Fama rancang adakan karnival babitkan semua peniaga seluruh negara
KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) merangka beberapa strategi sepanjang tahun hadapan dalam menjadikan Pasar Tani di bawah kelolaannya sebagai destinasi kegemaran pengunjung untuk mendapatkan produk dikehendaki dengan mudah dan harga berpatutan.
Pengarah Pembangunan dan Perancangan Pasar Tani Fama, Munimbar Mohd Sidek, berkata antara yang dirancang Fama sepanjang tahun hadapan termasuk mengadakan Karnival Pasar Tani Kebangsaan membabitkan peserta Pasar Tani di seluruh negara bagi menjual keunikan produk masing-masing.
“Karnival berkenaan bakal menghimpunkan peserta di satu tempat yang akan ditentukan kemudian, di mana mereka akan berniaga produk mereka yang tersendiri di negeri masing-masing, contohnya penjualan keropok lekor dan nasi dagang dari Terengganu.
“Produk berkenaan tentu saja dapat memperkenalkan keunikan masakan ataupun barangan daripada negeri terbabit dan ini bukan saja dapat menarik pengunjung ke karnival berkenaan, malah memberi identiti tersendiri kepada mereka,” katanya selepas melancarkan Pasar Tani Kampung Batu Muda, di sini, baru-baru ini.
Pasar Tani yang dibuka secara rasmi pada 26 November lalu itu mempunyai seramai 62 peserta membabitkan 110 lot perniagaan di mana ada di kalangan peserta di pasar berkenaan adalah golongan siswazah dan lepasan institusi pengajian tinggi tempatan.
Pada majlis berkenaan juga, sebanyak 10,000 pelekat kereta pengenalan dilancarkan dalam usaha mengenali sahabat peserta Pasar Tani sebagai langkah mengeratkan tali silaturahim di antara mereka.
Munimbar berkata, satu program dikenali sebagai Program Pembangunan Usahawan Pasar Tani juga dijangka akan diadakan sekitar Januari tahun hadapan bagi membantu memenuhi keperluan melahirkan lebih ramai usahawan.
“Program ini dirangka untuk mendedahkan bakal usahawan yang berkecimpung dalam bidang ini dengan aliran perniagaan semasa selain pendedahan kepada persaingan yang bakal dihadapi pada masa hadapan dalam bidang jualan dan pasaran tempatan,” katanya.
Selain itu, katanya, Fama berminat untuk menambah produk binatang eksotik seperti penjualan ayam organik dan kambing di Pasar Tani bagi menarik lebih ramai pengunjung di mana tiga tempat sudah dikenal pasti untuk menjual produk berkenaan termasuk di Pasar Tani Putrajaya Satu, Danau Kota dan Setiawangsa.
“Fama juga mengadakan Pasar Tani khas sempena perayaan di 168 tempat terpilih di seluruh negara selain pada bulan Ramadan yang mendapat sambutan menggalakkan dan pada 6 Disember ini, Pasar Tani akan diadakan di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha), Serdang yang kini 150 peserta sudah mendaftar,” katanya.
Katanya, Program Bumi Hijau juga dirangka tahun hadapan di mana usahawan dan suri rumah digalak bercucuk tanam di rumah dan hasilnya boleh dijual di Pasar Tani.
“Ini satu perkembangan sihat untuk mereka menjual hasil cucuk tanam mereka apatah lagi dalam kajian Sosio-ekonomi yang dibuat pada 2007 menunjukkan 84 peratus pengunjung menyatakan kualiti barangan di Pasar Tani adalah tinggi, dan harganya pula berpatutan,” katanya.
Dalam perkembang sama, Munimbar berkata, Fama akan membuka 80 Pasar Tani lagi di seluruh negara pada tahun hadapan dan di ibu negara sendiri tiga tempat sudah dikenal pasti, antaranya Taman Salak Jaya, Uptown Kepong dan Uptown Sri Petaling.
“Fama kini mempunyai sebanyak 290 Pasar Tani di seluruh negara dengan jumlah peserta adalah seramai 12,637 di mana jumlah sumber pendapatan hasil daripada Pasar Tani meningkat sebanyak 22.5 peratus dengan perolehan RM315.7 juta sehingga Oktober tahun ini berbanding RM250 juta pada tahun lalu,” katanya.