Padi hibrid pilihan baru negara

Benih padi yang baik amat penting bagi menghasilkan padi dan beras bermutu tinggi dan dapat menghasilkan pulangan yang tinggi dan menguntungkan petani.

Bagi melaksanakannya, tiga pihak telah menandatangani perjanjian bersama iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Puncak Kaji Sdn. Bhd. dan Hubei Provencial Seed Company dari China.

Hubei Provincial Seed Company dipilih kerana ia adalah salah sebuah syarikat yang menerajui penghasilan benih hibrid di China.

Benih hibrid ini telah digunakan di negara-negara seperti di Amerika Syarikat, Afrika serta beberapa buah negara di Asia Tenggara.

Puncak Kaji Sdn. Bhd. pula adalah syarikat tempatan yang beroperasi di Pulau Pinang dan bertindak sebagai perantara yang akan membawa masuk teknologi penghasilan benih hibrid ke rantau Asia Tenggara.

Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Dr. Zulkifli Idris berkata, MARDI memainkan peranan sangat penting dalam penyelidikan hibrid pada negara yang dijalankan sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun hasil penyelidikan tidak seperti diharapkan kerana pelbagai masalah.

“Kerjasama dengan pelbagai pihak telah diadakan sejak tiga tahun lepas bagi penyelidikan hibrid padi tempatan dengan badan seperti seperti Tropical Research Centre (TARC), Jepun dan beberapa syarikat swasta.

Menerusi kontrak yang dimeterai, enam hibrid varieti padi import dari China telah dikaji dan dua daripadanya HS-98 dan HZ-1 telah menunjukkan hasil yang baik dan dipilih untuk percubaan penanaman di lima stesen penyelidikan MARDI iaitu di Seberang Perai, Kedah dan Selangor,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara MARDI, Puncak Kaji Sdn. Bhd. dan Hubei Seed Group Company mengenai padi hibrid di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Ini bagi memastikan benih hibrid berkenaan sesuai dengan keadaan cuaca negara ini.

Turut menyaksikan perjanjian berkenaan adalah Konsular Komersial dan Ekonomi Duta Negara China, Gao Wenkuan, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd Shukor Abd Rahman dan Pengerusi Puncak Kaji Sdn. Bhd., Datuk Faudzi Naim Noh.

Puncak Kaji Sdn. Bhd. pula telah menjalankan kajian benih hibrid selama dua tahun dan menunjukkan hasil yang positif.

Biasanya penanaman padi biasa di negara ini mengeluarkan hasil sekitar empat hingga lima tan sehektar semusim.

Tetapi dengan menggunakan padi hibrid, produktiviti tanaman padi dijangka meningkat sehingga 30 peratus atau tujuh hingga sembilan tan sehektar semusim.

Kontrak penyelidikan ini sekarang dikembangkan lagi dengan kerjasama bersama Hubei Provincial Seed Group Company memandangkan ketiga-tiga pihak mempunyai kekuatan masing-masing dalam menyumbang kepada pembangunan industri hibrid pada bermutu di negara ini.

Abd. Shukor berkata, MARDI memilih Hubei Seed Group Company memandangkan syarikat berkenaan telah lama terlibat dalam penyelidikan hibrid.

Kajian yang dijalankan pada 2006 perlu melepasi saringan MARDI yang ketat sebelum berjaya mendapatkan dua hibrid yang sesuai.

Ternakan pawah tingkat pendapatan penduduk

KOTA BHARU: Seramai 390 penduduk yang kebanyakannya keluarga miskin, dipilih menerima agihan ternakan lembu dan kambing serta biri-biri secara pawah dalam usaha Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menambah pendapatan khususnya penduduk luar bandar sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd Zairi Serlan, berkata setiap tahun, JPV Kelantan menerima peruntukkan daripada kerajaan negeri untuk membeli bekalan ternakan daripada pembekal seluruh Kelantan yang berdaftar dengan jabatan itu sebelum diserahkan kepada penerima yang layak.

“Tahun ini, 360 ekor lembu, 150 kambing dan 60 bebiri diagihkan kepada 390 penerima yang layak selepas mendapat kelulusan Ahli Dewan Undangan (Adun) kawasan masing-masing. JPV mengutamakan tiga jenis haiwan terbabit memandangkan ia mempunyai permintaan tinggi berbanding ternakan lain.

“Sejak sistem ini diperkenalkan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya penduduk luar bandar, namun kami terpaksa mengehadkan bilangan kerana ia bergantung kepada peruntukkan yang diterima. Tahun ini JPV menerima peruntukkan RM700,000 bagi tujuan membiayai agihan ternakan itu,” katanya di sini, semalam.

Dr Mohd Zairi berkata, menerusi skim pawah itu, setiap penerima menerima ternakan mengikut keputusan yang dibuat oleh Adun masing-masing kerana JPV hanya membekalkan ternakan. .

Beliau berkata, bagi ternakan lembu, JPV hanya meluluskan seekor lembu betina kepada bagi setiap penerima dan untuk menghasilkan hasil, mereka perlu berusaha mencari lembu pejantan lain.

“Bagi ternakan kambing dan biri-biri, setiap penerima boleh diberi sehingga 10 ekor berbanding ternakan lembu yang hanya dibekalkan seekor bagi setiap individu yang layak.

“Tempoh setiap ternakan dipawah adalah tertakluk sehingga ia menghasilkan anak berusia dua tahun, sebelum ia diserahkan kembali kepada jabatan untuk diagihkan kepada penerima lain. Setakat ini, JPV tidak menghadapi sebarang masalah kerana setiap penerima mengembalikan ternakan itu mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, jika anak yang dilahirkan itu mati, JPV akan memberi peluang kepada penerima untuk terus membela lembu berkenaan sehingga memperoleh anak baru. Langkah yang diambil oleh JPV dianggap berpatutan kerana mampu golongan miskin memiliki ternakan sendiri dalam jangka panjang yang boleh menjadi sumber pendapatan,” katanya.

