Pengusaha rumpai laut akan dapat pelbagai bantuan

KOTA KINABALU 18 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri akan terus memberikan pelbagai bantuan terhadap industri pemeliharaan rumpai laut di Semporna.

Pembantu Menterinya, Datuk Bobbey Suan, walaupun industri itu masih baru di Sabah tetapi pihaknya tidak pernah mengabaikan perusahaan itu dan pelbagai bantuan sudah diberikan.

Katanya, Jabatan Perikanan Sabah akan terus memberi pelbagai bantuan seperti latihan, khidmat nasihat, membina jeti dan pelantar pengeringan, bantuan peralatan, pengkulturan dan perahu serta enjin sangkut kepada pengusaha berkenaan.

“Setakat ini, 22 pelantar sudah dibina. Bantuan lain ialah memberikan tali, perahu, benih, bakul, kanvas dan pelampung. Ini termasuk latihan teknik pengkulturan rumpai laut, pengendalian selepas tuai dan penyelenggaraan enjin sangkut juga diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab semasa membahaskan usul belanjawan 2009 Negeri Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-13 di sini hari ini.

Bobbey menjawab soalan lisan, Datuk Harman Mohammad (BN-Sulubayan) yang menanyakan usaha kementerian itu yang telah dan sedang dilaksanakan untuk membantu pengusaha rumpai laut di Semporna.

Beliau berkata, setakat ini terdapat kawasan seluas 6,238 hektar ladang rumpai laut di Semporna manakala 6,780 hektar lagi berpotensi untuk dimajukan.

Menurutnya, kawasan berkenaan menghasilkan 92,070 tan metrik rumpai laut basah tahun lalu dan dijangka meningkat kepada 125,000 tan metrik menjelang akhir 2010.

Jelasnya, daripada keseluruhan 895 pengusaha rumpai laut di Sabah, 511 orang adalah pengusaha dari Semporna yang menyumbang 97 peratus daripada keseluruhan pengeluaran rumpai laut Sabah.

“Harga pasaran rumpai laut sekarang ialah RM5 satu kilogram (kg) berbanding RM1.80 satu kg sebelum ini. Ia menjanjikan prospek yang cerah untuk industri ini berkembang pada masa depan,” katanya.

Beliau memberitahu, melalui Projek Perintis Pengkulturan Rumpai Laut Pulau Omadal, Semporna yang dikendalikan Jabatan Perikanan Sabah pada 1999, projek tersebut berjaya mengeluarkan 78 pengusaha daripada kemiskinan tegar.

Bagi tempoh pengkulturan dari Mac hingga September lalu katanya, pengusaha berkenaan memperoleh pendapatan antara RM14,000 hingga RM75,000.

Selain itu, ujarnya, jabatan tersebut melaksanakan projek rumpai laut di Pulau Sebangkat, Semporna, membabitkan peruntukan sebanyak RM300,000.

Jabatan itu juga, katanya, memperkenalkan kaedah Sistem Raga, iaitu teknik pengkulturan baru di Pulau Sabangan, Semporna membabitkan kos RM250,000.

One thought on “Pengusaha rumpai laut akan dapat pelbagai bantuan

  1. Bagaimana pula tentang projek rumpai laut yang dikatakan diusahakan oleh Syarikat Fresh Palms Sdn Bhd….yang tengh agresif…mengumpul modal daripada orang ramai dengan pelan pelaburan yang agak menarik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s