Herba realisasi impian miliki tubuh sihat


Raja Kenyang, Ratu Collagen penyelesaian kepada masalah obesiti, lewatkan proses penuaan

PRODUK makanan dan minuman kesihatan berasaskan herba kini semakin mendapat tempat di hati penduduk negara ini, terutama mereka yang mengutamakan kesihatan berikutan gaya hidup kini yang sentiasa sibuk.

Justeru, industri herba mempunyai potensi cukup besar untuk diceburi khususnya dalam pengeluaran dan pengedaran produk penjagaan kesihatan serta kecantikan. Malah, kelebihan negara kita yang memiliki kepelbagaian bio turut merangsang matlamat menjadikan negara ini pusat perdagangan herba Asia Pasifik.

Di Selangor, usaha itu disandarkan kepada syarikat milik kerajaan negeri, Polens (M) Sdn Bhd (Polens) berbekalkan pelbagai tanaman herba yang hidup subur di sebuah ladang seluas 40 hektar di Rawang, dinamakan Herbatorium.

Pengurusnya, Azman Jamaludin, berkata dua produk terbaru berasaskan herba keluaran Polens iaitu Raja Kenyang dan Ratu Collagen kini disandarkan harapan bagi merealisasikan impian penduduk untuk memiliki tubuh badan yang sihat, sambil membantu mereka berjimat.

Katanya, Raja Kenyang adalah minuman kesihatan yang berfungsi untuk mengurangkan rasa lapar dan pada masa sama membekalkan nutrien secukupnya yang diperlukan oleh badan.

“Minuman ini sesuai digunakan sebagai diet utama bagi menggantikan makanan ruji dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kos sara hidup masa kini.

“Raja Kenyang mengandungi serat oat yang berfungsi untuk memberi kekenyangan, menyerap toksin dalam usus dan melawaskan pembuangan air besar, selain mengurangkan paras kolesterol darah dan meningkatkan stamina,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Berdasarkan kajian Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Polens, unsur Psyllium Husk yang ada dalam minuman Raja Kenyang pula dapat membantu merawat masalah usus dan sistem pencernaan seperti kolitis, disenteri, masalah pundi kencing, penyakit sendi, ulser dan jangkitan sistem pembuangan air kecil.

Ia terbukti berkesan membantu proses mengawal berat badan dan merawat berat badan dengan memberi rasa kenyang yang lebih lama. Kajian juga menunjukkan psilium dapat membantu merendahkan paras kolesterol dan tekanan darah tinggi, seterusnya mencegah penyakit jantung.

PEGAWAI Pemasaran, Norlaily Ezaty Mohd Ridzwan, menunjukkan produk keluaran syarikat Polens.

Azman berkata, spirulina yang ada dalam minuman itu mengandungi Beta Carotene yang tinggi untuk detoksifikasi usus serta vitamin B12 bagi membekalkan tenaga, tumbesaran tubuh dan memperbaiki fungsi saraf, selain mengandungi GLA (gamma linoleic acid) untuk memperbaiki paras kolesterol darah, mengurangkan tekanan darah tinggi dan menggalakkan fungsi sendi tulang.

Katanya, serbuk kacang soya yang menjadi antara bahan utama Raja Kenyang adalah sumber zat besi, zink, kalium, fosforus, kalsium dan mangan yang baik.

Selain kaya dengan serat dan vitamin C, ia juga mengandungi isoflavan yang menjadi sebatian fenolik penting.

“Serat gandum kaya dengan vitamin A, B, C, E dan K serta zat galian kalsium, ferum, magnesium, pottassium, fosforus, natrium, kobalt dan zink yang diperlukan tubuh.

“Ia juga mengandungi paras klorofil tinggi untuk mempercepatkan proses penyembuhan tisu yang cedera dan luka serta membersihkan keracunan toksin dalam perut dan usus, selain membekalkan oksigen yang banyak untuk kesihatan tisu,” katanya.

Ratu Collagen pula adalah satu formulasi bagi rawatan kulit, bertindak melalui empat peringkat iaitu menghentikan pembentukan kedut pada wajah, mengekalkan kelembapan kulit, melindungi kulit daripada kelembapan dan bertindak sebagai antioksida yang kuat.

Azman berkata, pendedahan kepada tekanan, cahaya matahari, pencemaran dan radikal bebas adalah antara punca kepada pembentukan kedutan tetapi kandungan kolagen membuatkan kulit menjadi gebu dan mengekalkannya.

Katanya, ia juga menguatkan salur darah dan memainkan peranan penting dalam proses pembinaan tisu.

“Kombinasi formula Ratu Collagen juga berfungsi merangsang penghasilan asid hialuronik, dihasilkan daripada sel kulit secara semula jadi sebagai mekanisme untuk mengekalkan kelembapan, berfungsi sebagai span dengan menyerap kelembapan dan menyegarkan kulit.