Katanya, setiap tahun melalui ternakan yang dibekalkan, JPV mendapati ia mampu memberi pulangan sehingga 60 peratus.

“Mana-mana keluarga miskin yang berhasrat mendapatkan ternakan yang dipawah ini, mereka perlu mendapatkan borang daripada Adun masing-masing dan sebelum pelepasan diberikan, ketua kawasan terbabit akan menilai sama ada penerima memenuhi syarat ditetapkan termasuk pendapatan rendah dan mampu memelihara binatang itu.

“Saya harap menerusi projek sosial ini mampu menarik lebih ramai orang yang berminat khususnya golongan yang berpendapatan rendah kerana matlamat kami adalah menambah pendapatan golongan miskin,” katanya.

Siswazah tekad ternak landak


Menternak landak? Biar betul? Mungkin itu adalah respons yang akan diberikan oleh orang ramai sambil mengerut dahi jika kita memberitahu mereka yang kita telah melibatkan diri dalam ternakan landak.

Ketika ramai yang memilih menternak haiwan yang menjadi makanan pilihan orang atau sajian harian seperti ayam, lembu atau kambing, menjadikan landak sebagai komoditi ternakan, sememangnya mengundang persoalan.

Apatah lagi, landak merupakan haiwan eksotik dan dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan adakah menternaknya juga merupakan satu kesalahan?

Sebenarnya, walaupun landak bukan merupakan makanan popular tetapi harga makanan berasaskan haiwan itu seperti sup dan daging segarnya agak mahal.

Dilaporkan bahawa semangkuk sup daging landak mampu mencecah RM10 dan pasaran daging segarnya mencecah RM60 sekilogram.

Pernah seseorang memberitahu yang daging landak manis dan lembut, kadangkala rasanya seperti daging arnab.

Namun, itu pendapat mereka yang pernah menikmati daging landak tetapi bagi yang cerewet kepada makanan, barangkali tanggapan daging landak sedap sukar dipercayai.

Masalah lain ialah berkaitan satu mitos yang mengatakan bahawa duri landak akan dilepaskan ke arah mana-mana objek yang mengancamnya sedangkan tidak ada bukti ia benar-benar pernah berlaku.

Ia hanya mengembangkan durinya yang dikatakan berjumlah 30,000 pada setiap ekor apabila terancam dengan menadah bahagian belakang apabila diancam.

Selain itu, dengan mengetahui bahawa landak atau nama saintifiknya Hystrix bracyura adalah haiwan yang tergolong dalam keluarga tikus, mungkin ramai yang tidak sanggup mendekati haiwan ini apatah lagi menternaknya.

Bagi sesetengah orang, itu semua tidak menjadi masalah kerana ternakan landak adalah dibolehkan dan daging landak juga tidak diharamkan oleh agama.

Namun landak, yang mempunyai banyak jenis namun spesies yang popular ialah landak raya dikatakan sukar untuk melahirkan anak kerana mempunyai masalah pembiakan.

Biasanya seekor landak betina jenis landak raya beranak lima kali dalam tempoh dua tahun dengan jumlah antara seekor atau dua ekor sekali beranak.

Dengan sifat pembiakan yang demikian dan minat orang ramai yang masih rendah, maka ia dijadikan sebagai satu cabaran kepada sebuah syarikat penternakan bumiputera untuk mencuba projek ternakan tersebut.

Tujuh siswazah

Syarikat terbabit, Bahtera Ternak yang sudah memulakan ternakan landak awal tahun ini dianggotai tujuh siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), bertekad mempopularkan ternakan landak sebagai industri baru dan hidangan berkhasiat pada masa akan datang.

Mereka memperoleh permit daripada Perhilitan pada November tahun lalu selepas membentangkan kertas kerja cadangan menternak landak.

Mereka berpendapat mampu mengharungi cabaran memajukan projek penternakan landak tersebut dengan bantuan Perhilitan kerana mempunyai pengalaman dalam bidang ternakan.

Dengan modal awal sebanyak RM120,000, mereka yang berkelulusan dalam pelbagai bidang termasuk arkitek, pertanian menaruh azam yang kuat untuk menjayakan projek tersebut.

Dengan segenggam tekad, mereka membuka kawasan ternakan seluas 0.8 hektar (dua ekar) di Kampung Kapal, Lenggeng, Negeri Sembilan.

Kawasan tersebut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan yang bersesuaian untuk menjalankan projek ternakan termasuk membina tujuh unit rumah pekerja, dua unit paddock, dan kandang untuk menempatkan 66 ekor landak.

Menurut Pengerusi Bahtera Ternak, Rathuan Md. Som, meskipun kesemua rakan kongsi mempunyai pekerjaan tetap, mereka komited dan sepakat untuk menjadikan projek ternakan landak tersebut berdaya maju.

“Ia berdasarkan ternakan ini belum diterokai sepenuhnya dan setakat ini hanya ada tiga atau penternak yang melibatkan diri.

“Berdasarkan kajian kami dan bantuan Perhilitan, daging landak mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi,’’ ujarnya.

Harga daging landak menjadi tinggi kerana ia dikatakan mendapat tempat di pasaran Hong Kong, China, Singapura dan Thailand.

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, pihaknya yakin ia mempunyai prospek cerah untuk dimajukan.

Tambahan pula pengurusan ternakan landak tidak terlalu rumit.

“Landak makan pisang, ubi kayu, buah kelapa sawit, sayur, rumput serta hampas kacang soya.

“Kami juga beri makan pelet sekali sekala,’’ katanya sambil menambah ternakan diberi makan dua kali sehari.

Landak, kata beliau, diberi makan makanan semula jadi tanpa campuran kimia bagi mengekalkan kualiti dagingnya.

