Lawatan semai minat dalam bidang pertanian

ISMAIL Mohamed (tiga dari
kanan) bersama guru dan murid Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5 memegang
cendawan yang terhasil ketika melawat projek tanaman cendawan milik
Rashid Elias (tengah) baru-baru ini.


MUAR 25 Nov. – Murid sekolah digesa menanam minat untuk menjadi
usahawan dalam bidang pertanian bagi menyahut seruan kerajaan yang kini
giat melaksanakan Dasar Bumi Hijau di seluruh negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata,
seawal usia muda, murid sekolah perlu didedahkan dengan bidang-bidang
pertanian yang mampu memberikan pulangan pendapatan lumayan.

Selain berbakti kepada tanah, katanya, bidang pertanian adalah
menguntungkan kerana ia semakin diberikan perhatian oleh kerajaan dan
untuk itu, peluang untuk menceburi bidang itu perlu direbut oleh
pelajar selepas menamatkan pengajian kelak.

“Malah, kita selaku penduduk di Parlimen Pagoh juga berbangga kerana
hasil daripada projek-projek pertanian banyak diperkenalkan di kawasan
ini.

“Sehubungan itu, saya menyeru lebih ramai usahawan dalam bidang
pertanian dilahirkan di Parlimen ini selepas ini dan yakin hasrat itu
mampu dicapai,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi lawatan seramai 100 murid Sekolah
Kebangsaan Bakri Batu 5 ke pusat tanaman cendawan milik seorang
pengusaha, Rahid Elias di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini
baru-baru ini.

Lawatan murid Sekolah Lestari itu diiringi Guru Penolong Kanan Pentadbirannya, Ruhani Omar.

Sepanjang lawatan itu, murid sekolah terbabit yang belajar dalam
Tahun 5 dan 6 dibawa melihat projek penghasilan cendawan tiram kelabu
di dalam sebuah ruang khas yang bertutup dan disebut sebagai rumah
cendawan.

Menurut Ismail, perusahaan cendawan yang dilaksanakan oleh Rashid
adalah salah satu contoh bidang pertanian yang diberi keutamaan oleh
kerajaan.

Sementara itu, Ruhani ketika ditemui berkata, beliau yakin
murid-muridnya akan mendapat manfaat hasil daripada lawatan ke pusat
tanaman cendawan itu.

“Mereka (murid sekolah) begitu bersemangat untuk menyertai lawatan
ini apabila dimaklumkan akan melihat pusat tanaman cendawan. Bagi saya,
semangat ini membuktikan masih ramai golongan muda yang minat dalam
bidang pertanian,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s