KOTA BHARU: Seramai 390 penduduk yang kebanyakannya keluarga miskin, dipilih menerima agihan ternakan lembu dan kambing serta biri-biri secara pawah dalam usaha Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menambah pendapatan khususnya penduduk luar bandar sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd Zairi Serlan, berkata setiap tahun, JPV Kelantan menerima peruntukkan daripada kerajaan negeri untuk membeli bekalan ternakan daripada pembekal seluruh Kelantan yang berdaftar dengan jabatan itu sebelum diserahkan kepada penerima yang layak.
“Tahun ini, 360 ekor lembu, 150 kambing dan 60 bebiri diagihkan kepada 390 penerima yang layak selepas mendapat kelulusan Ahli Dewan Undangan (Adun) kawasan masing-masing. JPV mengutamakan tiga jenis haiwan terbabit memandangkan ia mempunyai permintaan tinggi berbanding ternakan lain.
“Sejak sistem ini diperkenalkan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya penduduk luar bandar, namun kami terpaksa mengehadkan bilangan kerana ia bergantung kepada peruntukkan yang diterima. Tahun ini JPV menerima peruntukkan RM700,000 bagi tujuan membiayai agihan ternakan itu,” katanya di sini, semalam.
Dr Mohd Zairi berkata, menerusi skim pawah itu, setiap penerima menerima ternakan mengikut keputusan yang dibuat oleh Adun masing-masing kerana JPV hanya membekalkan ternakan. .
Beliau berkata, bagi ternakan lembu, JPV hanya meluluskan seekor lembu betina kepada bagi setiap penerima dan untuk menghasilkan hasil, mereka perlu berusaha mencari lembu pejantan lain.
“Bagi ternakan kambing dan biri-biri, setiap penerima boleh diberi sehingga 10 ekor berbanding ternakan lembu yang hanya dibekalkan seekor bagi setiap individu yang layak.
“Tempoh setiap ternakan dipawah adalah tertakluk sehingga ia menghasilkan anak berusia dua tahun, sebelum ia diserahkan kembali kepada jabatan untuk diagihkan kepada penerima lain. Setakat ini, JPV tidak menghadapi sebarang masalah kerana setiap penerima mengembalikan ternakan itu mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, jika anak yang dilahirkan itu mati, JPV akan memberi peluang kepada penerima untuk terus membela lembu berkenaan sehingga memperoleh anak baru. Langkah yang diambil oleh JPV dianggap berpatutan kerana mampu golongan miskin memiliki ternakan sendiri dalam jangka panjang yang boleh menjadi sumber pendapatan,” katanya.
Katanya, setiap tahun melalui ternakan yang dibekalkan, JPV mendapati ia mampu memberi pulangan sehingga 60 peratus.
“Mana-mana keluarga miskin yang berhasrat mendapatkan ternakan yang dipawah ini, mereka perlu mendapatkan borang daripada Adun masing-masing dan sebelum pelepasan diberikan, ketua kawasan terbabit akan menilai sama ada penerima memenuhi syarat ditetapkan termasuk pendapatan rendah dan mampu memelihara binatang itu.
“Saya harap menerusi projek sosial ini mampu menarik lebih ramai orang yang berminat khususnya golongan yang berpendapatan rendah kerana matlamat kami adalah menambah pendapatan golongan miskin,” katanya.