Beliau berkata, projek ternakan yang sedang dijalankan sekarang menunjukkan perkembangan positif dengan bantuan pegawai Perhilitan.

Perlu lesen

Menceritakan lanjut bagaimana hasrat menternak itu bermula, Rathuan berkata, pihaknya perlu terlebih dahulu memohon lesen daripada Perhilitan untuk menangkap landak pada kadar yang ditetapkan untuk dijadikan baka.

Landak mempunyai tabiat aktif pada waktu malam, makan yang kerap dan aktif mengawan. Seekor landak mampu melahirkan anak antara dua dan tiga ekor sekali beranak.

Landak diternak dengan menggunakan sangkar dinding konkrit dan bahagian depannya besi jeriji dengan setiap sangkar boleh diletakkan seekor atau dua ekor (sepasang).

Sementara itu menurut Pengarah Bahtera Ternak, Nurul Azam Haron, mereka yakin jika industri ternakan landak berjaya dilaksanakan, maka daging landak akan lebih popular.

“Kami akan memasarkan daging landak ini sekiranya ternakan mencapai lebih 100 ekor dan menyasarkan jumlah sehingga 1,000 ekor dalam jangka panjang,’’ ujarnya.

Menurut Rathuan pula, kawasan tersebut juga akan dimanfaatkan untuk ternakan kambing pada masa akan datang bermula dengan jumlah yang kecil.

Menurutnya, penglibatan mereka dalam bidang ternakan bertujuan mahu menyumbang kepada perkembangan industri yang sihat dan sebagai sumber makanan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 012-2132401.

Pesona Serama


Ayam terkecil dunia pandai menonjolkan diri dan memikat hati kini mempunyai nilai komersial, tersohor di seluruh dunia

AYAM serama disifatkan sebagai suka menunjuk-nunjuk. Jika ada kamera dan limpahan cahaya lensa, ayam ini segera mengangkat dada dan meluruskan ekor tegak ke atas hingga 90 darjah serta mengibas kedua-dua kepak.

Perwatakan dan gaya istimewa ayam serama menyebabkan Ahmad Fauzi Mohamed, jatuh cinta kepada ayam terkecil di dunia itu.

Walaupun Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, sudah lama mengetahui ayam ini, cintanya terhadap ayam serama baru berputik ketika berada di Kota Bharu, Kelantan, kira-kira lima bulan lalu.

Mengapa ayam serama? Inilah haiwan yang benar-benar berasal dari Malaysia. Haiwan lain seperti harimau dan badak juga ada di negara lain. Orang Utan juga tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan negara ini.

Ayam serama sebenarnya diiktiraf dunia luar sebagai milik Malaysia. Pelbagai pihak di Amerika Syarikat mengiktiraf ayam serama berasal dari negara ini.

Ahmad Fauzi asyik melayan dua ayam serama kesayangannya yang pantang melihat air. (Gambar bawah) Reban ayam serama dua tingkat yang cantik dan bersih.

Ini yang menyebabkan Ahmad Fauzi yakin ayam serama mampu menjadi ikon kepada Malaysia kerana haiwan ini tidak terdapat di negara lain.

Usaha menjadikan ayam serama sebagai ikon Malaysia, katanya perlu dipertingkatkan kerana sesetengah negara Eropah bangga dengan baka ayam yang hanya ada di negara masing-masing. Malah, Perancis menjadikan ayam sebagai menjadi lambang negara itu.

Minat terhadap ayam serama mendorong Ahmad Fauzi, melakukan penyelidikan dan terkejut apabila mendapati bilangan ayam ini hanya tinggal kira-kira 3,000 ekor dan boleh dianggap menghampiri kepupusan.

Beliau melayari internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan ayam serama, tetapi tiada laman web tempatan berkaitan ayam ini dan tidak ada panduan mengenai cara menternaknya.

“Melalui internet, saya mendapati pemeliharaan ayam serama berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, ada pertubuhan ayam serama dengan laman web masing-masing, iaitu Serama Council of North America dan World Serama Federation,” katanya.

Perkembangan menggalakkan di dunia luar mendorongnya bertekad mengubah kaedah penternakan ayam serama yang sebelum ini dilakukan secara tradisional.

Bermula dengan empat ekor yang dibawa dari Kelantan lima bulan lalu, ayam serama yang diternaknya di belakang rumahnya di Ampang Jaya, untuk tujuan pameran dan penyelidikan, kini mencecah kira-kira 300 ekor.

Beliau membuat penyelidikan sendiri untuk menternak ayam serama secara moden berbanding amalan tradisional yang tidak produktif.

Memanfaatkan pengalaman sebagai jurutera maritim, Ahmad Fauzi, membuat sendiri reban dua tingkat dan menggunakan kaedah penternakan moden bagi meningkatkan pengeluaran ayam serama berkualiti tinggi.

“Penternakan dilakukan secara sistematik. Ayam diberi campuran dedak mengandungi vitamin. Reka bentuk reban sesuai dengan pembesaran haiwan ini dan melindungi dari angin dan hujan melampau yang menyebabkan penyakit.

“Menternak ayam serama tidak cerewet jika aspek kebersihan dan pemakanan diberi perhatian rapi,” katanya.

Katanya, ayam betina hanya bertelur kira-kira lima biji telur setiap tiga bulan atau kira-kira 20 biji setahun.

“Telur yang dikutip setiap hari dikumpul setempat selama tujuh hari dan kemudian dimasukkan dalam mesin inkubator selama 21 hari. Selepas menetas, anak ayam dimasukkan dalam satu kotak yang dinamakan set induk palsu.

“Kotak itu berfungsi seperti ibu ayam yang memanaskan badan anaknya. Selepas 30 hari, anak ayam dimasukkan ke reban biasa,” katanya.

