![]() |
Para pelajar Politeknik Kota Bharu menunjukkan serbuk budu hasil ciptaan mereka sempena PKB Fest 08 di Kota Bharu, semalam.
|
KOTA BHARU 12 Nov. – Budu yang secara tradisionalnya dihasilkan dalam bentuk sos dan dibotolkan untuk pasaran, tetapi kemungkinan besar tidak lama lagi turut didapati dalam bentuk serbuk.
Sekumpulan lima pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) mencipta produk perencah makanan itu dalam bentuk baru dengan beberapa perasa tambahan hasil kajian mereka selama tiga bulan.
Mereka berusaha ‘memodenkan’ penghasilan budu dan meluaskan permintaan setelah menyedari produk itu yang masih dianggap sebagai industri kecil, menjadi bahan keperluan bagi setiap rumah terutama di Pantai Timur.
Ketua kumpulan pelajar itu, Suzielawanie Ibrahim memberitahu, mereka mengambil kursus diploma pemasaran di bawah Jabatan Perdagangan dan projek berkenaan merupakan projek semester akhir.
”Kami memikirkan bagaimanapun untuk memudahkan bahan itu dibawa ke mana-mana, disesuaikan dengan keperluan setiap pengguna, tanpa bimbang botolnya pecah dan menerbitkan bau yang mungkin tidak menyenangkan,” ujarnya.
Turut serta dalam kumpulan itu ialah Nur Darina Mat Dani, Siti Madihah Mohamad, Che Khaziah Che Omar, Nur Amalia Zakaria dan Gaythri Kupusamy.
Mereka mengetengahkan buat pertama kali produk yang dihasilkan itu dalam majlis perasmian PKB Fest 08, di Kok Lanas di sini semalam.
Menurut Suzieawanie, budu dalam bentuk serbuk itu hanya perlu dicampur sedikit air semasa ingin dimakan dan ia tidak mengubah rasa asalnya.
Mereka menamakan produk itu sebagai ‘Budu Bilis Warisan’ dan merupakan produk 100 peratus halal dan dibungkus dengan tiga perasa iaitu perasa asli, perasa limau serta lada dan perasa tempoyak.
”Dengan bimbingan pensyarah, kami memulakan kajian selama kira-kira tiga bulan termasuk meneliti pelbagai jenis budu di pasaran dan menentukan yang paling enak atau paling digemari.
Bagi memudahkan usaha, mereka mendapatkan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) menggunakan mesin untuk mengeringkan sos atau cecair budu sebelum mengadunkan dengan bahan-bahan perisa seperti lada, limau dan tempoyak.
”Sekali lagi proses pengeringan dijalankan sebelum serbuk budu berperisa dibungkus untuk dipasarkan,” katanya.
Menurutnya, mereka hanya mengambil masa seminggu untuk mengering dan membungkus serbuk budu bagi projek percubaan itu bermodalkan RM300.
Serbuk budu itu berpotensi untuk pasaran dalam dan luar negara serta mampu mencapai sehingga 25 peratus keuntungan dan rundingan awal dengan beberapa pihak telah diadakan supaya projek berkenaan dapat diperkembangkan selepas mereka menamatkan pengajian hujung tahun nanti.
nk thu bgaimna tchnology machine y dpt mghslkn budu dlm bntk serbuk…