MUAR 25 Nov. – Seramai 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bakri Batu 5 di sini memperoleh pengalaman berfaedah dan baru apabila melawat projek tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan seorang kontraktor, Rashid Elias di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini baru-baru ini.
Hampir tiga jam, murid-murid tahun 5 dan 6 dari Sekolah Lestari itu yang terbabit dalam projek memulihara alam sekitar didedahkan dengan teknik penghasilan cendawan yang kini semakin mendapat tempat dalam bidang pertanian negara.
Projek lawatan murid sekolah ke projek tanaman cendawan itu adalah hasil idea Rashid, 38, bagi membantu mendedahkan tanaman itu kepada generasi muda seawal peringkat sekolah lagi.
“Saya ingin menanam minat di kalangan murid sekolah supaya menceburi bidang pertanian ini dan melihat sendiri cendawan yang dulunya hanya dikutip di kawasan-kawasan pedalaman, kini mampu menjadi satu industri perniagaan.
“Dengan sokongan daripada pihak sekolah, lawatan yang dibuat ini walaupun singkat tetapi saya yakin mampu menghasilkan minat di kalangan pelajar untuk menceburinya suatu hari kelak,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan murid sekolah itu di sini baru-baru ini.
Hadir sama pada lawatan itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang turut memberikan ucapan semangat kepada pelajar supaya menceburi bidang pertanian seperti perusahaan cendawan yang semakin mendapat permintaan pasaran.
Rashid pada asalnya hanya menjalankan tugas sebagai seorang kontraktor untuk membina beberapa buah rumah atau bangsal tanaman cendawan di sekitar daerah ini.
Namun, setelah melihat sendiri bagaimana rumah cendawan itu beroperasi, beliau tertarik dan bertekad untuk menceburi bidang penanaman cendawan tiram kelabu yang kini diusahakannya di Kampung Tengah di sini sejak awal tahun ini.
Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya ‘Pleurotus sajor-cabu’ yang diusahakan oleh Rashid merupakan salah satu daripada tiga jenis cendawan tiram yang ditanam di negara ini selain cendawan tiram putih dan cendawan tiram abalone.
Menurutnya, berbekalkan modal sebanyak RM100,000, beliau membina sebuah rumah cendawan seluas 9.6 meter x 43.2 meter yang mampu memuatkan 50,000 bongkah beg tanaman cendawan yang disusun di atas rak-rak kayu.
“Saya berminat untuk menceburi perusahaan cendawan tiram ini selepas melihat tanaman ini mampu memberikan pulangan yang lumayan, tetapi bidang itu masih belum dikuasai usahawan bumiputera dan saya menganggap ini sebagai satu cabaran.
“Meskipun baru dalam bidang ini, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai tanaman cendawan setiap hari dan apa yang saya nampak ialah tanaman cendawan ini agak rumit tetapi menyeronokkan,” katanya.
Menerusi syarikat Wirajaya Marketing yang dikendalikannya, Rashid yang menubuhkan syarikat itu sejak 2002 kini mula mengusahakan tanaman cendawan dengan mengupah 15 pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung terbabit.
Selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, beliau percaya, tanaman cendawan yang diusahakannya itu mampu memenuhi pasaran petani dan peniaga tempatan di sekitar daerah ini dan kawasan berdekatan termasuk Segamat dan Batu Pahat.
Proses tanaman cendawan tiram kelabu, katanya, memerlukan penggunaan habuk kayu getah serta beberapa campuran lain termasuk dedak padi serta kapur pertanian yang digunakan bagi mengelak daripada ia menjadi masam.
Menurut Rashid, untuk memulakan tanaman cendawan ini, kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas yang berukuran 15.8 sentimeter x 36.2 sentimeter.
“Selepas itu, beg plastik tersebut akan dikukus dalam alat khas selama enam jam sebelum disejukkan selama 12 jam dan kemudiannya disuntik dengan benih cendawan.
“Beg-beg itu kemudian akan disusun dalam rumah cendawan untuk proses pengeraman selama 55 hingga 60 hari dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang,” jelasnya.
Projek tanaman cendawan yang diusahakan oleh Rashid ini mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani suatu ketika dulu.
Selain murid dari SK Bakri Batu 5, seramai 100 murid dari SK Ismail 2 di sini pernah melawat pusat tanaman cendawannya selain penganjuran seminar dan kursus tanaman cendawan kepada mereka yang berminat.