Dalam operasi harian, pegawai veterinar dibantu pekerja biasa menukar makanan dan air, membersihkan najis, memeriksa inkubator dan ayam. Setiap minggu, ayam dimandikan dan dilatih untuk menyertai pertandingan dan setiap bulan, kuku dipotong dan diberi ubat cacing.

Semua proses ini direkodkan dan jauh berbeza berbanding kaedah tradisional, ayam dilepaskan begitu saja serta mengabaikan aspek kebersihan dan pemakanan.

Selain itu, Serama Corporation menjalankan penyelidikan untuk melakukan permanian beradas bagi menghasilkan ayam serama berkualiti tinggi dan dijangka hasil kajian diketahui pertengahan tahun depan.

Harga ayam serama boleh mencecah RM80,000 seekor

AYAM serama lebih dikenali kerana kecantikan menyebabkan dibela hanya untuk tujuan menyertai pertandingan dan sekadar hobi.

Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Mohamed, berkata penternakan ayam serama mempunyai potensi besar untuk diterokai kerana permintaan amat besar sedangkan pengeluaran ketika ini masih rendah.

Dari segi harga, katanya ayam serama yang menjuarai pertandingan boleh mencecah hingga RM80,000 seekor dan secara purata harga ayam ini adalah antara RM40,000 hingga RM50,000 seekor.

“Hanya orang kaya mampu memiliki ayam begitu. Ini tidak menghalang peminatnya sejauh Thailand, Indonesia dan Filipina datang untuk membelinya.

“Pengeluaran terhad menyebabkan orang biasa hanya mampu melihat. Tetapi keadaan ini mampu diubah jika pengeluaran kecil-kecilan sekarang digantikan dengan kaedah penternakan komersil,” katanya.

Kekurangan yang ada, katanya diisi Serama Corporation yang kini mempunyai ladang ayam serama di Pengkalan Chepa, Kelantan dan bakal membuka ladang seluas 1.6 hektar di Ulu Yam, Selangor, tahun depan.

Selain pertandingan, Ahmad Fauzi berkata, ayam serama berpotensi dieksport ke luar negara, terutama China yang melihat ayam serama sebagai bahan ubatan tradisional dan daging eksotik.

Katanya, saiz ayam serama selepas dibersihkan sesuai diletakkan dalam pinggan dan tidak perlu dipotong berbanding ayam biasa.

Dari segi harga, katanya penternak tidak perlu bimbang kerana pengeluaran telur yang sedikit menyebabkan ayam serama bersifat eksklusif.

Ahmad Fauzi mengakui bahawa minat orang ramai di negara ini terhadap ayam serama pernah melonjak tinggi pada suatu ketika, tetapi merudum akibat amalan tidak beretika sesetengah peniaga.

“Ada peniaga menjual ayam serama yang sebenarnya ayam katik dan ayam kampung. Ini mengecewakan orang ramai kerana ayam serama mempunyai ciri istimewa yang tidak ada pada ayam lain,” katanya.

Bagi menyemarak minat orang ramai terhadap ayam serama, katanya Serama Corporation membuka ruang pameran di Pasar Seni Kuala Lumpur pada setiap Sabtu dan Ahad, bermula 15 November.

Katanya, anak ayam serama berumur antara 45 hingga 60 hari akan dijual dengan harga antara RM250 hingga RM350 sepasang (dua ekor) berbanding harga sebenar yang mencecah antara RM800 hingga RM1,000.

Bagaimanapun, katanya usaha memajukan penternakan ayam serama sebagai industri memerlukan sokongan kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan penyelidikan, pembiayaan dan promosi dalam negara dan antarabangsa.

Pada masa sama, katanya mereka yang hendak menceburi penternakan ayam serama perlu berminat dan tekun.

FAKTA: AYAM SERAMA

  • Dipercayai berasal dari Kelantan.
  • Dipercayai hasil kacukan pelbagai burung eksotik, termasuk burung hutan.
  • Dikatakan nama serama berasal dari nama Seri Rama dan pada mulanya adalah haiwan peliharaan di istana.
  • Jangka hayat antara tujuh hingga 15 tahun
  • Berat ideal adalah 500 gram ke bawah dengan saiz adalah satu pertiga dari ayam biasa.
  • Ciri istimewa adalah ekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah
  • Mempunyai kira-kira 2,000 warna
  • Menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan mengenali tuannya.
  • Haiwan ini mempunyai gelagat menarik seperti berjalan mengundur ke belakang.
  • Masyarakat Melayu percaya haiwan ini mempunyai khasiat perubatan.

PENILAIAN AYAM SERAMA

  • Jenis – Ciri utama ialah kepala melunjur ke belakang, bahagian belakang pendek, kepak menegak dan ekor panjang, penuh dan apabila berkembang, tidak menyentuh balung. Kedudukan tengah mata sama dengan kedudukan tengah kaki ketika berdiri.
  • Perwatakan – Kelihatan gagah, berani dan yakin. Lagak suka menonjol seperti berkokok dan suka berdiri.
  • Ekor – Saiz besar, menegak dan tinggi. Bulu pelepah ekor utama panjang, melentik di penghujung dan berkembang seperti bentuk V. Lawi (ayam jantan) menegak 90 darjah dan sedikit melentik ke belakang di penghujung.
  • Kepak – Ketika berdiri, kepak ayam dalam posisi menegak tetapi sedikit menghala ke belakang. Hujung kepak bersentuhan sedikit dengan lantai.
  • Badan – Tegap dan bulat. Dada ayam lebih luas dari bahagian belakang apabila dilihat dari atas. Dari tepi, badan berbentuk V. Belakang ayam pendek dan lebar di bahagian bahu.
  • Kaki – Tidak begitu rapat dan selari. Panjang sederhana dan seimbang dengan saiz kepak. Paha berotot dan sederhana panjang. Taji di bahagian tengah betis, keras, kecil dan menghala ke belakang kaki.

