Industri keli sardin di Kedah

ALOR STAR: Industri ternakan ikan keli di negeri ini akan memasuki fasa baru apabila hasilnya ditinkan dan sedia untuk dimakan seperti sardin, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata projek itu akan diusahakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melihat ikan berkenaan berpotensi ditinkan supaya pemasarannya lebih meluas, berbanding hanya dijual secara mentah di pasar.

Katanya, ikan keli dalam tin jenama La’zatt itu yang dihasilkan dalam empat perisa, iaitu lada hitam, kari pekat, kari dan sos tomato dijangka mula dipasarkan dalam negeri mulai bulan depan sebelum dieksport.

Katanya, selain itu satu perusahaan mengeluarkan coklat berperisa durian dan kopi yang dipasarkan menggunakan jenama Pasttee akan diwujudkan.

“Projek ini yang dilaksanakan melalui Pusat Pelaburan Negeri Kedah (KIC) akan memberi lonjakan dalam sektor agro industri di negeri ini yang mana hasil pertanian dan penternakan diproses supaya mendapat pasaran yang lebih luas sehingga mampu meneroka pasaran eksport.

“Ia adalah tambahan kepada produk agro industri seperti kuih-muih dan ikan pekasam yang sudah mula mendapat tempat di pasaran,” katanya selepas melancarkan majalah `New Passage’ dan logo `Kedah Australia Energy and Hydrocarbon Institute’ (Kasehi), di sini, kelmarin.

Majalah itu yang diterbitkan dua kali setahun bertujuan mempromosi sektor pertanian dan industri di negeri ini kepada pelabur asing dan tempatan.

Azizan berkata, kerajaan negeri juga merancang mewujudkan sebuah kilang mengetinkan buah-buahan, termasuk rambutan supaya harga buah berkenaan tidak terlalu murah pada musim buah setiap tahun.

“Usaha itu dijangka dapat menstabilkan harga buah pada musim buah-buahan setiap tahun, sekali gus memberi sumber pendapatan yang lebih terjamin kepada pemilik dusun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kasehi diwujudkan antara GLC negeri ini dengan sebuah pusat latihan di Australia yang bertujuan melatih tenaga kerja tempatan bagi memenuhi permintaan Hab Hidrokarbon Kedah yang akan dilaksanakan di negeri ini menjelang 2013 dan memerlukan kira-kira 15,000 tenaga kerja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s