Usahawan tani perlu buka minda

SEREMBAN 14 Nov. – Usahawan tani perlu memiliki sikap keterbukaan minda serta daya kreativiti tinggi yang sekali gus mampu meningkatkan produktiviti dan menjana hasil yang lumayan.

Rata-rata golongan usahawan ketika ditemui Utusan Malaysia pada Ekspo Agro-Biotek 2008 di Paroi dekat sini hari ini berpandangan sikap seumpama itu merupakan satu keperluan dalam bidang pertanian dalam menghadapi pertanian berkonsep moden pada masa ini.

Seorang usahawan, Sharin Shaari, 36, berkata, bidang pertanian kini perlu memanfaatkan pelbagai teknologi tani mengikut peredaran masa, bersesuaian dengan teknologi dan peralatan canggih pertanian yang dicipta pada masa ini.

Menurutnya, usahawan tani sewajarnya memiliki pengetahuan yang mendalam serta sentiasa proaktif terhadap kehendak pasaran.

”Mereka juga boleh menjalankan kegiatan secara usahasama dengan syarikat yang memiliki kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R & D) atau promosi produk,” katanya.

Selain itu, beliau yang mengusahakan ternakan ketam dalam sangkar, berkata, aktiviti pertanian juga hendaklah dijalankan secara komersial pada skala yang besar untuk menjamin keuntungan yang tinggi.

Usahawan muda, Wan Hafizah Hamid, 16, pula memberitahu, semakin ramai golongan remaja hari ini yang berminat menceburi bidang pertanian.

”Golongan muda juga boleh berjaya dalam bidang ini sekiranya mempunyai minda yang terbuka dan sanggup bersusah untuk belajar daripada mereka yang berpengalaman,” ujarnya.

Wan Hafizah yang membantu ibu saudaranya mengusahakan jualan produk berasaskan koko, memberitahu, tanggapan bahawa pertanian hanya sesuai untuk golongan miskin dan masyarakat luar bandar perlu dikikis dari jiwa setiap remaja yang berhasrat menjadi usahawan tani.

Seorang usahawan lain, Choo Peng Hong, 63, pula berharap kerajaan dapat menambah jumlah peruntukan bagi geran penyelidikan dan pembangunan bidang pertanian khususnya dalam bidang bioteknologi.

Beliau yang juga pemilik syarikat R & D tisu kultur buah-buahan, berkata, langkah berkenaan akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti hasil pertanian.

”Sudah tentu usahawan tani tempatan mesti mempunyai kreativiti untuk menjana produk mereka, tetapi sekiranya ada kajian-kajian lain yang dapat dijalankan, ia akan memberi banyak manfaat,” katanya.

Kata Peng Hong lagi, penggunaan kaedah pertanian terkini boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia secara intensif di samping meningkatkan kualiti produk pertanian.

Insentif wang galak pengeluaran akuakultur

SETIU 16 Nov. – Sebanyak 300 penternak ikan dan udang di kawasan Setiu bakal menerima Insentif Galakan Pengeluaran Akuakultur daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, hasil penyertaan mereka dalam projek berkenaan.

Insentif berkenaan adalah bagi meringankan bebanan kenaikan kos pengeluaran akuakultur akibat kenaikan harga input.

Ketua Perikanan Daerah Setiu, Syed Aziz Syed Akhir berkata, bantuan itu berupaya mendorong para penternak termasuk di Setiu meningkatkan hasil pengeluaran ternakan mereka.

Menurutnya, projek yang layak menerima insentif itu ialah ternakan ikan air tawar, ikan laut, udang air tawar, udang laut dan kerang.

”Insentif ini merupakan bayaran wang tunai kepada penternak mengikut hasil ternakan yang telah dijual kepada pembeli atau pemborong,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Katanya, kadar insentif berkenaan diagih mengikut tiga kategori iaitu penternak kecil, separa komersial dan komersial.

Syed Aziz memberitahu, bagi kategori ikan air tawar, insentif yang diberikan adalah RM570 untuk satu tan metrik kepada penternak kecil, RM285 bagi satu tan metrik (separa komersial) dan RM190 satu tan metrik (penternak komersial).

Menurutnya, insentif itu bukan sahaja menggalakkan peningkatan pengeluaran makanan di negara ini tetapi juga menggalakkan budaya menyimpan rekod ternakan di kalangan pengusaha akuakultur.

”Dengan adanya insentif ini, penternak terbabit akan menyimpan rekod projek mereka secara lebih tersusun yang memudahkan kerajaan memantau perusahaan mereka,” ujarnya.

Jelasnya, penternak kecil adalah mereka yang mengusahakan kolam ikan atau udang di kawasan yang luasnya tidak melebihi dua hektar atau mempunyai kurang 30 sangkar.