Protein susu getah berpotensi jadi makanan haiwan ternakan

LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) sedang menghasilkan protein susu getah yang boleh diguna sebagai komponen makanan haiwan ternakan yang akan dikomersialkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Timbalan Ketua Pengarah LGM, Dr Mohd Akbar Md Said, berkata protein berkenaan terbentuk daripada serum yang terhasil ketika proses pertukaran susu getah kepada getah pekat.

Katanya, penghasilan produk baru itu seiring usaha kerajaan untuk mengurangkan nilai import makanan haiwan ternakan yang terkini berjumlah RM2 bilion setahun.

“Penemuan baru ini kami peroleh sejak tahun lalu,” katanya sambil menambah pengkomersialan itu bergantung kepada permintaan pasaran.

Dalam dalam satu temubual dengan Bernama baru-baru ini, Mohd Akbar menambah, pihaknya akan berhati-hati supaya protein getah terbabit dihasilkan di dalam negara dan bukannya terlepas ke luar negara kerana adanya penemuan teknologi baru daripada LGM dibawa oleh syarikat tempatan untuk menghasilkan produk di negara lain.

Katanya, antara contoh ialah teknologi menghasilkan getah untuk kegunaan tayar berkualiti tinggi dan mesra alam yang dibawa ke negara jiran.

Beliau berkata, usahawan di dalam industri getah tidak boleh hanya menumpukan produk SMR yang konvensional untuk pasaran massa kerana Indonesia, Thailand dan Vietnam juga mengeluarkan produk yang sama pada harga lebih rendah.

“Dari segi kos, Thailand, Indonesia dan Vietnam bersaing sengit dalam meraih perhatian pembeli kerana kos pengeluaran mereka adalah lebih rendah .

“Malaysia, walaupun menghasilkan produk berkualiti tinggi, hanya dapat menarik segelintir pembeli yang mementingkan kualiti kerana harga lebih tinggi,” katanya.

Ternak landak bantu elak kepupusan

Meskipun landak raya dikategorikan sebagai haiwan buruan seperti pelanduk, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyokong usaha menternak haiwan tersebut untuk meningkatkan populasinya.

Mereka yang berminat untuk berjinak-jinak dengan ternakan komersial itu bagaimanapun perlu mendapatkan permit khas dari Perhilitan yang terletak di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu.

Sebagai contoh landak raya yang ingin diternak merupakan spesies dilindungi yang mana permit khas seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 51(d) Akta Perlindungan Hidupan Liar (Akta 1972/76) yang memerlukan kelulusan menteri.

Antara kandungan akta tersebut ialah ‘Walau apa pun yang terkandung dalam akta ini, menteri boleh memberi tidak lebih daripada satu permit khas kepada pemohon untuk menangkap, mengurung membiakkan, menyimpan, mengimport atau mengeksport mana-mana binatang buruan atau mana-mana burung buruan atau sebahagian daripadanya.’

Menurut Pengarah Bahagian Ex-Situ Perhilitan, Khairiah Mohd Shariff, pihaknya mendapati ramai yang berminat untuk menternak landak dan beberapa kelulusan telah diberi.

“Bagaimanapun ada sesetengahnya belum dapat memulakan projek mungkin ada sebab tertentu.

“Kita dapati antara masalahnya ialah kesukaran mendapat baka kerana ia jenis liar,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Justeru, katanya, mereka diperlukan mendapatkan permit tersebut terutama untuk baka.

Katanya, projek komersial yang dijalankan oleh penternak akan dapat meningkatkan populasi haiwan tersebut.

Bagi menyokong usaha penternak, Perhilitan pada tahun lepas memulakan projek pembiakbakaan di bawah Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungai Dusun, Selangor untuk tujuan pembiakbakaan beberapa spesies haiwan liar.

Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun

Berdasarkan laman web Perhilitan, Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun ini siap sepenuh pembinaannya pada bulan April 2000 dengan kos pembinaan sebanyak RM3.6 juta.

Tujuan asal pembinaan ialah bagi projek konservasi Badak Sumatera yang merupakan antara spesies yang diancam kepupusan di negara ini.

Namun pada 2004, pusat konservasi ini tidak lagi menjalankan pemuliharaan badak sumatera tetapi tumpuan dijalankan terhadap projek konservasi badak cipan (Tapirus indicus).

Selain badak cipan, spesies hidupan lain seperti buaya julung-julung (Tomistoma schlegelii), landak raya (Hystrix brachyura) dan kongkang (Nycticebus coucang) juga dipelihara dan terlibat dalam program konservasi ex-situ di sini.

Menurut Khairiah, dalam pembiakbakaan landak raya, teknologi DNA juga telah digunakan untuk tujuan tersebut.

Teknologi DNA yang dijalankan memfokuskan ke arah mewujudkan pengecapjarian DNA bagi spesies hidupan liar di negara ini.

Ia penting bagi mengenal pasti sesuatu spesimen atau sebahagian spesimen hidupan liar bagi tujuan konservasi dan penguatkuasaan.

Menurutnya lagi sejak projek dimulakan pada 2006 dan hingga kini landak yang dibiak dan dipasangkan telah melahirkan 25 ekor anak iaitu sembilan ekor pada tahun lalu dan 16 ekor pada tahun ini.

Katanya, produktiviti landak raya rendah kerana ia memerlukan masa untuk stabil sebelum membiak.

“Pengalaman di Vietnam yang juga menjalankan pembiakbakaan landak sejak 20 tahun lalu telah berjaya melahirkan anak yang banyak. Landak memerlukan masa untuk membiak,’’ ujarnya.

Beliau berkata, anak-anak landak yang di lahirkan itu ditawarkan kepada penternak berminat untuk dijadikan baka dengan harga mengikut saiz antara RM200 dan RM400 seekor.

