![]() Wanita Kuala Pahang menjemur ikan untuk dijadikan ikan kering bagi menghadapi musim tengkujuh. |
PEKAN: Permintaan yang semakin meningkat terhadap ikan kering atau ikan masin menjelang musim tengkujuh menyebabkan ramai nelayan mengambil kesempatan meningkatkan pendapatan melalui penjualan hasil laut itu.
Bagaimanapun, kekurangan bekalan ikan menyebabkan permintaan tidak dapat dipenuhi sekali gus menjejaskan usaha ke arah meningkatkan pendapatan masing-masing.
Keadaan ini turut dirasai sebahagian besar nelayan di perkampungan nelayan Kuala Pahang dekat sini yang sukar memenuhi permintaan daripada peraih luar terutama Kuantan dan sekitar Pekan bagi mendapatkan bekalan hasil laut itu.
Walau bagaimanapun, sekumpulan wanita yang juga isteri nelayan kampung berkenaan, Rafeah Che Wan, 41, Aminah Daud, 60, Khatijah Yahya, 44, dan Fatimah Jusoh, 46, tetap bersedia mengambil upah membuat ikan kering walaupun bekalan yang diterima tidak mencukupi bagi menampung permintaan.
Menurut Aminah, pada kebiasaannya, menjelang musim tengkujuh permintaan terhadap ikan kering semakin meningkat bagi mengganti ikan basah yang berkurangan kerana nelayan tidak turun ke laut.
“Jumlah ikan kering tidak mencukupi walaupun ramai nelayan yang menjalankan perusahaan itu kerana penyediaannya berdasarkan lebihan ikan basah yang dijual,” katanya ketika ditemui di perkampungan nelayan berkenaan, kelmarin.
Antara ikan yang menjadi pilihan ialah ikan selayang, tamban, duri, penalin, selar kuning dan ikan kunyit.
Kerja-kerja memproses ikan mula dilakukan pada waktu pagi dan ikan dijemur sekitar jam 10 pagi hingga 5 petang dan mengambil masa antara dua hingga empat hari sebelum kering.