![]() |
Penanam ubi Cassava di Kampung Kasa pasir Mas menunjukkan hasil tanaman mereka yang belum dapat dipasarkan.
|
KOTA BHARU 20 Nov. – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kini
giat memperkenalkan penanaman ubi Cassava sebagai suatu tanaman
industri untuk pasaran eksport dengan memanfaatkan tanah terbiar.
Ini ekoran sebuah syarikat mengetengahkan idea tersebut, sekali gus
menyatakan kesediaan membina kilang memproses dengan kos dianggarkan
RM20 juta di Rantau Panjang.
Ubi kanji ini menghasilkan bahan biodegradable iaitu resin
bagi pembuatan barangan plastik, terutama pembungkusan makanan yang
mesra alam dan ia dikatakan mendapat permintaan tinggi terutama di
Eropah.
Syarikat berkenaan berhasrat memperoleh bekalan bahan mentah
daripada petani dalam kawasan KADA dan ini dianggap mampu menjana
peningkatan ekonomi mereka; tidak lagi sekadar bergantung kepada satu
sumber semata dan menjadi tanaman gantian tembakau.
Ia mendapat sambutan menggalakkan daripada petani dan penanaman
dimulakan pada tahun lepas dengan benih yang sebahagiannya dibekalkan
oleh KADA yang turut membimbing dan menyediakan beberapa kemudahan lain.
Sehingga kini lebih 230 hektar tanah dalam kawasan KADA ditanam
secara berperingkat dengan anggaran hasil sebanyak 3,800 tan melibatkan
95 petani yang sedia mencuba termasuk di jajahan Pasir Mas.
Namun mereka kini kemungkinan berdepan dengan kerugian besar kerana
longgokan hasil tidak dapat dipasarkan apabila kilang tidak wujud dan
syarikat yang menjanjikan pasaran buat mereka lesap entah ke mana.
Apatah lagi jika musim tengkujuh berterusan dan banjir kemungkinan
memusnahkan seluruh tanaman itu sementara mereka menunggu dengan resah
tentang kemungkinan masih ada pembeli.
Mereka mendakwa KADA bersikap lepas tangan dalam menyelesaikan
kemelut yang mereka dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hadapi dalam
projek yang seakan sudah tidak punyai masa depannya.
Menyorot rentetan perjalanan projek ini, semasa menyakinkan
pengurusan KADA pada 2006, syarikat yang dikatakan menunjukkan minat
mendalam untuk melabur, memohon kerjasama KADA untuk terbabit dengan
mendorong petani menjadi pembekal bahan mentah.
KADA mengkajinya dengan teliti dan membuat pertimbangan panjang
lebar dari pelbagai aspek termasuk mendapat pandangan dan nasihat
daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran, terutamanya dari
sudut ekonomik dan viability.
KADA seterusnya melihat projek ini berpotensi sebagai satu komoditi
baru yang diperkenalkan bagi memberikan satu sumber pendapatan tambahan
kepada petani.
Di samping itu, ia diharap dapat mengoptimumkan penggunaan tanah
khususnya kawasan tanah tinggi yang tidak dapat diusahakan dengan
tanaman padi, apatah lagi tanaman ini mudah dikendalikan.
Sehubungan itu, KADA membuat keputusan menerima cadangan ini dengan
melantik PPK Jaya Peringat dan PPK Kubang Sepat sebagai pihak yang akan
bertindak sebagai pembeli hasil ubi kayu daripada petani dan seterusnya
membekal kepada kilang.
Pada 18 Mac 2007, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani
antara syarikat berkenaan dengan PPK sebagai satu mekanisme pelaksanaan
projek.
Ia menjanjikan harga pembelian yang menguntungkan semua pihak di
mana petani memasarkannya melalui PPK dengan harga 50 sen sekilogram
manakala pengilang akan membeli dengan harga 80 sen daripada PPK.
Pendapatan
Bagi tanaman seluas 0.4 hektar yang dianggarkan menghasilkan 24
hingga 30 tan, petani boleh membayangkan pendapatan sekitar RM11,000
hingga 13,000 setiap kali tuaian selepas tempoh matang dalam lingkungan
6 hingga 10 bulan.
Seterusnya, KADA dengan kerjasama syarikat dan PPK berkenaan telah
menggerakkan program penanaman ubi kayu Cassava mengikut jadual
tertentu dengan sasaran 5,000 tan hasil buat permulaan bagi menampung
keperluan syarikat.
Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat memberitahu, malangnya, selepas
beberapa ketika, pemilik syarikat berkenaan menghilangkan diri tanpa
dapat dikesan sehingga kini.
”Janji untuk mendirikan kilang pemprosesan tidak menjadi kenyataan
tetapi pada masa yang sama ubi kayu Cassava yang ditanam itu telah mula
membesar dan mengeluarkan hasil. Ini mencetuskan masalah pemasaran,”
katanya.
KADA terpaksa memikul tanggungjawab besar bagi menyelesaikan masalah
longgokan hasil dengan berusaha sedaya upaya menerusi pelbagai saluran
termasuk pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pihak-pihak lain
bagi mencari pasaran.
Pada mulanya dikatakan ada beberapa pihak yang telah menunjukkan
minat untuk membeli hasil tersebut tetapi setelah dibuat susulan, pihak
yang berkenaan telah menyepikan diri dan tidak memberikan sebarang
keyakinan.
Namun demikian, menurut Ibrahim, KADA terus berusaha untuk
menyelesaikan masalah tersebut termasuk membuat cadangan tertentu
kepada pihak-pihak yang berkenaan.
Masalah ini juga telah dikemukakan kepada pihak Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani untuk sama-sama mencari jalan
penyelesaian demi kepentingan petani.
Akhir-akhir ini, terdapat sebuah syarikat dari Melaka yang
menyatakan persetujuan secara dasar untuk membeli hasil petani dan KADA
sedang mengadakan rundingan lanjut.
KADA tentunya memahami masalah ini perlu diselesaikan dengan secepat
mungkin dan berharap rundingan itu akan membuahkan hasil bagi
melenyapkan keresahan petani dan menyakinkan semula petani terhadap
potensi penanaman ini.