Beliau berkata, ketika ini terdapat lima atau enam penternak yang telah menjalankan projek dan sekiranya berjaya, mereka membantu meningkatkan populasi haiwan tersebut.

Landak, kata beliau, sejenis haiwan yang senang diternak memandangkan sifat pemakanannya.

Landak makan apa sahaja produk semula jadi daripada pertanian seperti ubi, sayur-sayuran atau sisa pertanian.

“Tidak mustahil ramai yang berminat menternaknya dan kita memang menggalakkan,’’ ujarnya.

Bagaimanapun katanya, meskipun Perhilitan menggalakkan penternakan landak, orang ramai diharap tidak terlalu ghairah untuk menceburinya memandangkan masalah kekurangan baka.

Masalah tersebut dijangka akan dapat diatasi dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi dengan menggunakan bioteknologi.

Selain untuk daging, ternakan landak mempunyai potensi dikembangkan untuk tujuan lain seperti kraf memanfaatkan durinya.

Info

Pembiakabakaan dan Konservasi Ex Situ dui Pusat-pusat Konservasi Hidupan Liar.

Bahagian Konservasi Ex-situ juga bekerjasama dengan Perhilitan negeri di dalam program pembiakan dan konservasi yang melibatkan Pusat-pusat Konservasi Hidupan Liar yang disenaraikan seperti di bawah.

Ia bertujuan untuk menambahkan bilangan spesies hidupan liar di dalam kurungan. Selain daripada program pembiakan, program-program kesihatan juga dikoordinasi dan dilaksanakan oleh bahagian ini di dalam membantu pengurusan hidupan liar di dalam kurungan.

Senarai Pusat Konservasi Hidupan Liar:

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Batu Pahat, Perlis.

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Bukit Pinang, Kedah.

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Bota Kanan, Perak

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor

*Zoo Melaka

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Bangas, Johor.

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Jemaluang, Johor

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, Pahang

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang, Kelantan

*Pusat Konservasi Hidupan Liar Bukit Paloh, Terengganu

Kursus cendawan

PERUSAHAAN cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dan di tanam secara meluas di seluruh negara.

Banyak faktor yang mendorong ramai pengusaha menceburi bidang ini seperti keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat, kos pengeluaran yang rendah, potensi pemasaran yang baik serta kandungan nutrien pemakanan yang tinggi.

Penerimaan yang baik itu telah mendorong Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Kursus Asas Pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu bermula 25 hingga 26 November ini.

Ia akan diadakan di Rumah Cendawan, Unit Hortikultur Seksyen Tanaman, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Kursus tanaman cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju itu bermatlamat mendedahkan peserta dengan teknik pengeluaran asas supaya mereka dapat melaksanakan penanaman sendiri sebaik sahaja kursus tamat.

Ia terbuka kepada orang ramai yang berminat dengan yuran penyertaan RM400 seorang untuk fail, nota kursus, nota catatan, alat tulis, sijil penyertaan dan makanan tetapi tidak termasuk penginapan.

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah seperti taklimat penyediaan media tanaman, penyuntikan benih, memetik hasil, penyelenggaraan, kaedah pembungkusan hasil, penerangan kemudahan pinjaman bank serta rancangan perniagaan.

Demonstrasi ringkas mengenai penyediaan benih juga akan dilakukan bagi memberi gambaran yang lebih kepada peserta.

Tenaga pengajarnya pula terdiri daripada pegawai dan kakitangan yang berpengalaman dari Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Helmi Azro Mohd. Hassan di talian 03-89471266 atau Abdull Ghaffar Othman di talian 03-89467429.

Untuk mendapatkan maklumat cadangan penginapan pula, peserta boleh menghubungi Rumah Tetamu UPM di 03-89467967.

Industri herba sasar tumbuh 8-15% setahun

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Nilai pasaran industri herba di Malaysia dijangka mencecah hampir RM10 bilion pada tahun ini, yang kemungkinan berkembang dari 8 hingga 15 peratus setahun berasaskan penerimaan yang kian meningkat terhadap perubatan semula jadi.

Ketika kemelesetan ekonomi, perubatan herba menjadi perubatan alternatif yang diterima pengguna disebabkan kos yang lebih rendah berbanding perubatan moden, kata Pengerusi dan Pengasas Majlis Forum Ekonomi Global Bio-Herba, Datuk Yeat Sew Chuong.

Sambil menyatakan industri herba sebagai industri kalis krisis, Sew Chuong berkata, industri itu kian berkembang kukuh sejak beberapa tahun lepas, daripada kira-kira RM7 bilion pada 2006 kepada RM9 bilion pada tahun lepas.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar hari ini sempena Forum Ekonomi global Bio-Herba Kedua di sini esok. Forum tiga hari itu akan dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.

Forum yang dijangka menarik penyertaan 3,000 peserta tempatan dan dari seberang laut itu akan membentangkan pelbagai tajuk dan isu mengenai industri bio-herba serta sesi jaringan perniagaan.

Forum itu akan menjadi platform bagi peserta industri itu untuk meluaskan jaringan masing-masing, bertukar-tukar idea dan mempamerkan produk kesihatan terbaru dari China, Amerika Syarikat, Filipina, Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam.

Bagi menyokong pertumbuhan industri herba tempatan, Sew Chuong berkata, usaha diperlukan pada masa ini untuk merangsang pengusaha tempatan meraih potensi besar industri itu.

Katanya, kerajaan perlu turut mengenal pasti industri itu serta bidang yang berpotensi untuk dibangunkan bagi membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana industri herba global diunjurkan bernilai AS$5 trilion (RM17.95 trilion) menjelang 2050 daripada AS$200 bilion (RM718 bilion) sekarang ini.

“Kebanyakan PKS tempatan terbabit dalam aktiviti nilai tambah yang rendah seperti pemprosesan bahan tumbuhan kering bagi menghasilkan serbuk dan fermentasi bagi pengeluaran tonik perubatan,” kata Sew Chuong.

