Kuih tradisional peneram dapat permintaan tinggi

BAGAN SERAI 16 Dis. – Permintaan terhadap kuih tradisional di negara ini meningkat dari semasa ke semasa menyebabkan seorang suri rumah, Nor Hashimah Jelani, 45, meneruskan perusahaan itu.

Ini kerana kuih tradisional seperti kuih peneram dan karipap mini menjadi pilihan sebagai juadah istimewa penggemar kuih tersebut.

Kedua-dua kuih itu merupakan hidangan warisan masyarakat Melayu yang tidak dilupakan sejak turun temurun.

Pengusaha kuih Peneram Asli Enterprise yang beroperasi di No. 98, Batu 10 3/4 Jalan Taiping-Bagan Serai itu menjual lebih 19,875 kilogram kuih peneram dan karipap mini setahun.

Nor Hashimah berkata, permintaan terhadap kuih tersebut kian meningkat setiap tahun.

“Saya memulakan perniagaan membuat kuih peneram sejak 1993 setelah arwah ibu, Siti Amri, meninggal tiga tahun lalu.

“Ibu saya memulakan perniagaan ini sejak saya di sekolah rendah sebagai usaha untuk membantu menampung persekolahan anak-anaknya dengan menjual kuih peneram di sekitar Bagan Serai.

“Setelah ibu meninggal, saya mewarisi perniagaan itu kerana kuih tradisional ini masih popular dan ada permintaan dari semasa ke semasa di pasaran,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nor Hashimah berkata, beliau terpaksa bekerja keras untuk memenuhi permintaan pelanggan yang berminat terhadap kuih itu.

“Setakat ini, kuih peneram dan karipap mini berintikan ikan bilis di pasarkan di beberapa pasar raya di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kuih peneram yang dihasilkan menggunakan bahan seperti tepung beras, guila merah, gula putih, air dan minyak kelapa sawit.

Katanya, karipap mini pula menggunakan bahan seperti tepung, ikan bilis, minyak masak, majerin, garam dan gula.

“Kuih peneram dan karipap mini disukai ramai kerana ia sedap di makan,” katanya yang mempunyai 10 pekerja sambilan di kalangan ibu tunggal.

Nor Hashimah yang juga ibu kepada enam anak itu berkata, kuih peneram dijual dengan harga RM10 bagi 100 biji dan karipap mini RM5 dengan berat 400 gram.

Tambah beliau, kuih paneram boleh disimpan selama setahun manakala karipap mini boleh tahan sebulan jika ia dipaketkan dengan baik.

Nor Hashimah juga mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian Malaysia pada 1996.

Beliau pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan kuih peneram pada 1999, johan pertandingan Program Satu Daerah Satu Industri Perak, johan pertandingan hasil-hasil pertanian kategori karipap mini Perak pada 2006 dan 2007.

Sehubungan itu, beliau juga bercadang untuk membeli beberapa mesin dan membesarkan bengkelnya di belakang rumahnya untuk membolehkan pengeluaran di tingkatkan tidak lama lagi.

“Saya harap ia dapat membantu meningkatkan pendapatan saya bagi membiayai persekolahan anak-anak saya yang sedang belajar,” katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menempah kuih tradisional peneram dan karipap mini boleh menghubunginya di telefon 05-7210362.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s