk diambil tembaga, namun selepas kejadian bom lama meletup ketika proses melupusnya, kini tiada lagi yang berani mengambilnya. Lagi pun, peninggalan perang itu kini terletak di kawasan cukup dalam, sukar menyelam untuk mendapatkannya,” katanya yang sehingga kini tiada pengganti bagi meneruskan kerjaya yang berbahaya dan memerlukan kemahiran itu.
INFO