“Bagi membolehkan mereka meluaskan pasaran, mereka perlu meningkatkan rantaian nilai dengan menambah baik pengeluaran masing-masing ke paras teknologi lebih tinggi,” katanya, sambil menyatakan kini terdapat lebih 1,000 syarikat tempatan yang terbabit dalam industri itu.

Disebabkan kekurangan bukti saintifik dan penyelidikan mengenai keselamatan, keberkesanan dan penyeragaman produk herba, industri tempatan di negara-negara ASEAN kehilangan agihan industri itu yang bernilai AS$200 bilion.

Di pasaran global, Sew Chuong berkata, Jerman mendahului dengan 28 peratus agihan pasaran manakala ASEAN mencatatkan 18 peratus dan Jepun menguasai kira-kira 13 peratus.

Walaupun penggunaannya merupakan sesuatu yang biasa di Asia, katanya kadar penerimaan di rantau ini rendah, iaitu sebanyak 8 peratus sahaja daripada penduduk Asia berbanding dengan sehingga 20 peratus di sesetengah negara Barat.

Beliau berkata, kadar penerimaan yang lebih tinggi itu disebabkan ramai penduduknya menyedari pentingnya perubatan semula jadi bagi mengekalkan kesihatan masing-masing serta tahap tinggi penyelidikan dan pembangunan, keselamatan dan penjenamaan yang terlibat dalam produk herba.

Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan produk herba semula jadi, katanya para peserta industri digalakkan mengguna pakai prinsip amalan pertanian yang baik, amalan pengilangan yang baik dan amalan makmal yang baik.

Sew Chuong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif INS Bioscience Bhd. yang mengeluarkan makanan tambahan kesihatan herba di bawah jenama Easy Pha-max berkata, Malaysia berpeluang mengeluarkan produk herba halal.

“Malaysia mempunyai sumber herba yang besar dan dengan itu mempunyai peluang yang cerah untuk membekalkan kepada 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Liana di hutan hujan dara

POKOK Liana yang disentuh Ramlan dianggarkan seusia dengan pokok kayu disebelahnya.


Khamis lepas, kerajaan negeri Perak dilaporkan rakus mahu mengaut untung RM40 juta dengan meluluskan 40 kompartmen untuk konsesi balak dengan 30 daripadanya didakwa untuk wakil rakyat DAP.

Mungkin ini menyebabkan ramai yang mula berfikir, di zaman seluruh dunia bersatu padu mempertahankan pelbagai jenis hutan-hutan dara bumi, adakah para pemimpin negeri yang memiliki hamparan hutan hujan tropika yang cukup kaya dan penuh misteri termasuk Belum- Temenggor ini masih ketinggalan?

Hutan hujan negara kini adalah tarikan utamaindustri pelancongan yang diuar-uarkan sebagai hutan hujan dara yang tidak terusik selama 130 juta tahun.

Kita juga berbangga memiliki hutan hujan dara tertua dunia malah lebih tua berbanding hutan hujan terbesar dunia di Amazon.

Ciri utama hutan hujan ialah limpahan hujan yang tinggi dengan julat minima tahunan hujan di antara 1,750 hingga 2,000 milimeter.

Hutan hujan menyediakan tempat tinggal kepada dua pertiga daripada semua biodiversiti Bumi, malah dianggarkan ratusan juta spesies tumbuhan, serangga dan mikroorganisma masih belum ditemui atau dikenalpasti.

Selain itu, ia mesti dipelihara kerana peranan pentingnya menghasilkan 28 peratus daripada gas oksigen dunia melalui fotosintesis selain peranannya sebagai farmasi gergasi yang menyimpan jutaan khasiat ubat-ubatan semula jadi yang masih menunggu untuk dikenalpasti.

Kanopi hutan primer

Hutan hujan dara sangat berbeza berbanding hutan sekunder. Biodiversiti hutan hujan sekunder tidak sebanyak hutan primer selain kanopinya hanya satu lapisan berbanding hutan primer yang mempunyai beberapa lapis kanopi.

Pokok-pokok dalam hutan sekunder seringkali mempunyai belukar serta tumbuhan renik yang lebih lebat berbanding hutan tua primer.

Ini kerana lapisan-lapisan kanopi hutan primer menghalang cahaya matahari dari menembusi ke peringkat lebih rendah sehingga tumbuhan baru sukar berkembang.

Hutan sekunder tumbuh di kawasan yang terganggu akibat aktiviti manusia seperti pembalakan atau kawasan yang mana hutan asalnya telah hilang akibat pertanian.

Ia juga boleh tumbuh dari kawasan hutan yang telah diambil hasil hutannya secara berlebihan atau dalam tempoh masa yang panjang, pernah terbakar ataupun bekas tanah pertanian.

Biasanya, hutan sekunder memerlukan sehingga 100 tahun sebelum berjaya mendapatkan semula ciri-ciri dan landskap semula jadi hutan dara asal.

Mereka yang berpengetahuan dalam ekologi sudah pasti boleh mengenalpasti hutan hujan primer dengan mudah.

Tetapi kata Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Taman Negara, Hamzah Abdul Hamid, orang biasa juga boleh kenal hutan primer semasa menjelajah ke dalam hutan.

Caranya, perhatikan tumbuhan bak akar menjalar yang mudah dilihat mengelilingi atau tergantung dari pokok-pokok kayu yang besar.

Pokok menjalar itu dikenali sebagai Liana atau Vine yang mana ciri utamanya ialah batang yang tersimpul-simpul seolah-olah skulptur yang cukup indah dalam landskap semula jadi hutan.

Kata Hamzah atau terkenal dengan panggilan Pak Chu, hutan dara mempunyai kepadatan pokok Liana yang tinggi atau amat mudah ditemui berbanding hutan sekunder. Lagipun ia sukar untuk tumbuh semula di kawasan hutan yang pernah ditebang.