Menurutnya, pengusaha separa komersial pula adalah yang mengusahakan ternakan di kawasan antara dua hingga 10 hektar manakala penternak komersial melibatkan kawasan seluas 10 hektar ke atas atau memiliki lebih 200 sangkar ikan.

Beliau berkata, kerajaan juga menetapkan syarat bagi mendapat insentif yang dibayar menerusi akaun simpanan Bank Agro Malaysia.

”Syarat itu adalah penternak mempunyai tapak sendiri atau perairan projek yang sah, berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan memiliki rekod ternakan yang diseliakan oleh Jabatan Perikanan,” ujarnya.

Baulu Salwa pelbagai perisa

Noor Zuhhada Abdul Rahman bersama suami, Ismail Zakaria menyusun bahulu pelbagai perisa di Segar Mart, Alor Star, baru-baru ini.
– Gambar ISMAIL KAMADIN


ALOR STAR 16 Nov. – Sebut sahaja kuih baulu, pasti terbayang keenakan kuih tradisonal itu yang begitu popular terutama pada hari raya dan hari-hari keramaian.

Bagaimanapun, ramai tidak tahu kuih yang diperbuat daripada adunan telur, tepung gandum, gula pasir dan minyak masak atau minyak sapi itu kini mudah didapati sepanjang masa.

Jika dahulu kuih berkenaan sukar didapati kerana ia perlu ditempah daripada pembuat kuih tradisional, namun setelah dikomersialkan, ia boleh dibeli di mana-mana termasuk di pasar raya.

Di negeri ini, jenama Bahulu Salwa yang diusahakan oleh Ismazuha Enterprise bukan satu nama asing kepada penggemar kuih tradisional tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Ismazuha Enterprise, Noor Zuhhada A. Rahman, 28, sejarah pengeluaran kuih Bahulu Salwa bermula kira-kira 15 tahun lalu apabila ibunya, Hasnah Salleh, 60, berusaha menghasilkan kuih berkenaan secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Batu 19, Kubur Panjang, Pedang.

Ketika itu, katanya, Hasnah mengusahakan kuih tradisional tersebut bagi menambah pendapatan keluarga mereka dengan menjualnya kepada jiran-jiran sekampung.

Usaha Hasnah itu tidak sia-sia apabila Jabatan Pertanian Kedah pada 1994 telah memberikan bantuan berupa peralatan seperti pembinaan bengkel, ketuhar dan mesin pengadun tepung bagi mengembangkan perusahaan ibunya itu.

Sejak itu, Noor Zuhhada memberitahu, keluarganya tidak menoleh ke belakang lagi dengan memberi sepenuh perhatian kepada perusahaan pengeluaran baulu secara komersial menerusi bimbingan Jabatan Pertanian Kedah.

Sehingga kini, menurutnya, perusahaan Bahulu Salwa melibatkan tiga cawangan iaitu di tempat asal di Batu 19 Kubur Panjang, Pendang; di Jalan Datuk Kumbar dan di ruang legar Segar Mart Jabatan Pertanian Kedah, Jalan Kuala Kedah di sini.

Jelasnya, cawangan di ruang legar Segar Mart dijadikan sebagai lokasi utama pengurusan dan pemasaran selain turut beroperasi untuk menghasilkan produk keluaran mereka.

“Syarikat kami mempunyai 13 pekerja di tiga cawangan berkenaan dengan mengeluarkan kira-kira 1,200 peket atau 12,000 kuih baulu sehari.

“Malah semasa musim perayaan dan keramaian, permintaan turut bertambah sehingga pekerja sambilan turut diambil, manakala tempoh pengeluaran dilanjutkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurut Noor Zuhhada, Bahulu Salwa bukan sahaja digemari kerana keenakan rasanya, namun ia juga boleh diperoleh dalam pelbagai perisa iaitu asli, oren, pandan, cip coklat dan strawberi.

Katanya, Ismazuha Enterprise mempelbagaikan perisa baulu keluarannya bagi mencari kelainan di samping mengelakkan persaingan di pasaran.

Menurutnya, baulu perisa oren mula diperkenalkan syarikatnya kira-kira enam tahun lalu sebelum disusuli dengan perisa pandan, cip coklat dan strawberi.

“Golongan kanak-kanak menggemari kuih baulu perisa strawberi manakala dewasa pula perisa oren keluaran syarikat kami,” ujarnya.

Pelanggan yang ingin membuat tempahan Bahulu Salwa boleh mengunjungi syarikat Ismazuha Enterprise di ruang legar Segar Mart Jabatan Pertanian Kedah, Jalan Kuala Kedah dari pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang.

Mereka juga boleh menghubungi Isma di talian 019-5464886 atau Zuha di 019- 4934192.