“Kulit yang terdedah kepada cahaya matahari akan mengaktifkan melanocytes dan menghasilkan melamin yang menyebabkan kulit menjadi gelap tetapi genistein daripada soya akan menghalang penghasilan melanin dan bertindak sebagai pelindung,” katanya.

Dalam industri makanan, delima dikategorikan sebagai buah-buahan eksotik tetapi kandungan antioksida di dalamnya bertindak meneutralkan radikal bebas dan seterusnya menghalang kulit menjadi rosak.

Katanya, Ratu Collagen kaya dengan vitamin C yang diperlukan tubuh badan kerana ia berfungsi menghalang penyakit berkaitan masalah gusi dan gigi, selain bertindak sebagai antioksida.

Azman berkata, kedua-dua produk itu dirancang dipasarkan ke Singapura dan Brunei, awal tahun depan selepas menerima sambutan amat menggalakkan sebaik berada di pasaran tempatan awal September lalu.

Katanya, pengeluaran pertama sebanyak 5,000 kotak yang diedarkan ke farmasi, toko jamu dan pemborong hampir kehabisan dalam tempoh tidak sampai sebulan dan kini dalam proses mengeluarkan 15,000 kotak lagi bagi memenuhi permintaan.

Sebagai pengeluar produk berunsur kesihatan di kilang bertaraf bertaraf Amalan Pengilangan Terbaik (GMP), Polens dapat mengeluarkan produk bermutu tinggi dan dijamin halal dengan kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pelajar hasil serbuk budu

Para pelajar Politeknik Kota Bharu menunjukkan serbuk budu hasil ciptaan mereka sempena PKB Fest 08 di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 12 Nov. – Budu yang secara tradisionalnya dihasilkan dalam bentuk sos dan dibotolkan untuk pasaran, tetapi kemungkinan besar tidak lama lagi turut didapati dalam bentuk serbuk.

Sekumpulan lima pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) mencipta produk perencah makanan itu dalam bentuk baru dengan beberapa perasa tambahan hasil kajian mereka selama tiga bulan.

Mereka berusaha ‘memodenkan’ penghasilan budu dan meluaskan permintaan setelah menyedari produk itu yang masih dianggap sebagai industri kecil, menjadi bahan keperluan bagi setiap rumah terutama di Pantai Timur.

Ketua kumpulan pelajar itu, Suzielawanie Ibrahim memberitahu, mereka mengambil kursus diploma pemasaran di bawah Jabatan Perdagangan dan projek berkenaan merupakan projek semester akhir.

”Kami memikirkan bagaimanapun untuk memudahkan bahan itu dibawa ke mana-mana, disesuaikan dengan keperluan setiap pengguna, tanpa bimbang botolnya pecah dan menerbitkan bau yang mungkin tidak menyenangkan,” ujarnya.

Turut serta dalam kumpulan itu ialah Nur Darina Mat Dani, Siti Madihah Mohamad, Che Khaziah Che Omar, Nur Amalia Zakaria dan Gaythri Kupusamy.

Mereka mengetengahkan buat pertama kali produk yang dihasilkan itu dalam majlis perasmian PKB Fest 08, di Kok Lanas di sini semalam.

Menurut Suzieawanie, budu dalam bentuk serbuk itu hanya perlu dicampur sedikit air semasa ingin dimakan dan ia tidak mengubah rasa asalnya.

Mereka menamakan produk itu sebagai ‘Budu Bilis Warisan’ dan merupakan produk 100 peratus halal dan dibungkus dengan tiga perasa iaitu perasa asli, perasa limau serta lada dan perasa tempoyak.

”Dengan bimbingan pensyarah, kami memulakan kajian selama kira-kira tiga bulan termasuk meneliti pelbagai jenis budu di pasaran dan menentukan yang paling enak atau paling digemari.

Bagi memudahkan usaha, mereka mendapatkan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) menggunakan mesin untuk mengeringkan sos atau cecair budu sebelum mengadunkan dengan bahan-bahan perisa seperti lada, limau dan tempoyak.

”Sekali lagi proses pengeringan dijalankan sebelum serbuk budu berperisa dibungkus untuk dipasarkan,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya mengambil masa seminggu untuk mengering dan membungkus serbuk budu bagi projek percubaan itu bermodalkan RM300.

Serbuk budu itu berpotensi untuk pasaran dalam dan luar negara serta mampu mencapai sehingga 25 peratus keuntungan dan rundingan awal dengan beberapa pihak telah diadakan supaya projek berkenaan dapat diperkembangkan selepas mereka menamatkan pengajian hujung tahun nanti.