TAMBUNAN 25 Nov. – Golongan petani di negeri ini perlu yakin bahawa pertanian merupakan salah satu bidang perniagaan yang mampu memberi keuntungan kepada mereka.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata, transformasi ke arah pertanian komersial akan dapat dilaksanakan jika semua petani mengubah corak pemikiran mereka terhadap bidang itu.
”Pemodenan pertanian bermula dengan perubahan sikap terhadap amalan pertanian itu sendiri. Dalam zaman moden sekarang, usaha seperti itu perlu bagi memastikan pengeluaran dan pendapatan para petani dapat ditingkatkan.
”Bagi mencapai hasrat ini, kita memerlukan peladang produktif yang mengamalkan pertanian moden untuk menjamin bekalan makanan negara sentiasa cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Transformasi Pertanian dan Promosi Produk Keluaran Pertubuhan Peladang Kawasan Tambunan yang diadakan di Pisompuruan Square, Pekan Tambunan, di sini semalam.
Pairin berkata, kerajaan juga berhasrat agar pertanian moden dapat dijadikan asas pembangunan di luar bandar.
Katanya, pertanian adalah asas utama pembangunan negara yang diberi penekanan utama dalam usaha memastikan negara mempunyai bekalan makanan mencukupi.
Katanya, walaupun pertanian merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi dalam masa yang sama kadar kemiskinan di kalangan petani masih tinggi.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, berkata, kerajaan memandang berat akan keadaan itu dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha mengatasi masalah tersebut menerusi pelbagai agensinya.
”Ini termasuk mengadakan beberapa insentif untuk membantu petani mengusahakan tanah mereka terutama dalam mengurangkan kos pengeluaran tanaman padi seperti pemberian skim subsidi,” ujarnya.
Menurutnya, sektor pertanian mempunyai masa depan yang cerah kerana harga bahan makanan adalah stabil dan dijangka meningkat sekiranya permintaan ke atas bahan itu melebihi jumlah pengeluaran bahan makanan di seluruh dunia.
Katanya, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan Pusat mengambil pendekatan pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek kesejahteraan kehidupan golongan petani, alam sekitarnya dan kehidupan yang selesa.
”Selain itu, kerajaan menyediakan peruntukan bernilai RM89 juta bermula pertengahan tahun ini sehingga 2010 bagi melaksanakan program geran pembelian jentera dalam usaha membantu petani meningkatkan hasil pertanian negara terutamanya beras.
”Di bawah skim ini, kerajaan akan membantu para petani membeli jentera kecil seperti pembajak dengan membayar separuh daripada harga jentera berkenaan pada harga maksimum RM10,000,” katanya.
Di bawah skim itu, seramai 15 peladang dari daerah Tambunan menerima manfaat melalui pembelian pelbagai mesin dan jentera yang dibeli pada separuh harga. Keseluruhan mesin berkenaan bernilai RM48,680.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan Pusat akan menambah jumlah peruntukan itu bagi membolehkan lebih ramai petani di negeri ini memiliki kemudahan tersebut.