Hubungan simbiosis

Liana bukan pokok tumpang atau parasit tetapi tumbuh dari tanah sebagai pokok renek. Ia membesar bersama-sama dengan pokok kayu dan akan menjalar dari pangkal pokok ke puncak bagi mendapatkan cahaya matahari.

Dalam hubungan simbiosis ini, Liana akan memberi sokongan kepada batang-batang pokok kayu yang besar dan tinggi.

Ia akan memegang dan mengukuhkan lagi cengkaman pokok besar dan tinggi ke tanah sekaligus membantu mengurangkan risiko tumbang ditiup angin kencang atau hujan lebat.

Ia juga menyukarkan kerja pembalakan kerana pokok-pokok tua yang sesuai dibalak sudah pasti mempunyai lebih banyak simpulan dahan Liana yang perlu dibersihkan terlebih dahulu.

Menariknya, pengetahuan itu bukan sekadar hipotesis tetapi kena dengan kajian saintifik yang dilakukan oleh Jeffrey J. Gerwing dan Christopher Uhl, saintis dari Interdepartmental Program in Ecology, Pennsylvania State University, Amerika Syarikat.

Artikel yang bertajuk ‘Pre-logging Liana Cutting Reduces Liana Regeneration in Logging Gaps in the Eastern Brazilian Amazon’ itu telah diterbitkan dalam Jurnal Ecological Application Volume 12, Isu 6 (Disember 2002).

Mereka mendapati, kepadatan Liana telah merosot sekurang-kurangnya 40 peratus di sekitar plot kawasan 50 meter persegi meskipun selepas enam tahun ia dibalak (hutan sekunder) berbanding hutan tanpa pembalakan (hutan asal).

Pokok ini memainkan peranan-peranan lain dalam keseimbangan ekosistem hutan termasuk biji dan pucuknya sebagai sumber makanan haiwan.

Paling menarik, ia juga merupakan pembekal air kepada warga hutan dan pastinya penyelamat kepada penjelajah hutan yang tersesat.

Kata seorang lagi jurupandu , Ramlan Jaafar, kira-kira 60 peratus daripada pokok Liana Taman Negara boleh mengeluarkan air sekiranya dicantas, terutama spesies Liana yang suka bersimbiosis dengan pokok mempelas.

Justeru, semua penjelajah hutan atau pembalak diharapkan dapat menahan diri daripada memotong, membunuh atau mencantas pokok ini sesuka hati apatah lagi pokok ini sukar membiak dan mengambil masa yang terlalu lama untuk membesar.

Potensi pertanian

Mohamad Hasan melihat teknik bio-booster menanam cendawan di Seremban, kelmarin.
– Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.


SEREMBAN 14 Nov. – Dewasa ini bidang pertanian dilihat sebagai satu cabang kegiatan ekonomi yang penting serta berupaya menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Melihat potensi besar dalam bidang tersebut, semakin ramai usahawan tani di negeri ini tampil menyahut seruan kerajaan dalam merealisasi moto ‘Pertanian Adalah Perniagaan’.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, usahawan tani kini perlu memperluas minda dengan tidak membataskan aktiviti kepada kegiatan pengeluaran sahaja.

Sebaliknya, menurut beliau, bidang pertanian perlu dilihat sebagai satu industri berskala besar dengan pulangan serta keuntungan yang tinggi.

”Peladang, penternak dan nelayan tidak seharusnya kekal sebagai pengeluar sahaja dan membiarkan aktiviti nilai tambah produk pertanian dikuasai oleh pihak lain,” ujar beliau.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Agro-Biotek 2008 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Paroi dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor dan Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri, Datuk Ibrahim Jahaya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri kepada 14 kategori pemenang.

Ekspo berkenaan bermula semalam hingga 18 November ini dengan melibatkan 170 usahawan tani serta agensi kerajaan dan syarikat swasta yang bergiat dalam sektor perladangan, penternakan dan perikanan di seluruh negara.

Di samping itu, jelas Mohamad, kesemua usahawan tani di negeri ini diminta melakukan perubahan minda bagi membolehkan mereka bertindak balas dengan segera dan tepat terhadap setiap perubahan dalam iklim pasaran.

”Usahawan tani perlu berjiwa besar dengan melihat pertanian sebagai satu industri gergasi yang mampu bersaing di pasaran global.

”Mereka juga seharusnya membuka minda kepada aspek penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penerokaan pasaran serta proses globalisasi,” kata beliau.

Ujarnya lagi, usahawan tani perlu memperluas pengetahuan dalam bidang pemasaran serta mempunyai jati diri, daya tahan dan semangat juang yang tinggi.

Sementara itu, dalam buku cendera mata ekspo berkenaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata, pendekatan yang dinamik lagi progresif diperlukan bagi mencapai matlamat Pertanian Baru seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Jelas beliau, kerajaan berhasrat untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang mempunyai nilai tambah, menggunakan teknologi tinggi termasuk bioteknologi dan ICT serta mewujudkan usahawan tani yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan.

”Setiap petani, penternak dan nelayan serta individu lain yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini perlu berfikiran terbuka di samping bekerja dengan lebih kuat lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yunus memberitahu, pembabitan golongan muda dalam bidang pertanian sememangnya amat digalakkan.

Beliau berkata, kehadiran generasi muda akan merangsang sektor pertanian ke arah yang lebih moden, positif dan dinamik.

”Justeru, diharap lebih ramai lagi golongan muda yang menceburi bidang ini dengan menjadikannya sebagai satu kerjaya,” ujarnya ketika berucap pada majlis yang sama.

Selain itu, kata Yunus, usahawan tani turut disaran supaya menyediakan infrastruktur perdagangan berasaskan internet bagi memasarkan produk secara meluas.