SUNGAI SIPUT 28 Nov. – Kawasan penanaman limau bali seluas 60 hektar di Tambun dekat sini akan diwartakan sebagai kawasan ekopelancongan bagi menarik pelancong asing dan tempatan ke negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, peladang di situ tidak perlu risau mengenai masalah geran hak milik tanah itu kerana kerajaan campuran negeri yakin terhadap potensi limau bali sebagai tarikan dalam industri pelancongan di Ipoh.
Beliau berkata, kawasan asal itu adalah seluas 120 hektar tetapi separuh daripada kawasan itu telah diberikan kepada pihak lain yang telah pun mendapat geran hak milik.
”Kita telah kenal pasti ladang ini amat berpotensi besar untuk dijadikan tarikan pelancongan,” katanya di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Perak (Agrofest 2008) Ke-8 di Ladang Infoternak dekat sini.
Agrofest bertemakan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ disertai oleh 37 jabatan dan agensi kerajaan serta 30 syarikat swasta.
Mohammad Nizar berkata, pada masa ini, pengeluaran limau dari kawasan itu mencapai hasil kira-kira RM5 juta setahun dan pengekalannya sebagai kawasan pertanian sejajar dengan dasar kerajaan untuk mengukuhkan sektor pertanian.
Sementara itu dalam ucapannya, beliau mahukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pertanian bagi meningkatkan minat warga tempatan menceburi bidang tersebut.
Mohammad Nizar berkata, ini kerana, kerajaan campuran negeri begitu komited dalam melahirkan usahawan tani di kalangan rakyat tempatan yang terdiri daripada belia, graduan, usahawan dan bakal usahawan.
Menurutnya, sejajar dengan usaha itu, kerajaan campuran negeri akan menganjurkan klinik bimbingan usahawan kepada 150 peserta sebagai pendedahan awal mengenai bidang keusahawanan industri asas tani.
”Melalui langkah ini akan mengatasi pengambilan pekerja ladang dari luar yang kini merupakan cabaran kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.
Beliau berkata, program ini merupakan pelaburan kerajaan campuran negeri ke arah menjana ekonomi pertanian di samping membolehkan orang ramai mendapatkan pandangan dan maklumat mengenai bidang pertanian.
Tambahnya, bagi menyokong dan menggalakkan pembangunan pertanian, kerajaan campuran negeri akan memberikan kelulusan tanah ladang secara berkelompok dan berskala besar kerana ia lebih ekonomik dan efisien.
Pada majlis itu, Mohammad Nizar turut menamakan spesies terbaru hibrid orkid dengan nama ‘Adiliah.’
Sementara itu, Agrofest Perak turut mengadakan pertandingan ternakan terbaik, pertandingan hasil pertanian terbaik, pertandingan memancing dan perlawanan sukan seperti futsal dan tarik tali.