Melahirkan usahawan berkualiti


ANTARA usahawan bumiputera yang menerima pinjaman daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada program Gerak Usahawan di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 25 Nov. – Program Gerak Usahawan yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KPUK) di sini baru- baru ini diharap mampu melahirkan lebih ramai usahawan berkualiti di negeri ini.

Program dua hari itu juga dilihat mampu menjadi platform terbaik bagi mengukuhkan rangkaian perniagaan di kalangan usahawan bumiputera dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

Bertempat di Wisma Pertanian, program yang diadakan bagi kali ketiga itu, mengumpul lebih 50 gerai usahawan bumiputera yang mempamerkan pelbagai produk perniagaan dari seluruh Sabah.

Antara produk yang dipamerkan ialah makanan dan minuman, kraf tangan, produk kesihatan serta perkhidmatan pelancongan, teknologi maklumat dan sebagainya.

Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Ewon Ebin yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Selain itu, program tersebut juga padat dengan pelbagai pengisian bagi meningkatkan keupayaan para usahawan tempatan seperti melalui sesi dialog bagi membincangkan pelbagai isu dan cabaran semasa.

Para usahawan juga berpeluang bersemuka dengan agensi-agensi berkaitan dengan kewangan seperti Agro Bank, Majlis Amanah Rakyat dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) bagi memudahkan mereka mengukuh atau mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

Sementara sesi motivasi berkaitan dengan bidang keusahawanan dan etika perniagaan melibatkan ahli panel dari pusat pengajian tinggi pula menyuntik semangat para usahawan untuk mengharungi dunia perniagaan.

Pada program tersebut juga, para peserta turut berpeluang berkongsi pengetahuan dengan Presiden Mobile Income Resource Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zubir Yahya pada sesi Jejak Usahawan.

Ewon yang membacakan teks ucapan Musa pada majlis itu berkata, penganjuran program Gerak Usahawan ini berupaya menjadi medan terbaik untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan berkualiti di kalangan bumiputera di negeri ini.

“Ini sekali gus menyumbangkan ke arah mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) seperti yang telah digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Saya berasa amat gembira disebabkan program Gerak Usahawan ini semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak sejak diperkenalkan oleh KPUK,” katanya.

Menurut Musa, kerajaan negeri sememangnya sentiasa berusaha mengukuhkan lagi kedudukan dan penyertaan kaum bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.

“Kita sedia maklum bahawa matlamat membentuk MPPB di bawah DEB masih belum berjaya sepenuhnya.

“Namun sekiranya kita benar-benar ingin melihat ramai usahawan lahir di kalangan kaum bumiputera, kita tidak boleh berputus asa dengan pencapaian yang diperoleh setakat ini.

“Sebaliknya kita perlulah terus berusaha, tekun dan sabar sambil memperkenalkan lebih banyak program yang komprehensif untuk menggalakkan kaum bumiputera menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Musa berkata, proses melahirkan usahawan bukannya suatu perkara yang mudah kerana sebahagian besar daripada kaum bumiputera di negara ini sukar untuk menerapkan budaya keusahawanan dalam kehidupan mereka.

“Dengan itu sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menggerakkan usaha bagi memberi kesedaran kepada kaum bumiputera di negara ini amnya dan Sabah khasnya betapa pentingnya kerjaya sebagai usahawan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s